Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......
Memaparkan catatan dengan label sukan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sukan. Papar semua catatan

Ahad, 30 Jun 2013

FINAL PIALA FA 2013 : gelagat pengunjung di sebuah restoran

Ketika ini, 30 June 2013, penyokong pasukan Kelantan dan seluruh rakyat Kelantan masih ' berdikir barat' meraikan kejayaan pasukan mereka menjadi Juara Piala FA 2013 setelah mengalahkan pasukan 'seribu bintang', Johor Darul Takzim (JDT). Teruskanlah bergembira. Tahniah.

Penyokong pasukan JDT dan khususnya penyokong Kelantan TRW 'sanggup mati' dalam memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing.

Saya juga menganggap bahawa rakyat di seantero negara ini akan memberikan tumpuan kepada perlawanan tersebut semalam (29/6/13). Peminat bolasepak akan bertumpu ke restoran-restoran mamak seperti yang mereka lakukan ketika perlawanan Liga Inggeris. Itulah jangkaan saya.

Saya tidak mengetahui situasi sebenar di lokasi lain. Bagaimanapun, pengalaman menonton perlawanan itu di layar TV dalam sebuah restoran sekitar Taman Permata/Taman Melawati, Ulu Klang, Selangor kerana menemankan isteri dan anak perempuan 'shopping' (jelas masanya tidak sesuai bagi peminat bolasepak) pada masa yang sewaktu dengan perlawanan akhir tersebut memberikan saya satu kuliah kehidupan bahawa masih ramai warga negara ini termasuk yang muda remaja tidak kisah langsung dengan 'perkara besar yang berlaku' di sekeliling mereka.

Pada masa penyokong tegar 'sanggup mati' demi kegilaan kepada pasukan masing-masing, segolongan anak muda pula tidak 'ambil pot' langsung. Saya melihat ramai anak-anak muda berborak sesama mereka di meja-meja yang diletakkan di luar restoran tanpa menghiraukan debaran perlawanan akhir Piala FA 2013. 

Keadaan di dalam restoran juga 'membimbangkan'. Tiga orang anak muda etnik Cina di sebelah meja saya yang asyik berborak sesama sendiri dalam Bahasa Inggeris juga tidak menjeling langsung ke skrin TV. Kecuali beberapa orang termasuk seorang penyokong Kelantan yang memakai T-Shirt TRW, kebanyakkan pengunjung restoran tidak memberi perhatian kepada perlawanan akhir itu. Dengan keadaan sedemikian, seperti ada sesuatu yang tidak kena.atau pelik berlaku apabila penyokong Kelantan yang memakai T-Shirt TRW itu sekali sekala menjerit kesukaan.  

Ketika dalam perjalanan ke Bahau, N.Sembilan baru-baru ini saya dan rakan-rakan singgah minum di sebuah kedai makan di Tanjung Ipoh, Kuala Pilah. Kami terganggu oleh perbualan secara kuat dan ketawa berdekah-dekah oleh sebilangan pelanggan selang satu meja dari meja kami. Kami terperasan bahawa di antara pelanggan tersebut adalah seorang bisu. Dia terlalu gembira dan ketawa berpanjangan secara kuat (orang bisu faham percakapan orang lain? dan ketawa). Saya menasihatkan kawan saya yang kurang senang dengan keadaan itu terutamanya gelagat orang istimewa (bisu), " Semua orang ada hak untuk bergembira."

Ketika dalam perjalanan ke pasar bersama isteri awal pagi tadi, saya melihat beberapa buah kenderaan yang masih mengibarkan bendera berwarna merah hati, bendera Negeri Kelantan. Saya yang memakai ketayap sempat membuka tingkap kereta dan menunjukkan tanda kemenangan di jari. Mungkin mereka menganggap saya juga orang mereka, yaani Orang Kelantan. Sebenarnya, dalam kehidupan seharian ramai juga orang menganggap bahawa saya adalah orang Kelantan.

Sehubungan ini, semua orang ada hak. Peminat bolasepak ada hak untuk merasa teruja dengan perlawanan bolasepak. Penyokong Kelantan ada hak untuk merasa bangga dan 'berdikir barat' sehingga embun menitik meraikan kemenangan pasukan kesayangan mereka. Dan, sebilangan yang lain juga ada hak untuk tidak ambil peduli terhadap sesuatu yang pada pengertian orang lain adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian.

Bagaimanapun, di sebalik 'hak' itu saya masih tercari-cari satu teori yang munasabah mengenai sebilangan anak-anak muda yang kelihatan cergas, memakai jersi MU/Arsenal/Barca, berseluar jean, berkasut Adidas .........tidak memperdulikan satu 'perkara besar' yang gilang gemilang dan ada kaitan dengan usia, baju, seluar dan kasut mereka. Saya benar-benar 'confuse'!    



Selasa, 22 Januari 2013

'ORANG BOLA' kita bukan sahaja tidak pandai meningkatkan mutu bolasepak negara, tetapi juga tidak cerdik 'membeli' pemain import. Di lain perkataan apakah kata sifat 'Orang Bola' kita?

Saya sengaja memanjangkan tajuk catatan ini. Anda perlu bersetuju bahawa setakat ini, kebanyakkan pemain import dalam liga 2013 tanah air tidak menunjukkan prestasi yang diharapkan. Malah ada pasukan yang 'membangku-simpankan' pemain import mereka.

Nampaknya, mereka yang terlibat dalam melestarikan bolasepak negara bukan sahaja tidak pandai membina pasukan negara yang kuat, tetapi juga tidak cerdik memilih pemain import yang lebih baik dari pemain tempatan. Dalam kata lain, apakah kata sifat 'Orang Bola' kita itu?

Ataukah saya terlalu awal menghukum?




Ahad, 20 Januari 2013

OH NEGERI KU, NEGERI SEMBILAN

Sejak Liga Super Malaysia 2012, saya kurang mengambil perhatian kepada negeri asal saya, iaitu Negeri Sembilan. Dan, termasuk juga pada siri tahun 2013 ini.
 
Saya sendiri tidak tahu sebabnya. Ianya tiada kaitan langsung dengan prestasi pasukan bolasepak Negeri Sembilan. Walaupun tidak memenangi sebarang kejuaraan pada tahun 2012 (kecuali memenangi Piala Sumbangsih), Negeri Sembilan berjaya juga berada di kedudukkan yang agak baik dalam Liga Super 2012. Dalam saingan Piala Malaysia 2012, Negeri Sembilan berjaya meluluskan diri hingga ke peringkat suku akhir.
 
Kendati pun demikian, api semangat sayangkan negeri asal tidak pernah padam. Maka bertambah lagilah 'mashgulnya' perasaan saya apabila negeri saya dipersendakan oleh rakan-rakan kerana dalam 4 perlawanan Liga Super 2013, Negeri Sembilan masih belum merasa nikmat kemenangan lagi. Belum hilang lagi sedih kerana kalah, datang lagi kekalahan!        
 
Mengikut rekod setakat hari ini, Ahad, 20/1/2013 : Main 4 kali - Kalah 3 kali, Seri satu kali dan menang tiada. Pasukan bolasepak Negeri Sembilan berada di kedudukkan corot, yaani kedua belas. 
 
