Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Jumaat, 13 April 2012

kita orang Malaysia

Baru-baru ini dalam perjalanan pulang selepas menghantar kakak ipar yang hendak menunaikan umrah di KLIA, saya isteri dan dua orang anak bujang kami singgah di warung ‘Det Station’ yang terletak di pinggir kawasan perumahan kami. Ketika itu hampir pukul 12.30 malam.
Warung biasa yang popular di tempat saya ini dibuka dari jam 4.00 petang hingga 2.00 pagi. Warung ini Cuma menyediakan tiga jenis menu sahaja – nasi lemak ayam goreng,burger dan char kway teow. Dengan keadaan warung yang seadanya dan tanpa television layar lebar LCD/LED, warung ini dipenuhi pelanggan dari mula di buka hingga waktu tutup pada awal pagi.
Kami bernasib baik kerana terdapat satu-satunya meja kosong ketika memasuki warung itu.Suasana warung ketika itu meriah dengan hiruk pikuk pelanggan yang sedang makan sambil berbual. Selain itu, selewat 12.30 pagi, masih ramai pelanggan yang berbaris membeli makanan untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing. Agaknya, inilah landskap gaya hidup orang Kuala Lumpur.            
Pelanggan warung ini terdiri dari kalangan masyarakat Malaysia yang majmuk – Melayu, Cina dan India. Majoriti pelanggan ialah orang-orang muda. Ya, sesuai dikatakan bahawa warung ini ‘port’ anak-anak muda.
Tiga meja di keliling meja kami diduduki oleh anak-anak muda yang rancak berbual sambil menikmati makanan masing-masing – satu meja anak-anak muda Melayu, satu meja anak-anak muda Cina dan satu meja anak-anak muda India.Jelas, integrasi antara kaum tidak terlihat di dalam warung ini.  
Benar, selepas lebih 50 tahun merdeka, kita masih belum berjaya lagi memupuk perhubungan antara kaum yang jitu. Bagaimanapun, saya melihat suasana di warung ini dari sisi wujudnya nilai-nilai harmoni dan tolak ansur antara kaum.
Bayangkan, sebuah warung milik orang Melayu bukan sahaja dikunjungi oleh orang Melayu tetapi juga kaum Cina dan India. Lebih dari itu, masing-masing kaum boleh bercakap dengan kuat dalam bahasa ibunda masing-masing tanpa merasa bersalah kerana mengganggu antara satu sama lain. Pendek kata, tidak ada samseng kampung yang menunggu untuk memukul kaum lain di pinggir-pinggir jalan seperti yang selalu kita tonton dalam filem-filem Melayu lama.
Tidak dinafikan, di sebalik keharmonian fizikal yang terserlah, ada tersirat rasa tidak puas hati di kalangan kaum. Keadaan ini tidak dapat dielakkan.
Bagaimanapun, kalaulah suasana di warung ‘Det Station’ ini menggambarkan keadaan masyarakat Malaysia keseluruhannya, sesungguhnya tidak syak lagi bahawa masyarakat majmuk di negara ini hidup harmoni, hormat menghormati dan saling bertolak ansur.
Adakah yang kita inginkan lagi dan masih bermain dengan istilah-istilah retorik untuk mendapatkan lebih dari itu atau terus bernostalgia dengan sesuatu yang telah kita lepaskan?              
Kata orang kita tidak akan ke mana dengan beretorik dan bernostalgia. Kita juga berkeinginan bersantai di Starbucks, restoran mewah di Menara Kembar Petronas atau di Palace of The Golden Horses.Kata orang pengunjung di tempat-tempat tersebut ‘tidak majmuk’. Kalau ada pun orang-orang kita ialah di kalangan ahli-ahli politik atau sekurang-kurangnya para ekskutif tertinggi GLC. Betulkah? Seumur hidup saya belum pernah lagi ke tempat-tempat itu.    

8 ulasan:

  1. salam.sebenarnya malaysia amat unik kerana dapat berbagai bangsa hidup serumpun dibawah satu pemerintahan.namun masih yg tidak bershukur dgn nikmat aman ini.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikomsalam.

      Ya,kita berhak hidup aman.

      Padam
  2. kat penang ni kalau nak tengok intergrasi pelanggan pelbagai kaum, pi makan kat mana nasi kandar.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr insan_marhaen,

      Benar, Melayu,Cina dan India sama-sama beratur dengan tertib dan sabar untuk sepinggan nasi kandar.

      Satu lagi, saya selalu bertanya dengan rakan-rakan kenapa nasi kandar di sebelah utara lebih enak dari lain-lain tempat?

      Di Butterworth, tidak jauh dari Hotel (saya lupa nama hotel itu-mungkin Hotel Palma)di seberang padang bola dan pantai berbagai bangsa beratur sehingga lewat pukul 12.00 malam untuk mendapatkan nasi kandar.Kami pun turut beratur.

