Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Selasa, 7 Ogos 2012

balik kampung sebelum raya

Kini, di dunia ini saya cuma ada seorang sahaja saudara kandung. Dia ialah adik perempuan saya. Seorang lagi adik saya, Sapiah, telah meninggal dunia ketika masih bayi.

Di sebalik banyak kekurangan kerana tidak mempunyai ramai adik beradik, ada satu kelebihan yang mungkin tidak didapati oleh mereka yang mempunyai ramai adik beradik. Kelebihan itu ialah kami tidak ada peluang untuk 'berkelahi'. Kerana, kalau berkelahi, tiada siapa lagi yang hendak diajak berkelahi! 

SAUDARA KANDUNG

Ini bukannya bermakna saya menganggap mereka yang mempunyai ramai adik beradik akan mudah ‘berkelahi’. Maksud saya, mereka yang mempunyai ramai adik beradik masih boleh menumpahkan kasih sayang kepada saudara kandung yang lain. Sebaliknya, mereka yang senasib dengan saya tiada lagi pilihan jika yang satu-satunya itu dijadikan seteru.

Sehubungan ini, walaupun telah berkeluarga, mempunyai anak-anak remaja dan usia masing-masing pula telah melebihi setengah abad, ikatan persaudaraan dengan saudara kandung masih seutuh dahulu. Situasi ini membuatkan saya kerap balik ke telapak kampung halaman kerana adik saya dan keluarganya menetap di kampung asal saya. Sedemikian, menjenguk telapak kampung halaman pada setiap kesempatan yang ada adalah suatu kewajipan.

TELAPAK KAMPUNG HALAMAN

Sejujurnya, walaupun saudara kandung berada di aras lebih tinggi, unsur sentimental dan nostalgik telapak kampung halaman pula berada di kedudukkan yang saling menguatkan. Sesungguhnya, kedua-dua unsur inilah secara berterusan mengikat hati saya dengan kampung halaman. Saya percaya jika anda di kedudukkan seperti saya, anda juga akan mengalami situasi yang sama.   

Pada 16 Ramadhan 1433H bersamaan 5 Ogos 2012 saya, isteri dan anak-anak balik ke kampung untuk berbuka puasa di kampung asal saya, di Negeri Sembilan. Kami singgah di Pasar Juadah Ramadhan Pekan Rembau. Pertama, saya khususnya ingin melihat suasana pasar Ramadhan di daerah tempat dilahirkan. Kedua, hendak membeli juadah berbuka puasa sebagai buah tangan.

Saya terlalu lemah dalam urusan beli membeli. Sedemikian, isteri dan anak-anak ‘merestui’ saya berjalan sendirian atau meronda secara bebas di sekitar pasar juadah. Merekalah yang akan membeli juadah berbuka puasa.
  
MASAKAN TRADISIONAL
  
Wau….saya amat teruja dengan banyaknya lauk pauk tradisional Negeri Sembilan/Daerah Rembau yang hampir kesemuanya berkuah kuning. Di antaranya; lauk ikan keli salai (orang Negeri Sembilan menyebut ikan sembilang),masak lemak daging salai, masak lemak telur itik , masak lemak siput sedut, masak tempoyak, masak lemak rebung pekasam dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, apa sahaja masakan tradisional Negeri Sembilan/Daerah Rembau, “We name it, they have it.” ‘Trade mark’ masakan lauk pauk Negeri Sembilan/Daerah Rembau ialah kuahnya kuning dan (santannya) pekat. Tidak syak lagi bahawa di sinilah medan masakan sebenar masak lemak cili api yang ‘original’!     

MASAK LEMAK DAGING PEKASAM

Akhirnya, tanpa bertanya terlebih dahulu kepada penjual lauk pauk, saya membeli lauk ‘Masak Lemak Daging Pekasam’. Lauk ‘Masak Lemak Daging Pekasam’ dengan perencah rebung itu dijual dengan harga RM3.00 untuk satu senduk besar. Saya membeli dua senduk besar. Murah.

Masak Lemak Daging Pekasam ialah masakan tradisional Negeri Sembilan/Daerah Rembau. Bahan utamanya ialah daging serta tulang yang diperam dengan garam dalam tempoh yang lama – boleh sampai berbulan-bulan. Daging dan tulang tersebut telah menjadi ‘Daging Pekasam’ dan sesuai untuk dimasak lemak cili api apabila telah mencapai tahap yang sepatutnya. Kebanyakkan generasi Negeri Sembilan hari ini tidak sanggup memakan masakan ini kerana aroma baunya yang agak ‘kurang menyenangkan’. Juga, agak susah hendak mendapatkan bekalan daging pekasam pada hari ini kerana tidak ramai yang tahu membuatnya.   