Apo dah jadi ni Jang?
 
Saya masih 'terngiang' akan 'kata-kata anak jantan' pihak pengurusan bolasepak Negeri Sembilan ketika pasukan lain berbelanja besar mendapatkan pemain terbaik tanah air. Kata beliau lebih kurang bunyinya, " 'Kito' (kita) tidak perlu jadi pasukan 'pasang siap' yang sanggu berbelanja 'bosa' (besar) untuk 'mendapekkan' (mendapatkan) pemain terbaik tanah air. Kito akan latih sendiri pemain yang berbakat." Kebanyakkkan pemain MU pun diserapkan dari pemain pelapis kelab ternama itu (ini saya tambah).  
 
Maka, 'sereban' pemain bintang Negeri Sembilan berhijrah ke pasukan-pasukan lain yang menjanjikan mereka dengan layanan yang lebih baik.
 
Eden suko juo Nogoghi Sombilan berjiwo bosa ni, tetapi agak-agak lah. Bueklah socagho berperingkat. Kok tahun dopan kito turun ke Liga Podano, golor kito. Standard kito, kalau Liga Podano tu baik tak ado.  
 
Fikir memikir sama lawak
Jangan dibawa ke Tanjung Jati
Sindir menyindir sama awak
Jangan dibawa masuk ke hati.
 
 

Ahad, 2 Disember 2012

WRESTLING MANIA


Mania menonton gusti di di restoran-restoran mamak bertapak jauh lebih awal dari mania menonton perlawanan bolasepak Liga Inggeris. Ketika itu restoran mamak dan warung-warung Orang Melayu mengumpan pelanggan dengan tayangan perlawanan gusti melalui VCD dan diikuti CD.

Ketagihnya penonton terutamanya Orang Melayu bukan kepalang. Ada ketikanya pekerja restoran terpaksa memberhentikan tayangan kerana penonton yang cuma melanggan satu gelas teh tarik tidak hendak keluar dari restoran atau warung.

Lebih lama sebelum peminat gusti beramai-ramai menonton perlawanan gusti di restoran mamak atau warung Melayu, peminat gusti di kampung-kampung berkumpul di rumah orang berada yang memiliki peti television untuk menyaksikan perlawanan gusti. Ada tuan rumah yang mengenakan bayaran. Saya dan rakan-rakan sebaya yang ketika itu masih di sekolah rendah menyaksikan perlawanan gusti di sebuah kilang papan (sawmill) kira-kira 3 kilomter dari rumah. Tuan punya kilang papan itu bernama Yusuf Lal Khan.

Di antara nama ahli-ahli gusti yang saya percaya masih di dalam ‘kepala’ generasi terdahulu yang kini berusia 45 tahun ke atas ialah Mark Lewin, Killer Koloski, Mr. Puji, Sing (saya lupa nama awalnya) dan beberapa nama lagi. Mark Lewin yang memiliki kemahiran ‘menidurkan’ lawan adalah adiwira dan ahli gusti kesayangan penonton. Mark Lewin biasanya akan menumpaskan lawan-lawannya yang ‘jahat’ seperti Killer Koloski, Mr Puji dan lain-lain lagi.

Ketika itu seorang kawan sebaya yang akhirnya menjadi jurutera pernah mengatakan bahawa perlawanan gusti cuma sebuah lakonan. Saya tidak percaya langsung.

Saya cuma percaya dakwaan kawan itu setelah mengambil masa berpuluh-puluh tahun. Hari ini perlawanan gusti yang ditayangkan di saluran television tidak lagi mendapat sambutan. Perlawanan gusti terpaksa memberi laluan kepada kuasa baru – perlawanan bolasepak khususnya Liga Inggeris.

Bagaimanapun, venuenya masih sama, Restoran Mamak! Barangkali inilah kelebihan saudara kita ini, mahir menghidu peluang.      

Sabtu, 20 Oktober 2012

PIALA MALAYSIA 2012: KELANTAN LAWAN 'MALAYSIA'?

Sebuah akhbar 2-3 hari yang lalu memaparkan tajuk pelaris yang agak nakal, " Kelantan melawan Malaysia ".
 
Secara mudah tajuk tersebut menggambarkan bahawa penyokong bukan di kalangan rakyat Negeri Kelantan atau bukan Orang Kelantan akan bersekutu menyokong pasukan ATM dalam final Piala Malaysia 2012. 
 
Kalau kenyataan itu benar, apakah sebabnya?
 
Kalau kenyataan itu salah; Adakah ianya cuma satu metos? Orang luar dengki dengan sesuatu yang dikaitkan dengan Kelantan? Kisah hitam Kelantan yang telah menjadi sejarah - umpama orang yang dahulunya tidak solat kini sudah menjadi bilal atau imam masjid?  

Walaupun mengambilkira ketiadaan dua orang pemain hebat Kelantan dalam final, Ghaddar dan Norfarhan, saya masih memilih Kelantan sebagai pemenang malam ini. Namun demikian, persepsi 'kurang baik' terhadap Kelantan tidak akan terpadam jika negeri Tuan Guru Dato' Nik Aziz itu memenangi Piala Malaysia 2012 di Stadium Shah Alam malam ini.

Persepsi itu ada peluang dipadamkan jika Kelantan kalah, DAN dengan syarat segelintir penyokong fanatik Kelantan dapat bersabar.

Kendati pun begitu, jikalah saya anak Kelantan, saya mahu Kelantan menang malam ini!  

Sabtu, 13 Oktober 2012

EKAU 'HANDA' PART 2 : BOLASEPAK NEGERI SEMBILAN MASIH HEBAT?


Sementara menunggu final Piala Malaysia 2012 antara ATM-Kelantan, saya mengajak anda bersantai dengan mendengar sebuah cerita penglipur lara alaf Mesi atau Christiano Ronaldo sebuah negeri di selatan tanah air. Bagaimanapun, terlebih dahulu saya mengucapkan takziah dan harap bersabar kepada penyokong Singapura X11 dan Selangor yang kecundang kepada lawan masing-masing yang lebih perkasa di peringkat separuh akhir.

Bukannya saya kurang patriotik kepada negeri asal saya, Negeri Sembilan. Selain Negeri Sembilan, hati saya juga bersama Selangor. Saya menetap, mencari makan dan berkeluarga di Negeri Selangor. Cumanya, rontonan emosi dan nostalgia memberi sedikit kelebihan kepada negeri tempat saya dilahirkan.

Sedemikian setelah Negeri Sembilan tumbang di peringkat suku akhir, sokongan saya berlalih kepada Selangor. Di dalam erti kata yang setepatnya, saya bukan beralih, tetapi bersekutu dengan putera-putera dan puteri saya menyokong pasukan Selangor. Mereka ialah penyokong tegar pasukan ‘negeri mereka’, Negeri Selangor. Oppss saya terlupa. Termasuk juga isteri saya, berasal dari Melaka,  yang pada awalnya saya tidak jelas pasukan yang disokongnya.

Sepertimana diketahui, Selangor akhirnya tumbang juga di ufuk fatamorgana Misi 33 yang tidak kesampaian.

