Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......
Memaparkan catatan dengan label sajak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sajak. Papar semua catatan

Isnin, 21 November 2016

MARILAH BERLARI

Tika air sudah sampai di kaki
kau masih asyik
membilang titik-titik hujan
jatuh dari salur 
menyulam bait-bait puisi
melankolik ditinggal kekasih

marilah berlari
menuju tanah tinggi
kau akan mati
tidak dipeduli
jika terus berpuisi di sini

IBRAHIM SALEH
Ampang, Selangor

Ahad, 1 November 2015

LULUH

Merpati kukirimkan warkah sudah pulang. Ada sedih disingkap alisnya. Ada warkah tidak jadi bertuan.

Meluluhkan perasaan.


IBRAHIM SALEH
Ampang, Selangor

Selasa, 13 Januari 2015

BUSUNGKAN DADA ENGKAU, BUJANG

Entah kenapa saya sangat asyik dan sangat menyenangi bait-bait tulisan Dr Nordin Selat yang berbunyi:

Busungkan dada engkau, bujang
Perlihatkan tanda engkau lelaki
Jangan takut tanah akan merah
Satu hilang, kedua terbilang
Sebelum ajal berpantang mati
Namun di dalam kebenaran
Biar dipancung leher putus
Setapak jangan engkau surut

          (Nordin Selat, Teromba)

Ahad, 23 November 2014

SEBUAH KHUSYUK


Andainya sebuah khusyuk itu barangan dagangan
aku akan membelinya
tidaklah aku pedulikan
berapakah harganya sekalipun. 

Dengan sebuah khusyuk aku akan lebih yakin;
bermanja-manja denganNya
meminta-minta denganNya
merayu-rayu denganNya
merengek-rengek denganNya
semahu-mahunya.

Dengan sebuah khusyuk
aku tidak berpaling
menuju  jalan pulang.


Isnin, 15 September 2014

MUDIK BERLARI

Masjid Hang Tuah, Melaka


Sesekali aku hilang arah di kota sendiri
tika laluan dialih tanda arahnya
dikejar dalam sangka mengejar
yang tidak jelas tuju arahnya.

Ketika melatar simpang pedoman 
yang tidak terpandangkan
aku gegas mudik berlari
menghimpun diri
dalam saf istighfar yang panjang.

Jumaat, 12 September 2014

TERIMA KASIH UNCLE


Gegas sidang CEO dan anak saudaranya yang tidak perlu ada agenda

Di bilik CEO yang juga tidak perlu cukup korum

Kerana tiada perkara yang perlu diminitkan

Ini dunia nyata, tidak perlu meritokrasi

Di sini juga wilayah solidariti darah daging;senioriti adalah barang lusuh 

yang tidak perlu ada harga 

Walaupun berdua sahaja di dalam bilik berkunci, mereka berbisik-bisik; 

“Kamu dinaikkan pangkat”

“Terima kasih kerana menaikkan pangkat saya walaupun tiada keperluan lagi 

andainya uncle tidak berada di kerusi CEO......he..he....”



Sabtu, 21 Jun 2014

pohon dendam

Agak lama juga engkau membelai pohon dendam itu
dari sebiji benih sehingga berpohon rendang dan berbuah
bahkan ketika kemarau panjang
kau masih menyiramnya dengan air kasih dan sayang.

Ada juga ketika-ketikanya
pohon dendam layu seketika
apabila ada yang bertanya dan cuba mengambil tahu
di kalangan orang asing yang tidak pernah engkau kenal
dan rakan-rakan yang telah lama tidak bertanya khabar
mengongsi simpati dalam saf setiakawan.

Pohon dendam mekar segar seperti sediakala
ketika mereka yang sangat engkau kenal
dan yang biasa melihat engkau bermain dengan pelangi
membenarkan engkau sendirian memburu mimpi..

Pohon dendam tegak gagah menujah langit
akar tunjangnya semakin kukuh bertapak menyucuk bumi
berbunga dan galak berbuah
di kala engkau tidak perlu membelainya lagi.
      

Ahad, 25 Mei 2014

KUSYUK

Di satu sidang akhbar dia menghebahkan sudah berhijrah
dia kini bertudung setelah diingatkan melalui mimpi oleh orang berjubah.

Katanya, dia tidak lagi meninggalkan solat
dia mula mendapat nikmat kusyuk
hatinya tenang.

Masyarakat menobatkannya artis contoh
sesekali sepentas dengan ustaz terkenal
suatu fenomena telah tercipta.
 
Agaknya kusyuk dalam solat hanya milik artis yang berhijrah sahaja
dapat digapai sehari semalam 
sedangkan orang biasa seperti kita sangat seronok mendengar kisah
di dada akhbar atau skrin TV
sekalipun telah menekuninya sejak akhil baligh.

Bahkan kita juga tidak merasa tergugat atau cemburu
kerana kita adalah generasi yang menyanjung artis
samada yang telah berhijrah atau yang hilang arah.


Ahad, 18 Mei 2014

PELAUT


Kau pelaut yang kekaraman kapal
akhirnya kembali ke kampung asal kita
di kaki gunung
mengelek usia
dan sebuah kecewa.

Di sini tiada lagu ombak dan nyanyian camar
di sini simfoninya sorak-raung beruk,cikah dan ungka
yang mendodoikan kita di riba ibu suatu ketika.

Usahlah meratap lautan yang ditinggalkan
kerana, di sini adalah perhentian hakiki
perantau malang di hujung usia
bertemankan sekujur hakikat.

Selasa, 13 Mei 2014

KUALA KUBU BHARU

Kuala Kubu Bharu
kota sepi
aku melihat cerminan diri.



