Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Ahad, 22 Disember 2013

JALAN KENANGAN - JALAN MASJID INDIA & MALACCA STREET

Satu sisi di hadapan Masjid India, Kuala Lumpur
Sabtu, 21 Disember 2013 dari jam 2.00 petang sehingga Maghrib saya berada di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur:

Anjakan masa dari gah pesona masa lampau hinggalah ke era sebagai sebahagian dari anggota 'warga' kota di Kota Metropolitan Kuala Lumpur sekarang, tidak mampu mengubah keterampilan status quo Jalan Masjid India yang terletak di tebing Sungai Klang itu.

Kedai pakaian (semuanya milik etnik India)
Jalan Masjid India, jalan yang begitu bererti dan kebanggaan sesiapa sahaja yang berketurunan India termasuk India Muslim, India Hindu dan India Syiah. Di Jalan Masjid India ada ahli perniagaan berfahaman Syiah. Mereka (Syiah) telah kukuh bertapak dan mendirikan empayar perniagaan lama sebelum isu Syiah menggegar umat Islam di negara ini.

Kesibukkan Jalan Masjid India
Kecuali kehadiran gerombolan peniaga jalanan di kalangan pendatang asing yang sangat kuat iltizam dan licik tetapi sangat menghairankan kerana tidak dihiraukan oleh pihak penguatkuasa mencacatkan sedikit landskap asal Jalan Masjid India, Jalan Masjid India masih tegar seperti yang 'dulu-dulu' - tenang di dalam genggaman peniaga keturunan India. Pada congakan kasar saya, bilangan peniaga India Muslim melebihi peniaga keturunan India yang beragama Hindu.

Penjaja jalanan di hadapan Masjid India
Mereka (keturunan India) sangat berjaya sebagai ahli perniagaan. Perniagaan mereka tidak terbatas kepada menjual kueh 'wade' atau teh tarik atau susu kambing segar malah menjangkau kepada perniagaan tekstail, pelancungan, kedai buku mega, restoran besar dan mewah, kedai emas, gedung-gedung peniagaan berstatus hyper (Mydin dan Hanifa sebagai contoh), alat-alat telekomunikasi, import-eksport dan banyak lagi yang tidak dijangkau oleh otak kecil peniaga Melayu.

Masjid India yang berdiri megah di Jalan Masjid India adalah gambaran kelestarian ahli perniagaan India Muslim khususnya yang menjalankan perniagaan di sekitar Jalan Masjid India dalam mengaitkan aktiviti hidup agar selari dengan kehendak agama. Masjid yang diuruskan dengan baik dan  sistematik ini begitu bersih dan selamat dari kejadian kehilangan kasut pengunjung kerana pihak masjid menyediakan perkhidmatan 'jaga kasut' tanpa sebarang bayaran..

Pengunjung yang tidak biasa dengan masjid ini mungkin akan terkejut apabila mendapati azan tidak dikumandangkan ketika masuk waktu solat. Kebiasaannya waktu yang diambil oleh pihak masjid untuk memperdengarkan azan bagi memulakan solat berjumaah boleh menjangkau melebihi 30 minit selepas masuk solat.

Muazzin pertama sebelum kedatangan muazzin kedua 
Selain itu saya (mungkin kejahilan saya) melihat satu adegan yang 'melucukan' ketika menunggu untuk
menunaikan solat Asar berjumaah di masjid ini. Seumur hidup saya tidak pernah melihat  azan disampaikan secara berduet kecuali sekali di Masjid India - azan untuk solat Asar pada 5.30 petang dikumandangkan 

Azan secara ' berduet'
 oleh dua orang muazzin secara duet. Saya tidak mengetahui dari segi hukum mengenai perkara ini.

Sekalipun menetap di Lembah Klang, saya jarang ke pusat bandar Kota Metropolitan Kuala Lumpur kerana tiadanya keperluan dan juga masalah kesesakkan lalu-lintas. Terlanjur berada di sekitar Jalan Masjid India saya mengambil kesempatan pekena teh tarik dan roti canai di restoran yang terkenal pada tahun-tahun 70-an dan 80-an, Restoran Bilal di Malacca Street. Ketika itu Restoran Bilal menjadi tumpuan kerana Nasi Beraninya yang sedap. Malacca Street cuma dipisahkan dengan Jalan Masjid India oleh Sungai Klang yang boleh dilalui melalui jejambat.

Restoran Bilal, Malcca Street
Walaupun gah dan kemasyuran Restoran Bilal tenggelam oleh saingan dari generasi baharu restoran Mamak, Restoran Bilal masih mampu bertahan dan wujud hingga ke hari ini dalam keadaan seadanya..

Melepaskan 'kerinduan' di Restoran Bilal, Malacca Street
Malacca Street dan Jalan Masjid India begitu dekat dengan saya suatu ketika dahulu, Saya yang ketika itu baharu sahaja bekerja dan menumpang di rumah saudara di Selayang menggunakan dua buah bas untuk ke pejabat di Jalan Ampang. Pertama saya menaiki bas dari Selayang ke Malacca Street dan selepas itu menaiki bas lain dari Malacca Street ke pejabat di Jalan Ampang.

Malacca Street dan Jalan Masjid India adalah tempat saya pernah ' bermain ' dan mempunyai banyak kenangan. Saya tidak akan melupakan tempat ini.


4 ulasan:

  1. Ujang Kutik,

    Ketika bekerja dengan kilang memproses getah di Jalan Ipoh lebih 30 tahun yang lalu kami pernah juga mengadakan jamuan perpsahan untuk jurutera yang berhenti di Restoran Bilal ini yang ketika itu di Malacca street. Eksklusif sungguh rasa nya ketika itu.

    Wisma Yakin , Masjid India dan Restoran Bilal adalah landmark bagi kawasan nostalgik ini. Pernah juga saya berjumaah di Masjid India ini namun tak pernah pula saya melaui muazzin yang berduet..hehe. Lucu juga tetapik menarik juga.

    Entri ini juga membawa saya malaui laluan memori dalam sejarah kehidupan saya. Terima Kasih.

    BalasPadam
  2. Sdr theolrascal,

    Anak-anak tidak mengetahui betapa nostalgiknya Malacca Street, Jalan Masjid India, Lake Garden, Campbell Shopping Complex, Benteng..........

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saudara Ujang kutik,

      Tidak dilupakan juga panggung Coliseum menjadi tempat tumpuan anak-anak muda ketika itu. Khususnya yang meminati filem hindi dan filem Indonesia era Widywati dan Sophan Sophian.

      Saya rasa ketika itu saya masih remaja lagi....

      Padam
    2. Sdr Pak Mail,

      " Kita " adalah di antara mereka yang pernah ada di dalam panggung bersejarah itu....

      Sophan Sopian telah meninggal dunia kerana kemalangan ketika menunggang motorsikal berkuasa tinggi....he...he..

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."