Saya tidak irihati kepada pasukan-pasukan tempatan yang lebih hebat dari Negeri Sembilan seperti ATM. Saya bukan Si Kitol yang membuka pintu negara. Seperti anda, saya juga menyokong ATM semasa pasukan itu menentang Singapura X11. Sebenarnya saya tidak menyaksikan ‘thrill’ perlawanan tersebut kerana tidak sanggup menerima ‘kekalahan’ ATM. Saya cuma mengetahui kemenangan ATM pada keesokkan harinya melalui kawan-kawan.

Saya juga tidak sanggup menerima keadaan Piala Malaysia 2012 dibawa ke seberang Tambak Johor. Kendati pun begitu, untuk kemajuan bolasepak tempatan yang lebih sehat, saya mahu Singapura X11 menjadi Juara Piala Malaysia 2012.

Kenapa? Mungkin dengan kemenangan Singapura X11 itu akan membuka mata seluruh warga persatuan bolasepak tanah air dan pihak berkuasa betapa kerdilnya Malaysia dalam hiraki masyarakat bolasepak global. Kedudukkan ‘ranking’ kita kini menjunam ke tanggga 162!

Mutakhir ini ungkapan ‘menang sorak kampong tergadai’ sangat kerap digunakan oleh ahli-ahli politik, NGO dan penulis blog. Saya juga tidak ingin mengajak anda membenarkan ungkapan ‘menang sorak kampong tergadai’ dalam konteks kehebohan Piala Malaysia 2012 dengan kedudukkan sebenar kekuatan pasukan bolasepak negara. Teruskanlah sorakkkan kita sekuat mungkin kepada pasukan yang disokong.       

Minta maaf kerana saya seperti hilang fokus dengan tajuk asal catatan ini, iaitu cerita penglipur lara sebuah negeri di selatan tanah air:

Disampaikan, bahawa penduduk negeri itu, Negeri Sembilan, yang mempelajari ‘ilmu dalam’ dalam pengajian bolasepak tanah air tidak sedikit pun kecewa di atas kegagalan pasukan bolasepak Negeri Sembilan membawa pulang piala berprestij 2012 – Piala FA, Piala Liga atau Piala Malaysia.

Disampaikan, bahawa seorang yang tidak mempelajari ‘ilmu dalam’ hairan kerana kawannya yang mengaji ‘ilmu dalam’ itu tidak menunjukkan petanda kecewa. Dirakamkan perbualan mereka di sebuah kedai kopi di sebuah pekan kecil:

Orang A : “Tahun 2012 ini malapetaka kepada bolasepak Negeri Sembilan. Kenapa kamu kelihatan tidak kecewa. Atau buat-buat ceria untuk menenangkan hati?”

Orang B : “Relaks, relaks.”

Orang A : “ Inilah, ada pemain hebat ‘dilopehkan’ (dibiarkan pergi), Hai O, Si Kembar tu dan lain-lain. Ini namanya bodoh sombong. ”

Orang B : “Relaks.”

Orang A : “Apa relaks relaks?”

Orang B : “ Hidup ini jangan terlalu tamak. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah. Kita (Negeri Sembilan) telah merasa nikmatnya bermain di final Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut – 2009, 2010 dan 2011. Berilah peluang kepada pasukan lain bermain di final pada tahun ini.”

Orang A : “Kelantan pun tiap-tiap tahun masuk final dan jadi juara. Tidak kiralah samada FA, Liga atau Piala Malaysia. Tahun ini mungkin juara ‘treble’.”

Orang B : “Itu hal Kelantan. Jangan pedulikan. Kita negeri beradat. Kita bukan sahaja perlu beradat sesama kita tetapi juga dengan orang lain.”

Orang A : “Kalau itulah fahaman kamu, redalah kalah dan menerima aib tanpa menghisab diri. Kita ‘melopeh’ (melepas) dengan ‘tangan kosong’ tahun ini.”     

Orang B : “ Itulah, kalau saya tuduh kamu tidak mengaji ‘ilmu dalam”, kamu marah. Kamu perlu tahu bahawa 6-7 tahun kebelakangan ini, pasukan bolasepak Negeri Sembilan tidak pernah pulang dengan tangan kosong. Tidak kiralah samada juara atau naib juara. Saya turunkan rekod Negeri Sembilan 4 tahun kebelakangan:

2009 : Juara Piala Malaysia

2010 : Naib Juara Piala Malaysia dan Juara Piala FA

2011 : Juara Piala Malaysia

Orang A :  Tahun 2012? Melopeh!”

Orang B : “Kita Juara Piala Sumbangsih.”

Orang A : Piala Sumbangsih pun ambil kira juga kah?

Ujang Kutik yang mencuri dengar perbualan itu tersenyum lebar. Membenarkan kata-kata Orang B!

Ahad, 1 Julai 2012

oh negeri ku, juara piala malaysia 2009 dan 2011..

Negeri Sembilan, Sang juara Piala Malaysia yang masih bertakhta! Juara itu cuma boleh dilucutkan setelah berlangsungnya Piala Malaysia 2012. Itu pun kalau Negeri Sembilan tidak dapat mempertahankan Piala Malaysia 2011 yang dimilikinya.

Untuk rekod, pasukan bolasepak Negeri Sembilan adalah finalist Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut - 2009, 2010 dan 2011. Pasukan ini memenangi dua daripada tiga perlawanan tersebut - Juara Piala Malaysia 2009. Juara Piala Malaysia 2011. Hebat!!!!

Ini bukannya rekod nostalgia yang berlaku berpuluh-puluh tahun yang lalu. Ini adalah rekod di 'dopan mato'.

Namun demikian, entah mengapa minat mengikuti perkembangan bolasepak negeri saya ini sejak kebelakangan ini sangat merudum. Saya seperti tidak memperdulikan lagi pasukan ini. Bukannya disebabkan prestasi pasukan Negeri Sembilan. Tahun-tahun sebelum 2012 pun beginilah juga keadaannya. Pasukan Negeri Sembilan bermula dengan lemah longlai, akhirnya ke final dan menjadi juara juga.

Berdasarkan pencapaian semasa pasukan Negeri Sembilan dalam Liga Super 2012, tiada apa yang hendak dibimbangkan. Pasukan Negeri Sembilan bukannya seperti England yang sangat bergaya dalam liga EPL, akhirnya tidak kemana pun dalam pertandingan besar seperti Euro 2012 atau Piala Dunia .

Barangkali, kecuali penyokong 'fanatik' TRW Kelantan, merudumnya minat saya dan juga di kalangan peminat-peminta bolasepak tempatan yang lain ke atas liga tempatan ialah disebabkan kehebohan liga EPL 2011/2012 dan La Liga 2011/201 yang baru sahaja menutup tirai atau Euro 2012 yang akan dinoktahkan awal pagi ini. Barangkali.


Khamis, 23 Februari 2012

jepun (4) - malaysia (0) : berpijaklah di bumi nyata

Ketika catatan ini ditulis saya dan rakan-rakan sekerja berkursus di Kuala Lumpur. Jadual kursus yang ketat tidak memungkinkan kami menyaksikan pertemuan Malaysia menentang Jepun dalam aksi kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil melalui siaran secara langsung di stesyen television sebentar tadi.

