Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Isnin, 18 Mac 2013

kematian


Seorang kawan seorganisasi, Tuan Haji Deraman bin Junus, telah meninggal dunia pada 14 Mac 2013 ketika saya bertugas di luar daerah. Beliau, 55 tahun,  lulusan UITM (dahulu ITM) dan berasal dari Kuala Terengganu. Andainya dipanjangkan umur, beliau akan bersara wajib dari perkhidmatan kerajaan dalam tempoh 5 tahun lagi. Allahyarham dikatakan diserang sakit jantung ketika sedang memandu.

Saya tidaklah terlalu rapat dengan Allahyarham. Namun demikian, saya merasakan ada ‘chemistry’ yang mendekatkan kami. Pendek kata, kalau minum di warung belakang pejabat, kami berebut hendak membayar.
   
Mungkin keadaan ini berlaku kerana anak Allahyarham dan puteri bongsu saya belajar di sebuah IPT yang sama di Lembah Kelang. Sedemikian, kami telah sama-sama menguruskan urusan pengajian anak-anak – dari urusan membuat permohonan, dokumentasi, urusan pinjaman pendidikan dan lain-lain lagi. Kami juga selalu berbincang mengenai pelajaran anak-anak. Pun demikian, puteri bongsu saya tidak mengenali anak Allahyarham. Saya yakin bahawa anakanda Allahyarham juga tidak mengenali anakanda saya.

Dua bulan sebelum pemergiannya, Allahyarham ada meluahkan sedikit kegusaran mengenai status pinjaman pendidikan anaknya. Beliau khuatir pinjaman pendidikan anaknya akan ditahan kerana keputusan peperiksaan yang tidak memberangsangkan. Bagaimanapun, tidak beberapa lama selepas itu Allahyarham memaklumkan bahawa pinjaman pendidikan anaknya tidak ada masalah.

Kerana bertugas di dalam organisasi yang sama, kami selalu berjumpa atau ‘berselisih bahu’ samada di dalam kawasan pejabat atau di medan selera di belakang pejabat. Ada kalanya kami minum pagi atau bersarapan tengah hari bersama.

Satu soalan pengikat antara kami yang selalu kami ucapkan ketika bertemu ialah, “ Budak (pelajaran anak) macam mana? ”.

Allahyarham dan isterinya telah menunaikan fardhu haji lebih kurang tiga tahun yang lepas. Sepanjang mengenalinya saya mendapati Allahyarham seorang yang baik dan tidak melakukan perkara yang pelik-pelik ( berjudi, perempuan, berkaraoke dsb). Melalui perbualan dengan Allahyarham, saya mengetahui bahawa Allahyarham rajin ke surau di kawasan perumahannya.

Sekalipun tidak terlalu rapat dengan Allahyarham, saya merasakan kehilangan beliau. Paling tidak, tiada sesiapa lagi yang akan bertanya, “ Budak (pelajaran anak) macam mana? ”

Kematian adalah penamat kepada usaha seseorang hamba Allah di dunia ini untuk menentukan nasibnya di akhirat. Sehubungan ini, setiap yang bernama hamba mengetahui tahap kesiap-siagaan masing-masing. Inilah yang sewajarnya direnungkan oleh kita yang masih hidup.

Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa Allahyarham dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang beruntung. Al-Fatihah.

4 ulasan:

  1. Ujang Kutik,

    Al- Fatihah buat Allahyarham..
    dan mereka2 yang telah mendahului kita.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      Sekarang 55 tahun seperti masih muda lagi. Ini juga amaran bagi kita. Semoga anak-anak Allahyarham terus mendoakan bapa mereka yang telah pergi.

      Padam
  2. Macam anak ke 2 IM; Angah; dia gagal teruskan pelajaran semasa dipoliteknik namun duit PTPTN kena bayar.

    Bayar saja la nampaknta macam bayar hutang kereta sedangkan kereta dah hilang kena curi.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr IM,

      Anak, kasih ibu bapa tidak ada penghujungnya.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."