Ahad, 27 April 2014

DIALEK NEGERI SEMBILAN ' MADE IN ' MANA?

Saya meminta maaf kepada pembaca tetap dan penjenguk blog ini kerana kebelakangan ini saya agak kerap memaparkan mengenai Negeri Sembilan.

Saya 'menderita' kerana pencarian mengenai transformasi dialek Negeri Sembilan yang ' lari ' dari dialek asas penutur dari Tanah Minangkabau (dialek Minang) atau penduduk asal Negeri Sembilan (dialek Orang Asal) masih belum menemui jawapan yang jelas.

Dialek Negeri Sembilan tidak sama dengan dialek Minang. Dialek Negeri Sembilan juga tidak sama dengan dialek yang digunakan oleh penduduk Orang Asal.

Seimbas dengar seolah-olah dialek Negeri Sembilan itu adalah dialek Minang. Namun, tidak sama. Hakikatnya, Orang Negeri Sembilan tidak boleh bercakap dalam dialek Minang dan bahkan tidak memahami kebanyakan maana perkataannya.

Dalam keadaan biasa, mana-mana dialek yang dominan iaitu samada dialek Minang atau dialek penduduk asal akan ' menelan ' dialek yang lemah. Sungguh pun dialek Minang dilihat lebih kuat dari dialek penduduk asal, didapati dialek itu (Minang) tidak cukup kuat menewaskan lawannya (dialek penduduk asal) secara total.

Dalam kata lain, jika pengaruh dialek Minang cukup kuat sudah tentu penduduk Negeri Sembilan sehingga ke hari ini bercakap dialek Minang Asli sama seperti yang diucapkan oleh masyarakat di perkampungan orang-orang Minang di Beranang, Gombak dan di Tanah Minangkabau, Indonesia.   

Inilah yang saya katakan bahawa dialek Negeri Sembilan adalah : 'Hendak dikatakan dialek Minang, tidak dialek Minang, hendak dikatakan dialek penduduk asal,  tidak dialek penduduk asal'. Sedemikian, wujudnya dialek Negeri Sembilan adalah satu misteri.

Sila peramati lagu-lagu dialek Negeri Sembilan dan Minang seperti di bawah serta fokus kepada perbezaannya:


LAGU RAKYAT N.SEMBILAN: BONGAI


LAGU DIALEK N.SEMBILAN (MODEN): GADIS JOLOBU


LAGU MINANG : NASIB KABAU PADATI


Jujurnya, sekalipun ada perbezaan yang agak ketara (antara dialek Negeri Sembilan dengan dialek Minang), pada saya ada tautan susur galur keturunan yang tidak akan terputus selagi ada bulan dan bintang antara penutur dialek Negeri Sembilan dengan penutur dialek Minang di mana sahaja di atas muka bumi ini. 

Sekalipun dialek asal Minangkabau yang pernah dituturkan oleh nenek moyang Orang Negeri Sembilan dari Tanah Minangkabau lebih 5 abad yang lalu telah lebur, namun masih ada sisa-sisanya lagi pada setiap keturunan mereka di Negeri Sembilan sehingga ke hari ini. 

Sesungguhnya, misteri kewujudan dialek Negeri Sembilan, 'Hendak dikatakan dialek Minang, tidak dialek Minang, hendak dikatakan dialek penduduk asal,  tidak dialek penduduk asal' mungkin tidak akan terungkai sehingga bila-bila.  Tentunya situasi ini jauh lebih dahsyat dari misteri kehilangan MH370.  

Baranang ...boghonang, putush....putuih, ko mano.....kama....

Isnin, 21 April 2014

'ORANG NEGERI SEMBILAN BUKAN ORANG MINANGKABAU'?

UPDATE

Pendapat salah seorang penjenguk blog ini, MUNGKAL DELI , untuk renungan. Di antara petikan ulasan beliau ialah;

(1) GELOMBANG PERTAMA

"Kita bersetuju bahawa nama-nama suku di N9 terbit dari nama-nama tempat di Sumatera Barat, kampung asal para pendatang (mohon jangan disalah-tafsir perkataan ini, ia tidak bermaksud “deragotory”). Mereka hadir di Tanah Melayu pada kurun ke-15."

(2) GELOMBANG KEDUA

"Berlalu 300 tahun, menjengah tahun 17-1900an; berlaku lagi perpindahan gelombang kedua. Alam Minangkabau di Sematera semakin jelas budaya dan tata-cara hidup mereka sebegitu pula alam Minangkabau di Rembau yang ketika itu “hampir sempurna” dikenali sebagai Negeri Sembilan."
 
" Mereka yang tiba ini bermukim lalu bermustautin di Kapar, Klang mahupun Beranang berinteraksi menggunakan “susuk bentuk budaya baru” bahasa rasmi/baku iaitu Bahasa Padang, bahasa persisir (pantai) dan tidak bahasa darat (pendalaman/bukit). Maka di sinilah bermulanya perselisihan pengertian orang Negeri Sembilan dan orang Minangkabau. "


=================================


Baru-baru ini saya menonton sebuah rancangan masakan di TV yang dihoskan oleh seorang cef selebriti terkenal yang bergelar Dato’. Rancangan itu dirakamkan di sebuah perkampungan orang Negeri Sembilan di Negeri Johor. 