Sedemikian ada di antara rakan-rakan amat terkilan kerana tidak dapat menyaksikan perlawanan tersebut melalui siaran secara langsung di peti television.

Saya secara peribadi tidak terkilan sangat kerana menyedari keupayaan sebenar pasukan kita.Sebaliknya, saya akan lebih terkilan jika tidak dapat menyaksikan perlawanan antara Kelantan dengan Terenggganu dalam Liga Super Malaysia 2012. 

Jelas, sebilangan rakan-rakan yang mengharapkan 'miracle' berlaku, terpedaya dengan kata-kata dan harapan palsu yang ditabur oleh samada tokoh-tokoh sukan bolasepak tanah air, jurulatih atau media  yang tidak jujur dengan hakikat keupayaan pasukan Malaysia dalam saingan peringkat Asia. Masakan Malaysia dapat menyaingi pasukan bolasepak Jepun dalam tempoh terdekat ini! 

Kami cuma dapat menyaksikan babak-babak akhir perlawanan tersebut ketika pasukan Malaysia ketinggalan 0-4. Cuping telinga saya masih terngiang-ngiang mendengar susunan ungkapan nakal yang diucapkan oleh seorang pengulas sukan tetap stesyen television yang bermaksud lebih kurang : "Jangan turut bersorak ketika pasukan Malaysia meraih kemenangan, jika tidak sanggup bersama ketika Malaysia dikalahkan."

Bukannya saya tidak memiliki semangat patriotik. Akuilah dengan hati terbuka akan hakikat keupayaan sebenar pasukan kita. Berpijaklah di bumi nyata. Janganlah kita mengingau dan tertipu dengan senandung lunak yang kita sendiri mengetahui palsu atau tidak benar.

Deretan kalah dalam semua perlawanan kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia menunjukkan betapa lemahnya pasukan kita di peringkat saingan Asia. Pasukan Jepun bukannya lawan kita, Malaysia. Kita memerlukan suatu tempoh masa yang panjang untuk layak 'bermain' dengan legasi keturunan Kamamoto, pemain pasukan bolasepak Jepun yang digeruni dalam aksi Merdeka Cup beberapa dekad yang lalu.

Jangan halang penonton bolasepak Malaysia bersorak ketika kita menang. Jangan halang penonton Malaysia menunjukkan sikap protes kerana diaibkan dengan kekalahan demi kekalahan.

Sesungguhnya, penonton bolasepak Malaysia telah terlalu lama tidak dapat bersorak untuk meraikan kemenangan pasukan Malaysia di peringkat saingan Asia. Sedemikian, janganlah ada ugutan atau kata-kata sumbang yang tidak membenarkan penonton bersorak.

Pihak yang diberi mandat hendaklah berusaha sedaya upaya supaya penonton pada hari ini dapat bersorak kembali di peringkat  saingan Asia seperti yang dapat dilakukan oleh generasi era Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, James Wong, Hasan Sani dan ramai lagi suatu ketika dahulu.

Ini harapan rakyat. Ini juga KPI kepada pihak yang diberi mandat untuk memartabatkan pasukan bolasepak Malaysia.

    


Ahad, 12 Februari 2012

mak andeh & pak andeh: bukan nogoghi somilan yo yang golor, oghang lain pun golor


Keputusan Liga Super Malaysia 2012 Pada 11 Februari 2012 :
Negeri Sembilan (1), Lions X11 (3)
Negeri Sembilan Kalah!!!


Nasihat Mak Andeh menenangkan suaminya, Pak Andeh, penyokong tegar Negeri Sembilan  di sebuah kampung di Negeri Sembilan, "Bukan kito yo yang golor (golor dalam kontek ayat ini bermakna kalah), oghang lain pun golor juo. Terengganu kono 1-2 dengan Kelantan, Selangor lai paghah -kono 0-2 dengan adeknyo PKNS, Perak kono 0-2 dengan T-Team, Chelsea pun golor, Liverpool pun golor...ramai lai yang golor." 

 Uwa....aaa!!!!!!!!


Rabu, 11 Januari 2012

liga super Malaysia 2012: oh, anak ku...

Perlawanan sulung pasukan bolasepak Negeri Sembilan menentang Selangor dalam Liga Super 2012 berakhir dengan seri, 2-2. Keputusan tersebut dikira adil kepada kedua-dua pasukan.

Adil kepada Negeri Sembilan; tidak menguasai permainan tetapi bijak memanfaatkan peluang menjaringkan gol. Adil kepada pasukan Selangor yang menguasai permainan; dapat menyamakan kedudukan setelah ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama.

Sewajarnya, pasukan dan penyokong kedua-dua buah negeri berjiran itu berpuas hati.

Ada dua perkara yang saya perolehi setelah selesai menyaksikan perlawanan itu:

  • Diantara unsur yang perlu ada untuk mencapai sesuatu kejayaan ialah kebolehan memanfaatkan setiap peluang yang ada, yaani perlu ada sifat ‘opportunist’. Ini bermakna pasukan yang menguasai permainan tidak semestinya akan memenangi sesuatu perlawanan. Begitulah juga kaedahnya dalam menyantuni pentas kehidupan yang lain.  
  • Kebanyakkan golongan generasi ke-2, yaani ibu bapa mereka ‘pendatang’ (sila baca warga Malaysia yang berasal dari luar Kuala Lumpur atau Selangor) ke kota metropolitan Kuala Lumpur (sila baca Kuala Lumpur dan Selangor) adalah penyokong tegar pasukan bolasepak Negeri Selangor.
Saya berasal dari Negeri Sembilan dan isteri dari Melaka. Anak-anak kami dilahirkan dan membesar di Negeri Selangor – di Ampang. Kecintaan kami( saya dan isteri) kepada Negeri Selangor tempat kami bertemu jodoh, mencari  rezeki dan berkeluarga utuh dan tidak perlu diragukan.

Namun demikian, kami tidak berkompromi mengenai nilai-nilai sentimental yang melibatkan negeri asal usul seperti amalan adat, dialek, makanan yang disukai dan sokongan kepada perkara yang datangnya dari negeri asal kami. Perkara ini berlaku secara semula jadi dan tidak dapat dielakkan. Saya percaya anda juga berpendirian seperti kami.

Sedemikian, wajarlah saya menyokong pasukan Negeri Sembilan samada pasukan bolasepak, takraw, hoki, ragbi dan lain-lain lagi. Hatta, termasuk juga sokongan kepada pasukan guli negeri asal. Begitulah juga pendirian isteri saya kepada pasukan negerinya, Melaka.          

Berdasarkan kiraan ‘Simple Arithmatic’, anak-anak saya pun sepatutnya menyokong samada pasukan Negeri Sembilan atau Melaka. Kalaupun tidak menyokong Negeri Sembilan, mereka akan menyokong pasukan Melaka.

