Setiap kali bercuti di kampung, sedaya upaya saya akan solat berjumaah khususnya solat fardhu Subuh di Masjid Tua yang telah diubahsuai dari bentuk asal dan penambahbaikan kepada beberapa kemudahan asasnya.
Di samping ingin mendapatkan fadhilat solat berjumaah, ada sesuatu yang ‘mengikat’ dan ‘memaksa’ saya. Semoga Allah menerima amalan saya.
Sebelum kampung ini mendapat bekalan air paip, tempat mengambil wuduk adalah di perigi berukuran empat segi bujur yang terletak di sebelah kanan bangunan masjid. Perigi tersebut didinding dengan atap zinc. Tempat wuduk lelaki dan wanita dipisahkan dengan sekatan yang juga dari atap zinc.
Ketika itu, walaupun tiada bekalan elektrik, Masjid Tua sentiasa terang benderang di waktu Maghrib hingga Isyak dengan limpahan cahaya dua atau tiga unit lampu ‘gaseline’. Kerja memasang lampu ‘gaseline’ tidaklah begitu rumit tetapi tidak pula semudah memetik ‘switch’ lampu elektrik di dinding – ‘potik tepi tongah monyalo’.
Masjid Tua tetap utuh meskipun hampir kesemua generasi terdahulu yang pernah mengimarahkannya telah meninggal dunia. Di antaranya ialah allahyarham Atuk Suman (Osman Siak), Pak Long Ghani (Imam Ghani), Atuk Iyash (Alias), Lebai Musa, Lebai Salam, Bilal Kadir, Datuk Empat Kasim, Pak Cik Isa, Atuk Mahat, Atuk Daim, Atuk Hj.Ibrahim, Atuk Hj.Harun, Hj.Yusuf, Atuk Hamid, Hj. Daud Mungkin dan ramai lagi.
Di antara orang terdahulu yang namanya amat terkesan di kalangan penduduk kampung hingga ke hari ini ialah arwah Osman Siak. Saya memanggil allahyarham dengan panggilan ‘Atok Suman’. Anak beliau, Azman, (kami tidak memanggilnya Azman kerana dia lebih dikenali dengan nama (gelaran) yang bunyinya terlalu eksotik dan tentunya tidak perlu didedahkan di sini) sama usia dengan saya dan sedarjah ketika di sekolah rendah.
Ada satu ‘dosa’ Azman yang tidak pernah saya maafkan ketika di zaman anak-anak. Azman telah hilang pertimbangan dan merasa amat terhina kerana gasing kesayangannya yang diperbuat daripada perdu pokok limau yang ditebang tanpa pengetahuan dan kebenaran emaknya, Uwan Sejek, terbelah dua akibat terkena pangkahan gasing perdu pokok cemperai kepunyaan saya. Dia membaling gasing saya yang masih baru, cantik dan dilicinkan dengan daun palas ke dalam semak sehingga hilang.
Azman berkahwin dengan Orang Johor dan kini menetap bersama keluarganya di Kluang. Kali terakhir kami berjumpa kira-kira enam tahun yang lalu di Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar, Seremban ketika menghantar anak kedua saya memasuki sekolah tersebut. Beliau dan isterinya pula menghantar anak saudara di sebelah isteri.
Atuk Suman (Osman Siak) melakukan tugas Siak secara ‘one man show’ dengan ikhlas kerana Allah. Beliaulah yang menyabit rumput di kawasan masjid, menyapu sampah di dalam dan di luar masjid, memasang lampu ‘gaseline’, mengatur dan menyimpan semula tikar sembahyang, membuka dan menutup pintu/tingkap masjid, membuat air minuman ketika ada kuliah ugama, membuat air teh susu untuk jumaah pada bulan Ramadhan, azan solat ketika ketiadaan bilal dan lain-lain lagi yang ada kaitan dengan masjid.
Ketika itu imbuhan bulanan kepada pegawai-pegawai masjid belum dilaksanakan lagi. Kalau ada pun imbuhan hanyalah bayaran sagu hati sebagai amil mengutip zakat fitrah.
Akhirnya, Atuk Suman (Osman Siak) meninggal dunia di rumah kedua kesayangannya - di Masjid Tua ini. Kematian beliau cuma disedari semasa para jumaah hendak mendirikan solat Asar. Secara tepatnya saya tidak ingat tarikh beliau meninggal dunia, tetapi yang pasti adalah di sekitar penghujung tahun 70-an.
Seorang lagi hamba Allah yang semasa hayatnya ‘sangat hampir’ dengan Masjid Tua ialah allahyarham Imam Ghani, pesara polis Singapura. Beliau yang berbadan agak besar, merendah diri dan amat disenangi oleh semua peringkat golongan masyarakat kampung samada kanak-kanak atau pun orang dewasa. Kami memanggilnya dengan panggilan Pak Long Ghani.
Selain dari menjadi imam lima waktu, beliau juga mengajar kanak-kanak mengaji Al-Quran dengan ikhlas tanpa sebarang bayaran. Beliau juga tidak menerima sebarang imbuhan tetap bulanan atau berkala seperti yang diperolehi oleh Imam 1, Imam 2, Bilal dan Siak sekarang.