      Padam
  3. Ujang Kutik,

    Saya membesar di sekeliling 3 bangsa utama melayu, cina , india sejak dari kecil.

    Bermula dari kejiranan, persekolahan dan dialam pekerjaan dan juga kehidupan seharian.

    Saya biasa pergi memancing di laut dalam dengan diri saya seorang saja melayulapan yang lain ada lah bangsa cina. Tidak sedetik saya akan berasa jika mereka akan mencampak saya ke laut walaupun ketika itu isu bangsa antara cina dan melayu tengah di hangat dan diruncingkan oleh orang politik.

    Di tempat2 atau restoran ekslusif sebenar nye kita bukan terpisah kerana budaya perkauman atau ape perbezaan tetapi lebih kepada perbezaan ekonomi. Kebetulan ekonomi orang kita tidak sekuat orang cina. Maka lebih lah kaum ini dari kaum2 yang lain.

    Kerajaan perlu terus memperkukuhkan ekonomi orang melayu demi mengurangkan impak perbezaan antara kaum itu menjadi lebih jelas, dan orang kita juga perlu memperbaiki ekonomi diri sendiri.

    Semoga kita semua boleh hidup bersama dengan aman dan se adil dan selayak nye. Akhir kata ...orang yang sedang lapar akan cepat panas baran ...ekekeke.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      1. Tidak dinafikan bahawa wujud perhubungan yang harmoni di antara kaum di negara ini - lebih-lebih lagi di kalangan rakan-rakan kita di sektor swasta.

      Namun demikian, dalam banyak perkara,tiga bangsa utama masih selesa di dalam kelompok ras masing-masing. Ketika kita dihebohkan dengan dasar pendidikan kebangsaan suatu ketika dahulu, saya membayangkan bahawa pada satu peringkat anak-anak Cina khususnya akan mengelek akhbar-akhbar berbahasa Melayu ke hulu ke hilir.Malangnya, angan-angan itu tidak menjadi kenyataan.

      2. Ketika isteri saya sebuk berebut jualan murah di sebuah kompleks beli belah terkemuka, saya sempat merayau dari 'pintu ke pintu' di dalam kompleks tersebut. Saya juga sempat mengerling spesis pelanggan-pelangan yang memenuhi restoran-restoran mewah/ekslusif di situ. Apa yang saya dapati ialah bilangan orang kita yang ramai berebut membeli jualan murah langsung tidak dapat diterjemahkan dengan bilangan pelanggan-pelanggan restoran mewah di dalam kompleks itu. Inilah kekurangan kita - kuasa ekonomi.

      3. Kita tidak ke mana dengan beretorik dan bernostalgia.Kita juga tidak boleh menyalahkan mereka kerana jelas mereka lebih berkebolehan dan unggul dari kita.

      Nasib 'malang' yang menghantui kita, salah siapa? Kerajaan?Kita?Mereka? Pada pendapat saya, inilah dilema yang perlu kita 'cerahkan' supaya sekurang-kurangnya kita tidak jauh sangat ketinggalan.Persoalannya,ramai di kalangan kita berpendapat seperti ini,kita masih tidak ke mana...

      4.Tuan, kadang-kadang saya menjadi pasif, "Kita tidak akan terlawan...dalam banyak perkara mereka lebih unggul - tamadun lampau dan impak yang mereka tunjuk dan buktikan di mana sahaja di muka bumi ini adalah buktinya.

      5.Akhirnya, saya sependapat dengan saudara bahawa perhubungan antara kaum di negara ini pada asasnya tiada masalah.Tiada sesiapa yang akan membuat gangguan fizikal kerana perbezaan ras. "Gua caya lu....?"

      Padam
  4. Bersahabatan antara kaum bermula dari sekolah, tempat perjumpaan, bersama bermain dan makan minum. Tempat kerja sudah jauh kebelakang. Susah hendak memulakan keakraban dari perinkat umur itu. Kalau sekolah mesti diasingkan berapakah banyak peluang kanak kanak bergaul mesra tanpa perasaan wasangka. Berselogang persatuan memang kelebihan orang kita. Tak ada satu satu perhimpunan tahunan tanpa selogang yang berapi api.

    BalasPadam
  5. Tuan Al-Manar,

    Terima kasih kerana masih sudi mengunjungi blog saya.

    Itulah, kita seperti tiada jalan keluar.Dan saya sependapat dengan pandangan tuan mengenai bangsa kita yang asyik berslogan tetapi akhirnya tidak ke mana. Di atas alasan ini, kadang-kadang timbul lintasan pasif dalam hati saya mengenai bangsa kita .

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."