Kalah lagi! Daripada 11 perlawanan, Negeri Sembilan mengumpul 11 mata, di kedudukan ke-11, ke-4 tercorot di dalam saingan Liga Super Malaysia 2011.
Pasukan Bolasepak Negeri Sembilan 2011 yang tergolong di kalangan segelintir pasukan elit di persada bolasepak negara, turun ke kancah saingan dengan segala kemegahan masa lalu; Juara Piala HMS Malaya 1948, Juara Piala Malaysia 2009, Juara Liga Super 2006, Juara Piala FA 2003 dan 2010, Naib Juara Piala Malaysia 2000, 2006 dan 2010 dan Naib Juara Piala Liga Super 2008.
Gah dan kehebatan masa lalu tidak diambil kira di dalam sebarang pertandingan termasuk bolasepak. Kini Si Rusa “Hoben Jang Hoben” adalah pasukanan belasahan dan diaibkan.
Pihak pengurusan Pasukan Bolasepak Negeri Sembilan yang menghidu ‘tsunami’ menakutkan ini telah mengambil tindakan yang agak ‘kasar’ dengan cara memberi tekanan dan ‘mengugut’ para pegawai dan pemain agar meningkatkan prestasi.
Rentetan ke atas kemelut ini, Ketua Jurulatih pasukan Bolasepak Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hasan, figura yang berjaya membawa pulang Piala Malaysia ke Negeri Sembilan pada tahun 2009 dan Piala FA pada tahun 2010 meletakkan jawatan pada bulan Mac 2011. Jasa-jasa beliau larut dan seperti dilupakan umpama pepatah yang berbunyi; “Hapus panas setahun oleh hujan sehari.”
Tiada kekeliruan lagi bahawa kegemilangan bolasepak Negeri Sembilan adalah semasa di bawah bimbingan Wan Jamak Wan Hasan - khususnya pada tahun 2009 dan 2010. Adalah sukar bagi mana-mana jurulatih dapat mencemar pencapaian beliau dalam tempuh terdekat. Beliau hanya sempat mengendali pasukan Bolasepak Negeri Sembilan 2011 setakat tujuh perlawanan sahaja dengan menghasilkan 3 kali menang dan 4 kali kalah.
Tugas Ketua Jurulatih diambil alih oleh bekas jurulatih pasukan Harimau Muda A dan juga pasukan bolasepak Negeri Kedah, Azraai Khor Abdullah. Setelah melalui empat kali perlawanan, Azraai Khor Abdullah nyata masih belum mampu membuahkan hasil yang diharapkan kerana cuma menghasilkan 2 kali seri dan dua kali kalah.
Momentum kemenangan masih belum menjelma sekalipun segala daya telah diusahalkan. Keadaan ini amat meresahkan ‘Orang Negeri Sembilan’. Saya catatkan ‘Orang Negeri Sembilan’ dan bukannya penyokong Negeri Sembilan kerana semua anak Negeri Sembilan samada yang tua atau muda, menetap di Bongek atau di Penarik ( Terengganu), lelaki atau perempuan adalah penyokong tegar Negeri Sembilan.
Mereka mungkin tidak pernah sampai ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukan Negeri Sembilan. Namun demikian, mereka sentiasa memerhati dan menilai perkembangan dan prestasi pasukan kesayangan mereka.
Merekalah akan ‘jobo’ berlebihan (merasa bangga/megah dan diterjemahkan dengan memberi tahu orang lain tanpa ditanya) dan heboh memperkatakan kehebatan Negeri Sembilan dengan kawan-kawan se pejabat apabila Negeri Sembilan mencipta kemenangan demi kemenangan.
Dan, merekalah juga yang turut terseksa dengan prestasi pasukan Negeri Sembilan sekarang. Pendek kata, tekanan darah mereka turut naik setiap kali pasukan Negeri Sembilan kalah.
Tsunami kekalahan demi kekalahan bertali arus yang dialami oleh pasukan bolasepak Negeri Sembilan di awal saingan Liga Super 2011 ini perlu diatasi dengan apa cara sekalipun. Arena saingan semakin berkurangan: Harapan untuk memenangi Piala FA dua tahun berturut-turut telah hancur berkecai; Kalaulah ada hajat hendak menjadi Juara Liga 2011, hajat tersebut adalah umpama ‘punggok merindukan bulan’ dan akan ditertawakan.
Berdasarkan prestasi dan kedudukkan semasa di dalam saingan Liga Super 2011, Negeri Sembilan tidak akan dapat menjadi Juara Liga Super 2011 kecuali berlaku satu keajaiban.
Bagaimanapun, kalau dianalisa kepada prestasi dan pencapaian Negeri Sembilan dalam tempoh 5 tahun terakhir (2006-2010), kecuali tahun 2007, pasukan ini tidak pernah menghampakan penyokongnya. Sepanjang tempoh tersebut pasukan Negeri Sembilan telah berjaya membawa pulang piala-piala berprestij seperti di bawah:
Juara Piala Liga Super 2006
Naib Juara Piala Malaysia 2006
Naib Juara Piala Liga Super 2008
Juara Piala Malaysia 2009
Naib Juara Piala Malaysia 2010
Juara Piala FA 2010
Moral cerita yang hendak disampaikan ialah, mengikut rekod yang lalu, Negeri Sembilan adalah pasukan yang hebat. Sekalipun ada kalanya prestasi pasukan Negeri Sembilan diragukan, tetapi di akhir musim seperti ‘kebiasaannya’ mesti ada piala akan dibawa balik ke Seremban.
