Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 19 Mac 2011

Jauh perjalanan, banyak pengalaman.

Laman Resort Sri Penarik

Kawan se kampung yang baru enam bulan ditemui semula setelah hampir tiga dekad terpisah, Hamzah, akan menghantar SMS setiap kali beliau sampai ke sesuatu destinasi. Destinasi beliau bukannya Kuala Terengganu, Kota Bharu, Johor Bharu, Arau atau pun Bertam di pendalaman Gua Musang, Kelantan.
Sebaliknya, Bangkok, Surabaya, Hongkong, Goa, London, Paris, Ghana, Republic of Mali – seantero dunia di atas urusan perniagaan. SMS terakhir saya terima ketika beliau berada di Bameko, Republik of Mali. Beliau sempat mencatatkan kemiskinan penduduk Mali.

Jauh perjalanan, luas pengalaman. Walaupun tidak se hebat Hamzah, saya juga berpeluang melihat hampir ke serata tempat di Semenanjung di atas urusan kerja. Peluang sedemikian membolehkan saya melihat dan mengalami pelbagai budaya, cara hidup, keindahan alam, loghat penduduk se tempat, variasi makanan tempatan, keunikan rumah, peninggalan sejarah, pendekatan dan komitmen berugama dan lain-lain lagi.

Hampir dua puluh tahun yang lalu saya pernah menaiki bot kecil selama 3 jam dari Kuala Krai ke kawasan pendalaman Dabong di Negeri Kelantan untuk tugasan kerja.

Minggu terakhir bulan Februari, 2011 saya dan rakan sekerja bertugas di Setiu, Terengganu. Kami menginap di sebuah chalet di tepi Pantai Penarik. Menariknya, Tuan Hj. Baha (bukan nama sebenar), tuan punya chalet tersebut adalah orang se negeri dengan saya, Orang Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Dunia seperti terlalu kecil. Tuan Hj. Baha juga dalah kawan baik dan ‘class mate’ bekas Ketua Jabatan saya yang telah bersara.

Tuan Hj. Baha bersama isteri menguruskan chalet tersebut sejak tahun 1991. Kini, beliau jdibantu oleh anak lelakinya lulusan UITM. Chalet beliau terletak di tepi Pantai Penarik yang indah dan serasi dengan deruan ombak Laut China Selatan. Di sebelah belakang chalet mengalir tenang Sungai Penarik. Strategiknya, chalet tersebut terletak di antara Laut China Selatan dan kuala Sungai Penarik. Selang satu kilometer dari chalet terdapat sebuah perkampungan nelayan.

Banyak perbezaan di antara Kuala Pilah dengan Pantai Penarik. Sekurang-kurangnya, Kuala Pilah sinonim dengan kehijauan hutan tropika. Sebaliknya, Pantai Penarik adalah ombak dan laut.

Penilaian singkat saya mendapati bahawa Tuan Hj. Baha telah begitu mesra dengan persekitaran ‘baru’ beliau – kehidupan orang pantai.

Saya yakin ketika masih di Kuala Pilah, Tuan Hj. Baha dan keluarganya berkulit cerah atau sekurang-kurangnya seperti kulit Orang Negeri Sembilan yang sawo matang. Bagaimanapun, angin Laut China Selatan yang saban hari mengulit keluarga hebat ini telah mengubah kulit mereka kepada sedikit gelap – kulit orang di pesisiran pantai.

Ombak Laut China Selatan yang tidak pernah jemu memukul Pantai Penarik agak ganas dan menakutkan terutamanya kepada pelawat dari luar. Justeru, saya tidak berani mandi di pantai ini.

Ironisnya, Tuan Hj. Baha selamba sahaja berenang menongkah ombak dan memanjakan diri di dalam Laut China Selatan di Pantai Penarik. Ini juga adalah anjakan paradigma yang tidak berlaku jika beliau masih berada di Negeri Sembilan. Kini, beliau sudah pandai berenang dan laut adalah kawan sepermainan.

Saya perhatikan bahawa Tuan Hj. Baha dan keluarga menjalani kehidupan dan perniagaannya di dalam suasana seronok dan santai. Kawasan persekitaran chalet beliau diurus dengan baik, teratur dan sedap mata memandang. Bilik air dan tandas chalet sentiasa bersih.