Lauk ‘Masak Lemak Daging Pekasam’ yang saya beli mula diragui apabila adik saya memasukkannya ke dalam mangkuk.  Katanya, lauk itu tidak ada aroma (bau) daging pekasam. Benar, apabila dimakan ketika berbuka puasa sahlah bahawa lauk yang saya beli itu bukannya lauk masak lemak daging pekasam. Masakan tersebut hanya masak lemak rebung pekasam dengan rencah daging biasa, bukannya daging pekasam. 

Ini bukan kesalahan peniaga kerana saya tidak bertanya kepadanya. Saya juga tidak boleh dipersalahkan sangat kerana saya sendiri tidak ingat bilakah kali terakhir saya menikmati hidangan masakan lemak daging pekasam. Inilah yang dikatakan segan bertanya sesat jalan. Bagaimanapun, masak lemak rebung pekasam pun sedap juga! 

NASI ULAM (DAUN)

Ketika berbuka puasa, saya makan dengan penuh semangat ‘nasi ulam (daun)’ yang diberi oleh saudara di sebelah rumah. Saya bertanya kepada adik saya samada dia mengetahui cara-cara membuat makanan tradisional orang kampung kami itu. Dia menjawab, “Tidak.” Dia sangat menyesal kerana tidak mempelajarinya walaupun sepanjang hayatnya hidup bersama arwah ibu kami yang telah meninggal dunia lebih tiga tahun yang lalu.

Ramuan untuk menyediakan menu nasi ulam (daun) adalah dari adunan berpuluh-puluh jenis daun yang boleh didapati di sekitar kawasan hutan kampung saya. Bagaimanapun, cuma mereka yang pakar dan berpengalaman sahaja dapat mengenali jenis-jenis daun tersebut. Seingat saya daun-daun itu dipotong halus dan dimasak dengan santan kelapa sehingga kering. Perencah lain ialah  petai dan garam secukup rasa. Adunan daun yang telah diproses itu digaul sehingga sebati dengan nasi putih sebelum dimakan.
              
