Sabtu, 9 Februari 2013

negeri sembilan : istana lama seri menanti

MENYAMBUT PELAWAT


Sepanjang usia, saya cuma sekali berkesempatan melihat sendiri Istana Lama Seri Menanti yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Tarikh itu ialah pada 01 Januari 2013. Sungguhpun demikian, saya tidak dapat melihat ruangan bahagian dalam istana yang dijadikan muzium itu kerana waktu melawat telah tamat ketika saya sampai di situ. Saya difahamkan bahawa waktu melawat adalah 7 hari seminggu dari pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang.

ISTANA LAMA SERI MENANTI (MUZIUM DIRAJA)

Namun demikian, ketika sampai di sekitar jam 6.10 petang, saya masih boleh melihat bahagian luaran istana lama itu. Selain saya ada juga beberapa orang pelawat lain di situ.  Tidak ada pula pihak muzium istana lama melarang pelawat berada di situ selepas waktu melawat. 

ISTANA LAMA SERI MENANTI (MUZIUM DIRAJA)
Walaupun tidak mempunyai asas mengenai seni bina, saya dapat rasakan kehebatan istana lama  apabila melihat bangunan yang bercirikan seni bina masyarakat Minangkabau itu pada pandangan pertama. Seni binanya unik dan menarik. Impak melihat sendiri secara ‘live’ berbanding dengan melihat fotografi sangat berbeza. Gahnya lebih dirasai  apabila melihat sendiri.

Sesiapa pun pada masa ini mudah mendapatkan info mengenai istana lama ini dengan melayari internet. Beberapa info menarik mengenai bangunan istana lama ini yang saya dapati melalui carian di internet adalah seperti berikut:

1)Lokasi istana lama ini ialah di Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

2)Tempoh pembinaan ialah dari 1902 – 1908.

ISTANA BAHARU (DARI JAUH)
3)Istana lama ini adalah kediaman rasmi DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dari tahun 1908 hingga 1931 (Selepas tahun 1931, kediaman rasmi DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dipindahkan ke istana baharu yang tidak jauh dari istana lama).  

4)Pelan asal bangunan Istana Lama Seri Menanti yang bercirikan seni bina masyarakat Minangkabau disediakan oleh dua orang tukang rumah Melayu, Kahar dan Taib.

BAHAGIAN BAWAH ISTANA LAMA
5)Pelan asal diperinci oleh Ketua Pelukis Pelan Public Works Department (PWD) berbangsa Inggeris yang bernama Mr. Woodford dan seterusnya diluluskan oleh Jurutera Negeri dan Residen British pada tahun 1902.

 6)Istana Lama Seri Menanti adalah bangunan kayu yang mempunyai 99 batang tiang dan juga 4 batang tiang seri yang panjangnya 67 kaki (panjang tiap-tiap satu tiang seri). Kayu yang digunakan ialah kayu penak.

7) Istana Lama Seri Menanti dibuat tanpa menggunakan paku. Setiap sambungan yang perlu dibuat menggunakan kayu pasak.

8)Istana Lama Seri Menanti pernah digunakan sebagai bangunan Sekolah Menengah Agama Tinggi dari tahun 1959 hingga 1964.

9)Istana Lama Seri Menantikan dijadikan Muzium Diraja pada 14 Julai 1992.

RUMAH PENDUDUK

Saya percaya ramai lagi anak-anak Negeri Adat Perpatih ini masih belum pernah menjenguk istana lama ini. Nasihat saya ialah, datanglah melihat sendiri Istana Lama Seri Menanti di Kuala Pilah. Istana lama ini masih utuh dan seperti tidak terkesan langsung dengan perjalanan masa yang telah menjangkau lebih 100 tahun dari tarikh pembinaannya.

RUMAH PENDUDUK
Pada hari ini gah kesan peninggalan seni bina masyarakat Minangkabau di Negeri Sembilan kurang terserlah di hampir seluruh daerah di negeri ini kecuali di sekitar Istana Lama Seri Menanti, Kuala Pilah dan Pekan Jelebu. Saya perhatikan banyak juga rumah penduduk di sepanjang laluan khususnya di sekitar Istana Lama Seri Menanti sarat dengan bentuk rumah bercirikan seni bina masyarakat Minangkabau. 

PESONA SENI BINA MINANGKABAU
Saya yakin masyarakat Minangkabau di Tanah Minangkabau, Indonesia  bangga dan seronok dengan situasi ini. 

Sesuatu yang membanggakan lagi ialah pelan asal Istana Lama Seri Menanti disediakan oleh dua orang tukang rumah Melayu. Di alam nan dah berkembang, Dek ketiar masih ado, Dapek sahajo, Tahu dek nengok, Pandai dek muek. 


Semoga saudara seketurunan Orang Negeri Sembilan di Tanah Minangkabau memahami maksud teromba dalam dialek Negeri Sembilan di atas. Saya meninggalkan Istana Lama Seri Menanti yang telah dijadikan Muzium Diraja itu jam 6.50 petang. Saya berharap agar dapat datang lagi ke situ untuk menjenguk ruangan di bahagian sebelah dalam istana pula. 

9 ulasan:

  1. Bermakna ada istana baru Seri Menanti?

    IM pun kagum dengan kerjaseni orang dulu yang sabar dan cermat. Malah kat tempat IM ada sebuah rumah kayu yang begitu damai dan ciri-ciri beranda sebagai tempat rehat waktu petang masih ada...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr IM,

      Agaknya berlipat kali ganda lagi hebatnya istana Raja Melaka yang dimusnahkan oleh penjajah sehingga tidak tersisa walaupun sekeping papan.

      Padam
  2. assalamualaikum En. Ujang,
    saya dah pernah melawat istana ni pd thn 2011. istana serta kawasan sekitarnya dijaga dgn baik. di seri menanti ni lah kita masih boleh lihat rumah penduduk bercirikan rumah minangkabau. rata-rata, rumah sebegini semakin kurang di negeri sembilan.

    BalasPadam
  3. Tentunya Juana bersetuju bahawa pesona Minangkabau lebih terserlah di Kuala Pilah berbanding di Rembau atau Rantau dan lain-lain tempat di Negeri Sembilan.

    BalasPadam
  4. Er..pakcik,pakcik tau tak ape motto/slogan istana lama seri menanti ni???

    BalasPadam
    Balasan
    1. nurul shazawati,

      Maaf, Pak Cik pun tidak perasan samada Istana Lama Seri Menanti ada motto/logo atau sebaliknya.

      Padam
  5. Cantiknya istana seri menanti ni kan k0rg??

    BalasPadam
  6. salam,saya Izzat yang berasal dari rembau,negeri sembilan.Den hendak memberitahu bahawo istano lamo Seri Menanti amat unik di mato den. Hal ini kerana,istano ini masih kukuh dari tahun ke tahun baru . Den ponah melawat Istana ini setiap tahun bersamo keluargo apabilo ado sompono hari keputeraan Duli yang Maha Mulia Yang Dipertuan Negeri Sembilan .Dalam Istano ado banyak barang2 lamo yang klasik dan byk informasi berkaitan dongan Negori Beradat ini.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Izat,

      Waalaikomsalam.

      Esey baru sekali melawat istana itu. Esey ingatkan rumah biaso sahaja. Bilo tengok dengan mato baru tahu gah dan kesempurnaannya.

      Kok tak salah, tukangnya oghang Melayu Negeri Sembilan.

      Izat, kek Ghombau kek mano toboh ghumah kau?

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."