Setelah
lebih 15 tahun, dapat juga saya menjenguk lagi Jerantut. Neraca perbezaan
Jerantut yang terletak 54 km ke arah barat Temerloh yang dahulu dengan Jerantut
yang sekarang sangat tidak adil untuk dibandingkan. Diantaranya, hotel-hotel
baru yang membiak umpama ‘cendawan tumbuh’.
Sekalipun
demikian, Bandar Jerantut lama masih mengekalkan imbauan ‘status quo’ Jerantut
yang dahulu - deretan rumah kedai lama yang masih setia menagih pelanggan,
pejabat-pejabat kerajaan, setesen keretapi, warung makanan yang banyak dan lain-lain
peninggalan yang bernostalgia.
Saya
tidak melepaskan peluang melayan nostalgia ketika sampai di bandar ini pada
26/11/12. Saya memanja diri melepak di sebuah kedai kopi di tengah bandar
Jerantut lama. Memesan teh panas yang susunya sepertiga cawan (kerana dahulu
teh tarik belum popular lagi). Membancuh kandungan susu dan air teh pekat
sementara menunggu pesanan roti canai panas dan garing. Mengelamun. Cepatnya
masa bergerak – usia saya telah bertambah 15 tahun selepas meninggalkan bandar
ini 15 tahun yang lalu!
Di
kedai kopi ini tidak ada television LED skrin besar. Walaupun tanpa objek itu,
pelanggan setia dari kalangan orang Melayu dan Cina memenuhi meja usang yang
disediakan oleh tuan punya kedai. Sayangnya, saya tidak melihat pelanggan
Melayu dan Cina duduk berbual di meja yang sama. Realitinya, Melayu sesama
Melayu, Cina sesama Cina. Setelah berpuluh-puluh tahun bersama, kita masih
tercari-cari di mana silapnya. Setelah berpuluh-puluh tahun bersama, masih ada
Orang Cina yang tidak fasih berbahasa Melayu. Setelah berpuluh-puluh tahun
bersama, Orang Melayu masih juga tidak tahu sepatah pun perkataan Cina.
Susahnya mengakrabkan integrasi etnik di bumi pingitan ini!
Bandar
Jerantut lama, Bandar Jerantut baharu - Bandar Inderapura. Yang sangat-sangat
membezakan antara Jerantut yang sekarang dengan yang dahulu ialah dengan
terbangunnya bandar baharu, Bandar Inderapura. Bandar baharu , Bandar Inderapura
dibangunkan bersebelahan dengan bandar Jerantut lama. Kawan saya secara
berjenaka berkata, Bandar Inderapura bandar yang agak ‘happening’ ( mengikut
kayu ukur yang sesuai pada sebuah bandar yang jauh di pedalaman).
Bandar
ini hidup dengan tertib. Tidak sunyi. Premis perniagaan khususnya warung-warung
makanan meriah dengan pengunjung hingga ke malam.
Kata
orang tidak sah ke Jerantut jika tidak mencuba masakan tradisional Orang
Jerantut iaitu masakan Lauk Asam Rom. Alhamdulillah, pada hari ketiga saya
dapat mencari satu-satunya warung di bandar Jerantut lama yang ada menyediakan
masakan ini. Kuah masakan Lauk Asam Rom rasanya sedikit masam dan sangat pedas.
Diantara rencah masakan ini ialah biji buah getah yang telah dikisar, asam
jawa, pucuk paku, terung pipit, daun kesum dan ikan sungai ( biasanya Ikan kenerah,
sejenis ikan dari keluarga ikan baung).
Ketika
catatan ini ditulis saya masih lagi berada di Jerantut. Ada satu lagi info
menarik mengenai Jerantut yang tidak ramai orang mengetahuinya. Jerantut ialah
hab pengumpulan durian untuk dipasarkan dalam bentuk sejuk buku ke luar negara,
khususnya Republik Cina. Dikatakan satu agensi kerajaan dipertanggungjawabkan
membeli buah-buah durian penduduk Jerantut untuk pasaran tempatan dan juga luar
negara.
Ujang Kutik,
BalasPadamLiputan yang amat menarik mengenai bandar Jerantut.
Ketika makan tengahari di bandar ini seisi keluarga beberapa bulan yang lepas saya bertanye dulu harga lauk gulai tempoyak ikan patin. Saya fobia terbaca berita ada jenis ikan sungai yang mencecah beratus ringgit. Saya mengukur duit di poket dulu ...ahahaha..sebagai langkah berjaga jaga.
Sdr theolrascal,
PadamSaya pencinta alam.Bagaimanapun, masih belum berpeluang mengakrab diri dengan alam seperti yg saudara dan keluarga lakukan.
Harga lauk asam rom dengan ikan kenahak boleh tahan juga harganya.Bagaimanapun, hendak mencuba saya kuatkan hati.