Untuk makluman, berlaku penghijrahan sekumpulan orang Negeri Sembilan ke Negeri Johor lebih satu abad yang lalu. Ironisnya, mereka masih mengamalkan adat istiadat Negeri Sembilan dan masih bercakap dialek Negeri Sembilan yang sama seperti yang diucapkan oleh saudara mereka di Negeri Sembilan sehingga ke hari ini. Mereka bangga mengaku orang Negeri Sembilan.

Apabila Cef selebriti itu mensabitkan penduduk kampong itu sebagai ‘Orang Minangkabau’, peserta dari kalangan penduduk kampong yang terlibat dalam rancangan masakan itu kelihatan tercengang dan tidak menunjukkan tindak balas mengiakannya.

Kenapa insiden tersebut berlaku?

Orang Negeri Sembilan di mana sahaja di atas muka bumi ini pada umumnya tidak menganggap kelompok mereka sebagai kelompok Orang Minangkabau. “ Orang Negeri Sembilan bukan Orang Minangkabau,” itulah kepercayaan Orang Negeri Sembilan.

Keturunan Orang Jawa dari Pulau Jawa samada di Tangjung Karang, Batu Pahat atau di mana sahaja tiada masalah untuk mengaku 'keJawaan' mereka. Begitu juga keturunan Orang Mandailing, Kerinci, Jambi, Rawa atau Banjar. Bagaimanapun, tidak kepada keturunan Orang Minangkabau yang kini gah dikenali sebagai Orang Negeri Sembilan. Mereka tidak mengaku ' orang Minangkabau'.   

Orang Minangkabau di Malaysia juga bersikap begitu. Mereka (Orang Minangkabau) tidak sama dengan Orang Negeri Sembilan.

Orang Negeri Sembilan mendefinasikan Orang Minangkabau selain dari kelompok mereka yang dikandung dalam sistem Adat Perpatih Negeri Sembilan sebagai ‘ Orang Minangkabau Asli (Orang Minangkabau ‘Pure’). Orang Minangkabau Asli (Minangkabau pure) tidak termasuk dalam sistem Adat Perpatih Negeri Sembilan. Masyarakat Negeri Sembilan generasi terdahulu di kampung-kampung tradisional agak tertutup minda mereka dan selektif dalam memilih bakal menantu khususnya menantu lelaki. Secara umumnya mereka tidak berapa bersedia bermenantukan lelaki ' Bukan Melayu'. Lelaki 'Bukan Melayu' yang dimaksudkan dalam konteks ini ialah lelaki berketurunan Indonesia termasuk keturunan Minangkabau Asli. Pernah berlaku di kampung saya ibu bapa seorang gadis menolak pinangan pihak lelaki dari satu-satunya keluarga keturunan Minangkabau Asli di kampung kami di atas faktor keluarga itu bukan keturunan ' Melayu'.

Catatan ini tidak menafikan sejarah asal usul keturunan Orang Negeri Sembilan. Catatan ini adalah mengenai realiti yang berlaku di kalangan masyarakat Negeri Sembilan dalam menanggap ‘susuk’ mereka.

Namun, perlu difahami bahawa keturunan Orang Negeri Sembilan tidak boleh ditakrifkan dengan mudah yaani ‘ sebiji ’ (100%) dari keturunan Minangkabau yang berasal dari Sumatera Barat, Indonesia. Mereka adalah dari keturunan campuran pendatang Minangkabau dan penduduk asal. Disebabkan larangan berkahwin sesama suku,kecerakinan keturunan antara dua golongan itu merebak di kalangan masyarakat Negeri Sembilan.

Begitulah juga dengan sistem Adat Perpatih yang diamalkan oleh masyarakat Negeri Sembilan. Sistem Adat Perpatih Negeri Sembilan bukan ‘foto copy’ sistem Adat Perpatih Minangkabau di Sumatera Barat, Indonesia.

Sistem Adat Perpatih Negeri Sembilan wujud di atas ‘peleburan’ Sistem Adat Perpatih Minangkabau, Sistem Adat Benar (penduduk tempatan) dan Adat Siak. Sistem Adat Perpatih Minangkabau ada persamaan dengan Adat Benar penduduk asal Negeri Sembilan dari segi menasabkan keturunan melalui nasab ibu. Ketiga-tiga elemen adat tersebut lebur dan menghasilkan Sistem Adat Perpatih Negeri Sembilan. 
         