Pasukan bolasepak Negeri Sembilan 2011 memiliki segala ramuan sang juara samada di pihak pengurusan, jurulatih atau pemain. Sumber dan kualiti yang dimiliki bertepatan dengan pepatah; ‘Apa kurang pada belida, sisik ada tulang pun ada’. Namun demikian, realitinya, semuanya tidak menjadi dan seperti tidak dapat diselamatkan lagi.
Ada satu jenaka yang begitu popular di kalangan pemanjat petai hutan di sebuah kampung di Rembau: Kononnya, situasi yang menimpa pasukan bolasepak Negeri Sembilan adalah disebabkan tersalah pilih maskot. Sepatutnya kerbau yang dipilih dan bukannya rusa kerana haiwan gagah tersebut lebih dekat dengan budaya Negeri Sembilan. Kerbau juga memiliki banyak kelebihan berbanding rusa.
Piala FA 2011 sudah terlepas dan menggapai Piala Liga Super 2011 umpama punggok merindukan bulan. Yang tinggal tersisa cuma Piala Malaysia 2011 sahaja.
Adakah lagi seperti ‘kebiasaannya’ akan berlaku pada tahun 2011?. Kalaulah ada, pasukan bolasepak Negeri Sembilan 2011 akan menjadi Juara Piala Malaysia tahun ini! Perkara ini tidak mustahil kerana Negeri Sembilan seperti telah sinonim dengan istilah ‘kebiasaannya’. Kebiasaannya Negeri Sembilan tidak pernah ‘uceh’ (terlepas peluang memiliki sesuatu) lagi.
Untuk mencapai satu-satunya peluang yang masih ada, Negeri Sembilan perlu bekerja keras bagi meningkatkan prestasi dan memperbaiki kedudukan di dalam Liga Super 2011: Kok koroh dijoronihkan; kok kusut diusaikan; koruh di hulu disolosaikan di hulu; koruh di hilir disolosaikan di hilir; yang lusuh diganti; yang kuyak ditampal; yang panjang dikorek; yang pendek disambung; dan ibu adat mopokat.Hoben Jang Hoben!
Ujang kutik
Ampang, Selangor
14 April 2011
Sdr yg dihormati,
BalasPadamPerkembangan Terkini Pasukan N.Sembilan Dalam Piala Malaysia 2011 - 14/10/11
Live Traffic Feed blog ini menunjukkan agak ramai juga yang melawat entri ini. Sayangnya tiada yg membuat ulasan.
Baru sebentar tadi pasukan N.Sembilan berjaya ke perlawanan separuh akhir setelah mengalahkan Felda United.
Andainya N.Sembilan berjaya mengalahkan T-Team pada saingan separuh akhir, analisa entri ini tepat 99%. Kita tunggu.T.Kasih
Tuan ujang,
BalasPadamTahniah ..tepat saperti yang di ramalkan.
Bagaimanapun Safiq Rahim sekali lagi memukau penyokong perak dengan tendangab bebas nye yang deadly precision.
Sdr theolrascal,
BalasPadamTerima kasih. Dan tahniah juga kpd tuan.
Saya tidak sempat melihat Selangor main kerana memberi tumpuan kpd Kelantan-Terengganu.
Sekali lagi N9 bernasib baik tidak bertemu Kelantan kerana menjadi juara kumpulan (Terengganu naib juara).
Apa pun, saya tidak beberapa yakin dgn N9.Bagaimanapun, pasukan den setakat ini sampai juga ke semi final.Ini namonyo 'jeki' datang menggolek.
Negeri Sembilan mengalahkan T-Team 4-2 dalam perlawanan separuh akhir pertama di Terengganu pada 18/10/11.
BalasPadamN9 cuma memerlukan setengah langkah sahaja lagi untuk ke final 2011 - 3 tahun berturut-turut.
Semoga ramalan entri ini menjadi kenyataan.
"Den dah kato"
Sabtu,22 Oktober 2011
BalasPadamNegeri Sembilan kalahkan T-Team aggtegate 6-3.
Sah, pasukan N.Sembilan tergolong di kalangan segelintir pasukan elit bolasepak negara - Berjaya ke pertandingan akhir Piala Malaysia 3 tahun berturut-turut - 2009(Juara),2010(Naib Juara)dan 2011.
29 Oktober 2011:
BalasPadamSah, Negeri Sembilan menjadi juara Piala Malaysia 2011 setelah mengalahkan Terengganu 2-1. TAMAT.
ujang..sebuah buku mengenai bolasepak malaysia akan diterbitkan. maun ko kau menyumbang sebuah cerita tentang kisah kau dan bolasepak negeri sembilan? kok maun, email ke nasron.yasin@gmail.com.
BalasPadamA.S.A.P
j or ji,
BalasPadamTerima kasih kerana singgah ko blog den yg tak soborapo ni. Bak kato oghang, "Ado tak monambah, tak ado pun tak apo."
Bilo den poi ke blog kau, malu den... boribu-ribu pengikutnya.
Budi baik saudara saya ucapkan terima kasih. Bagaimanapun, buat masa ini saya belum ada keyakinan lagi.
Terima kasih.