Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 27 Julai 2013

FENOMENA USTAZ INDONESIA

Saya 'memasang' niat yang betul ketika hendak menulis catatan ini. Sesiapa pun tidak boleh celupar atau semborono apabila mengaitkan kalimah ' Ustaz ' dalam apa sahaja keadaan. Ustaz perlu diletakkan di kelasnya yang tersendiri.

Sebermula catatan ini adalah untuk mengesahkan ' Fenomena Ustaz Indonesia ' yang melanda negara ini, khususnya di Ibu Kota/Selangor pada tahun 80-an dan 90-an. Ketika itu ustaz-ustaz dari Indonesia membanjiri negara ini. 

Sayangnya saya tidak mempunyai ingatan yang kuat untuk mengingat kembali nama-nama ustaz tersebut terutamanya seorang Ustaz muda yang bukan sahaja popular di sekitar Ibu Kota tetapi juga di seluruh negara.   Beliau yang petah berpidato dalam gaya loghat Indonesia mampu memukau penonton. Beliau juga memberikan perkhidmatan membekalkan air yang disediakan melalui kaedah perubatan secara Islam. Maka berduyun-duyunlah penonton ceramah beliau yang ada hajat mendapatkan bekalan air tersebut selepas ceramah berlangsung. Ustaz muda yang berstatus Al-Hafiz ini memiliki kenderaan Pajero baharu.

Seorang-dua Ustaz Indonesia yang mengajar di kawasan Ampang yang saya masih ingat namanya ialah Ustaz Suhardi dan Ustaz Anas. Ustaz Anas mengajar Tasauf. Ustaz Suhardi pula mengajar Fekah. Selainnya saya telah lupa nama mereka.

Apakah daya tarikan ustaz-ustaz dari Indonesia kepada rakyat negara ini ketika itu? Adakah ketika itu kita ketandusan ustaz tempatan yang berwibawa? Adakah rakyat kita tertarik kepada kaedah penyampaian dalam gaya Indonesia yang menarik? Saya tidak dapat merumuskan jawapannya. Bagaimanapun, secara peribadi saya tertarik kepada kaedah penyampaian dalam gaya Indonesia (bukan dialek Jawa).

Arakian, kedengaranlah 'sok-sek-sok.sek' dari golongan yang 'cemburu' atau juga berniat baik ke atas populariti Ustaz-Ustaz Indonesia. Di antara golongan tersebut ialah di kalangan ustaz-ustaz tempatan yang 'susah sedikit hendak bernafas' ketika itu. 

Maka beredarlah kalimah-kalimah berantai. Antaranya, " Ustaz Indonesia datang ke Malaysia cuma hendak cari makan. Kalau hendak berdakwah, berdakwahlah di Indonesia kerana masalah di Indonesia jauh lebih teruk dari di Malaysia - satu keluarga berlainan agama, kahwin antara Muslim dengan bukan Islam,....."

Ungkapan ' Cari Makan ' adalah satu ungkapan yang mudah diucapkan kerana ' lidah tidak bertulang '. Namun, ungkapan tersebut sangat susah hendak dinasabkan kebarangkalian nisbah ketepatannya. Melalui satu lontaran atau dakwaan ' Ustaz Cari Makan', berapa peratuskan nisbah kebolehyakinannya?     

Adakah seorang Ustaz atau penceramah bebas (tiada pekerjaan tetap) berkelulusan Al-Azhar atau Jordan yang selama ini mengajar di kampung-kampung pedalaman dengan sagu hati ala kadar atau 'secukup rasa' berhijrah ke bandar-bandar besar kerana peluang mengajar terbuka luas dikategorikan sebagai ' Ustaz Cari Makan '?

Adakah seorang Ustaz yang mempunyai pekerjaan tetap dan bergaji lumayan tidak merasa bersalah menerima sagu hati sebanyak yang diterima oleh penceramah bebas (tidak mempunyai pendapatan tetap) juga dikategorikan sebagai ' Ustaz Cari Makan'? 

Adakah Ustaz yang menerima tawaran mengajar/berceramah di tempat-tempat tertentu dan apatah lagi menolak jemputan mengajar/berceramah di kampung-kampung pedalaman/luar bandar/penempatan Orang Asal dikategorikan sebagai ' Ustaz Cari Makan'?   

Seorang kawan pernah memberitahu saya mengenai kaedah mudah untuk melarikan minda dari memikirkan perkara yang tiada keperluan kepada kita. Katanya, " Janganlah bebankan diri dan rohani kepada perkara-perkara yang tidak perlu." Maksudnya, dalam perkara yang ditimbulkan di atas, biarlah Ustaz yang terlibat sahaja memikirkannya dan bukannya kita.

Namun, pada tahun pertengahan 80-an hingga 90-an, ada seorang Ustaz yang juga pensyarah di UKM, Ustaz Muhamad Ismail. Beliau mengajar di masjid/surau/pejabat di sekitar kawasan Ampang, Selangor. Kebiasaanya beliau tidak mengambil sagu hati yang diberi. Jika mengajar di pejabat-pejabat, beliau cuma mengambil ' duit minyak' dan bakinya disedekahkan kepada badan kebajikan sesebuah pejabat itu. Beliau telah meninggal dunia dalam usia yang agak muda, iaitu di sekitar 50-an. Al-Fatihah. 

Berbalik kepada bab yang dibincangkan; Sepertimana yang kita ketahui bahawa kini pengaruh atau kehadiran Ustaz-Ustaz Indonesia ke negara ini secara umumnya boleh dirumuskan berada di tahap 'NIL' atau tiada langsung. 

Begitulah, sekali air bah, sekali pasir berubah!

2 ulasan:

  1. Saudara Ujang Kutik,

    Saya masih ingat Ustaz Anas. Pada tahun 80an saya juga sering ikuti pengajian yang diberikannya di Masjid Al Akram, Datok Keramat. Beliau juga tinggal tidak jauh dari masjid tersebut. Di Keramat Dalam....

    Errrr... Ustaz Suhardi ni saya tak ingat...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Pak Mail,

      Ditakdirkan kita selalu dekat. Ketika tuan bekerja di Jln Ampang, saya di Bangunan Getah Asli. Tuan di Keramat saya di Ampang. Namun, kita lebih dekat sebagai rakan blogger.

      Sedemikian, ada pengalaman hidup yang kita kongsikan walaupun tidak secara langsung.

      Semoga persahabatan kita berkekalan.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."