Suasana di dalam bulan Ramadhan pula lagi meriah. Masjid dipenuhi oleh jumaah di sepanjang bulan yang mulia ini. Penduduk kampung sepakat membawa kueh dan makanan masing-masing dari rumah untuk jamuan selepas selesai menunaikan solat sunat tarawikh.
Bagaimanapun, suasana di Masjid Tua kini tidak seperti dahulu lagi. Kini, Masjid Tua tidak beberapa dipedulikan lagi bukan sahaja oleh anak-anak kariah bahkan di kalangan beberapa orang pegawai masjid yang dilantik.
Legasi Atuk Suman (Osman Siak) dan Pak Long Ghani (Imam Ghani) yang jujur dan ikhlas adalah sejarah dan turut disemadikan di pusara masing-masing.
Sehingga sekarang, naluri saya masih terlalu teruja dengan keseronokkan menikmati jamuan yang dibawa oleh penduduk kampung selepas selesai menunaikan solat sunat tarawikh di Masjid Tua. Ini mengingatkan saya kepada nostalgia keenakan teh susu yang disediakan oleh allahyarham Atuk Suman (Osman Siak). Sayangnya, kini tiada lagi teh susu dan jamuan sedemikian di sepanjang bulan Ramadhan.
Kini, solat Maghrib dan Isyak cuma ada 2 atau 3 orang makmum sahaja. Imam-Imam yang dilantik juga selalu tidak hadir ke masjid untuk mengimamkan solat lima waktu. Kebanyakkan Ahli Jawatankuasa Masjid juga tidak nampak ‘batang hidung’ mereka di masjid.
Yang lebih membimbangkan ialah ketika solat fardhu Subuh. Melalui pengalaman, kebiasaannya solat fardhu Subuh secara berjumaah didirikan secara istiqamah oleh dua orang anak kariah sahaja. Ini adalah juga komitmen mereka yang amat besar terhadap keselamatan berugama seluruh penduduk kampung.
Salah seorang daripada mereka akan bergilir-gilir menjadi imam. Mereka bukannya Imam 1 atau Imam 2 yang dilantik. Salah seorang daripada mereka ialah Bilal yang dilantik. Seorang lagi ialah anak kariah kampung yang tidak memegang sebarang jawatan di dalam hiraki pegawai-pegawai masjid.
Ini bermakna solat fardhu Subuh berjumaah tidak akan dapat didirikan di Masjid Tua jika salah seorang daripada hamba Allah tersebut sakit atau uzur. Minta dijauhkan Allah!
Perkara yang ditakuti ini hampir-hampir berlaku baru-baru ini. Kebetulan pada hari tersebut saya agak lewat sedikit sampai ke masjid. Sesampai di masjid, saya dapati cuma ada seorang sahaja sedang menunaikan solat fardhu Subuh. Ketika itu beliau sedang membaca surah Al-Fatihah di rakaat kedua. Sungguh pun terlewat, saya bernasib baik kerana dapat juga solat Subuh secara berjumaah walaupun sebagai makmum masbuk.
Masjid Tua cuma diimarahkan sekali sekala sahaja, iaitu ketika kuliah mingguan yang disampaikan oleh ustaz-ustaz daripada Pejabat Ugama Daerah. Kebiasaannya, jumaah yang hadir cuma empat atau lima orang sahaja.
Kadang-kadang Masjid Tua juga didatangi oleh Jumaah Tabligh Bagaimanapun, kumpulan tersebut dibebankan dengan beberapa syarat yang setengahnya agak lucu dan memenatkan. Seperti biasa, di antara syarat tersebut adalah menjaga kebersihan masjid. Di antara syarat lain, tidak dibenarkan memberi ceramah, berdakwah dan tazkirah kepada penduduk tempatan. Bagaimanapun, pengurusan masjid tidak akan menghalang kumpulan tersebut berceramah dan bertazkirah di kalangan ahli kumpulan (Jumaah Tabligh) mereka.
Bukankah Ini bodoh sombong namanya? Lagi pun bukanlah sesuatu yang mudah untuk mengajak penduduk tempatan datang ke masjid melakukan solat berjumaah, membaca Al-Quran, iktikaf , mendengar tazkirah dan solat tahajud bersama-sama dengan Jumaah Tabligh.
Walaupun dipinggirkan dan tidak dipedulikan, Masjid Tua tetap setia dan amanah menyimpan segala rahsia anak-anak kariahnya. Belum pernah lagi Masjid Tua mengaibkan anak-anak kariah yang tidak pernah atau jarang-jarang menziarahinya.
Masjid Tua juga tidak pernah iri hati atau berdendam terhadap segolongan anak-anak kariah yang suatu ketika dahulu hidup susah, saban hari menggunakan laluan masjid dan berhenti berteduh di dalam masjid kerana hujan semasa di dalam perjalanan ke sekolah di bandar, kini hidup senang tetapi tidak pernah menginfakkan samada wang ringgit atau tenaga ke arah memperkasakannya.
