Ahad, 27 Julai 2014

AMALAN TRADISI HARI RAYA DI KAMPUNG SENDIRI



Alhamdulillah saya masih belum pernah terlepas peluang menunaikan solat sunat Idilfitri di kampung asal usul di Kg. Chengkau Ulu, Rembau, Negeri Sembilan pada setiap tahun walaupun telah lama memegang status anak perantau. Seorang kawan sekampung seusia saya yang masih belum berhajat untuk berkahwin (walaupun usia telah senja) dan menetap di kampung sepanjang hidupnya ketika bersalaman selepas solat sunat akan berkata, " Ado yo ( kamu masih balek kampung pada 1 Syawal)". Saya pasti mejawab, " Ado " dalam dialek Negeri Sembilan." Itu adalah dialog routine tahunan kami untuk menunjukkan ' keberadaan ' saya di tempat kelahiran pada 01 Syawal.

Saya tiada sesiapa lagi di kampung kecuali adek tunggal dan keluarganya. Bersama merekalah saya dan keluarga meraikan Hari Raya sehingga habis cuti selain dari berHari Raya di kampung isteri di Masjid Tanah, Melaka. 

Saya selalu balik kampung. Saya tidak percaya mitos anak lelaki Negeri Sembilan terpaksa membawa diri atau diketepikan apabila telah berkeluarga. Anak-anak saya yang membesar di bandar juga sering balik kampung bersama saya dan isteri.

Ada satu amalan tradisi turun temurun yang masih diamalkan hingga sekarang di masjid kampung saya setelah selesai menunaikan solat sunat Idilfitri. Majlis itu adalah membaca tahlil yang diikuti dengan majlis makan-makan. Bagaimanapun, majlis membaca tahlil adalah ' optional '. Sedemikian, majoriti jumaah yang turut serta adalah dari kalangan orang dewasa/warga emas.

Saya ' mewajibkan' diri untuk turut serta dalam majlis itu jika tiada hal yang lebih penting'. Para jumaah akan bersedia dengan duduk secara berkeliling pada kedudukkan ruang empat segi di dalam dewan solat masjid. Pada ketika itulah ada di antara jumaah yang mengambil kesempatan memohon maaf secara bersalaman dengan semua jumaah yang hadir.    


Selain dari ' mencari' kawan-kawan lama dan sepermainan semasa bersalaman selepas selesai solat, saya juga biasanya memerhati hadirin di majlis tahlil seorang demi seorang. Ada di antara mereka saya tidak kenal. Melalui pengalaman-pengalaman yang lepas, saya dapati cuma 2-3 orang sahaja kawan-kawan sepermainan ketika membesar di kampung yang berkesempatan balik ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya. 

Saya membuat hipotesis liar. Mereka telah lupa kampung halaman. Mereka terlalu sibuk. Mereka tidak balik kampung kerana tiada sesiapa lagi saudara mara di kampung. Mereka telah serasi menyambut Hari Raya di tempat mereka membina keluarga dan bermustautin. Mereka berHari Raya di kampung isteri. Dan sebagainya.

Jumaah akan dihidangkan dengan makan dan lauk pauk setelah usai majlis membaca tahlil. Untuk makluman, makanan dan lauk pauk dibawa oleh penduduk kampung ke masjid. 

Saya tidak dapat menyembunyikan bahawa fasa ketika kenduri (makan-makan) selepas selesai majlis membaca tahlil adalah fasa yang penting. Saya malu hendak mengungkapkan bahawa fasa itu sebenarnya adalah ' fasa yang saya tunggu-tunggu '. Walaupun kelibat aura makan-makan yang dibawa pada hari ini tidak segah aura ' memory lane ' berpuluh tahun dahulu, fasa sekarang masih ada sedikit pesonanya .

Fasa makan-makan ketika generasi arwah ' Uwan ' (nenek) dan Emak sememangnya tidak akan ada tandingannya. Selagi hayat di kandung badan saya tidak akan lupa kemeriahan dan kehebatan makanan dan lauk pauk yang dibawa dengan suci hati dan ikhlas oleh penduduk kampung ke masjid pada 01 Syawal ketika itu.

Namakanlah apa sahaja makanan lauk pauk atau masakan tradisional yang menjadi ' trade mark ' penduduk kampung, pasti ada - Nasi ulam, gulai ayam kampung, gulai itik, gulai telor itik rencah belimbing buluh, ikan sembilang salai, gulai ikan sawah, gulai ikan limbat salai, gulai siput sedut, masak lemak pucuk cemperai, daging rendang rencah daun mali-mali, kalau bernasib baik dapat lauk landak, pelanduk dan burung, gulai pindang belalang sawah rencah buah bacang, gulai daging pekasam, lemang, jeruk buah binjai atau buah lanjut, ulam kerdas dan beberapa jenis makanan/lauk pauk lagi.    

Sungguh pun kebanyakkan makanan/lauk pauk yang disenaraikan itu tidak mampu lagi disediakan oleh generasi hari ini, saya masih boleh tersenyum lebar apabila mendapat hidangan nasi dengan rendang daging Negeri Sembilan ( berwarna hitam) atau masak lemak daging lembu/kerbau Negeri Sembilan atau masak lemak telur itik rencah belimbing buluh atau bacang muda sekalipun.  

Alahai, selera kampung Den yang tak ponah surut (alahai, keinginan (selera) terhadap makanan negeri asal usul yang masih kuat)!

" Wahai Perantau, jika tiada halangan syarie usahakanlah balik ke kampung halaman. 
Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain. Siapa pun kita, tidak akan 
terlupakan momen-momen suka-duka bernama anak kampung yang 
sangat naif di kampung asal usul suatu ketika dahulu "



  

3 ulasan:

  1. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin saya ucapkan kepada Saudara Ujang Kutik dan para pengunjung blog nya ini.

    Semoga kita mendapat keberkatan dari Nya untuk hari hari kita yang seterus nya..

    BalasPadam
  2. Selamat Hari Raya , coretan Saudara Ujang Kutik mengusik jiwa , meleleh air liur...... Walaupun saya bukan sekampung dengan saudara tetapi kita sedaerah dan senegeri yang merantau mencari rezeki.

    BalasPadam
  3. Selamat Hari Rayo..abah dan omak saya pun lama pergi..rumah pusaka adik bungsu yang jaga..alhamdullilah adik beradik ada 3 orang duduk berdekatan di rembau..selepas solat hari raya, ada seseorang makchik menegur saya,anak siapa..bila diterangkan anak sekian2 dan atok nama sekian2..alhamdullilah katanya walaupun mak bapak dah takda masih lagi balik kg...

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."