Justeru itu, mungkin di atas ‘nas-nas’ yang dinyatakan seperti di atas dan perjalanan masa yang telah melebih 5 abad dari tempoh kedatangan awal orang Minangkabau ke Negeri Sembilan, masyarakat Negeri Sembilan sejak dekad-dekad kebelakangan tidak  selesa  ‘dikulluhumkan ' sebagai Orang Minangkabau secara sebarangan. Dalam kata lain, orang Negeri Sembilan sangat sukar mengaku bahawa mereka adalah Orang Minangkabau atau berketurunan Minangkabau.

Sehubungan ini, ‘kejahilan’ Cef Selebriti terkenal itu mengenai 'keMinangkabauan' Orang Negeri Sembilan bukanlah kes terpencil.

Berdekad-dekad sebelum ini, penonton filem klasik Melayu ' Tunang Pak Dukun ' mungkin ada yang tertipu dengan sisi sebenar Orang Negeri Sembilan yang disamakan dengan Orang Minangkabau seperti yang dipertontonkan melalui lagu 'Pulang Merantau' dalam filem tersebut. Paparan yang mengiringi dendangan lagu itu menunjukkan muda-mudi balik ke kampung mereka di Negeri Sembilan dengan menaiki bas.

Sangat jelas bahawa lontaran senikata lagu ' Pulang Merantau' dalam filem Tunang Pak Dukun adalah bukan dalam dialek Negeri Sembilan. Tiada satu tempat pun dalam Negeri Sembilan di mana penduduknya menggunakan dialek seperti dalam lagu tersebut.

Sesungguhnya, kejahilan mengenai sisi ‘Minangkabaunya’ masyarakat Negeri Sembilan telah lama berlaku dan berakar umbi. Hatta, ianya berlaku sehingga ke hari ini. Bagaimanapun, tiada sesiapa yang perlu dipersalahkan. Senario ini mungkin berlaku kerana uniknya sejarah Negeri Sembilan itu dan sukar dihadam susur galur jalan ceritanya.

Hakikatnya, orang Negeri Sembilan selesa dengan status 'Orang Negeri Sembilan' mereka. Mereka seperti tidak perlu bergantung kepada 'keMinangkabauan' nenek moyang.

Setahu saya, Orang Minangkabau Asli di Malaysia juga tidak menganggap Orang Negeri Sembilan sebagai Orang Minangkabau.

Kebenaran 'keMinangkabauan' orang Negeri Sembilan cuma berlegar di kalangan mereka yang bergelumang dalam sistem adat, golongan terpelajar dan yang rajin membaca sahaja. Pada umumnya, kebanyakkan masyarakat biasa tidak menyedari atau tidak perasan sisi 'keMinangkabauan' mereka.

Namun, tiada sesiapa yang dapat memadamkan sejarah dan kebenaran.

Ohh........   

Ahad, 20 April 2014

SAUDARA KANDUNG



Seorang kawan memberitahu saya bahawa dia membayar RM30.00 kepada adik kandungnya sebagai upah kerana membawa seekor anak ikan arwana dari Bukit Merah, Perak. ke Kuala Lumpur. Adiknya yang menetap di Kuala Lumpur balik ke kampung mereka di Gunung Semanggul bersama keluarganya. Kampung dua orang adik beradik kandung itu tidak berapa jauh dari kolam ikan arwana di Bukit Merah. 

Kata kawan itu, dia membayar RM150.00 untuk harga seekor anak ikan arwana dan ditambah RM30.00 lagi sebagai upah kerana membawa anak ikan itu dari Bukit Merah ke Kuala Lumpur. 

Saya bertanya, " Adik beradik kandung pun upah-mengupah? Lagi pun kolam ikan itu lokasinya di sekitar kampung kamu. " 

"Saya beri RM30.00 kerana budi bahasa dan inilah yang saya lakukan kepada orang lain atau kawan-kawan . Dia (adik kandung) pula menerimanya tanpa rasa bersalah walaupun saya abang kandungnya."

Saya yang cuma mempunyai seorang saudara kandung beranggapan sikap adik kawan itu agak keterlaluan. Namun, mungkin penilaian sedemikian tidak boleh 'digeneralisekan' kepada mereka yang mempunyai ramai adik beradik dan berbeza latar belakang.


Sabtu, 19 April 2014

OH Negeri Den

Demi negeri asal usul:


DATANGLAH KE NEGERI SEMBILAN




APO NAK DI KATO - lagu evergreen, patah-patah sebutan dalam dialek asli Negeri Sembilan. Penyanyi (Ito) bukan anak jati Negeri Sembilan. Beliau anak Melaka (Alor Gajah) yang bersempadan dengan Negeri Sembilan yang penduduknya bertutur dalam dialek Negeri Sembilan. 



JUMPO KAWAN LAMO


NYOMONDO (penyanyi hebat berbakat ini tidak diketahui nama beliau)


Sebelum terjerumus dan diaibkan sehingga terjerumus ke Liga Perdana  bolasepak Malaysia, Negeri Sembilan adalah kuasa bolasepak tanah air. Jang perlu bangkit jangan tidur lama sangat!!


 
MONANG...JUARO..(dari http://greenball.multiply co.)

