Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Jumaat, 27 Disember 2013

NEGERI SEMBILAN : ' MENYERAH '

RUMAH LAMA TIDAK DIDUDUKKI - contoh serambi tempat 'Menyerah'
Kami namakan ‘Menyerah’. Ianya adalah perbuatan ‘berani mati’ pemuda yang lamarannya ditolak oleh pihak keluarga (ibu bapa) gadis sekampung yang diidamnya agar mengubah fikiran dan menerimanya semula. 

Amalan ini pernah diamalkan di kampung saya dan kampung-kampung sekitar di Daerah Rembau Selatan, Negeri Sembilan suatu ketika dahulu. Saya tidak mengetahui samada amalan ini berlaku di lain-lain tempat di Daerah Rembau dan Daerah-Daerah lain di Negeri Sembilan. Saya juga tidak mengetahui samada amalan ‘ Menyerah’ adalah sebahagian dari Sistem Adat Perpatih di Negeri Sembilan atau sebaliknya. 

Si pemuda dengan muka tidak tahu malu dan tidak kenal erti putus asa ‘menceroboh’ dan mendudukki serambi rumah keluarga si gadis yang ketika itu biasanya tidak bertingkap. Dia akan duduk berkampung di situ selagi mampu bertahan atau pihak keluarga si gadis menukar fikiran dan bersetuju menerimanya sebagai bakal menantu. 

Kawasan serambi rumah keluarga perempuan umpama kawasan otonomi pemuda malang yang cintanya ditolak itu. Urusan makan minum sepanjang tempoh ‘Menyerah’ diuruskan oleh pemuda itu sendiri atau dihantar oleh pihak keluarganya. Bagaimanapun, disebabkan pemuda itu dan keluarga gadis adalah jiran sekampung, pihak keluarga perempuan ada juga menghulurkan bantuan dari segi makan-minum dan lain-lain keperluan seadanya. 

Nisbah kejayaan seseorang yang melakukan ‘Menyerah’ terpulang kepada usahanya. Selainnya, diserahkan kepada takdir. Seingat saya amalan ini tidak dilakukan lagi sejak awal tahun-tahun 70-an. 

Amalan ‘Menyerah’ pernah berlaku di kalangan saudara saya. Pasangan itu kini masih hidup di usia lanjut dan hidup bahagia ke anak cucu.

2 ulasan:

  1. PETIKAN DARI GLOSARI ADAT NEGERI SEMBILAN.

    Dari masa ke semasa, sey akan keluarkan petikan tertentu dari buku "Glosari Adat Negeri Sembilan" karya Norhalim Hj. Ibrahim yang sey fikirkan berfaedah untuk pengetahuan semua ahli. Sebagai permulaan, sey bawakan keterangan tentang kisah "Nikah Tak Lazim". Kejadian ini ada berlaku dalam masyarakat Adat Perpatih pada zaman dahulu dan ia dapat diuruskan dengan baik oleh ketua-ketua adat kita mengikut lunas-lunas adat yang ada.

    NIKAH TAK LAZIM. Nikah tidak mengikut aturan biasa. Ada enam jenis : 1. beli laki 2. mendapatkan 3. merebut rampas 4. merumah 5. serah menyerah 6. terkurung di dalam.

    1. Beli laki (boli laki).

    Adat bermadu. Isteri tua mendapatkan madunya dengan keris atau pisau terhunus. Sesampai di rumah madunya dia harus berdiri di muka tangga. Dia tidak boleh naik ke atas rumah. Dari muka tangga dia menjerit menuntut bayaran atau pampasan daripada madunya kerana mengahwini suaminya.

    2. Mendapatkan.

    Perempuan mendapatkan lelaki: perempuan mendatangkan rumah lelaki, sama ada bersendirian atau dengan kawan, dan terus naik dan duduk di tiang seri di tengah rumah, tanpa mengira si lelaki ada di rumah atau tidak ketika itu. Setelah duduk ia akan menyelubung dirinya dengan mengarahkan badan ke dinding bilik tidur. Jika membawa kawan, mereka juga duduk bersama tetapi tidak perlu berselubung. Adat mas kahwin dan adat lain dalam cara ini gugur separuh.

    3. Merebut Merampas.

    Perempuan memaksa lelaki menghawininya walaupun lelaki itu tidak suka. Untuk tujuan ini perempuan terpaksa mendapatkan lelaki lalu memegang lelaki tersebut atau merampas salah satu daripada pakaian si lelaki seperti songkok atau kain. Selepas melakukannya perempuan itu harus menyatakan hajatnya dan jika tidak kesampaian lelaki akan dituduh menceroboh kehormatannya. Perlakuan ini boleh dilaksanakan di mana sahaja. Pihak perempuan memohon penyelesaian adat. Pencerobohan ini perlu bukti seperti yang dinyatakan dalam perbilangan.

    Hukum berdiri dengan saksi,
    Adat berdiri dengan saksi.

    4. Merumah.

    Lelaki memanjat dan memegang perempuan (biasanya anak gadis) yang hendak dikahwini dalam bilik dengan tujuan dinikahkan. Selepas dipegang perempuan itu tidak boleh dilepaskan atas apa sebab sekalipun. Justru itu senjata diperlukan untuk mengancam supaya sanak saudara gadis tidak memukulnya dan untuk mempertahankan diri. Perkara ini harus diselesaikan oleh Lembaga daripada kedua-dua belah pihak pada ketika itu juga. Hukuman untuk kesalahan ini pada zaman dahulu ialah satu bahara (RM14.00); iaitu pihak gadis kena setengah bahara dan lelaki setengah bahara pula. Perbuatan ini dikenali juga sebagai bilik berisi.

    5. Serah Menyerah.

    Lelaki menaiki serambi rumah perempuan; di situ dia duduk sehingga hajatnya hendak berkahwin dengan gadis pilihannya di rumah tersebut tercapai. Lelaki tersebut diiringi oleh beberapa orang rakan karib yang akan memberi bantuan jika dan bila perlu. Disebut juga menyerambi, panjat rumah menyerah.

    6. Terkurung Di Dalam

    Lelaki dan perempuan tertangkap berdua-dua dalam rumah, maka mengikut adat mereka terpaksa dikahwinkan. Pasangan tidak dibenarkan meninggalkan rumah tempat mereka tertangkap sehingga ketua suku lelaki menjamin membayar duit adat sesalahan.

    * cabutan dari laman fesbuk "Kelab Peminat Adat Perpatih"

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr al-lavendari,

      Terima kasih di atas maklumat yang begitu berguna dan walaupun membesar di kampung banyak yang esey tidak tahu.

      2. Amalan ' Menyerah' pun esey recalled ingatan masa zaman anak-anak dan kebetulan berlaku di kalangan keluarga sendiri....ingatlah ceritanya secara samar-samar.

      3. Perkara 1,2 dan 3 menunjukkan gadis/perempuan kita lebih maju dari perempuan luar. Ini bukan satu sendaan tetapi kita ada sistem dan cara apabila berdepan dengan permasalahan sedemikain.

      4.Natijahnya, enam perkara yang tuan senaraikan ada diantaranya agak melucukan tetapi sangat dekat dengan kehidupan dan perlu dilakukan apabila seseorang menghadapi situasi sedemikian dalam melangsungkan survival hidupnya.

      Terima kasih.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."