Sabtu, 2 Februari 2013

lebuh raya jerangau-jabur



Tika alam merengek,
getar ghairahnya tertampan
malu,
pada jajar-jajar batu yang setia,
dan pepohon hakiki yang meneman.

Lalu,
angin lembah menyingkap,
busana alam yang lerai,
  bak perawan memperaga diri-sunti ,
bernama aku berteleku,
terpegun dan kagum.

Alam,
aku ingin bersama mu,
sekalipun pada kerlingan fatamorgana,
seperti ini.

Saya sangat teruja apabila berurusan dengan alam semula jadi. Pada saya bukit-bukau, gunung-ganang, kampung, lembah, tasik ,  sungai, sawah padi dan mergastua ada aura yang menakjubkan. Saya boleh jadi asyik apabila berkesempatan mengakrab diri dengan elemen-elemen itu. Agak menghairankan,  aura laut kurang menarik minat saya.  

Sepanjang perjalanan Kuala Terenggau – Kuantan ke Kuala Lumpur, saya merintas Lebuh Raya Jerangau-Jabur yang jaraknya lebih kurang 200 km. Kepada pembaca yang belum pernah melalui lebuh raya yang memiliki nama klasik atau purba ( Jerangau-Jabur) ini mungkin menggambarkan bahawa laluan ini sarat dengan pemandangan alam semula jadi yang boleh melekakan.     

Jangkaan anda jauh tersasar. Hampir semua elemen alam semula jadi di kawasan ini telah menjadi sejarah masa lampau!

Kecuali masih tersisa beberapa buah tasik sebelum sampai ke Bukit Besi, laluan sepanjang Lebuh Raya Jerangau-Jabur tidak ada bezanya dengan tempat-tempat lain yang terpaksa mengalah kepada ‘sebuah pembangunan’. Boleh dikatakan sebahagian besar kawasan di sini telah dan sedang ditanam dengan tanaman kelapa sawit.

Saya mengalamun betapa indahnya alam semula jadi di kawasan itu sebelum ‘diperkosa’ oleh ‘sebuah pembangunan’.
 
Sebuah mutiara kata berbunyi, “ Saya lebih suka lamunan bagi masa yang akan datang daripada lamunan sejarah masa lalu.” Sungguhpun demikian, naluri saya masih tidak dapat menerima sepenuhnya mutiara kata itu.

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum saudara ujang kutik,
    Saya mula ikuti blog saudara semasa rindu sungguh pada rumah minang kabau Almarhumah Wan Jenab saya yang telah ditelan arus permodenan.
    Bila baca tajuk entri saudara ujang saya terpanggil untuk membacanya, yang membeza tentang tajuk yang menghampiri tajuk ini tetapi sama ialah kita lalu jalan yang sama, dan saya ada merakam gambar. Jika sudi sila kan melihat nya bila rindu pada alam yang telah mungkin lenyap kerana jarak penulisan kita pada entri yang sama sekitar 1 tahun. Di sini alamat entri saya http://laishye.blogspot.com/2012/06/pergi-dungun-melalui-jalan-jabor-entri.html

    BalasPadam
    Balasan
    1. Pn Azni,

      Orang Negeri Sembilan juga memanggil nenek 'Uwan' atau 'Wan'.

      Gambar - gambar dalam blog puan sangat menarik. Saya menunggu rakaman di sekitar Endau-Rompin pula.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."