YAB Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad bin Hassan - contoh pengucap dialek Negeri Sembilan sebenar yang tiada tolok bandingnya. Sekalipun beliau berucap secara rasmi dalam Bahasa Malaysia standard, ' telur ' dialek Negeri Sembilan masih melekat pada patah-patah sebutan yang diucapkan.


Saya secara sengaja tidak menyelitkan lagu popular Apo Kono E Jang yang dikaitkan sebagai lagu dialek Negeri Sembilan kerana saya berpendapat bahawa patah-patah lontaran sebutan lirik melalui lagu tersebut tidak menepati sebutan dialek Negeri Sembilan sebenar.

Saya berpendapat bahawa sebutan lirik dalam lagu Apo Kono E Jang dipengaruhi oleh elemen dialek Minang atau Rawa. Perlu diketahui bahawa secara halusnya dialek Negeri Sembilan tidak sama dengan dialek Minang atau lain-lain etnik yang berasal di Sumatera Barat. Dialek Negeri Sembilan adalah asimilasi dialek Minang dengan dialek penduduk tempatan Negeri Sembilan. Dialek Negeri Sembilan terhasil apabila Dialek Minang dan Dialek Tempatan lebur dalam adunan yang tidak dapat diasingkan identiti asal-usul . 

Negeri Sembilan memiliki sumber unik yang menjadikan negeri ini ada kelainan - Institusi Yang Di-pertuan (Sultan/Raja), Institusi Adat Perpatih yang termasuk Institusi Undang Luak, Suku dan sebagainya, Institusi Dialek Negeri Sembilan, Kelainan Masakan ( masak lomak cili api), Institusi Seni, Amalan 'Mogang' yang semakin dilupakan dan sikap kenegerian orang Negeri Sembilan yang kadang-kadang merimaskan orang negeri lain.

Oh, negeri Den.    

 

Ahad, 13 April 2014

SAAT YANG MENGASYIKKAN

Kemesraan Dua Orang Pemimpin Seagama (Ketika YAB Perdana Menteri ziarah Timb. Mursyidul Am PAS di hospital)

Dua orang tokoh yang kemesraan mereka terserlah di atas adalah pemimpin besar dua buah parti politik yang saling 'bermusuhan' . Dalam mengamalkan sistem demokrasi yang dibenarkan oleh undang-undang negara, anda mungkin menyokong salah seorang daripada mereka dan saya pula yang seorang lagi.

Justeru itu, kita juga mungkin ' bermusuh '. 

Namun, kita mungkin meluahkan emosi yang sekata, "Masya Allah, Syukur, Alhamdulillah", apabila melihat mereka melupakan sebentar ideologi parti masing-masing sehingga mewujudkan suasana harmoni yang sedemikian rupa. 

Semoga pendekatan politik bertaraf dunia ini diikuti oleh pemimpin-pemimpin yang lain. Sekalipun mungkin ada yang memandang sinis kemesraan mereka, kita pula hendaklah memilih kaedah berbaik sangka. Bukankah umat Islam itu bersaudara? Carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum juga.

Sabtu, 12 April 2014

ujang kutik: NEGERI SEMBILAN : KAHWIN SAMA SUKU

ujang kutik: NEGERI SEMBILAN : KAHWIN SAMA SUKU: PEKAN KOTA, N.SEMBILAN 'Tamadun' Adat Perpatih Di Rembau Bermula Dari Persekitaran Kawasan Ini Secara umumnya, sesiapa p...

Jumaat, 11 April 2014

JEBE

Setelah beberapa ketika menahan sabar kerana tercabar, putera sulung saya yang menikah pada penghujung bulan Oktober, 2013, bersuara. 

Manakan tidak, sepupunya yang berkahwin lewat sebulan telah ‘ ada ‘. Begitu juga kawan-kawannya yang berkahwin pada tarikh hampir sama juga sudah ‘ada’. 

Teruja dan gelojohnya dia bukan kepalang. Insan pertama yang diberitahu di sebelah keluarga kami ialah ibunya, isteri saya. Dia menelefon ibunya dan menyatakan dengan bangga, “ Insya Allah, ibu akan jadi nenek. “ 

Walaupun saya turut teruja, saya menahan diri tidak menelefonnya. 

Tidak berapa lama selepas itu saya menerima WhatsAp dari adik bongsunya yang menuntut di kolej. Dia telah pergi begitu jauh. Dia telah menghantar WhatsAp imej scan oleh klinik yang mengesahkan isterinya telah mengandung kepada adiknya. 

Kira-kira 5 minit kemudian ibunya menerima penggilan telefon dari anak lelaki kedua kami yang bercuti di Cameron Highlands. Adik lelakinya juga sudah dimaklumkan! 

Suasana semakin tidak terkawal. Pada malamnya selepas solat Isyak saya menerima panggilan telefon darinya. Dia bertanya samada ibunya telah memberitahu saya sesuatu berita. Logiknya, tak kanlah ibunya tidak memberitahu berita yang menggembirakan keluarga kami. 

