Bila ombak mencumbu pantai,
kita pun beredar lalu
malu
dan cemburu.
Sekalipun urusan kerja menyebabkan saya banyak
berjalan ke luar daerah, saya tidak berpeluang ke Bandar Dungun, Terengganu
dalam tempoh yang agak lama - lebih 20 tahun. Kalau ada pun, cuma melewati
bandar di tepi pantai Laut Cina Selatan ini semasa dalam perjalanan ke Kuala
Terengganu.
Sedemikian, sebelum sampai di Bandar Dungun pada
12/1/2013, saya tidak dapat mengagak keadaan sebenar Bandar Dungun pada hari
ini. Walaupun kotak fikiran saya masih berbekas dengan suasana Bandar Dungun
lebih 20 tahun lalu, saya yakin bahawa keadaannya pada hari ini tidak
lagi sebegitu.
Lebih 20 tahun yang lalu, Bandar Dungun adalah
sebuah bandar sepi. Walaupun memiliki aset keindahan alam semula jadi, iaitu
pantainya yang indah, Bandar Dungun bukan tempat untuk dikunjungi ketika itu.
Landskap bandar ini pada masa itu dihiasi oleh deretan rumah kedai usang, tidak
lebih dari tiga buah hotel kecil dan beberapa buah bangunan kerajaan yang dalam
keadaan seadanya.
Ketika itu Bandar Dungun ‘mati’ di sebelah malam. Setelah
usai makan malam di kedai makan berhampiran perhentian bas (ketika itu) kami
balik ke bilik hotel dan terus tidur untuk ke tempat kerja pada hari esoknya.
Seperti yang dijangka, setelah lebih 20 tahun Bandar
Dungun banyak juga perbezaannya. Perbezaan itu bukanlah perubahan dari sebuah
bandar ‘mati’ yang membosankan kepada sebuah bandar ‘hidup’ seperti yang selalu
digambarkan - bangunan mencakar langit, ‘night life’ yang berpaksikan hiburan melampau
atau wujudnya kawasan industri seperti di Selangor atau Pulau Pinang. Tidaklah sebegitu
drastik.
Setelah lebih 20 tahun, Bandar Dungun menganjak
dalam keadaan seadanya yang tersendiri.
Bangunan-bangunan rumah kedai era lalu masih wujud untuk
mengnostalgiakan Bandar Dungun yang dahulu. Warung-warung makanan yang buruk
dan reput tetapi masih mampu menggamit pengunjung yang bukannya sedikit juga
masih ada lagi di Bandar ini.
Bagaimanapun, legasi masa lampau Bandar Dungun yang
tidak ceria dibayangi oleh Bandar Dungun yang lebih ceria pada hari ini.
Gah Negeri Terengganu yang kaya raya dapat dilihat dan
diterjemahkan tempiasnya samada secara langsung atau tidak langsung (termasuk
juga bangunan pejabat kerajaan persekutuan) di Bandar ini dengan terbinanya bangunan-bangunan
yang cantik dan hebat. Hari ini berdiri dengan megahnya bangunan
pejabat-pejabat kerajaan yang cantik, hotel/chalet/homestay, bangunan rumah
kedai, masjid, sekolah, restoran makanan segera ternama dan lain-lain lagi. Diantara
yang agak menonjol yang saya nampak ialah UITM Cawangan Dungun, Bangunan
Jurutera, Bangunan Jabatan Agama Islam, padang golf dan MRSM Dungun.
Kawasan Perbandaran Daerah Dungun juga bersih
berbanding dengan bandar-bandar lain di Negeri Terengganu. Dan, seperti di
mana-mana tempat yang terletak di pesisir pantai, Bandar ini bertambah serinya
kerana memiliki elemen laut - pantainya bersih
dan cantik.
Saya perhatikan penduduk di Bandar ini suka makan
di luar. Maka tidak hairanlah berpuluh-puluh buah restoran/warung di Bandar ini
terutamanya di sepanjang pantai dipenuhi pelanggan. Di sebelah pagi dengan
beranika jenis makanan tradisi Terengganu dan di sebelah malamnya pula dengan
masakan panas ala-Thai. Pada saya, makanan samada makanan tradisional seperti
nasi dagang atau masakan ala-Thai di sini sedap.
Kalau di Ibu Kota, restoran mamak dipenuhi oleh
anak-anak muda yang menyaksikan perlawanan bolasepak luar negara/dalam negeri.
Begitu juga di sini. Cuma bezanya, anak-anak muda di sini ‘lepak’ di warung
milik orang kita kerana bilangan restoran mamak tidak banyak.
Satu perkara lagi yang saya peramati ialah pada umumnya rumah penduduk di sekitar kawasan perbandaran Dungun cantik dan bersih.
Satu perkara lagi yang saya peramati ialah pada umumnya rumah penduduk di sekitar kawasan perbandaran Dungun cantik dan bersih.
Saya mencadangkan sesiapa yang berpeluang ke Bandar
ini kunjungilah ‘Warung Power’ . Menu utama warung ini ialah ‘Nasi Dagang’,
‘Telur Setengah Masak Power’ dan ‘Teh Tarik/Milo/Kopi Power’. Secara rengkasnya,
‘Telor Setengah Masak Power’ atau ‘Teh Tarik/Milo/Kopi Power’ ialah telor atau
minuman yang diadun dengan rempah ratus. Hasilnya, struktur badan menjadi
‘power’ (panas dan berpeluh) selepas menikmati hidangan ‘power’ tersebut.
Sarapan pagi nasi dagang yang enak, minum petang di
warung-warung tepi pantai yang menenangkan, makan malam yang menepati selera, nyanyi ombak yang didengar dari penginapan di
tepi pantai, sesekali bertandang di ‘Warung Power’ dan mengabaikan sementara segala masalah hidup dalam dunia realiti membuatkan saya seronok bermusafir
di Bandar ini selama 6 hari lima malam. Selamat tinggal Dungun.
Ujang kutik,
BalasPadam..kalau dapat pi bercuti ke Trengganu pun sudah di kira '' power '' tau..haha..
Sdr theolrascal,
PadamBukan cuti tuan, kerja.......
ujang kutik,
Padamahahaha..saya tau ..tuan pergi bekerja.
Saya maksudkan diri saya..kalau dapat pergi pun dah kira power lah..apalagi lagi kalau dapat makan telor setengah masak power di warung tu. hehe