Selasa, 12 Februari 2013

meminang


Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kangar, Perlis pada 9 Februari 2013 bukan sahaja memenatkan tetapi juga mendera. Bayangkan, perjalanan selepas tol Jalan Duta ke Tapah sahaja yang biasanya mengambil masa tidak melebihi 1 jam 45 minit, memakan masa lebih 4 jam! Saya dan keluarga bertolak dari Kuala Lumpur jam 8.00 pagi dan cuma sampai di Kangar 12 jam selepas itu, yaani pukul 8.00 malam. Ini tidak dapat dielakkan kerana berkebetulan cuti panjang menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

Saya sekeluarga yang paling lewat sampai. Enam buah lagi kereta ahli keluarga yang terlibat dengan misi meminang telah sampai lebih awal kerana mereka bertolak se awal jam 12.00 malam dan 4.00 pagi.

Di Kangar, sebahagian dari ahli keluarga misi meminang menginap di homestay rumah teres dua tingkat di Taman Teratai. Homestay itu berhampiran dengan Masjid Syahirin yang dikatakan dibina oleh beberapa orang dermawan termasuk Dato’ Dr. Harun Din.  Ahli ‘rombongan’ yang lebih berkemampuan dan inginkan ‘privacy’ menginap di hotel ternama di sekitar Kangar. Rombongan meminang menginap 2 malam di Kangar.    

Majlis pertunangan berjalan lancar. Tiada sesi duduk di pelamin prop. Tiada sesi bergambar untuk pasangan yang bertunang. Makanan nasi yang disediakan sedap dan menyelerakan. Laksa, makanan 'trade mark' Perlis pun ada.

Tidak ada yang menampakkan bahawa pihak perempuan memaksa diri memperlihatkan sesuatu yang di luar kebiasaan cara hidup mereka. Seadanya. Tidak ada seorang pun di pihak perempuan yang mengambil gambar hantaran atau ketika ibu pihak lelaki menyarungkan cincin pertunangan ke jari bakal anak menantunya. Sebaliknya, yang ketara 'menyibuk' ialah di kalangan pihak lelaki.

Tiga perkara yang perlu diambil perhatian dalam sesuatu majlis ialah alat siar raya atau alat komunikasi, penyambut tetamu dan makan minum.

Rombongan pihak lelaki meninggalkan rumah pihak perempuan dengan rasa puas hati – majlis pertunangan mudah dan berjalanan lancar, layanan memuaskan dari pihak perempuan, makan –minum tiada cacat celanya.

Ujian pertama oleh ibu lelaki terhadap sahsiah dan baik-budi di pihak bakal menantu, Orang Perlis, lulus dengan cemerlang!

Yang kurik kundi
Yang merah saga
Yang baik budi
Yang indah bahasa

Tegak rumah kerana sendi
Runtuh sendi rumah binasa
Sendi bangsa ialah budi
Runtuh budi runtuhlah bangsa

2 ulasan:

  1. Jika ikut adat Islam, ianya mudah. Yang susah ialah jika ikut adat Melayu yang banyak dipengaruhi oleh adat Hindu, Cina dan Mat saleh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr IM,

      Saudara yang telah berpengalaman bermenantu tentu lebih arif dalam hal ini. Ikut Islam, ianya mudah.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."