Bagaimanapun, saya pura-pura tidak mengetahui apa yang berlaku. Dia pula berpura-pura buat bodoh dengan bertanya perkara yang dia telah mengetahui jawapannya untuk memeriahkan keadaan. Katanya lagi, “ Insya Allah ayah akan jadi datuk.” Tahniah! 

Setelah itu dia meminta untuk bercakap dengan ibunya. Saya mencuri dengar perbualan ibu-anak dengan teliti. “ Mak Long di Shah Alam sudah diberitahu kah? Mak Ngah di kampung (N.Sembilan) sudah diberitahukah? Pak Teh? Mak Lang di Kosas? 

Orang kampung saya di Negeri Sembilan mengungkapkan gelagat anak saya ini dengan ungkapan “ Jebe “ ( sebutan Je berbunyi suku kata pertama perkataan Jenaka, sebutan be berbunyi suku kata kedua perkataan biber - Je-be). Jebe adalah gelagat yang membawa maana bangga, megah,… dalam mood yang melampau dan tidak terkawal. 

Jebe adalah suatu pelakuan semula jadi yang sukar atau tidak dapat dielakkan apabila mendapat kelebihan atau sesuatu yang membanggakan. Jebe tidak semestinya pelakuan yang membawa maksud negatif. 

Bagaimanapun, pelakuan Jebe dengan mudah boleh beralih kepada riak dan ujub apabila dilakukan secara berlebihan dan tidak berpaksikan bahawa segala sesuatu adalah di atas anugerah, kasih sayang dan belas kasihan Allah. 

Tuan punya blog ini juga mungkin dituduh ‘ Jebe’ kerana tersangatlah gembira bakal mendapat cucu (Insya Allah) dan meluahkan kegembiraan tersebut secara halus melalui laman blognya. . 

Semoga Allah melindungi anak lelaki sulung saya, isterinya dan kandungan isterinya. Semoga anak yang bakal lahir (Insya Allah) menjadi hamba Allah yang beriman. Amin.

Selasa, 8 April 2014

KAHWIN SAMA SUKU : HUKUMANNYA




Antara Ketua Adat (dari kiri - YM Dato' Ungkai Majid, YM Dato' Paduka Maharaja Hj.Mahat  Md.Noh, tidak diketahui nama,   Professor Norhalim bin Hj.Ibrahim (Allahyarham) -Lokasi: Kg.Chengkau Ulu,N.Sembilan

Walaupun sistem Adat Perpatih menyediakan sedikit ruang kepada anak adat (keturunan) suku tertentu berkahwin sesama suku, pada prinsipnya sistem adat yang dianuti oleh masyarakat Negeri Sembilan itu tidak membenarkan perkahwinan di kalangan sesama anak suku -  “Sama Suku Tidak Boleh Berkahwin”. Contoh, lelaki dari Suku Tiga Nenek tidak boleh berkahwin dengan wanita dari Suku Tiga Nenek.

Perkahwinan yang dibenarkan oleh sistem Adat Perpatih adalah di kalangan pasangan yang berlainan suku atau lain suku.

Masyarakat Adat Perpatih menganggap mereka di kalangan suku yang sama umpama adik-beradik. Ini adalah kerana anggota sesuatu suku itu berasal daripada seorang nenek moyang (nasab dalam adat perpatih mengikut nasab ibu) yang mulanya membentuk keluarga, kemudian rumpun, perut dan apabila keturunan berkembang  melalui perjalanan masa mewujudkan suku. 

Masyarakat Adat Perpatih mempunyai rasional mereka sendiri mengenai larangan berkahwin sesama suku. Antaranya; Larangan berkahwin sesama suku memperkasa institusi kekeluargaan kerana setiap anggotanya yang mengetahui ikatan kekeluargaan tentunya mengambil tahu dan menjadi pelindung kepada masyarakat sukunya.

Sementara itu, golongan lelaki pada setiap masa memandang dan mengganggap anggota perempuan yang sesuku dengan mereka samada sebagai ibu, kakak, adik atau anak yang wajib dihormati, dijaga, dilindungi dan disayangi.

Mungkin di atas faktor inilah menyebabkan tiadanya kejadian sumbang di kalangan jiran sekampung dalam masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan.

Catatan ini bertujuan untuk berkongsi maklumat dengan pembaca mengenai hukuman yang ditetapkan Adat Perpatih terhadap pasangan yang berkahwin sesama suku.

Perkahwinan sesama suku terbahagi kepada dua kategori. Kategori pertama diklasifikasikan sebagai perkahwinan ’Sumbang Sewaris’. Yang kedua, ‘Sumbang Sekadim’.

Hukuman yang dikenakan terhadap pasangan yang berkahwin sesama suku dinamakan ‘ Hukum Kahar ‘.

Masyarakat Adat Perpatih memandang pelaku kahwin sesama suku ibarat haiwan dan tidak layak wujud dalam masyarakat. Pelaku dan pasangan akan dipulaukan dan disisihkan daripada segenap sudut kehidupan seharian masyarakat.

