Selasa, 10 September 2013

CERITA DARI JETI SUNGAI YU, KUALA SELANGOR: 'ORANG HILANG DISOROK BUNIAN'




Saya berada di Pasar Nelayan Sungai Yu, Kuala Selangor pada petang Sabtu 07 September 2013. Kompleks pasar nelayan itu terletak lebih kurang 3 - 4 kilometer dari Bandar Kuala Selangor menghala ke Tanjung Karang. Saya melihat ramai orang di sekitar kawasan jeti nelayan itu.

Ketika menjenguk ke dalam pasar saya mendapati bekalan ikan tidak banyak.  Akhirnya saya mengetahui bahawa ramai nelayan tidak turun ke laut kerana ada kejadian seorang nelayan pantai hilang pada hari Khamis (5/7/2013).



Saya mendapat tahu bahawa operasi bersepadu mencari mangsa telah dijalankan oleh berbagai pihak sejak kehilangan tersebut dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Saya menghampiri kumpulan orang ramai di jeti dan membiarkan isteri serta anak perempuan memilih ikan di pasar. Saya mendapati mereka ( isteri dan anak perempuan) tidak begitu teruja untuk mengetahui cerita orang hilang . Mungkin mereka beranggapan bahawa kejadian itu tidak banyak kaitan sangat dengan tujuan kami ke situ – membeli ikan segar.

Saya melihat pasukan penyelamat telah mendirikan bilik operasi berhampiran pengkalan bot-bot nelayan berlabuh. Ada di antara pasukan penyelamat yang mula hendak bergerak mencari mangsa. Ada yang balik semula ke pengkalan. Pasukan penyelamat juga menggunakan khidmat beberapa ekor anjing pengesan.

Orang ramai merasa sedikit ‘ terhibur’ melihat telatah salah seekor daripada  anjing tersebut yang agak ‘nakal’ dan ‘mengada-ngada’. Anjing itu tiba-tiba terjun ke dalam sungai (muara) dan hilang buat seketika. Tiba-tiba haiwan terlatih itu memunculkan diri dan menaiki semula bot penyelamat. Kami diberitahu oleh pelatih anjing bahawa anjing itu memang suka mandi.

Kejadian orang hilang itu telah mendapat liputan beberapa buah akhbar bermula pada 6/9/2013. Mangsa, 50 tahun, bernama Jamaludin bin Abd Ghani. Mangsa dilapurkan telah keluar dari rumahnaya seawal jam 7.00 pagi pada 5/9/2013 untuk mencari ketam di kawasan hutan bakau sekitar Jeti Sungai Yu.

Ada sebuah akhbar yang dengan beraninya melaporkan bahawa kononnya mangsa disorok oleh komuniti Orang Bunian yang mendiami kawasan hutan bakau berhampiran jeti nelayan itu.

Mangsa, bekas tentera, dikatakan pandai berenang dan sangat mahir dengan selok belok di kawasan itu – kawasan jeti dan hutan bakau.

Dari jeti saya turut bergegas bersama dengan beberapa orang lain ke satu kawasan tanah lapang berhadapan dengan hutan bakau. Di situ sedang berlangsung satu ritual ‘ perbomohan’ yang diusahakan oleh keluarga mangsa.

Saya sebak menyaksikan isteri dan anak perempuan mangsa memanggil-manggil nama mangsa dengan berbinkan nama ibunya berulang-ulang kali. Mungkin sesiapa yang pernah mengalami situasi yang mereka alami itu akan lebih memahami isi hati keluarga terdekat mangsa.

Tok bomoh menasihatkan isteri dan anak perempuan mangsa supaya bersabar dan berdoa semoga ketua keluarga mereka selamat. Bomoh itu juga menyatakan bahawa dia sendiri tidak mengetahui samada mangsa masih hidup atau telah tiada. Namun katanya, “ Bahagian badan mangsa di paras pusat ke bawah telah terbenam di dalam tanah/lumpur.” Bomoh itu mengarahkan agar isteri mangsa terus menyediakan makanan untuk mangsa di rumah sama seperti seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku dalam tempoh mangsa tidak ditemui lagi.

Setelah upacara selesai, bomoh di usia awal 50-an yang berpakain kemas itu 'mengajak' saya  berbual dengannya. Dia memberitahu bahawa insiden tersebut bukanlah kejadian pertama di kawasan itu. Sebelum ini beliau telah beberapa kali diminta membantu keluarga mangsa yang terlibat. Di antaranya termasuk kejadian seorang mangsa (beliau sebutkan nama mangsa) ketika mencari ketam juga hampir setahun yang lalu. Pada hari keempat mangsa telah balik semula ke rumahnya dalam keadaan tersangat lemah. Bagaimanapun, mangsa telah meninggal dunia 2 hari selepas itu. Bomoh itu berulangkali menegaskan bahawa kawasan itu ' keras '.