Rabu, 2 April 2014

MH370 : HILANG

Ketika sekelian laut dan darat diintai,
deru ombak masih leka bersenandung,
pun demikian dedaun fana meratib,
tidak kau endahkan.

Sesekali jejalur sirna mengintai kamar sembunyi,
secepat itu pula kau menutup rapat jendelanya,
bahkan riuh-rendah di luar yang memanjang,
tidak juga kau pedulikan.

Kau yang berselubung di kamar sembunyi,
pencarian ini sesukar wasiat kehilangan surah,
tidak difahami.

Sabtu, 14 September 2013

CATATAN PEKAN KU KOTA (AKU PENCATAT, BUKANNYA PENYAIR)

Ketika menjenguk laman antik dan nostalgik mu,
aku mencari pesona kuntum-kuntum bunga waktu, 
yang tidak lagi dipeduli, 
terabai di birai jendela usia zaman, 
tidak terpandangkan.

Pekan ku Kota,
sirna pelangi milik kita telah lama hilang warna;
poi pokan naik basika, tongah haghi tongah paneh,
Mamak Ceylon Air Batu Campur dan anak gadis jelitanya entah di mana,
Razak Pelikat Penjual Kain, di mana kah anak cucunya? Sehebat konglomerat MYDIN kah perusahaan keturunannya? (Bekas tapak rumah kedainya didirikan balai polis),
A. Kadeer Mohideen pekedai runcit - telah tiada, lama sebelum sebaris kedai batu di jalan besar dibina,
Kedai Kopi Si Hailam - Melayu ketagihan kopi 'O' cicah kueh cakoi tanpa rasa was-was (Kedainya dijadikan rumah kediaman ,usang dan kusam), 
Yee Fatt Taylor - Perusahaannya merudum tetapi masih bertahan. Rumah kedainya seuzur dirinya. Namun, tiga orang anaknya berjaya di hantar ke universiti, termasuk seorang di Australia dengan biaya sendiri,
Bee Hin Taylor - Si tukang jahit yang kecundang. Kini membuka kedai runcit dan mengambil upah membaiki pakaian sebagai kerja sampingan,
Cina Kim Boon Kontraktor Kebun - Usianya melewati 100 tahun dan kaya raya,
Restoran Mamak Mee Rojak - Taukehnya lari ke Raub dan membuka restoran baharu di hadapan perhentian bas,
Tuan Posmen Majid  dan Wakil Pos Kota- The legend 'Wakil Pos Kota'  telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu,
Sawmill Yusuf Lal Khan - 'Coliseum' warga 'Kota' menonton Mark Lewin Si Penggusti 'Sleeper' 'berbunuhan' tidak lagi beroperasi,
Tukang Gunting Rambut Kandasamy - matinya tiada legasi, 
Pandai Besi Hj. Dolah Tanjung - semasa hayatnya, di usia lebih 100 tahun masih gagah mengayuh basikal- Akulah cicit yang mengagung 'hebatnya',
Tok Penghulu Bakar - dua orang cucunya menjadi menteri.

Pekan ku Kota, 
Kota metropolitan anak waris di dunia yang dahulu,
Kota sebermula anak watan menghafal sejarah adat berungkai, 
Kota melahir putera-putera terbilang, 
Kota semayam Induk segala Lela Maharaja, Datuk Bungkal; Namanya dilupakan, keturunannya dimuliakan,
Kota sepi di kaki gunung, 
Igau dan mimpi ku akrab bersama. 


Selasa, 29 Januari 2013

hikayat cinta (seorang tua)


Di ufuk usia seorang tua
ada hikayat yang tersisa

tidak terlupakan.

Hikayat cinta seorang tua 

suatu dosa untuk diimbau
dan dicerita.


Hikayat cinta seorang tua
terpasung 

di pagar selindung.
 

Ahad, 27 Januari 2013

PUTUS ASA

Acapkali orang berbicara, 
betapa bahtera kabilah, 
sedang diayun ombak menggila,
yang tidak terhindarkan, 
kesudahannya. 

Di sebuah menara, 
sarjana mengumpul surah, 
peri evolusi kabilah-kabilah hilang; 
akan bahasanya tidak terbilang, 
akan ladangnya semakin mengecil, 
akan kata-katanya tidak didengar, 
akan pintanya semakin mengurang, 
akan nalurinya asyik memberi,
akan sesama berahi berbantah. 

Marilah bernyanyi berulang-ulang, 
bersama menunggu mati tenggelam!
“Celaka kabilah bukan salah parti kita, 
celaka kabilah angkara mereka, 
yang tidak bersama parti kita.”

Marilah bernyanyi berulang-ulang, 
bersama menunggu mati tenggelam!
“Celaka kabilah bukan salah parti kita,
celaka kabilah angkara mereka, 
yang tidak bersama parti kita.”

Marilah bernyanyi berulang-ulang, 
bersama menunggu mati tenggelam!
“Celaka kabilah bukan salah parti kita, 
celaka kabilah angkara mereka, 
yang tidak bersama parti kita.”

Rabu, 19 September 2012

JANGAN PENGAPAKAN HAIWAN CEKAL ITU


Kucing-kucing ku,
biarkan keluarga besar haiwan cekal itu,
mengutip remah yang tersisa,
di bibir longkang belakang rumah kita,
jangan pengapakan.

Kucing-kucing ku,
di makmal uji kaji ketabiban,
keluarga besar haiwan itu,
umpama lilin yang membakar diri sendiri,
demi kesejahteraan manusia seluruhnya.

Biarkanlah manusia sahaja memusuhi haiwan cekal itu!