(a)   Sumbang Sewaris

Definasi:

Sumbang sewaris adalah berkahwin sesama suku.  

Hukuman:
  • Pasangan dihalau oleh ahli-ahli sukunya, tidak dibenarkan duduk di dalam sukunya dan juga tidak diterima oleh suku-suku lain di wilayah atau luak (daerah) berkenaan. Digambarkan bahawa betapa jijiknya pasangan itu di mata masyarakat adat sehingga bekas tempat duduk mereka akan dibasuh.
  • Lelaki yang melakukan kesalahan hilang hak memegang jawatan ( menjunjung saka) yang terdapat dalam sistem Adat Perpatih. Seandainya pelaku itu memegang jawatan semasa melakukan kesalahan, jawatannya akan dilucutkan dengan serta merta. 
  • Pelaku kesalahan perempuan akan kehilangan hak ke atas segala harta pusaka suku.
  • Pasangan terlibat diperbilangkan sebagai, “Laksana buah beluluk, Tercampak ke laut tidak dimakan ikan, Tercampak ke darat tidak dimakan ayam.
Cantiknya sistem Adat Perpatih adalah kerana walaupun tegas tetapi masih ada jalan pulang kepada pesalah adat yang ‘ingin pulang ke pangkuan adat’. Bagaimanapun, pelaku kesalahan adat perlu melalui dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan terlebih dahulu. Dikatakan bahawa syarat asas pengampunan pesalah adat tidak seragam antara luak (daerah). 
  • Ada luak yang mensyaratkan pesalah adat yang kematian pasangan atau bercerai sahaja boleh diampunkan. Sebaliknya, ada juga daerah yang tidak mensyaratkan peraturan sedemikian berat.
Penerimaan sistem adat/masyarakat terhadap pelaku kesalahan adat yang ingin kembali ke pangkuan adat bergantung kepada keizinan anggota kelompok kekerabatan dan direstui oleh Ketua-Ketua adat. Setelah ada persetujuan yang terhasil dari majlis berkampung dan bermuafakat, pelaku kesalahan adat perlu melakukan syarat-syarat yang ditetapkan dalam majlis yang diawasi oleh Datuk Lembaga (Ketua Suku) suku berkenaan. Syarat-syarat yang perlu dilaksanakan ialah: 
  • Menyediakan 50 gantang beras, wang tunai RM14.00 dan mengadakan seekor kerbau atau lembu untuk majlis kenduri. 
  • Menjemput Ketua-Ketua Adat dengan penuh istiadat ke majlis kenduri. 
  • Pelaku kesalahan adat (berkahwin sesama suku) mengisytiharkan kesalahan yang telah dilakukan dan membayangkan keinginan untuk kembali ke pangkuan suku serta bergabung semula dalam ikatan keluarga seperti mana dahulu.
  • Selepas mengakui kesalahan dan meminta maaf kepada orang ramai, pelaku kesalahan adat ‘ menyembah’ semua anggota suku yang hadir untuk meminta maaf. Majlis kenduri tersebut adalah gelanggang bagi menghebahkan kepada masyarakat sesuku dan seluak bahawa pasangan pelaku kesalahan adat telah kembali ke pangkal jalan ( surut ke pangkal jalan), serta mengakui di samping menebus kesalahan (nya/mereka). Majlis itu adalah satu cara memohon maaf secara terbuka.
  • Pelaku kesalahan adat yang telah ‘diampunkan’, dibenarkan balik ke tempat asal dan diberi kedudukkan seperti sebelum berlakunya kesilapan setelah istiadat dilakukan dengan jayanya.  
(b)   Sumbang Sekadim

Definasi:

Sumbang Sekadim adalah melakukan perkahwinan di kalangan sama suku dengan ‘ahli seperut ‘. Ahli seperut bermaksud lebih kurang, “Ikatan kekeluargaan di kalangan ahli suku yang sama pada kedudukkan selepas keluarga kandung.”  Dalam masyarakat Negeri Sembilan, ahli seperut kebiasaannya ialah jiran di sebelah rumah dan  lokasi tanah/dusun/sawah pusaka di kalangan ahli seperut kebiasaannya bersebelahan atau berhampiran.

Sama sesuku di kalangan masyarakat adat boleh berlaku kepada masyarakat adat yang berlainan kampong. Bagaimanapun, sama ' seperut' cuma berlaku di kalangan masyarakat adat sekampung sahaja..    

