Rabu, 9 Januari 2013

BENAR, DIA GILA

Setiap kali saya singgah solat di Masjid Bukit Indah, Ampang yang sememangnya indah, samada Zuhur, Asar, Maghrib atau Isyak,  saya melihat hamba Allah ini. Saya tidak dapat pastikan samada hamba Allah ini juga berada di masjid itu pada waktu solat Subuh. Saya tidak pernah solat subuh di Masjid Bukit Indah kerana masjid itu terletak di luar kariah saya.

Saya cuma sekali sekala singgah di masjid itu iaitu ketika dalam perjalanan balik ke rumah dari pejabat atau melunaskan urusan lain di kawasan sekitar. Bagaimanapun, saya yakin dia berada di Masjid Bukit Indah pada waktu solat subuh. Masjid Bukit Indah dikatakan wakaf seorang dermawan keturunan India Muslim.

Dia, lelaki hujung 40-an atau awal 50-an, berbadan kecil, ketinggian lebih kurang 5 kaki, memakai serban, berjubah, menyandang beg sandang dan membawa sekaki payung ketika datang ke masjid. Keterampilannya terurus. Pakaiannya bersih.

Cara dia berjalan ialah dalam keadaan berlari-lari anak. Sesampai di tangga masjid dia akan meletakkan selipar dan payungnya di tempat yang agak tersuruk dan selamat. Apabila sampai di dalam dewan solat, dia akan membuka serban serta jubah dan meletakkannya dalam dewan solat. Dia pergi ke bilik air mengambil wudhu. Ahli jumaah kariah Masjid Bukit Indah, Ampang telah memahami tingkah laku lelaki itu. Mereka telah menerimanya dengan seadanya. 

Setelah berpakaian lengkap dia mula solat – mungkin solat ‘sunat tahiyatul masjid’. Dia tidak menyelesaikan solat. Dia berpindah pula ke tempat lain dan mulakan solat semula. Solat tersebut dan seterusnya juga tidak pernah selesai.

Ketika jumaah lain menunaikan solat fardhu secara berjumaah, dia ikut serta solat secara jumaah tetapi mengambil tempat bersendirian jauh di belakang saf jumaah yang paling belakang. Tidak pula saya ketahui gelagatnya ketika solat secara berjumaah berlangsung kerana saya berada di hadapan, dia pula berada jauh di belakang!
Ketika jumaah yang lain menunaikan solat sunat badiah, dia pun turut sibuk dengan solat ‘sunat badiahnya’  tetapi tidak pernah selesai. Keadaannya samalah seperti yang dinyatakan pada para di atas.
Dia insan istimewa yang bebas dari tanggungjawab. Ada orang kata dia gila. Ada orang kata dia gila isim. Ada orang kata 'wirenya short'.

Di sebalik kepelikan itu, saya ialah pemerhati yang asyik dengan gelagat hamba Allah ini. Saya pernah melihat hamba Allah ini bersusah payah membantu pengawal keselamatan menutup pintu besar pagar masjid selepas selesai solat fardhu Isyak. Selepas selesai menutup pintu besar pagar dia berlari-lari anak meninggalkan kawasan masjid yang disayanginya.

Ditakdirkan, saya berpeluang bercakap dengan hamba Allah ini selepas selesai solat fardhu zuhur pada 7/1/2013 yang lalu. Ketika berada di tangga masjid saya mendengar dia merungut sendirian dalam loghat Jawa. Dia mendakwa payungnya hilang kerana disorok oleh budak-budak nakal. Saya bertanya samada dia hendak membeli payung yang baharu atau tidak. Dia mengangguk. Saya memberinya RM10.00 untuk membeli payung baharu. Dia menerima pemberian itu dan bercakap sesuatu yang saya tidak faham buah butirnya.

Ketika memandu keluar dari kawasan masjid saya berfikir akan harga sekaki payung. Cukupkah RM10.00 untuk membeli sekaki payung?  

Kita boleh mengklasifikasikan dia orang gila, minda bercelaru, gila isim atau ada ‘yang short’.
Bagaimanapun, dia bukan gila sebarang gila. Dia gila ke masjid! Hatinya tertambat di bangunan berkubah dan ada menara di kawasan perumahan golongan pertengahan Taman Bukit Indah, Ampang. Dia yang dikatakan gila suka berada di situ walaupun ramai orang yang tidak gila tidak beberapa suka ke situ. 

Siapakah yang gila sebenarnya? 
   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."