Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 19 Januari 2013

DUNGUN


Bila ombak mencumbu pantai,
kita pun beredar lalu
malu
dan cemburu.
Sekalipun urusan kerja menyebabkan saya banyak berjalan ke luar daerah, saya tidak berpeluang ke Bandar Dungun, Terengganu dalam tempoh yang agak lama - lebih 20 tahun. Kalau ada pun, cuma melewati bandar di tepi pantai Laut Cina Selatan ini semasa dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.      
 
Sedemikian, sebelum sampai di Bandar Dungun pada 12/1/2013, saya tidak dapat mengagak keadaan sebenar Bandar Dungun pada hari ini. Walaupun kotak fikiran saya masih berbekas dengan suasana Bandar Dungun lebih 20 tahun lalu, saya yakin bahawa keadaannya pada hari ini tidak lagi sebegitu.  

Lebih 20 tahun yang lalu, Bandar Dungun adalah sebuah bandar sepi. Walaupun memiliki aset keindahan alam semula jadi, iaitu pantainya yang indah, Bandar Dungun bukan tempat untuk dikunjungi ketika itu. Landskap bandar ini pada masa itu dihiasi oleh deretan rumah kedai usang, tidak lebih dari tiga buah hotel kecil dan beberapa buah bangunan kerajaan yang dalam keadaan seadanya.

Ketika itu Bandar Dungun ‘mati’ di sebelah malam. Setelah usai makan malam di kedai makan berhampiran perhentian bas (ketika itu) kami balik ke bilik hotel dan terus tidur untuk ke tempat kerja pada hari esoknya.

Seperti yang dijangka, setelah lebih 20 tahun Bandar Dungun banyak juga perbezaannya. Perbezaan itu bukanlah perubahan dari sebuah bandar ‘mati’ yang membosankan kepada sebuah bandar ‘hidup’ seperti yang selalu digambarkan - bangunan mencakar langit, ‘night life’ yang berpaksikan hiburan melampau atau wujudnya kawasan industri seperti di Selangor atau Pulau Pinang. Tidaklah sebegitu drastik.     

Setelah lebih 20 tahun, Bandar Dungun menganjak dalam keadaan seadanya yang tersendiri.

Bangunan-bangunan rumah kedai era lalu masih wujud untuk mengnostalgiakan Bandar Dungun yang dahulu. Warung-warung makanan yang buruk dan reput tetapi masih mampu menggamit pengunjung yang bukannya sedikit juga masih ada lagi di Bandar ini.

Bagaimanapun, legasi masa lampau Bandar Dungun yang tidak ceria dibayangi oleh Bandar Dungun yang lebih ceria pada hari ini. 

Gah Negeri Terengganu yang kaya raya dapat dilihat dan diterjemahkan tempiasnya samada secara langsung atau tidak langsung (termasuk juga bangunan pejabat kerajaan persekutuan) di Bandar ini dengan terbinanya bangunan-bangunan yang cantik dan hebat. Hari ini berdiri dengan megahnya bangunan pejabat-pejabat kerajaan yang cantik, hotel/chalet/homestay, bangunan rumah kedai, masjid, sekolah, restoran makanan segera ternama dan lain-lain lagi. Diantara yang agak menonjol yang saya nampak ialah UITM Cawangan Dungun, Bangunan Jurutera, Bangunan Jabatan Agama Islam, padang golf  dan MRSM Dungun.

Kawasan Perbandaran Daerah Dungun juga bersih berbanding dengan bandar-bandar lain di Negeri Terengganu. Dan, seperti di mana-mana tempat yang terletak di pesisir pantai, Bandar ini bertambah serinya kerana memiliki elemen laut  - pantainya bersih dan cantik.

Saya perhatikan penduduk di Bandar ini suka makan di luar. Maka tidak hairanlah berpuluh-puluh buah restoran/warung di Bandar ini terutamanya di sepanjang pantai dipenuhi pelanggan. Di sebelah pagi dengan beranika jenis makanan tradisi Terengganu dan di sebelah malamnya pula dengan masakan panas ala-Thai. Pada saya, makanan samada makanan tradisional seperti nasi dagang atau masakan ala-Thai di sini sedap.   

Kalau di Ibu Kota, restoran mamak dipenuhi oleh anak-anak muda yang menyaksikan perlawanan bolasepak luar negara/dalam negeri. Begitu juga di sini. Cuma bezanya, anak-anak muda di sini ‘lepak’ di warung milik orang kita kerana bilangan restoran mamak tidak banyak.

Satu perkara lagi yang saya peramati ialah pada umumnya rumah penduduk di sekitar kawasan perbandaran Dungun cantik dan bersih.

Saya mencadangkan sesiapa yang berpeluang ke Bandar ini kunjungilah ‘Warung Power’ . Menu utama warung ini ialah ‘Nasi Dagang’, ‘Telur Setengah Masak Power’ dan ‘Teh Tarik/Milo/Kopi Power’. Secara rengkasnya, ‘Telor Setengah Masak Power’ atau ‘Teh Tarik/Milo/Kopi Power’ ialah telor atau minuman yang diadun dengan rempah ratus. Hasilnya, struktur badan menjadi ‘power’ (panas dan berpeluh) selepas menikmati hidangan ‘power’ tersebut.

Sarapan pagi nasi dagang yang enak, minum petang di warung-warung tepi pantai yang menenangkan, makan malam yang menepati selera, nyanyi ombak yang didengar dari penginapan di tepi pantai, sesekali bertandang di ‘Warung Power’ dan mengabaikan sementara segala masalah hidup dalam dunia realiti membuatkan saya seronok bermusafir di Bandar ini selama 6 hari lima malam. Selamat tinggal Dungun.

3 ulasan:

  1. Ujang kutik,

    ..kalau dapat pi bercuti ke Trengganu pun sudah di kira '' power '' tau..haha..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      Bukan cuti tuan, kerja.......

      Padam
    2. ujang kutik,

      ahahaha..saya tau ..tuan pergi bekerja.

      Saya maksudkan diri saya..kalau dapat pergi pun dah kira power lah..apalagi lagi kalau dapat makan telor setengah masak power di warung tu. hehe

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."