Hukuman Kerana Sumbang Sekadim:

Kesalahan kerana berkahwin sesuku di bawah kategori 'Sumbang Sekadim' adalah kesalahan besar dalam sistem Adat Perpatih. Ini boleh difahami dengan mudah kerana ikatan kekeluargaan mengikut struktur Adat Perpatih seperti yang diterangkan pada perenggan di atas. Hukumannya ialah:
  • Segala harta benda pasangan dirampas.
  • Diceritakan bahawa pernah berlaku di zaman dahulu mengenai satu pasangan yang melakukan kesalahan kategori ini dikenakan hukuman bunuh. Mereka ditangkap, dimasukkan ke dalam bakul dan dibenamkan ke dalam sungai. Kubur mereka dikenali sebagai Jerat Sumbang.
  • Ungkapan di kalangan masyarakat Adat Perpatih kepada mereka yang melakukan Sumbang Sekadim ialah: Hidup tidak terpelihara, Mati Tak Ditanam, Harta Diambil, Tuan dibunuh.
  • Terdapat juga perbilangan yang berbunyi, “ Ke laut tumpah karam, Ke darat sial terbakar”.


ULASAN:

  1. Kejadian berkahwin sama sesuku jarang berlaku. Sepanjang hidup saya yang kini melebihi 50 tahun, belum ada lagi berlaku perkahwinan sama suku di kampong saya di Rembau, Negeri Sembilan. (Perkahwinan sama suku tetapi berlainan sub-suku di kalangan Suku Biduanda Lela Maharaja dengan Suku Biduanda Sedia Raja seperti yang saya kisahkan dalam catatan terdahulu ‘Kahwin Sama Suku ‘ dibenarkan oleh sistem Adat Perpatih).

  1. Secara umumnya, masyarakat adat di Rembau adalah masyarakat yang masih kuat berpegang kepada Adat Perpatih berbanding masyarakat adat di daerah (luak) lain. Namun demikian, ada amalan dan anjuran dalam sistem Adat Perpatih telah diabaikan kerana sikap ketidakpedulian dan kejahilan pengikutnya. Sebagai contoh, ikatan kekeluargaan ‘ahli seperut’ hampir menemui ‘jalan mati’. Kebanyakkan generasi hari ini dan termasuk juga generasi saya (50-an) tidak lagi mengenali dan ambil-peduli ‘ahli seperut’ sendiri walaupun sekampung.

  1. Ironinya, dalam keresahan institusi Adat Perpatih kerana terhakisnya sesetengah amalan-amalan  yang menunjangi kelangsungan adat tersebut, masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan masih akur kepada larangan berkahwin sesuku. Hakikatnya, hampir tidak berlaku perkahwinan sesama suku di kalangan masyarakat Adat Perpatih Negeri Sembilan sehingga ke hari ini.  

  1. Kes sepasang pelaku kesalahan ‘Sumbang Sekadim’ dihukum bunuh dengan cara memasukkan pasangan malang itu ke dalam bakul dan membenamkan mereka di dalam air sehingga mati tidak boleh diterima oleh masyarakat hari ini. Bagaimanapun, perbuatan kejam zaman itu bolehlah dikiaskan dengan kesetiaan membabi buta Hang Tuah sehingga sanggup membunuh sahabatnya Hang Jebat  yang ingin membela ketiadak-adilan Sultan. Kalaulah hukuman adat tersebut masih wujud lagi sehingga ke hari ini, sudah pasti pelaksanaanya tidak dibenarkan oleh undang-undang negara.

   
SUMBER : “ Kahwin sesuku dan berkadim dalam Adat Perpatih oleh NORHALIM HJ. IBRAHIM ” dan sumber-sumber lain.

Isnin, 7 April 2014

HULU LANGAT


Kawasan perumahan saya di Ampang, Selangor adalah sebuah kawasan pinggir-bandar. Kawasan ini dipisahkan dengan Hulu Langat oleh bukit bukau yang menghijau. Sebatang jalan dengan kepanjangan kira-kira 4 kilometer dibina beberapa  tahun yang lalu menghubungkan Ampang dan Hulu Langat.

Di jalan inilah terletaknya ' mantan ' Kompleks Menara Tinjau di mana hampir seluruh kota Kuala Lumpur dapat dilihat. Sayangnya, kompleks ini telah tidak beroperasi lagi sejak hampir dua tahun yang lalu di atas sebab-sebab yang tidak diketahui oleh kebanyakkan orang. Sekalipun demikian, pengunjung di bukit bukau pada ketinggian sederhana ini masih boleh melihat Kuala Lumpur dari satu lokasi tidak jauh dari tapak kompleks yang telah menjadi projek gajah putih itu. Di kawasan ini juga telah didirikan banyak gerai makanan. Gerai-gerai tersebut dibuka seawal 6.00 petang hingga jauh malam.

Sekalipun rumah saya terletak di kejiranan lokasi ini, saya masih belum berkesempatan menjamu selera di gerai yang terletak di atas bukit itu. Namun, saya dapat bayangkan tarikan yang ada di situ -   makan-makan sambil berbual bersama teman/rakan dengan hembusan angin rimba yang segar dan juga paparan landskap Kuala Lumpur dari kejauhan yang menunggu di bawah. Saya difahamkan bahawa gerai-gerai tersebut menarik perhatian anak-anak muda.

