Perjalanan dari Ampang ( sila lihat kaitan denagn entry adat orang Jawa? bertarikh April 2013) ke Tanjung Karang bersama isteri, anak gadis dan kakak ipar kerana menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan Hasan, sepupu isteri tidaklah terlalu memenatkan. Namun demikian, memenuhi jemputan walimatul urus sejauh itu biasanya berlaku di kalangan keluarga terdekat atau sahabat karib sahaja. Sepupu isteri adalah Orang Masjid Tanah, Melaka. Beliau berkahwin dengan Orang Jawa Tanjung Karang.
Kami sampai di rumah pengantin agak lewat, iaitu jam 3.00 petang. Kesampaian kami disambut dengan gembira oleh Hasan, pesara kerajaan yang berusia di hujung lima puluhan. Berkali-kali beliau mengucapkan terima kasih di atas kesudian kami datang ke rumahnya dari jauh.
Saya dapati tetamu telah berkurangan. Bagaimanapun, kami tidak nampak kelibat isteri Hasan yang bernama Rahimah.
Mungkin disebabkan tetamu telah berkurangan, Hassan sendiri mengiringi kami ke meja makan. Beliau yang sememangnya peramah melayan kami dengan baik. Di kesempatan tersebut kami saling bertanya khabar mengenai diri dan keluarga masing-masing. Anak gadis saya sempat merakamkan beberapa ‘shot’ gambar untuk dijadikan kenangan. Sesekali Hasan minta diri untuk menyambut tetamu yang masih lagi datang.
Sambil makan dan berbual lensa mata saya sempat memerhati suasana sekeliling. Secara kebetulan saya ternampak Rahimah, isteri Hasan memerhatikan kami dari anjung rumahnya. Saya berbisik kepada isteri dan memberitahu perkara tersebut.
Sehingga selesai kami makan, Rahimah tidak menghampiri kami untuk sekurang-kurangnya bertanya khabar atau sekadar bersalaman dengan saudara suaminya yang datang dari jauh. Dia mempunyai masa kerana para tetamu sudah berkurangan.
Rahimah bukannya tidak biasa dengan ahli keluarga suaminya. Ketika Hasan balik ke kampong di Melaka beliau sekeluarga biasanya akan menziarahi ibu saudaranya yang juga adalah ibu mertua saya. Bagaimanapun, sejak ibu mertua saya meninggal dunia hampir dua tahun yang lepas, Hasan belum pernah lagi balik ke Melaka. Ibu Hasan telah meninggal dunia setahun lebih awal dari adeknya, iaitu ibu mertua saya.
Rahimah yang kami kenali adalah seorang yang cepat mesra dan peramah bukan sahaja dengan kami bahkan juga dengan semua ahli keluarga suaminya di Melaka. Tetapi mengapa kini sudah berubah?
Setelah selesai makan dan berbual panjang dengan Hasan kami pun meminta diri untuk balik ke Ampang. Seperti biasa ketika bersalaman saya melampirkan sedikit sumbangan.
Sementara itu, isteri dan kakak ipar saya pergi ke dalam rumah mencari Rahimah untuk bersalaman. Saya dimaklumkan kemudiaannya mereka dapat berjumpa dengan Rahimah. Bagaimanapun, Rahimah tidak lagi se mesra dahulu. Rahimah tersenyum tetapi seperti dibuat-buat ketika bersalaman. Lebih mendukacitakan, Rahmah ‘terlupa’ memberi cenderahati kepada kakak ipar saya!
Kemudiannya, Hasan mengiringi kami ke tempat letak kereta. Dia memeluk saya dan sekali lagi mengucapkan terima kasih. Kami meninggalkan Hasan dan kampong isteri Hasan, sebuah kampong di tengah sawah padi Tanjung Karang.
Hamparan hijau sawah padi di kiri kanan jalan seolah-olah mengucapkan selamat jalan kepada kami. Emosi saya larut melayan fenomena alam semula jadi kawasan sawah padi Tanjung Karang yang indah dan menenangkan.