Di Masjid Tua inilah mereka mencuba-cuba belajar sembahyang secara berjumaah pada Hari Jumaat atau solat sunat tarawikh di dalam bulan Ramadhan. Ada yang pernah ditegur oleh orang yang lebih tua di atas alasan kononya ‘kurang adab’ kerana mengambil kedudukkan di saf paling hadapan dan betul-betul di belakang imam ketika menunaikan solat fardhu Jumaat.
Kemuncak kepada kesabaran Masjid Tua ialah sangat-sangat menjaga perasaan dan maruah diri beberapa orang pegawai masjid yang dilantik tetapi tidak menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Belum pernah lagi Masjid Tua menghebahkan ‘salah laku’ mereka kepada jumaah masjid ketika solat Jumaat atau solat sunat Hari Raya. Walaupun selalu ponteng, mereka masih menerima elaun bulanan tanpa disekat atau dikurangkan jumlahnya.
Namun demikian, sesekali terlintas juga di fikiran Masjid Tua untuk melaporkan masalah disiplin di kalangan beberapa orang pegawai masjid dan kekerasan hati anak kariah mengimarahkan masjid kepada Pejabat Ugama Daerah.
Secara kebetulan, minggu lepas ada seorang musafir yang mencadangkan agar dicari anak muda lepasan sekolah pondok, sekolah tahfiz atau lulusan sekolah ugama untuk dijadikan imam dan bilal. Kata musafir tersebut: “Sekarang ini ramai anak muda yang berpendidikan ugama, komited, lancar dan sedap bacaan Al-Quran mereka untuk dilantik sebagai imam atau bilal.”
Satu lintasan bawah sedar tertusuk di dasar minda Masjid Tua; “Ada juga logiknya. Biarlah Imam-Imam tua yang sedia ada menumpukan sepenuh masa kepada kerja menoreh getah kerana harga getah pun mahal dan hasilnya jauh lebih lumayan daripada imbuhan bulanan yang diterima sekarang.”
Masjid Tua akan terus setia dan pasif memerhati perilaku anak-anak kariah yang silih berganti di sepanjang zaman; dari zaman anak-anak, bersekolah, bekerjaya, berkeluarga,berugama dan akhirnya meninggalkan alam yang fana ini. Seorang demi seorang anak kariah telah pergi menemui Pencipta, termasuk yang sombong, meminggirkan dan tidak mempedulikannya di sepanjang hayat mereka. Namun demikian, Masjid Tua tetap utuh dan tidak sedikit pun terkesan.
(Nota : Nama-nama dan watak-watak yang terdapat di dalam tulisan ini tidak ada kaitan dengan mereka yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia.)
ujang kutik
03 April 2011
Saudara Ujang Kutik,
BalasPadamAssalmualaikom. Sungguh indah bahasa yang tuan sampaikan perihal Masjid Tua. Terkesan di hati saya membacanya.
Biarpun sewaktu kecil saya tinggal di bandar KL. Namun saya juga pernah merasai menyalakan lampu gasoline, membuka tingkap surau serta memasang sejadah di surau tempat saya tinggal. Kerana saya tinggal di kawasan setinggan yang tiada dibekalkan letrik dan air paip ketika itu.
Memang benar sekali tuan perkatakan. Amat nostalgik apabila mengingati kenangan2 seperti ini. Mengmbil wudhu' menggunakan air di sumur.
Kadang2 sewaktu kecil saya juga memukul beduk serta mengumandangkan azan kerana bilal lambat datang.
Banyak lagi peristiwa2 seperti ini yang barangkali kita sama2 pernah lalui. Terutama bersama orang2 tua yang berkemungkinan telah kembali menemui Illahi.
Gembira saya membaca coretan tuan.
Sdr saya Pak Mail, terima kasih. Semakin lanjut usia kita, terlalu banyak kenangan masa lalu mendatangi kita.
BalasPadamBegitu syahdunya nostalgia...
BalasPadamSdr Rafikasastras,
BalasPadamBegitulah. Terima kasih
nostalgia sungguh....saya adalah sebahagian hidup zaman kanak2 saya dihabiskan di chengkau...KG CHENONG ULU, Imam Gani ialah Arwah Atuk sedara saya.. arwah adalah bapa saudara arwah ayah saya. Isteri arwah adalah adik nenek saya. Sejak arwah wan tak da mmg tak balik kg.. Tp sejak saya kawin dgn org Chenong Ulu jugak setiap minggu saya balik..apa pun seronok baca blog ni...:)
BalasPadamSuriati Abd Ghani,
BalasPadamAssalamualaikom,
Terima kasih kerana membaca catatan lama saya.
Saya panggil arwah (Allahyarham Imam Ghani) Pak Long Ghani.Arwah dan isteri mengambil 3 orang anak angkat lelaki (anak saudara isteri arwah yang ibu mereka meninggal dunia semasa muda).
Arwah seorang yang ikhlas dan merendah diri - disenangi oleh yang muda dan dewasa.
Saya dan keluarga juga selalu balik Chengkau Ulu. Ziarah keluarga satu-satunya adik perempuan dan keluarganya. Adik saya bekerja di Seremban.Di kampung saya banyak rumah tinggal.
T.Kasih.