Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Selasa, 25 Jun 2013

HAL KUCING : ini catatan peribadi saya

Catatan ini adalah catatan peribadi dalam sebuah diari yang disorokkan dari dilihat dan dibaca oleh sesiapa. Anggaplah sedemikian untuk mengelakkan pembaca yang dihormati mempunyai tanggapan yang bukan-bukan:  

Pengalaman memelihara beberapa ekor kucing dan pengamatan terhadap beberapa orang individu 'pelik', memberi ilham kepada saya  mencipta sejumlah mutiara kata atau penilaian peribadi mengenai dunia kucing dan penggemar/mereka yang simpati. Catatan ini adalah catatan peribadi untuk diri sendiri. 
 
1. Tidak akan ada titik pertemuan antara mereka yang sukakan kucing dengan yang tidak sukakan haiwan itu. Tidak ada kompromi.

2. Penggemar atau penyayang kucing berada di dunia mereka sendiri. Mereka boleh asyik bercerita @ syok sendiri mengenai kucing peliharaan masing-masing dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kucing - cantik, kucing yang manja dan pandai, kucing boleh memberi terapi, makanan kucing, penyakit-penyakit kucing, baka-baka kucing dan banyak lagi........

3. Mereka yang tidak sukakan kucing tetap tidak akan suka haiwan itu. Perasaan mereka tidak akan sedikit pun tersentuh kepada input-input mengenai derita kucing gelandangan yang hidup terbiar di jalanan. Mereka juga merasa tidak selesa atau rimas apabila datang bertamu ke rumah saudara mara/kenalan yang ada kucing.

4. Seorang penyayang kucing tegar akan dengan mudahnya merumuskan berlaku satu keajaiban apabila kucing-kucing terbiar yang kelaparan acapkali tersesat ke rumahnya untuk mendapatkan makanan. Dia seronok kerana haiwan malang itu boleh sampai ke rumahnya, " Mengapa pilih rumah aku? Tidak rumah-rumah lain."

5. Peminat kucing sekurang-kurangnya terbahagi kepada tiga golongan: (a) Mereka yang simpati dengan kucing terbiar lalu mengambil dan memeliharanya. (b) Mereka yang memelihara kucing dari jenis baka baik atau kucing-kucing yang cantik sahaja dan sanggup 'berhabis' kerana hobi. (c) Mereka memelihara kucing secara kebetulan atau suka-suka dan tidak berlebih-lebihan. 

Jangan hairan dengan kegilaan ini;

Di atas cetusan naluri kasih sayang dan belas kasihan, seseorang sanggup menghantar berbelas ekor kucing ke klinik veterinar untuk mendapatkan rawatan ( imunasi, kembiri, rawatan luka, rawatan penyakit kurap dan lain-lain lagi). Setelah mendapatkan rawatan, orang itu akan melepaskan semula kucing-kucing tersebut di tempat/kawasan asal ditemui.

Gilerr!!! Gilerrr?????   

Begitu juga seseorang yang menetapkan tugas 'routine' nya 'membuat kerja tidak mendatangkan faedah' dengan memberi makan kucing-kucing terbiar di kawasan sekitar di sebelah malam ketika orang lain membuat 'kerja-kerja yang lebih berfaedah dan tidak sia-sia.'

Gilerr!!! Gilerrr?????

2 ulasan:

  1. Saudara Ujang Kutik,

    Suka, menyayangi dan menyantuni kucing merupakan Sunnah Rasul saw. Antara kriteria sunnah ialah perbuatan sahabat-sahabat Rasulullah saw yang dilihat oleh Rasul lalu baginda tidak menegur dan membiarkannya.

    Sahabat Rasulullah saw bernama Abd As Syam (bererti hamba kepada matahari) lalu ditukar kepada nama yang baik iaitu Abd Ar Rahman. Sahabat ini amat menyayangi kucing-kucing jalanan. Kucing-kucing diberi makan dan dirawati. Melihat sifat ini Rasulullah saw memberi gelaran kepada beliau dengan gelaran Abu Hurairah (bererti Bapa Kucing).

    Oleh itu saya berpandangan sesiapa sahaja yang tidak menyukai kucing, tidak menyukai sunnah Nabi Rasul saw.

    Mungkin pandangan saya dianggap keterlaluan menyamakan tidak suka kepada kucing seperti tidak suka kepada sunnah Rasulullah saw. Namun ia sekadar pendapat sahaja.

    Wallahu 'alam

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Pak Mail,

      Kadang-kala dan acapkali kerimasan mereka terhadap kucing merimaskan kita.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."