Kononnya, dalam banyak kejadian mangsa menjadi menjadi tamak mengutip ketam yang kelihatan begitu banyak di dalam kawasan hutan bakau yang ‘ bertuan’ itu. Akhirnya, 'tuan punya atau penduduk kawasan' itu ' menutup segala jalan keluar' yang menyebabkan mangsa sesat dan tidak nampak jalan balik!         

Saya mungkin dapat mendengar cerita-cerita yang lebih menarik jika dapat berbual lebih lama lagi dengan bomoh yang peramah itu. Namun, saya tidak boleh berada lebih lama di situ kerana isteri mengajak ke Pasar Pasir Penambang yang jaraknya kira-kira 3 kilometer dari situ.

Saya dan keluarga meninggalkan Jeti Nelayan Sungai Yu di sekitar jam 6.00 petang.

UPDATE (MAYAT MANGSA DIJUMPAI PADA 08/09/2013):
 
Salah sebuah akhbar semalam (9/9/2013) menyiarkan berita bahawa mayat mangsa telah dijumpai tersangkut di celah pokok nipah oleh pasukan penyelamat pada 8 September 2013 jam 11.55 pagi, yaani empat hari selepas hari kejadian.

Diberitakan juga bahawa seorang pencari ketam lain berketurunan India yang mengenali mangsa ada melihat mangsa di kawasan hutan bakau itu. Pencari ketam keturunan India itu telah menjerit kepada mangsa untuk memaklumkan bahawa dia mahu pulang kerana hari hendak hujan. Namun, mangsa tidak menjawab sebaliknya masih bergerak di dalam kawasan hutan bakau itu.


ULASAN:     

Mayat mangsa telah ditemui. Tiada sesiapa mempunyai akses yang tepat bagaimana mangsa yang pandai berenang, mahir dengan selok belok dan karenah di kawasan dia cari makan itu boleh kecundang di celah pokok nipah.

Namun, cerita-cerita sisi yang mengaitkan kejadian seperti ini dengan makhluk yang dinamakan ‘Orang Bunian’ acapkali mewarnai masyarakat kita.Kejadian-kejadian yang dihubungkaitkan dengan dunia ‘ Orang Bunian’ adalah penghikayatan yang menyeronokkan audien walaupun selalunya berakhir dengan ‘ ending’ yang tidak memberi kelebihan kepada manusia - manusia selalu dikalahkan atau dibuli oleh yang dikatakan Orang Bunian itu. 

Namun demikian, perbahasan dan pemahaman mengenai ' Orang Bunian ' di sisi agama memerlukan kita mengambil pendekatan berhati-hati dan merujuk kepada orang agama (Ustaz) yang mahir dalam perkara ini.  

Al-Fatihah dan semoga ahli keluarga mangsa bersabar menghadapi ujian hidup yang berat ini. Wallahua'lam.

6 ulasan:

  1. Saya pernah juga ke jeti di Sg Yu tu utk membeli ikan dan udang segar semasa kami dalam perjalanan balik ke kampung emak Adam di Tg Karang.

    Tak perasan pula ada kejadian pencari ketam hilang dan akhirnya ditemui meninggal dunia ni.

    Terima kasih kerana berkongsi cerita dan gambar.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr YB,

      Sama-sama.

      Saya sekeluarga juga suka pemandangan sawah padi di ' kampung emak adam' (Tg.Karang).

      Padam
  2. ujang kutik,

    Saperti laporan seorang wartawan secara langsung sedang berada di tempat kejadian.

    Di mana pula ' ujang kutik ' akan berada di hujung minggu ini...hehe.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      ...bila ' ujang kutik ' telah menjadikan blognya sebagai diari @ catatan harian..He...he..

      Padam
  3. Bagaimana nak sampai ke pasar nelayan ni. Dah beberapa kali cari, tapi tak jumpa. Yang jumpa pasar di Pasir Penambang dekat lampu isyarat (traffic light) tu. Jauh lagi ke dari situ, mengarah ke Tg Karang?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Abu Taufan,

      Saya juga setelah beberapa kali baru jumpa pasar nelayan itu.

      2. Simpang ke pasar nelayan itu tidak beberapa jauh ( 1-2 km) selepas traffic light ke Pasar Pasir Penambang - simpang sebelah kiri - ada papan tanda ke Pasar Nelayan Sg.Yu .

      3.Lebih kurang 1 km dari jalan besar K.Selangor-Tg.Karang ke Pasar Nelayan Sg.Yu.

      Selamat mencuba.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."