Penghujung jalan Ampang-Hulu Langat ialah Pekan Bt.10. Seorang pelancung luar negara yang baru sahaja meninggalkan kawasan Majlis Perbandaran Ampang (MPAJ) yang moden mungkin terkejut melihat adanya pekan senaif Pekan Bt.10 Hulu Langat di alaf ini. Pekan ini lesu dan tidak bermaya dengan bangunan rumah kedai lama yang usang dan kusam.

Bagaimanapun, samada landskap Pekan Bt.10 Hulu Langat dibiarkan dengan status quo atau dibangunkan sehingga menjadi sebuah bandar moden, tidak banyak pulangan maruah bangsa dan ekonomi yang akan diperolehi oleh orang Melayu.

Sebagai contoh, Pekan Taman Sri Nanding, lebih kurang 2 kilometer dari sini, yang asalnya adalah sebuah pekan milik orang Melayu yang seadanya telah mengundang puluhan peniaga luar bukan Melayu yang lebih mahir dan berkemampuan apabila dibangunkan sebagai pusat komersial yang cantik dan moden.

Perlu Melakukan Anjakan Drastik Kalau Ingin Kekal Bersaing
Di antara yang sangat terkesan dengan rempuhan peniaga dari luar ini ialah sebuah pasar raya milik orang kita yang sebelumnya menguasai perniagaan runcit di kawasan orang Melayu ini. Tuan punya pasar raya ini perlu bertindak lebih bijak supaya mampu bersaing. Orang Melayu pula perlu lebih patriotik dengan menyokong kelangsungan perniagaan bangsa sendiri dari dibaham oleh serangan yang menggila dari  peniaga luar.

Kalaulah di dalam peperangan, bolehlah dijangka bahawa selepas Sri Nanding 'ditawan', pekan-pekan berikutnya akan 'ditawan' juga oleh 'pihak musuh' di atas nama kemajuan.

Kita lupakan sementara mengenai sesuatu yang kita katakan milik kita tetapi kini telah 'dirampas' atau terpaksa dikongsi bersama orang lain.

Hutan Lipur Yang Cantik, Airnya Bersih dan Jernih
Marilah kita bercerita mengenai sesuatu yang diyakini masih milik kita. Setakat catatan ini ditulis, kawasan dan persekitaran antara Pekan Bt.10 hingga ke Kg. Pangsoon Hulu masih milik kita, orang Melayu! Di kawasan dan persekitaran ini penduduknya hampir 100% orang Melayu/orang asal (ada sebuah perkampungan orang asli di sini) yang kebanyakkan nenek moyang mereka berasal dari Sumatera Barat, Indonesia - terutamanya etnik Mandailing dan Minang. Dialek percakapan penduduk di sini ada mirip dialek orang Negeri Sembilan.

Kalau saya silap tolong betulkan. Kawasan sebelah barat Selangor didiami oleh oleh anak cucu keturunan orang Jawa.

Kawasan di sebelah timur Selangor pula, iaitu Beranang, Kajang, Hulu Langat dan Rasa (utara Selangor) didiami oleh anak cucu keturunan pendatang dari Sumatera Barat (Minang, Mandailing, Jambi dan mungkin suku-suku lain dari Sumatera Barat yang saya tidak tahu ).

Saya selesa dengan kawasan dan persekitaran di sini - suasana kampung, alam semula jadi dan dialek penduduknya banyak persamaan dengan dialek negeri asal saya, Negeri Sembilan.

Di sinilah letaknya tempat Perkelahan Sungai Congkak, tempat Perkelahan Sungai Pangsooon, lokasi awal mendaki Gunung Nuang yang terkenal itu, dusun buah-buahan, Air Panas Dusun Tua, kawasan tadahan air Empangan Hulu Langat dan lain-lain lagi yang berelemenkan alam semula jadi. 

Sungai Langat Airnya Bersih dan Jernih
Kawasan ini masih sarat dengan keindahan alam semula jadi yang masih belum dicemar. Di sini masih wujud suasana perkampungan Melayu dengan adunan rumah lama bercirikan seni bina Melayu dan rumah-rumah moden yang cantik dan menarik.

Saya selalu berada di persekitaran ini samada dengan keluarga atau sendirian. Saya seronok dan asyik ketika berada di kawasan ini .   
      
Papan Tanda Yang Jelas Maksudnya
Bangunan Lama Di Kg. Kuala Pangsoon

Masjid Kg. Kuala Pangsoon (Terletak Di Tepi Sungai)

Sungai Di tebingnya Masjid Kg.Kuala Pangsoon



                                                        Surau Masyarakat Orang Asli

Di Antara Rumah Penduduk Orang Asli Kg. Kuala Pangsoon

Pondok Untuk Disewa Semasa Berkelah
Jambatan Gantung
Cantik Dan Menenangkan

Bangunan Milik Persendirian Di Tebing Sungai

Landskap Menarik
Salah Satu Lokasi Perkelahan
Bangunan Lama TNB (Hampir semua tarikan di sini dipengaruhi elemen air)
Riadah Lasak (Mandi dan Menghilir)