Bagaimanapun, kenyataannya tidak sedemikian. Anak-anak kami menyokong pasukan Selangor ketika menyaksikan perlawanan pertama Negeri Sembilan dalam Liga Super 2012 yang ditayangkan di kaca television pada 10 Januari 2012 yang lalu. Mereka menyokong pasukan Negeri Selangor dengan penuh taksub dan emosi. Maka terkeluarlah kata-kata, “Tak sabar nak tengok Selangor belasah Negeri Sembilan, Seri di tempat lawan (Seremban) maknanya menanglah tu dan sebagainya.”  

Inilah hakikat yang berlaku kepada generasi ke-2 ‘pendatang’ (sila baca warga Malaysia yang berasal dari luar Kuala Lumpur atau Selangor) ke kota metoropolitan Kuala Lumpur ; tubuh biologi mereka masih mengalir darah keturunan negeri asal usul ibu bapa, hati mereka terikat dengan tempat mereka dilahirkan dan membesar,Selangor.

Dan, dari gabungan generasi ke-2 ‘pendatang’ (sila baca warga Malaysia yang berasal dari luar Kuala Lumpur atau Selangor) dengan anak jati Selangor inilah wujudnya gelombang ‘Penyokong The Red Giant’ yang terkenal itu.

Anak-anak, walaupun tidur sebantal dengan kita , mimpi mereka tidak sama dengan mimpi kita. Oh, anak ku!

Ahad, 8 Januari 2012

jang, ekau handa

Semalam, Jumaat, 6 Januari 2012, Sani, rakan sekerja yang berasal dari Kedah bertanya dalam nada sinis mengenai peluang pasukan bolasepak Negeri Sembilan dalam perlawanan sumbangsih  merebut Piala Sultan Ahmad Shah 2012. 

Saya menjawab, " Saya kurang mengambil perhatian kepada pasukan Negeri Sembilan pada saingan awal." Dia tersenyum. Bagaimanapun saya menyambung, "Kalau menang, bagus juga." Dia ketawa besar. Lawak saya menjadi.

Ditakdirkan, sebentar tadi pasukan bolasepak Negeri Sembilan berjaya juga membawa pulang Piala Sultan Ahmad Shah 2012 ke Seremban, yaani satu-satunya piala yang masih belum diperolehi  sebelum ini setelah mengalahkan pasukan pilihan yang juga Juara Piala Liga Super 2011, Kelantan dengan jaringan 2-1. Kedua-dua gol dijaringkan oleh pemain import dari Cameron,Jean-Emmananuel Effa Owona.

Saya masih belum mempunyai maklumat mengenai pemain import yang tinggi dan sasa itu. Bagaimanapun, penonton dapat menyaksikan dia bersama-sama pemain Negeri Sembilan yang lain turut menadah tangan dan mengaminkan doa sebelum perlawanan berlangsung.

Disebalik kejayaan demi kejayaan yang telah dibuktikan oleh Negeri Sembilan, ada satu perkara yang masih menjadi tanda tanya kepada saya. Perkara yang saya maksudkan ialah tanggapan orang ramai, termasuk juga di kalangan tokoh-tokoh sukan bolasepak yang tidak mengakui kewujudan Negeri Sembilan sebagai kuasa bolasepak tanah air. 

Sehubungan ini, majoriti pengikut dan tokoh-tokoh sukan tanah air tidak memilih pasukan Negeri Sembilan untuk menjuarai Piala Malaysia 2011 yang lalu. Kebanyakkannya memilih pasukan bolasepak  Negeri Terengganu. Hakikatnya, rekod menunjukkan bahawa pasukan Negeri Sembilan mempunyai kelebihan pada dua perlawanan terakhir sebelum perlawanan final.

Begitulah juga pada perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah 2012. Penonton Astro dapat menyaksikan betapa salah seorang daripada ahli panel jemputan tanpa ragu-ragu memilih pasukan bolasepak Negeri Kelantan akan memenangi perlawanan itu. Seorang lagi tokoh tidak menyatakan pilihannya. Sedangkan, rekod juga menunjukkan bahawa pasukan Negeri Sembilan telah mengalahkan Kelantan pada perlawanan persahabatan sebelum Liga Super 2012 bermula.

Sehubungan ini, saya berpendapat telah tiba masanya Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan di bawah pimpinan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan mendapatkan nasihat professional ala-ala perunding imej untuk meletakkan pasukan bolasepak Negeri Sembilan pada tempat selayaknya. Saya percaya penyokong pasukan bolasepak Negeri Sembilan mahukan pasukan kesayangan mereka "Hebat dan Bergaya". 

Untuk rekod, kemenangan merebut Piala Sultan Ahmad Shah 2012 juga meneruskan kesinambungan  'trade mark' pasukan Negeri Sembilan yang tidak diuar-uarkan, yaani pasukan ini 'Tidak Pernah Uceh' (Tidak Pernah Gagal) membawa pulang samada piala juara atau naib juara  ke Seremban sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Nampaknya pasukan Negeri Sembilan 2012 telah berjaya melunaskan 'KPI Trade Mark' itu seawal musim.  

Perjalanan seterusnya pasukan Negeri Sembilan ialah mengintai  persis ular tedung tiga piala berprestij - Piala FA,Piala Liga Super dan Piala Malaysia. Pasukan Negeri Sembilan tidak perlu gelojoh. Jika pun berhajat hendak memenangi ketiga-tiga piala tersebut, jangan pukul canang seluruh Malaya (dibaca seluruh Malaysia).Teruskanlah momentum lemah gemalai yang terkenal itu sehingga menyebabkan musuh alpa seperti yang ditunjukkan sebelum ini.

Bagaimanapun, kepada pasukan bolasepak Negeri Sembilan 2012 saya ucapkan," Jang, Ekau Handa (Saudara hebat)". 

 

Ahad, 13 November 2011

Sukan SEA 2011: skuad bolasepak malaysia kalahkan kemboja

Tahniah! Skuad Malaysia tewaskan Kemboja 4-1 dan menghampiri laluan ke perlawanan separuh akhir bolasepak Sukan SEA 2011.

Sebenarnya, Malaysia telah menang seawal kedua-dua pasukan berdiri tegak menyanyikan lagu kebangsaan masing-masing. Mereka kelihatan begitu segak dan bergaya terutamanya melalui penampilan gaya fesyen rambut masing-masing.

Secara keseluruhannya, pemain-pemain Malaysia obses dengan penampilan fesyen rambut yang menarik - disisir rapi dan seolah-olah baru keluar dari salon . Sebaliknya, rambut pemain-pemain Kemboja pula kelihatan begitu naif  persis rambut buruh kontrak balik  dari kerja . Kasihan, mungkin mereka tidak mampu mengikuti perkembangan fesyen rambut terkini .

Semoga skuad Malaysia akan berjaya dalam perlawanan seterusnya.Semoga pemain kita bukan sahaja mampu mempamirkan pesona gaya rambut , tetapi yang lebih penting ialah 'pandai bola'.   


Sabtu, 29 Oktober 2011

pemain-pemain negeri sembilan 2011: kalah atau monang ekau memang 'handa'.....

Pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 malam ini, pasukan bolasepak Negeri Sembilan diletakkan sebagai 'under dog'. Inilah pendapat majoriti pengikut perkembangan bolasepak negara. Dikatakan bahawa pasukan bolasepak Negeri Terengganu lengkap dan gagah di semua posisi, terutamanya di bahagian 'peledak' gol. 

Seolah-olah hasil dua perlawanan terakhir dua pasukan tersebut dalam saingan Piala Malaysia yang memihak kepada Negeri Sembilan tidak diambilkira. 

Perlu diingat bahawa Negeri Sembilan yang menduduki tangga ke-9 Liga Super Malaysia 2011 tidak diberi perhatian oleh peminat-peminat bolasepak negara di dalam saingan Piala Malaysia 2011. Namun, ikon jurulatih bolasepak negara, Datuk Rajagobal, yang menamakan 4 pasukan berpeluang merangkul Piala Malaysia 2011, mengingatkan pasukan-pasukan lain supaya jangan memperkecilkan Negeri Sembilan.Ternyata ingatan beliau tepat!

Pada saya, matlamat utama pasukan Negeri Sembilan tahun ini ialah 'Sampai ke perlawanan akhir' supaya diletakkan di dalam kumpulan segelintir pasukan elit negara yang berjaya ke perlawanan akhir secara tiga tahun berturut. Pasukan Negeri Sembilan berjaya ke perlwanan akhir pada tahun 2009 (Juara Piala Malaysia),2010 dan insya Allah 2011 pada malam ini. KPI itu telah dicapai. Tidak banyak pasukan yang berjaya ke tahap itu.

Samada kalah atau menang pada malam ini, pasukan Negeri Sembilan memang hebat. 'Ekau (pemain-pemain Negeri Sembilan 2011) memang hebat, oghang kampung ghasa banggo.Tahniah! 


Sabtu, 15 Oktober 2011

ujang kutik: seksanya orang Negeri Sembilan (penyokong pasukan ...

ujang kutik: seksanya orang Negeri Sembilan (penyokong pasukan ...: Kalah lagi! Daripada 11 perlawanan, Negeri Sembilan mengumpul 11 mata, di kedudukan ke-11, ke-4 tercorot di dalam saingan Liga Super Malays...

Khamis, 13 Oktober 2011

oh negeri sembilan....'gele'

Di atas kertas Pasukan Bola Sepak Negeri Sembilan tiada masalah ke final Piala Malaysia 2011. Pasukan tersebut mudah ke pusingan suku akhir dengan menjinakkan Terengganu, Naib Juara Liga 2011 dan Juara Piala FA 2011.

Halangan pasukan Negeri Sembilan ke final cuma daripada pasukan berstatus kelab, T-Team dan Felda United. Namun demikian, kenyataannya tidak sedemikian. Pasukan Negeri Sembilan tewas 0-1 kepada pasukan Felda United dalam perlawanan suku akhir pusingan pertama.

Pasukan Negeri Sembilan perlu ke perlawanan akhir dalam kempen Piala Malaysia 2011. Hatta ,tidak menjadi juara pun tidak mengapa. Kenapa? 


Pasukan Negeri Sembilan, Juara Piala Malaysia 2009 dan Naib Juara Piala Malaysia 2010 perlu ke perlawanan akhir jika hendak dimuliakan sebagai segelintir pasukan elit yang berjaya ke perlawanan akhir Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut.

Pasukan Negeri Sembilan 'gele' (di dalam keadaan yang susah/payah) apabila diaibkan oleh Felda United. Bagaimanapun, pasukan Negeri Sembilan cuma kurang bernasib baik. Di dalam perlawanan tersebut, pasukan Negeri Sembilan menguasai permainan.

Samada pasukan Negeri Sembilan berjaya atau pasukan Felda United menidakkan hajat besar pasukan Negeri Sembilan akan ditentukan pada perlawanan suku akhir pusingan kedua yang akan berlangsung di Seremban, kubu Negeri Sembilan pada 14 Oktober 2011. Kita tunggu keputusannya.



Nota : Cara sebutan 'GELE' : Dua suku kata - GE - LE
Sukukata pertama  'GE' disebut seperti menyebut suku kata pertama GETAH - GE -tah
Sukukata kedua LE disebut seperti menyebut suku kata pertama LEMANG - LE - mang

Rabu, 12 Oktober 2011

oh kelantan.....oh terengganu

Lima kad merah dilontarkan kepada tiga pemain Kelantan dan dua pemain Terengganu dalam perlawanan Suku Akhir Pertama Piala Malaysia 2011 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Keputusan perlawanan tersebut memihak kepada Terengganu dengan kedudukkan 3-1.

Kalaulah bilangan kad merah tersebut dijadikan kayu ukur, sesiapun akan dengan mudahnya membuat rumusan bahawa corak permainan kedua pasukan tersebut ialah 'seganas-ganas' permainan. Mereka 'berkelahi'. Mereka tidak bermain bola sepak.

Sebaliknya, kedua belah pihak yang 'berkelahi' di tengah padang sepakat pula menuduh  keadaan tersebut berlaku disebabkan oleh 'faktor pengadil' - pengadil dikatakan  tidak berwibawa, beremosi dan terlalu tegas.

Bagaimanapun, kecuali penonton yang menyaksikan perlawanan tersebut di stadium, lain-lain peminat bola sepak tidak dapat gambaran sebenar mengenai perlawanan tersebut. Sehubungan itu, seeloknya peminat bola sepak tanah air berkecuali - tidak menuding jari kepada mana-mana pihak.

Kendati pun demikian, peminat atau pengikut perkembangan bola sepak tanah air tidak boleh dikekang dari mempunyai persepsi negatif kepada kedua-dua pasukan tersebut. Bak kata ungkapan yang amat popular sekarang ini, "Sejarah tidak boleh diubah." 

Saya tidak berhajat menyenaraikan insiden hodoh yang melibatkan kedua pasukan dari pantai timur tersebut kerana peminat bola sepak tanah air telah sedia maklum. Hakikatnya, telah ramai pengadil elit yang berwibawa, tidak emosi atau tidak terlalu tegas kecundang tersungkur ketika mengadili perlawanan di antara kedua-dua pasukan tersebut.  

Seperti yang telah saya jelaskan melalui catatan terdahulu, kebangkitan Kelantan dalam persada bola sepak tanah air telah mula menanggalkan elemen-elemen negatif  satu demi satu yang selama ini membebani gergasi baru dari Pantai Timur itu . Secara evolusi, pasukan itu mula memiliki elemen pasukan sang juara.

Namun demikian, kita juga tidak boleh terlalu yakin dengan momentum yang akan datang. Seeloknya kita berkecuali dan menunggu hasil siasatan (jika ada) FAM.   



Khamis, 16 Jun 2011

kelantan, oh kelantan........

Dua musim yang lalu, 2009 dan 2010, kekuatan pasukan bolasepak Negeri Sembilan dan Kelantan hampir setara. Kedua-dua pasukan bersaing dengan sengit di dalam Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Pencapaian kedua-dua pasukan tersebut agak klasik: Negeri Sembilan telah menjadi juara Piala Malaysia 2009 setelah menewaskan Kelantan di perlawanan akhir, sebaliknya, pada 2010, giliran pasukan Kelantan pula mengatasi Negeri Sembilan untuk muncul sebagai juara baru Piala Malaysia 2010.

