Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Ahad, 24 November 2013

WALIMATUL URUS

Semalam (23/11/13), dengan izin Allah saya berjaya juga hadir ke majlis walimatul urus meraikan perkahwinan anak perempuan rakan sekampung, seorang pegawai tentera di Kem Batu Kantonmen, Sentul. Walaupun tersesat pada mulanya, dengan izin Allah juga saya sampai ke lokasi majlis dengan mudah apabila ditakdirkan bertanya dengan seorang hamba Allah yang menjadi warga kem tentera tersebut. Hamba Allah itu menunjukkan jalan sehingga sampai ke tempat yang dituju. 

Saya berpeluang berbual dengan ibu, seorang kakak dan dua orang abang ipar rakan sekampung itu. Kedua-dua abang ipar beliau adalah juga orang kampung kami.

Walaupun kelihatan sedikit uzur, ibu beliau yang sebaya dengan arwah ibu saya bolehlah dikatakan sehat (sehat orang tua). Maka banyaklah perkara mengenai keluarga dan kampung yang kami bualkan. Ada ketikanya saya mendekatkan cuping telinga kepadanya kerana perbualan kami sedikit terganggu oleh bunyi muzik yang dimainkan oleh sebuah pancaragam. Ibu beliau juga memberitahu saya bahawa ibu mertua adeknya yang mempunyai hubungan saudara dengan saya sekarang sakit. Beliau mengingatkan saya supaya melawat pesakit ketika balik kampung.  

Walaupun selalu balik ke kampung, saya kurang mengetahui hal-hal di kampung jika tidak dimaklumkan oleh adek saya yang menetap di kampung. Tabiat melepak di kedai kopi ketika balik kampung telah lama saya tinggalkan. Tabiat itu saya tinggalkan bukan kerana saya sombong, tetapi adalah kerana warga kedai kopi telah diambil alih oleh generasi yang sebaya dengan anak-anak saya. Warga kedai kopi yang lebih tua atau sebaya saya yang membolehkan kami memperkatakan , membimbangi dan menyelesaikan hal-hal seantero dunia telah tiada lagi. Ada di antaranya telah meninggal dunia dan kebanyakkannya tidak lagi menetap di kampung.

Sejujurnya, walaupun kakak sulung dan dua orang abang ipar rakan sekampung itu sekampung dan kami adalah rakan-rakan sepermainan ketika zaman anak-anak, kami tidak mengenali antara satu sama lain ketika bertemu muka buat pertama kalinya selepas berpuluh-puluh tahun. Kami cuma mengenali sesama sendiri apabila disebut nama masing-masing.

Saya dimaklumkan bahawa rakan-rakan sepermainan ketika kecil iaitu Abdul Jalil dan Amok (saya juga lupa nama sebenarnya) telah meninggal dunia. Al-Fatihah.

Gejala tidak mengenali rakan sekampung dan sepermainan adalah satu insiden yang sebenarnya sangat memalukan. Bagaimanapun, elemen-elemen seperti tempoh masa tidak bertemu muka dan perubahan fizikal tubuh badan kerana dimamah usia banyak menyumbang sehingga berlakunya perkara yang tidak diingini ini.

Saya sangat berpuas hati dapat menghadiri majlis walimatul urus perkahwinan anak rakan sekampung ini. Selain dari menunaikan tuntutan melunaskan jemputan saudara seagama, saya dapat bertemu dengan individu-individu tertentu yang telah lama terputus hubungan kerana fitrah hidup.   

    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."