Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Jumaat, 30 Oktober 2009

anak negeri sembilan





Jikalah kita anak Negeri Sembilan berpeluang merentas semula ke zaman nenek moyang kita 500 tahun yang silam, mampukah kita berkomunikasi dengan generasi terdahulu dari keturunan kita sendiri, iaitu keturunan Minangkabau yang berasal dari Sumatera Barat, Indonesia? Dan, sebagai pewaris keturunan Minangkabau abad ke-20, bersediakah kita mengaku diri kita sebagai ‘Den Anak Minang’(Aku Anak Minang)?

Kewujudan ‘Anak Minangkabau’ di Negeri Sembilan hingga ke hari ini adalah melalui evolusi yang telah melampaui lebih 5 abad dan unik. Kedatangan orang Minangkabau dari Sumatera Barat, Indonesia ke Negeri Sembilan adalah di atas sifat mereka yang suka merantau dan juga galakkan daripada Raja Minangkabau ketika itu.

Bagaimanapun, perantau Minangkabau tidak datang terus ke Negeri Sembilan kerana ketika itu Negeri Sembilan masih belum dikenali. Di dalam pencarian tempat yang sesuai, mereka terlebih dahulu meneroka beberapa tempat di alam nusantara dan berpindah ke tempat lain jika didapati tempat tersebut tidak sesuai. Diantara penempatan Orang Minangkabau di luar Tanah Minangkabau ialah Siak.

Masyarakat asal Siak ketika itu telah mempunyai sistem adat mereka sendiri. Maka berlakulah cernaan adat, budaya dan dialek yang saling pengaruh-mempengaruhi di antara pendatang Minangkabau dari Sumatera Barat dengan masyarakat asal Siak.

Darah perantau Orang Minangkabau tidak berhenti di Siak. Setelah beberapa lama di Siak, Orang Minangkabau yang berjiwa besar meneruskan misi perantauan ke Negeri Sembilan secara berperingkat. Pendatang Minangkabau dari Siak dan juga Tanah Minangkabau, Sumatera Barat memasuki Negeri Sembilan melalui Melaka dan penempatan pertama mereka ialah di Rembau. Seperti Siak, Rembau telah sedia diduduki oleh penduduk asal Orang Asli Negeri Sembilan yang mengamalkan sistem adat mereka sendiri iaitu Sistem Adat Benar.

Sungguh pun institusi Undang Luak Rembau bermula pada tahun 1540,sejarah mencatatkan bahawa kedatangan rombongan pertama Orang Minangkabau ke Negeri Sembilan adalah di sekitar tahun-tahun sebelum kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1511.

Di peringkat awal, peneroka Minangkabau menghadapi masalah untuk bertapak di Rembau kerana tempat-tempat strategik telah didiami dan dikuasai oleh penduduk asal Orang Asli Negeri Sembilan. Bagaimanapun, Orang Minangkabau yang lebih bertamadun dan mahir bersiasah berjaya merungkai masalah tersebut dengan melaksanakan pendekatan ‘menang-menang’.

Diantara caranya ialah melalui perkahwinan campuran. Perkahwinan di antara Ketua Pendatang (bergelar Datu) Orang Minangkabau dengan anak perempuan Ketua Penduduk Orang Asli Negeri Sembilan menyerlahkan keikhlasan kaedah 'Menang-Menang' yang klasik. Melalui perkahwinan tersebutlah lahirnya keturunan Suku Biduanda yang menguasai kepimpinan Sistem Adat Perpatih Negeri Sembilan hingga ke hari ini.

Dan berlakulah satu lagi cernaan adat, budaya dan dialek yang saling pengaruh-mempengaruhi dan larut-melaruti di antara pengaruh Minangkabau, Penduduk Asal Orang Asli dan sedikit pengaruh Siak khususnya di Rembau dan lain-lain daerah di Negeri Sembilan.