Bagaimanapun pada saingan 2011, tanpa mengambilkira slot Piala Malaysia yang masih belum berjalan, senario untung nasib kedua-dua pasukan tersebut amat jauh berbeza. Gambaran sebenar mengenai pasukan Negeri Sembilan dan Kelantan perlu ditulis semula sepenuhnya. Kaedah ‘copy’ dan ‘paste’ tidak boleh digunakan lagi.

Setakat ini, Kelantan telah menjuarai Piala Sumbangsih 2011, hampir-hampir menjuarai Piala FA 2011 kalaulah tidak berlaku ‘Bencana Daudsu’ dan hanya memerlukan keputusan seri pada perlawanan terakhir untuk dijulang sebagai Juara Liga Super Malaysia 2011.

Sebaliknya, Negeri Sembilan hampir kehilangan segala kemegahan masa lalu. Juara Piala FA 2010 ini telah tersingkir di pusingan awal saingan Piala FA 2011. Pasukan Negeri Sembilan juga hanya mendudukki tangga ke-9 daripada 14 pasukan di dalam Liga Super 2011. Yang tersisa bagi Negeri Sembilan untuk menyandarkan sedikit harapan ialah Piala Malaysia 2011.

Justeru itu, pasukan Negeri Sembilan ‘bukan lawan’ setara Kelantan kerana Kelantan di kedudukkan klas yang tersendiri. Kebangkitan pasukan Kelantan dalam tempoh tiga musim terakhir adalah satu fenomena bolasepak tanah air.

Sehubungan ini, saya, anak Negeri beradat, Negeri Sembilan merasa malu dengan tindakan segelintir penyokong Negeri Sembilan yang telah membakar bendera Negeri Kelantan.

Saya mempunyai ramai kawan di kalangan Orang Kelantan dan kerap ke negeri tersebut. Sejujurnya, saya lebih mahir dengan jalan dan lorong di Kota Bharu berbanding di Seremban.

Seorang kawan, jiran dan juga Nazir masjid di Ampang dari Kelantan yang masih pekat loghat Kelantannya pernah mengeluarkan kata-kata secara bergurau kepada saya. Katanya, ” ‘Sejahat-jahat’ penyokong Kelantan, ‘jahat’ lagi penyokong Negeri Sembilan – bendera lawan pun dibakar.”

Bagaimanapun, saya yakin, ‘jahat’ penyokong fanatik Negeri Sembilan tersebut, masih belum mampu menghapuskan ‘satu kepercayaan’ , persepsi, metos atau apa sahaja perkataan yang seerti, yang tertanam di hati sanubari kebanyakkan peminat bolasepak tanah air, bahawa ‘sejahat-jahat’ penyokong bolasepak di Malaysia ialah penyokong Kelantan. Persepsi tersebut seperti telah terendam dan larut di dalam hati sanubari peminat bolasepak negara.

Tidak dinafikan bahawa orang Kelantan agak ‘lebih’ sedikit dalam menonjolkan semangat kenegerian mereka. Kadang-kadang sikap mereka agak keterlaluan dan merimaskan kita. Namun, disebalik sikap tersebut Kelantan adalah ‘kilang’ mengeluar dan mengeksport manusia baik-baik, para agamawan yang hebat.

Sehubungan itu, realitinya, kebanyakkan peminat bolasepak Malaysia di luar Kelantan, tidak akan menyokong pasukan Kelantan apabila berlangsung perlawanan yang melibatkan Kelantan dengan negeri-negeri lain.

YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Aziz adalah idola kepada sebilangan rakyat Malaysia, samada anak Kelantan atau bukan Kelantan. Bagaimanapun, apabila melibatkan sokongan kepada pasukan Kelantan, mereka yang bukan anak Kelantan akan ‘tawakuf’ seketika untuk tidak bersama dengan beliau.

Kalaulah gema tepukan dari kawasan-kawasan perumahan atau restoran-restoran Mamak samada di Kuala Terengganu, Kangar, Kuala Ketil, Kuala Kangsar, Batang Berjuntai, Juaseh, Air Keroh atau Kota Tinggi semasa pasukan Terengganu menyamakan kedudukkan 1-1 melalui ‘tandukan maut’ Daudsu dan jaringan kemenangan 2-1 oleh pemain gantian Terengganu, Ahmad Nordin, pada lewat malam perlawanan akhir Piala FA 2011 diterjemahkan dengan pola sokongan peminat bolasepak, orang Kelantan memerlukan sedikit masa lagi untuk membetulkan persepsi negatif terhadap mereka.

Namun, kebangkitan pasukan bolasepak Kelantan sepanjang tempoh tiga tahun terakhir, 2009 – 2011, secara evolusi telah menampakkan wujudnya ‘pesona sang juara’ di kalangan pemain dan penyokong bolasepak Kelantan.

Mutakhir ini, pemain dan penyokong Kelantan tidak lagi ‘gedebe’. Malah, penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, ialah idola kepada peminat bolasepak tanah air. Penonton tentu masih terkesan melihat nuansa sentuhan beliau menenangkan Daudsu yang tersungkur di dalam gawang gol selepas menanduk bola ke gawang sendiri di perlawanan akhir Piala FA 2011. Juga, tidak ada seorang pun pemain Kelantan yang menunjukkan emosi marah secara fizikal kepada Daudsu Jamaludin.

Kita juga dapat menyaksikan beberapa orang penyokong tegar Kelantan secara ‘gentleman’ bergambar dengan penyerang Terengganu yang mencetuskan ‘tandukan maut Daudsu’, Abdul Manaf, setelah selesai perlawanan Piala FA 2011.

Kini, penyokong Kelantan telah boleh menerima kekalahan. Suasana ’huru - hara’, vandalisma dan amukan penyokong Kelantan tidak berlaku selepas Kelantan dikecewakan secara tragis dalam perlawanan akhir Piala FA 2011.

Andainya, tiada balingan bola api yang mungkin dilakukan oleh penyokong Kelantan, samada dari Ulu Bertam atau Dabong atau Kandek atau Gual Dalam (Rantau Panjang) atau Kg.Kubang Gendang (Tok Uban), yang disasarkan kepada penjaga gol Terengganu di perlawanan akhir Piala FA 2011 baru-baru ini, lengkaplah pakej suatu kesempurnaan bagi sebuah pasukan berstatus juara, Kelantan, The Red Warrior.

Kelantan, oh Kelantan, ……..

Khamis, 14 April 2011

seksanya orang Negeri Sembilan (penyokong pasukan bolasepak ) tahun ini


Kalah lagi! Daripada 11 perlawanan, Negeri Sembilan mengumpul 11 mata, di kedudukan ke-11, ke-4 tercorot di dalam saingan Liga Super Malaysia 2011.

Pasukan Bolasepak Negeri Sembilan 2011 yang tergolong di kalangan segelintir pasukan elit di persada bolasepak negara, turun ke kancah saingan dengan segala kemegahan masa lalu; Juara Piala HMS Malaya 1948, Juara Piala Malaysia 2009, Juara Liga Super 2006, Juara Piala FA 2003 dan 2010, Naib Juara Piala Malaysia 2000, 2006 dan 2010 dan Naib Juara Piala Liga Super 2008.

