Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Ahad, 23 November 2014

Rahim Omar - Bersendirian



Di usia sekarang, tidak lunak membahaskan sesuatu yang tidak sesuai dengan penampilan diri dan kelanjutan usia. Bagaimanapun, dalam hidup ada perkara-perkara yang tidak terlupakan walaupun momen-momen tersebut telah lama merentas masa yang ditinggalkan. 

Momen-momen itu sangat luas ruang lingkupnya. Momen-momen silam itu tidak semestinya pengalaman cinta. Momen-momen itu sangat flexi asal usul kejadiannya. 

Ketika era fenomena 60-an, saya sebenarnya belum remaja lagi. Ketika itu saya masih di sekolah rendah. Namun, impak era itu terus menyelinap dalam ke dalam hati hingga ke hari ini. Saya yakin generasi saya juga bersetuju dengan pengakuan jujur ini. Kalau mereka mendakwa tidak, mereka berbohong. 

Generasi saya masih hafal kebanyakkan lirik lagu-lagu 60-an. Lagu-lagu 60-an sebenarnya adalah ' fenomena sepanjang zaman' kepada generasi saya. Namun, bersesuaian dengan usia, generasi saya menanganinya dengan akhlak dan adab yang sepatutnya. 

Generasi saya mungkin seseorang yang telah lama bersara, berkerjaya yang hampir bersara, nazir/imam masjid, pesawah, penoreh getah, nelayan dan lain-lain lagi. Sekalipun demikian, ketika zaman anak-anak (sekolah rendah/awal sekolah menengah) ada beberapa genre lagu Melayu/Arab/Nusantara yang menyelinap ke dalam industri hiburan ketika itu. Di antara yang saya masih ingat ialah lagu-lagu genre irama padang pasir, gambus, keroncong (ala Hawai), seriosa dan joget. Naifnya orang Melayu kepada aura ' Arab ' membuatkan masyarakat ketika itu menganggap semua lagu-lagu padang pasir adalah berunsur agama/Islam. Hakikatnya, ada di antara lagu-lagu yang disiarkan ialah lagu-lagu gelek Arab yang mengasyikkan. 

Ketika itu juga stesyen-stesyen radio negeri sangat berperanan dan berjaya menarik pendengar kerana akses television cuma mampu dilakukan oleh golongan tertentu sahaja. Di antara stesyen radio yang disukai ramai kerana berjaya mengetengahkan barisan penyanyi stesyen radio dan ahli muzik yang disukai ialah Stesyen Radio Kuala Terengganu dan Kota Bharu. Pemuzik yang menganggotai kumpulan muzik di stesyen radio adalah pemuzik professional pada status orkestra atau semi orkestra. Melalui siaran radio itulah saya didedahkan dengan lagu-lagu di luar arus perdana ( lagu-lagu 60-an). Saya menyukainya. 

Saya tidak tahu nama hampir semua penyanyi/pemuzik tetapi menyukai lagu-lagu mereka. Penyanyi/pemuzik yang masih saya ingat nama mereka hingga ke hari ini ialah Wan Salman Ahmad dan Ishak Ali Muda. 

Saya juga tidak tahu nama dan latar belakang penyanyi lagu ' Bersendirian' (Rahim Omar) yang menjadi tajuk catatan ini walaupun menyukai lagu-lagu nyanyiannya yang bersiaran di radio tempatan ketika itu. 



Nota: Catatan ini adalah catatan bebas yang tidak merujuk kepada sumber rujukkan. Sedemikian, mungkin ada fakta-fakta yang dinyatakan tidak tepat dengan masa/maklumat sebenar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."