Hari ke-3 berada di Seri Iskandar, Perak, 'baru' dua buah restoran Mamak yang telah saya kunjungi. Banyak lagi restoran Mamak yang belum saya jenguk.
Seri Iskandar sangat pesat membangun. Ratusan rumah kedai , pejabat dan perumahan moden telah siap dibangunkan menunggu penghuni. Begitulah juga banyak lagi projek rumah kedai, pejabat dan perumahan yang statusnya masih dalam proses pembinaan.
Saya melihat Seri Iskandar membesar sejak lebih 6 tahun yang lalu dan juga terakhir lebih kurang setahun kebelakangan ini. 'Naifnya' Seri Iskandar ketika itu membuatkan saya sekeluarga dan keluarga adek perempuan yang menghadiri majlis konvokesyen anaknya di UTP mencari tempat penginapan di Bandaraya Ipoh.
Sekarang, pengunjung tidak perlu risau sangat tentang tempat penginapan kerana telah ada beberapa buah hotel di sini.
Lebih kurang setahun yang lepas saya sekeluarga pernah ke Tronoh (dua kilometer dari Seri Iskandar) kerana jalan-jalan dan ziarah keluarga anak saudara sebelah isteri. Ketika itu keadaan Seri Iskandar masih tidak sehebat sekarang.
Dan, baru-baru ini ketika saya dimaklumkan bahawa anak saudara sebelah isteri itu membeli sebuah lagi rumah di Seri Iskandar, saya berpendapat itu satu pelaburan yang silap. Pada pendapat saya, kalau hendak beli hartanah, belilah di Lembah Klang - Kuala Lumpur, Ampang, Shah Alam,....Namun, ternyata telahan saya tidak beberapa tepat.
Saya sebenarnya tidak memahami Seri Iskandar secara mendalam sehingga boleh meyakinkan pelabur dan pengusaha melabur di sini. Setahu saya bandar ini cuma dimeriahkan oleh ribuan pelajar dan staf UITM Cawangan Seri Iskandar, pelajar dan staf UTP , IKBN dan staf pejabat-pejabat kerajaan dan swasta.
Saya seronok berada di Seri Iskandar. Di waktu terluang saya menenangkan diri kerana berjauhan dengan keluarga di restoran Mamak yang terdapat di bandar ini. Mungkin restoran Mamak di Seri Iskandar tidak semeriah Restoran Hafeez di Avenue Ampang, tetapi ada sesuatu yang tidak dimiliki oleh Restoran Hafeez dan juga restoran-restoran Mamak lain di Lembah Klang - putaran irama lagu-lagu Hindustani klasik secara berterusan.
Lagu-lagu Hindusatan klasik nyanyian Mohd Rafi, Kishoor Kumar, Lata Mangeshkar, Asha Boshle adalah lagu-lagu yang menguasai dua buah restoran Mamak yang telah saya kunjungi di Seri Iskandar. Lagu-lagu tersebut begitu popular ketika saya membesar di kampung. Di luar jangkaan 'seorang tua', lagu-lagu tersebut masih mengesankan dan mengasyikkan yang bukan kepalang; sekalipun kepala tidak menunjukkan sebarang petanda kesukaan, tetapi kaki yang tidak dilihat oleh sesiapa tetap bergoyang.
Restoran Mamak di Seri Iskandar begitu sinonim dengan dendangan lagu Hindustan. Sebaliknya, rakan-rakan mereka yang mengusahakan restoran di Lembah Klang ' tidak main' lagi dengan lagu-lagu tersebut. Kononnya, peminat lagu Hindustan adalah generasi yang tida ada 'class'.
Saudara Ujang Kutik,
BalasPadamSelama ini saya sangkakan bahawa lagu-lagu Hindi diminati oleh orang-orang Melayu di Malaysia, Singapura dan mungkin Brunei. Tetapi apabila saya buka Youtube mencari lagu-lagu Hindi klasik rupanya orang-orang di negara Eropah seperti Poland, Rusia dan sebagainya juga meminati lagu-lagu ini dengan memberi komen-komen positif mereka. Dan barangkali mereka boleh menyanyikan lagu-lagu itu juga....
Sdr Pak Mail,
PadamItu 'berita' kepada saya. Saya juga memahami lagu-lagu Hindustani cuma diminati oleh Orang Melayu atau Orang Asal sahaja.
Kalau begitu 'kita' ada 'class' juga setanding Orang Eropah. Mungkin ini berkaitan bahawa kontonasi bahasa Hindi sedap didengar.
Terima kasih.
ujang kutik,
BalasPadam..jika begitu maka mamak di Sei Iskandar adalah ber 'class ' lebih tinggi kerana memutarkan nya..haha.
Sdr theolrascal,
PadamYang ber 'class' termasuk juga 'orang tua' itu.