Gah dan kehebatan masa lalu tidak diambil kira di dalam sebarang pertandingan termasuk bolasepak. Kini Si Rusa “Hoben Jang Hoben” adalah pasukanan belasahan dan diaibkan.

Pihak pengurusan Pasukan Bolasepak Negeri Sembilan yang menghidu ‘tsunami’ menakutkan ini telah mengambil tindakan yang agak ‘kasar’ dengan cara memberi tekanan dan ‘mengugut’ para pegawai dan pemain agar meningkatkan prestasi.

Rentetan ke atas kemelut ini, Ketua Jurulatih pasukan Bolasepak Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hasan, figura yang berjaya membawa pulang Piala Malaysia ke Negeri Sembilan pada tahun 2009 dan Piala FA pada tahun 2010 meletakkan jawatan pada bulan Mac 2011. Jasa-jasa beliau larut dan seperti dilupakan umpama pepatah yang berbunyi; Hapus panas setahun oleh hujan sehari.”

Tiada kekeliruan lagi bahawa kegemilangan bolasepak Negeri Sembilan adalah semasa di bawah bimbingan Wan Jamak Wan Hasan - khususnya pada tahun 2009 dan 2010. Adalah sukar bagi mana-mana jurulatih dapat mencemar pencapaian beliau dalam tempuh terdekat. Beliau hanya sempat mengendali pasukan Bolasepak Negeri Sembilan 2011 setakat tujuh perlawanan sahaja dengan menghasilkan 3 kali menang dan 4 kali kalah.

Tugas Ketua Jurulatih diambil alih oleh bekas jurulatih pasukan Harimau Muda A dan juga pasukan bolasepak Negeri Kedah, Azraai Khor Abdullah. Setelah melalui empat kali perlawanan, Azraai Khor Abdullah nyata masih belum mampu membuahkan hasil yang diharapkan kerana cuma menghasilkan 2 kali seri dan dua kali kalah.

Momentum kemenangan masih belum menjelma sekalipun segala daya telah diusahalkan. Keadaan ini amat meresahkan ‘Orang Negeri Sembilan’. Saya catatkan ‘Orang Negeri Sembilan’ dan bukannya penyokong Negeri Sembilan kerana semua anak Negeri Sembilan samada yang tua atau muda, menetap di Bongek atau di Penarik ( Terengganu), lelaki atau perempuan adalah penyokong tegar Negeri Sembilan.

Mereka mungkin tidak pernah sampai ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukan Negeri Sembilan. Namun demikian, mereka sentiasa memerhati dan menilai perkembangan dan prestasi pasukan kesayangan mereka.

Merekalah akan ‘jobo’ berlebihan (merasa bangga/megah dan diterjemahkan dengan memberi tahu orang lain tanpa ditanya) dan heboh memperkatakan kehebatan Negeri Sembilan dengan kawan-kawan se pejabat apabila Negeri Sembilan mencipta kemenangan demi kemenangan.

Dan, merekalah juga yang turut terseksa dengan prestasi pasukan Negeri Sembilan sekarang. Pendek kata, tekanan darah mereka turut naik setiap kali pasukan Negeri Sembilan kalah.

Tsunami kekalahan demi kekalahan bertali arus yang dialami oleh pasukan bolasepak Negeri Sembilan di awal saingan Liga Super 2011 ini perlu diatasi dengan apa cara sekalipun. Arena saingan semakin berkurangan: Harapan untuk memenangi Piala FA dua tahun berturut-turut telah hancur berkecai; Kalaulah ada hajat hendak menjadi Juara Liga 2011, hajat tersebut adalah umpama ‘punggok merindukan bulan’ dan akan ditertawakan.

Berdasarkan prestasi dan kedudukkan semasa di dalam saingan Liga Super 2011, Negeri Sembilan tidak akan dapat menjadi Juara Liga Super 2011 kecuali berlaku satu keajaiban.

Bagaimanapun, kalau dianalisa kepada prestasi dan pencapaian Negeri Sembilan dalam tempoh 5 tahun terakhir (2006-2010), kecuali tahun 2007, pasukan ini tidak pernah menghampakan penyokongnya. Sepanjang tempoh tersebut pasukan Negeri Sembilan telah berjaya membawa pulang piala-piala berprestij seperti di bawah:

Juara Piala Liga Super 2006
Naib Juara Piala Malaysia 2006
Naib Juara Piala Liga Super 2008
Juara Piala Malaysia 2009
Naib Juara Piala Malaysia 2010
Juara Piala FA 2010

Moral cerita yang hendak disampaikan ialah, mengikut rekod yang lalu, Negeri Sembilan adalah pasukan yang hebat. Sekalipun ada kalanya prestasi pasukan Negeri Sembilan diragukan, tetapi di akhir musim seperti ‘kebiasaannya’ mesti ada piala akan dibawa balik ke Seremban. 

Pasukan bolasepak Negeri Sembilan 2011 memiliki segala ramuan sang juara samada di pihak pengurusan, jurulatih atau pemain. Sumber dan kualiti yang dimiliki bertepatan dengan pepatah; ‘Apa kurang pada belida, sisik ada tulang pun ada’. Namun demikian, realitinya, semuanya tidak menjadi dan seperti tidak dapat diselamatkan lagi.

Ada satu jenaka yang begitu popular di kalangan pemanjat petai hutan di sebuah kampung di Rembau: Kononnya, situasi yang menimpa pasukan bolasepak Negeri Sembilan adalah disebabkan tersalah pilih maskot. Sepatutnya kerbau yang dipilih dan bukannya rusa kerana haiwan gagah tersebut lebih dekat dengan budaya Negeri Sembilan. Kerbau juga memiliki banyak kelebihan berbanding rusa.

Piala FA 2011 sudah terlepas dan menggapai Piala Liga Super 2011 umpama punggok merindukan bulan. Yang tinggal tersisa cuma Piala Malaysia 2011 sahaja.

Adakah lagi seperti ‘kebiasaannya’ akan berlaku pada tahun 2011?. Kalaulah ada, pasukan bolasepak Negeri Sembilan 2011 akan menjadi Juara Piala Malaysia tahun ini! Perkara ini tidak mustahil kerana Negeri Sembilan seperti telah sinonim dengan istilah ‘kebiasaannya’. Kebiasaannya Negeri Sembilan tidak pernah ‘uceh’ (terlepas peluang memiliki sesuatu) lagi.

Untuk mencapai satu-satunya peluang yang masih ada, Negeri Sembilan perlu bekerja keras bagi meningkatkan prestasi dan memperbaiki kedudukan di dalam Liga Super 2011: Kok koroh dijoronihkan; kok kusut diusaikan; koruh di hulu disolosaikan di hulu; koruh di hilir disolosaikan di hilir; yang lusuh diganti; yang kuyak ditampal; yang panjang dikorek; yang pendek disambung; dan ibu adat mopokat.Hoben Jang Hoben!


Ujang kutik
Ampang, Selangor
14 April 2011