Tidak dinafikan bahawa pengaruh Minangkabau agak ketara mendominasi pertembungan tiga pengaruh tersebut. Bagaimanapun, ianya diimbangi oleh pengaruh penduduk asal Negeri Sembilan. Jika dihalusi kita akan dapati bahawa keunikan masyarakat Orang Negeri Sembilan dari segi pengamalan adat, dialek, kecintaan kepada kampong,pemakanan dan lain-lain lagi yang dapat kita saksikan hari ini adalah adunan daripada pengaruh-pengaruh tersebut.

Ya, kita tidak berkemampuan untuk berkomunikasi dengan nenek moyang kita jika dibolehkan berjumpa mereka secara zahir. Mereka bercakap dalam dialek Minangkabau sementara kita bercakap dalam dialek Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, dialek Minangkabau yang digunakan oleh nenek moyang kita adalah sama dengan dialek Minangkabau yang digunakan oleh 'Saudara Jauh Sekuturunan Kita’ Orang Minangkabau yang kini menetap di Beranang atau Gombak, Selangor. Ini berlaku kerana pendatang Minangkabau di kedua-dua tempat tersebut terus datang dari Tanah Minangkabau, Sumatera Barat, Indonesia ke Beranang atau Gombak, Selangor tanpa transit di lain-lain penempatan. Kelompok mereka juga memonopoli kedua-dua penempatan tersebut dan terus mengamalkan cara hidup seperti di tempat asal Tanah Minangkabau, Sumatera Barat kerana tiada pengaruh tempatan.Kedatangan mereka ke Tanah Melayu juga sekurang-kurangnya melebihi dua abad selepas siri kedatangan nenek moyang Orang Negeri Sembilan.

Evolusi yang panjang dan unik menganjakkan kita daripada jati diri asal usul. Anjakan tersebut berlaku secara semula jadi, adil dan tidak dapat dielakkan.

Sistem Adat Perpatih kita berbeza dengan Sistem Adat Perpatih di Tanah Minangkabau walaupun daripada acuan yang sama. Sistem Adat Perpatih kita adalah adunan Adat Minangkabau, Adat Langgam Baru (Siak) dan Adat Benar (Adat Penduduk Asal Orang Asli).

Dialek percakapan kita juga tidak lagi sama dengan dialek Minangkabau yang diucapkan oleh nenek moyang kita dahulu dan juga Orang Minangkabau di Gombak atau Beranang,Selangor dan di Tanah Minangkabau, Sumatera Barat, Indonesia.

'Saudara Jauh Seketurunan Kita' Orang Minangkabau di Gombak atau Beranang, Selangor yang masih boleh berhubung dengan saudara mara mereka di Tanah Minangkabau, Sumatera Barat. Kita Orang Negeri Sembilan pula telah terputus hubungan sama sekali. Telah berapa lama? Tiada catatan sejarah yang mencatatkan tempohnya.

Kebiasaannya tidak berlaku perubahan besar yang radikal dari segi bahasa atau dialek percakapan apabila sesuatu kelompok bangsa atau keturunan itu berhijrah ke penempatan baru. Kajian ketemadunan bangsa-bangsa menunjukkan tidak berlaku perubahan yang ekstrim ke atas bangsa-bangsa yang yang terkenal sebagai perantau yang hebat seperti bangsa China, India, Inggeris dan lain-lain lagi.

Sebagai perbandingan, dailek Minangkabau Orang Minangkabau yang kini menetap di Beranang atau Gombak, Selangor masih sama dengan dailek Minangkabau saudara-saudara mereka (dan juga adalah saudara-saudara kita) di Tanah Minangkabau, Sumatera Barat, Indonesia. Bagaimanapun, perkara ini tidak berlaku kepada kita ‘Orang Minangkabau Negeri Sembilan’.

Mengikut kaedah biologi yang mudah, Orang Negeri Sembilan adalah berketurunan campuran darah perantau Minangkabau, pribumi penduduk Asal Orang Asli dan setitik darah etnik Siak.

Akhirnya, bersediakah kita mengaku ’Den Anak Minang’(Aku Anak Minang)? Mungkin kita mempunyai cukup alasan dan helah yang membuatkan kita berat hati untuk mengaku ’Den Anak Minang’. Ya, kita lebih selesa dan merasa bangga dengan identiti ’Den Anak Negeri Sembilan’!

Tiada ulasan: