Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 16 Mac 2013

Syeikh Dato' Muhammad Fuad Kamaludin : Part Two dan Pak Lang Mat Lonchek


Setelah usai solat fardhu Isyak di masjid kampong saya, jumaah yang hadir seramai 16 orang meninggalkan pekarangan masjid. Saya, seorang jumaah lain, Pak Lang Mat Lonchek, 77 tahun yang ada pertalian saudara dan Imam Dua adalah jumaah terakhir yang masih ada di dalam dewan solat.

Kerana tidak mengenali antara satu sama lain dan tidak pernah berbual sebelum ini, saya mengambil kesempatan itu menegur Imam Dua, yang usianya dalam lingkungan pertengahan 40-an.

Imam Dua bukan anak kampong saya. Beliau bertugas di jabatan kerajaan. Beliau juga ialah anak murid  Syeikh Dato’ Muhammad Fuad Kamaluddin yang terkenal itu. Malah, Imam Dua menetap di dalam Kompleks Yayasan Sofa yang terletak dalam kariah kampong saya.  

Saya tidak pernah mengetahui bahawa di kampong saya ada sebuah warung yang beroperasi di sebelah malam. Imam dua mempelawa kami pergi ke warung tersebut yang letaknya kira-kira 1 kilometer dari masjid. Tidak dapat ‘lepak’ di restoran mamak, dapat lepak di warung Melayu di kampong halaman yang bernuansa alam semula jadi lebih menyeronokkan.

Saya membonceng motorsikal Pak Lang Mat Lonchek. Pak Lang Mat Lonchek ialah seorang pesara yang pernah bertugas di Pejabat United Nation, Kuala Lumpur. Beliau juga memegang jawatan sebagai salah seorang Ketua Adat dalam Sistem Adat Perpatih yang diketuai oleh Undang Luak Rembau.

Di usia 77 tahun, Pak Lang Mat Lonchek yang berkulit putih kemerahan dan bertubuh agak gempal sedikit tidak menunjukkan banyak kekurangan sepanjang saya mengenalinya. Cara bercakapnya dan gurauannya masih seperti dahulu. Ketika membonceng motorsikalnya saya yang hampir bersara sempat berseloroh, “ Kito nampak sama tuo ( Kita kelihatan sama tua).” Dia ketawa dan mengajar saya beberapa petua. Antaranya, “ Jangan suko tomonong (Jangan suka termenung).”

Ketika minum di warung, Imam Dua banyak bercerita mengenai perkara-perkara telah dan akan lakukan untuk mengimarahkan masjid di kampong kami. Jelas, beliau seorang yang komited dengan tugasnya. Ayahanda Syeikh Dato’ Muhammad Fuad Kamaluddin berasal dari kampong saya. Ibunya ialah dari Kampung Nerasau/Penajis.

Imam Dua menyatakan bahawa  Syeikh Dato’ Muhammad Fuad Kamaluddin telah mengamanahkannya untuk ‘menjaga’ Masjid Kg. Chengkau Ulu kerana masjid itu adalah masjid kampong ayahandanya.

Tidak dinafikan bahawa sejak Imam Dua dilantik, bilangan jumaah bertambah dengan mendadak. Saya pernah mendedahkan dalam salah satu catatan bahawa sebelum ini bilangan jumaah yang datang ke masjid sangat-sangat menyedihkan.

Imam Dua juga memberitahu saya mengenai perkembangan terkini Syeikh Dato’ Muhammad Fuad Kamaluddin. Saya dimaklumkan bahawa Syeikh Dato’ Muhammad Fuad Kamaluddin tidak lagi menjadi Nazir di Masjid Taman TAR, Ampang, Selangor. Beliau kini kembali menetap di Seremban, Negeri Sembilan untuk menumpukan kepada urusan Yayasan Sofa. Sungguhpun demikian, kuliah berkala beliau di Lembah Klang masih berjalan.

Imam Dua juga menceritakan mengenai tarikat yang dipimpin oleh Syeikh Dato’ Muhammad Fuad Kamaluddin. Saya difahamkan bahawa satu perhimpunan besar-besaran mengenai tarikat akan diadakan pada 16 Mac 2013 (Sabtu malam Ahad) di surau Syeikh Dato’ Muhammad Fuad Kamaluddin Kg. Chenong, Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan.

Seperti yang saya catatkan melalui catatan sebelum ini, Syeikh Dato’ Muhammad Fuad Kamaluddin ialah seorang yang memiliki ilmu agama yang tinggi, hebat berpidato, seorang penulis yang baik, seorang yang memiliki karisma dan aura dan berbagai kelebihan lagi.

Namun, di sebalik segala kelebihan itu, dalam menterjemah keyakinan politik, beliau ( Syeikh Dato’ Muhammad Fuad Kamaluddin ) dilihat seolah-olah terlalu condong dan menyenangi kepada satu pihak sahaja. Sehubungan ini, pihak yang berpendapat Syeikh Dato’ Muhammad Fuad Kamaluddin tidak menyebelahi mereka menjauhkan diri dari menimba ilmu di telaga ilmu beliau yang melimpah ruah. Senario ini adalah satu kerugian.

Kami meninggalkan warung kampong itu lebih kurang jam 11.15 malam. Ketika dalam perjalanan balik ke rumah, Pak Lang Mat Lonchek tidak lokek-lokek menurunkan petua hidup dan juga cara beradab dengan orang lain khususnya yang lebih tua. Kata beliau, “Sekurang-kurangnya bunyikanlah hon kereta atau mengangkat tangan ketika berselisih dengan orang kampong.” Insan kerdil di usia saya, persis seorang murid naif yang cuba menghadam satu juzuk dalam lautan hidup.

Sayakah insan yang cuba ditarbiah atau disindir ( bila berselisih dengan orang kampung ) oleh Pak Lang Mat Lonchek itu? 

2 ulasan:

  1. Sdr Ujang Kutik,

    Satu lagi catatan '' di sepanjang perjalanan kehidupan '' orang lain yang seronok saya membaca nye..

    BalasPadam
  2. Sdr theolrascal,

    Seseorang melalui denai kehidupannya - pahit, manis, masam, lurus, berliku..........

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."