Seperti masakan daging pekasam, kemahiran menyediakan masakan nasi ulam (daun) juga mungkin akan hilang dimamah masa. Bagaimanapun, saya percaya Dato Chef Ismail Ahmad yang juga anak jati kampung ini telah menyimpan-selamat kemahiran menyediakan kedua-dua masakan ini ke dalam bank resipi masakan tradisional beliau.      
SOLAT SUNAT TARAWIKH DI KAMPUNG
Di sebelah malamnya saya menunaikan solat sunat tarawikh di masjid kampung saya. Kehadiran jumaah adalah lebih kurang 40 orang. Seperti di kebanyakkan masjid/surau di Negeri Sembilan, jumaah masjid kampung saya mengerjakan solat sunat tarawikh 10 rakaat. Solat sunat tarawikh dijalankan dengan rengkas dan seadanya - bacaan surah-surah pendek (ayat-ayat lazim) dan pada rakaat kedua selepas Al-Fatihah dibaca surah Qulhu Allah sebanyak tiga kali. Di masjid ini tiada tazkirah Ramadhan. Solat sunat tarawikh selesai pada jam 9.35 malam. Mudah, santai dan tidak mengantuk.
MOREY
Namun demikian, saya agak terkilan kerana tidak ada ‘morey’ selepas selesai solat sunat tarawikh. Di zaman anak-anak, suasana begitu mengujakan dan meriah kepada kami kerana ada ‘morey’. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa suasana sedemikian begitu nostalgik kepada generasi terdahulu dan masih terkesan hingga ke hari ini.
Saya berpendapat perkara ini berlaku bukan disebabkan oleh kekurangan dana tetapi lebih kepada ketidak pekaan jawatankuasa masjid. Setahu saya masjid kecil di sebuah kampung pedalaman ini mempunyai simpanan tunai yang agak banyak.
Sebenarnya keadaan sebegini pernah berlaku di masjid/surau di Negeri Selangor beberapa tahun yang lalu. Masjid mempunyai wang tetapi sunyi dari aktiviti mengimarahkan masjid. Bagaimanapun, kini kebanyakkan masjid/surau sarat dengan aktiviti keagamaan.
KOTA LONDON
Ketika duduk bersantai di rumah selepas selesai solat sunat tarawaikh, kami sempat melihat gambar-gambar adik saya dan suaminya ketika berziarah anak menantu mereka yang melanjutkan pengajian di Scotland. Sepanjang sepuluh hari di sana mereka sempat ke Kota London dan Kota Paris. Adik saya mungkin akan berkecil hati jika membaca catatan ini…...gambar-gambar yang diambil kurang menarik kerana kaedah ‘shotnya’ agak lemah. He…he.. Lagi satu yang memusykilkan saya ialah dakwaannya bahawa Kota London cuma indah khabar dari rupa.
BALIK KE AMPANG     
Kami bertolak balik ke Ampang, Selangor pada 6 Ogos 2012 jam 10.00 pagi. Biasanya dari Senawang saya akan melalui Lebuh Raya Utara Selatan dan keluar di Tol Sungai Besi. Bagaimanapun, kali ini saya melalui laluan Lebuhraya Lekas (Seremban – Semenyih- Kajang Perdana).
SENAWANG DAN SEKITARNYA
Isteri saya Orang Melaka selalu membanding-bandingkan kepesatan Bandaraya Melaka Bersejarah dengan ketepuan (pada pandangannya) Seremban. Nah, di sepanjang laluan Senawang ke jalan susur laluan sebelum ke Lebuhraya Lekas saya ‘menghadiahkan’ salah satu sisi menarik pinggir Bandar Seremban untuk dinilai semula.
Benar, kawasan di sekitar laluan Senawang begitu pesat membangun. Kawasan perumahan yang cantik/mewah samada telah dibangunkan atau sedang dibangunkan, rumah kedai yang gah dan cantik , gedung-gedung perniagaan, hyper market, hospital swasta dan kilang-kilang secara pakej membangunkan landskap Senawang dan kawasan sekitarnya. Sesungguhnya, Senawang setanding dengan mana-mana kawasan yang setaraf dengannya.
LEBUHRAYA LEKAS DAN PERSEKITARANNYA
Saya memasuki Lebuhraya Lekas menghala ke Kajang dalam keadaan cuaca sedikit kabus. Justeru itu, laluan yang menyusur beberapa puncak tanah tinggi ini mempersembahkan pemandangan alam semula jadi yang cantik dan mengasyikkan. Pengguna lebuhraya juga dapat melihat kebun-kebun sayuran, dusun durian yang luas, ladang getah, ladang kelapa sawit dan kawasan perumahan baru di sepanjang laluan.
Terdetik di hati saya, “Alangkah baiknya dibina café ala-ala Café Boh Tea Cameron Highland yang menjadi tarikan pengunjung itu di salah satu lokasi tanah tinggi Lebuhraya Lekas.”        
Alhamdulillah, kami selamat sampai di Ampang jam 12.00 tengah hari.       

8 ulasan:

  1. Ujang Kutik,

    Meriah sungguh dairi satu hari balik kampung saudara ni hehe.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr theolrascal,

      Meriah. He...he..

      Padam
  2. baca psl kg org, teringat kg sendiri...mujur semalam baru balik kg jap...berbuka dgn mak

    BalasPadam
  3. Sdr azam,

    Tuan sangat beruntung kerana masih ada ibu yang hendak diziarah.

    BalasPadam
  4. saudara ujang kutik,

    Baca tentang gulai perkasam daging + rebung... pernah mendengar ttg lauk tersebut dari ibu saya. Tetapi belum pernah makan lagi. Menurut ibu saya , cara orang tua-tua dahulu menjeruk rebung + daging tersebut, tidak lah serumit mana, tetapi kena pandai mengadun nya dengan betul agar daging tidak berbau. kedua2 bahan tersebut diperam didalam buluh yg besar dan digantung tinggi ( berhampiran dapur kayu )...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Puan Bakawali,

      Saya baru dimaklumkan bahawa di sekitar beberapa buah kampung di tempat saya masih ada satu keluarga yang pandai membuat daging pekasam untuk dijual. Insya Allah ketika balik kampung nanti saya akan cari rumah pembuat tersebut dan tanya serba sedikit cara membuatnya.

      Padam
  5. masakan nogori sembilan semuo eh sodap!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Tanpa Nama,

      Terima kasih kerana datang ke blog saya.

      Perlu juga diakui bahawa generasi hari ini (hatta 50 tahun ke bawah) tidak beberapa mahir lagi masak masakan asli Nogoghi Sombilan.

      Setuju?

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."