Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Isnin, 20 Februari 2012

india Islam : india peranakan @ jawi peranakan


Saya berkesempatan membaca buku Kenangan-Kenangan Abdullah Munsyi yang ditulis oleh Datuk Zahari A.Rashid. Buku tersebut ialah cubaan beliau memaparkan kembali kisah-kisah yang terdapat di dalam buku Hikayat Abdullah. Pada saya, buku tersebut adalah jalan pintas terutamanya di kalangan kita yang 'malas' membaca, mendapat manfaat dalam usaha memahami seboleh mungkin isi kandungan buku Hikayat Abdullah yang hebat itu.

Dinyatakan dalam buku tersebut bahawa empat bangsa di Bandar Melaka, yaani bangsa Melayu, bangsa Cina, bangsa Keling (India) dan bangsa Nasrani (Portugis) hidup dalam suasana harmonis, aman damai, bekerjasama, saling  menghormati dan  menggunakan bahasa Melayu semasa berkomunikasi di antara etnik (bangsa).

Bangsa Cina yang dimaksudkan oleh pengarang Hikayat Abdullah, Abdullah bin Kadir Munsyi, ialah masyarakat Baba atau Cina Peranakan. Kewujudan masyarakat Baba atau Cina Peranakan atau Baba Melaka diketahui oleh kebanyakkan rakyat negara ini.

Bagaimanapun, mungkin ada di kalangan kita tidak menyedari bahawa seiring dengan wujudnya masyarakat Baba atau Cina Peranakan di Melaka ketika itu, wujud juga golongan India Peranakan atau Jawi Peranakan.

Diceritakan bahawa bangsa Keling termasuklah Tamil, Gujarati, Malabari,Bangali dan Chitty. Bangsa Keling di kalangan yang beragama Islam lebih rapat dengan Orang Melayu kerana mereka menganut agama yang sama.

Kebanyakkan pedagang India Islam yang telah mempunyai isteri di India tidak membawa isteri mereka ke Melaka. Sehubungan itu, ramai di antara mereka berkahwin lagi dengan wanita Melayu Melaka. Lama kelamaan keturunan India Islam yang berkahwin dengan wanita Melayu tempatan dikenali sebagai India Peranakan atau Jawi Peranakan.   

Bagaimanapun, berbeza dengan Cina Peranakan yang tidak boleh berbahasa Cina kecuali bahasa Melayu, golongan India Peranakan masih terus menggunakan bahasa Tamil dalam keluarga.

Seterusnya buku tersebut mencatatkan; " Sehingga hari ini, umumnya golongan India Peranakan ini masih menggunakan bahasa Tamil dalam perbualan harian sesama keluarga. Namun kini kewujudan kaum India Peranakan di Bandar Melaka sudah tidak ketara lagi. Hal ini mungkin kerana bilangan mereka sudah semakin mengecil samada akibat ramai yang berpindah ke bandar-bandar lain atau sudah terserap (asimilasi) sepenuhnya ke dalam masyarakat Melayu. Kesan yang masih tinggal hari ini hanyalah kawasan Kampung Keling dan Masjid Keling di tengah-tengah kota raya Melaka. Selain itu, masih terdapat sekumpulan kecil keturunan India Muslim yang menjalankan perniagaan barangan antik di Jongker Street." 

Sehubungan ini saya teringat kepada sahabat saya yang berketurunan DKK, Kadir. Bagaimanapun, dalam konteks ini Kadir tidak layak dikategorikan India Peranakan @ Jawi Peranakan kerana institusi keluarganya berpengkalan di Pulau Pinang, bukannya Melaka. 

Pun demikian, acapkali pengunjung tersesat ke blog saya kerana salah faham dengan nama 'Ujang Kutik'. Ramai yang beranggapan saya berketurunan DKK. Tidak mengapa, apalah yang ada pada nama!   

2 ulasan:

  1. Saudara Ujangkutik,

    Baru2 ini setelah saya selesai menghadiri kenduri kahwin di Bahau, saya sempat ke Melaka. Sementara isteri dan anak2 dan lain2 saudaranya berjalan2, saya berjalan seorang diri.

    Antara tempat yang saya lawati termasuklah Masjid Keling. Masjid ini mempunyai ciri2 keunikan asli yang tersendiri. Dan dikatakan bahawa pusara yang terdapat di perkarangan masjid tersebut termasuk keluarga Munshi Abdullah.
    Allahu 'alam
    http://pakmail-masjid.blogspot.com/

    BalasPadam
  2. Sdr Pak Mail,

    Keluarga Abdullah Munsyi memang menetap di Melaka. Abdullah Munsyi ke Singapura dan menetap di Kampung Melaka, Singapura kerana bekerja dengan Inggeris.

    Dikatakan ketika di Singapuralah dia menulis Hikayat Abdullah berpandukan maklumat-maklumat yang masih diingatnya ketika di Melaka.

    Saya tertarik harmonisnya masyarakat majmuk Bandar Melaka ketika itu - Bangsa Melayu, Bangsa Cina (Cina Peranakan), Bangsa Keling (India) dan Bangsa Serani (Portugis). Tiada kita dengar dalam sejarah negeri Melaka mereka bergaduh atau berbunuhan.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."