Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Selasa, 30 November 2010

Kucing dan manusia


Mengetahui saya ada memelihara beberapa ekor kucing, suami kepada saudara di sebelah isteri pernah bertanya secara sinis, “Adakah kucing secara semula jadi memerlukan manusia untuk hidup?”

Saya tidak menjawab pertanyaan yang berbentuk provokasi tersebut. Saya mengalah secara tersenyum.

Melalui pengalaman, saya merumuskan bahawa tidak akan bertemu titik logik di antara pengasihan kucing dengan golongan yang tidak sukakan kucing.

Kedua-dua golongan meyakini hujah masing-masing. Sedemikian, jika saudara pengasihan kucing jangan berhujah dengan golongan yang tidak sukakan kucing. Anda tidak boleh menerima hujah mereka. Mereka juga tidak akan menerima hujah anda. Anda bernasib baik jika mereka tidak memperlekehkan anda dengan hujah-hujah yang menyakitkan hati.

Memelihara kucing adalah suatu ‘kerja baik’ yang memenatkan serta melibatkan pengorbanan masa dan wang ringgit. Sedemikian, nawaitu kita memelihara makhluk Allah tersebut hendaklah kerana Allah. Kita akan rugi dan tidak mendapat ganjaran daripada Allah kerana menolong makhlukNya jika terselit walaupun sedikit sifat riak.

Seorang ustaz yang baru selesai memberi kuliah bab mengasihani sesama makhluk Allah termasuk haiwan belum pasti akan membawa pulang seekor kucing yang cedera parah dan kesakitan kerana dilanggar oleh kenderaan lain.

Sebaliknya, seorang pengasihan kucing tegar yang cuma kadang-kadang nampak tiang surau tiada keraguan lagi akan mengambil kucing malang tersebut dan merawatnya. Mungkin kucing tersebut adalah kucing ke10, 12,……, kucing-kucing terbiar yang diselamatkan. Dan mungkin kucing tersebut akan dinamakan Si Sepah.

Si Sepah akan mendapat kawan-kawan baru di dalam keluarga besar yang sedia menunggu di rumah termasuk anak kucing Si Hitam yang dijumpai di pasar, Si Buang anak kucing kurus kering yang diletakkan di pintu pagar rumah oleh orang yang tidak diketahui, Si Kutip yang berjalan seperti kangaroo kerana dua kaki hadapannya lumpuh, Si Betty yang pemalu, Si Capek, Si Chelet yang mata kanannya buta, Si Olen,Si Tompek dan Si Orange yang kematian ibu kerana dilanggar oleh kenderaan berhampiran pejabat, Si Comel,..……… dan lain-lain yang mempunyai sejarah silam yang menyayat.

Di samping memenatkan, pengorbanan masa dan wang ringgit, memelihara kucing juga memerlukan kekuatan emosi terutamanya apabila kucing-kucing jalanan yang dikutip, dirawat, diberi makan,diberi kasih sayang dan akhirnya menjadi sebahagian dari ‘ahli keluarga besar’ pengasihan kucing mati. Emosi pengasihan kucing pasti sukar dikawal apabila menghadapi suasana tersebut kerana telah wujud satu ‘chemistry’ hubungan kasih sayang dua hala yang harmoni dan tiada tolok bandingnya.

Selain itu, pengasihan kucing sejati amat menerapkan disiplin kebersihan yang ketat. Kucing-kucing tidak dibiarkan berkeliaran di kawasan perumahan yang diduduki sebaliknya ditempatkan di dalam kandang atau bekas kucing yang selesa dan bersih. Pengasihan kucing juga mempunyai kaedah masing-masing untuk mengelakkan kucing-kucing peliharaan berasa ‘stress’ kerana terkurung di dalam kandang.

Seperti makhluk Allah yang lain, kucing jalanan sekurang-kurangnya menghadapi dua perkara asas yang tidak dapat diuruskan sendiri iaitu ketika sakit dan lapar. Manusia dianugerahkan kelebihan untuk membantu dan melindungi. Sayangnya, kadang-kadang manusia terlalu berkira sehingga sanggup membiarkan haiwan-haiwan malang tersebut hidup melarat, menderita kesakitan dan kelaparan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."