Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Khamis, 31 Januari 2013

restoran mamak, restoran melayu



Semalam, Rabu, 30/1/13, saya ikut laluan MRR2 – Pandan balik ke rumah kerana kesesakan laluan biasa Ampang-Ke Rumah pada waktu puncak (balik kerja) agak luar biasa. Saya membeli dua buah akhbar berhampiran sebuah restoran mamak popular di Pandan dan ‘lepak’ di restoran yang jaraknya lebih kurang 2 kilometer dari kawasan perumahan saya. 

Saya larut membaca akhbar bukan arus perdana yang kandungannya 'segar' sehingga tidak sedar teh tarik menjadi sejuk. Anak-anak selalu mengusik dengan menuduh kononnya minda saya tertutup disebabkan 'taksub' membaca akhbar tertentu sahaja.

Di dalam restoran yang cantik dan dilengkapkan dengan beberapa buah TV LCD/LED skrin besar telah ramai pengunjung @ ‘pelepak’ restoran mamak. Ada yang berkumpulan, dua orang dan ramai juga ‘sorang sorang’ sahaja seperti saya. Ramai yang rancak berborak. Sebilangan membaca akhbar, melayan telefon bimbit atau melayari internet. Pasangan sejoli anak muda di sebelah saya ‘memadu kasih’ dengan duduk rapat-rapat dan tangan si lelaki memaut pinggang si perempuan. Menjengkelkan!

Berhadapan dengan restoran mamak itu terletak sebuah restoran orang kita, Orang Melayu. Bilangan pengunjung restoran Orang Melayu yang dekorasi, peralatan dan menu makanannya setanding dengan restoran mamak itu membimbangkan. Pengunjung tidak ramai. Saya sendiri baru sekali singgah di restoran Melayu itu. Bagaimanapun, saya kagum dengan restoran Melayu itu kerana masih mampu bertahan setelah beberapa tahun beroperasi.

Kenapa senario ini berlaku? Senario ini bukan sahaja berlaku di Pandan, Selangor tetapi juga di mana-mana sahaja. Makanan kah? Layanan kah? ‘Mandrom’ kah? Sikap pengunjung restoran di kalangan Orang Melayu kah?

Ada orang berpendapat kerana masakan di restoran mamak sesuai dimakan pada setiap masa (24 jam) – roti canai, mee goreng dan masakan berkari. Sebaliknya, makanan di restoran Melayu yang kebanyakkannya menggunakan santan tidak sedap dimakan atau basi apabila terlalu lama terdedah.

Ada orang berpendapat kerana layanan ‘first class’ di restoran mamak – cepat, mesra dan pekerjanya tidak ada emosi kerana mampu tersenyum walaupun dikasari oleh pengunjung. Salah seorang anak saya pernah bertanya kepada taukeh sebuah restoran Melayu ‘regular’ kami yang menaikkan harga harga nasi ayam dari RM4 kepada RM5 sepinggan. Taukeh restoran itu menjawab secara meninggikan suara, “ Kalau jual murah, tidak untunglah.” Pembaca tentu mengetahui akan tindak balas anak saya selepas itu.

Seorang kawan yang teramat patriotik kepada bangsanya, Melayu, menyalahkan Orang Melayu yang meminggirkan restoran Melayu . Katanya, “ Orang Melayu ‘mengayakan’ mamak!”

Hakikatnya, walaupun restoran Melayu menyediakan layanan, variasi makanan, peralatan, dekorasi dalaman dan teh tarik standing dengan restoran mamak, restoran mamak masih memiliki kelebihan.

Mengapa? Atau, adakah iras rupa mamak yang tidak mampu dimilikki oleh pengusaha restoran Melayu mendasari sebab-musabab Orang Melayu lebih teruja mengunjungi restoran mamak dari restoran yang diusahakan oleh orang sebangsa mereka? Inilah misteri yang belum dapat dirungkai!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."