Sayangnya fenomena sedemikian tidak lagi dapat dinikmati di kampong saya di Negeri Sembilan. Tanah-tanah sawah kampong tidak lagi diusahakan. Kalau ada pun, digantikan dengan tanaman kelapa sawit atau tanaman sayuran. Malangnya, kebanyakkan tanaman sayur diusahakan oleh kaum Cina secara menyewa tanah penduduk kampong.
Masa terluang di dalam perjalanan balik ke Ampang diisi sepenuhnya dengan perbualan dan luahan perasaan tidak puas hati terhadap sikap isteri Hasan oleh isteri dan kakak ipar saya.
Benarlah kata ahli falsafah bahawa sekolah kehidupan tidak akan pernah tamat. Sehebat mana pun seseorang itu, masih ada yang perlu dipelajarinya lagi. Sekolah kehidupan di dunia cuma akan tamat apabila seseorang itu mati:
Normah Isteri Hasan – Salah satu daripada kelas asas kehidupan yang perlu dipelajarinya lagi ketika di usia emas ialah menghormati tetamu terutamanya dari kalangan ahli keluarga.
Etika Tuan Rumah – Jamulah tetamu mengikut kesesuaian waktu kedatangan mereka. Kalau mereka datang pada waktu zuhur, maghrib atau isyak, sedapat mungkin jamulah dengan makanan biasa kita pada waktu tersebut. Hidangan nasi dengan goreng telur pun tidak mengapa asalkan ikhlas.
Amalkanlah sikap menghargai dan menghormati tetamu terutamanya di kalangan kaum keluarga sendiri. Di antara kita mungkin mempunyai pengalaman mengenai sikap sesetengah ahli keluarga sendiri ketika melayan kedatangan kita ke rumahnya.
Kita datang ke rumahnya selepas waktu zuhur dihidangkan teh ‘o’ dan kueh karipap. Kita datang selepas waktu maghrib pun dihidangkan dengan menu yang sama. Kita pun jadi musykil. Saudara dekat kita itu tidak makan nasi ke?
Generasi terdahulu amat menghormati tetamu terutamanya dari kalangan keluarga. Piawai yang sangat dijaga ketika menyambut kedatangan keluarga ialah menghidangkan mereka dengan makan nasi. Sayangnya, amalan murni tersebut semakin diabaikan oleh generasi hari ini.
Etika Datang Ke Rumah Orang – Kita perlu berlapang dada dan sembunyikanlah perasaan kurang selesa dengan keadaan rumah atau sikap tuan rumah. Terimalah apa sahaja keadaan dengan sabar dan seadanya.
Episod Belum Selesai:
Ketika melepasi Bandar Tanjung Karang kedua adek beradek tersebut masih tidak usai-usai meluahkan rasa tidak puas hati mereka. Dialog yang sempat saya dengar sebelum beredar ke kaunter bayaran untuk mengisi minyak berbunyi:
Suara 1: “Pada majlis perkahwinan anaknya (isteri Hasan,Rahimah) yang pertama tahun lepas, pun dia tak layan kita juga, tetapi kita datang juga lagi……..”
Suara 2: “ Kita jangan pergi lagi pada majlis perkahwinan anaknya yang akan datang.”
Bagaimanapun,saya tidak terpengaruh dengan agenda dua adek beradek tersebut. Kata orang pendirian perempuan adalah umpama keras-keras kerak nasi.
Bukan salah Orang Jawo,
salah saudaro berbini duo,
satu tak solosai maun duo,
ilmu pulak tak ponoh di dado,
itulah jadinyo.
Rangkap-rangkap di atas tidak ditujukan kepada Hasan. Beliau adalah seorang suami yang baik dan adil kepada kedua-dua isterinya. Rangkap dialek Negeri Sembilan yang juga adalah dialek Orang Masjid Tanah, Melaka tersebut cuma ‘gurauan’ kecil di dalam tulisan ini.
Saya berlapang dada. Kok dijemputnyo maso olek anaknyo nombo tigo, insya Allah Den poi juo.
(Walau apa pun keadaannya, insya Allah saya akan hadir ke majlis perkahwinan anak Hasan yang ke-3 jika ada jemputan).
Nota : Sebenarnya Hasan ada dua isteri. Rahimah adalah isteri pertamanya.
Apo nak dikato!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."