Hari-hari kami menginap di sini diisi dengan perbualan yang tidak menjemukan kerana Tuan Hj. Baha adalah seorang yang bermaklumat. Perkara ini tidak perlu dihairankan kerana pergaulan beliau dengan pelancung dari dalam dan luar negara khususnya dari negara-negara Barat. Beliau dan isterinya juga fasih berbahasa Inggeris.

Berbekalkan maklumat beliau, di satu petang selepas waktu bekerja saya dan seorang rakan pergi ke tepi Sungai Penarik. Sesampai di situ, kami dapati telah ada beberapa orang seperti sedang menunggu sesuatu di sepanjang tebing sungai tersebut.

Mematuhi nasihat Tuan Hj. Baha, kami bergerak secara hati-hati dan kalau bercakap pun secara perlahan. Kami mengambil tempat dan duduk berhampiran dengan seorang penduduk tempatan, Jusuh, yang akhirnya saya ketahui berumur empat puluh tahun.

Jusuh yang memakai pakaian agak lusuh, seperti kebanyakkan orang di pesisiran pantai berkulit agak gelap. Mungkin kerana kesukaran melayan karenah hidup, beliau kelihatan lebih tua dari usia sebenarnya. Inilah kesilapan teknikal rakan saya yang berusia hampir 50 tahun kerana memanggil Jusuh dengan panggilan ‘Abang’.
Tuntung naik ke tebing muara sungai ini

  


Sebenarnya, kehadiran kami ke tepi sungai tersebut kerana ingin mengalami pengalaman sebenar menunggu TUNTUNG naik bertelur ke darat seperti yang diceritakan oleh Tuan Hj. Baha.

Secara peribadi, saya sendiri belum pernah lagi melihat tuntung. Umumnya, tuntung adalah spesis reptilia seperti penyu dan labi-labi. Dikatakan bahawa rasa telurnya ada persamaan dengan telur penyu tetapi bentuk fizikalnya lain sedikit.

Mengikut kaedah matematik, penunggu tuntung yang bernasib baik akan mendapat durian runtuh. Seekor tuntung biasanya akan bertelor di antara 30 – 40 biji pada setiap kali bertelor. Sebiji telor pula boleh dijual pada harga RM5.00. Bayangkan keuntungan yang diperolehi - jika bernasib baik.

Bagaimanapun, jangan gambarkan menunggu tuntung naik bertelur ke darat sebagai satu kerja mudah dan santai - tunggu tuntung naik ke darat , tunggu reptilia itu bertelur, alihkan telur ke dalam bekas dan akhirnya bawa telur tuntung balik ke rumah. Skrip sebenar tidak semudah itu.

Ada sekurang-kurangnya dua perkara yang anda perlu ketahui. Mengikut pengalaman Jusuh, sepanjang bulan Januari 2011, cuma sekali sahaja tuntung naik bertelur ke darat. Ini bermaana menunggu tuntung adalah aktiviti yang menguji tahap kesabaran ekstrim.

Kata Jusuh : “Selalunya, aktiviti menunggu tuntung akan berakhir dengan kerja sia-sia – tidak dapat apa-apa.”

Kedua, ada satu etika ‘gentleman’ yang sedikit melucukan tetapi dihormati di kalangan penunggu tuntung. Kehadiran tuntung adalah rezeki bukan sahaja kepada orang yang dapat menangkap tuntung tetapi juga kepada setiap orang yang menunggu.

Seseorang yang dapat menangkap tuntung akan segera membawa lari tuntung itu ke tempat lain. Tujuannya ialah untuk mengelakkan hasil telur tuntung dikongsi oleh orang lain. Bagaimanapun, penunggu lain yang menyedari perkara tersebut dan inginkan bahagiannya hendaklah mengejar orang yang dapat menangkap tuntung itu sehingga sampai ke satu tempat yang sesuai dan selesa bagi reptilia itu bertelur .

Ada kalanya tuntung yang ditangkap enggan bertelur. Namun demikian, ada penangkap tuntung yang sanggup ‘menyalai’ tetapi tidaklah sampai ke peringkat membunuh reptilia malang tersebut semata-semata untuk merangsang dan memaksa tuntung itu bertelur.

Akhirnya, tuntung yang telah selesai bertelur akan dihantar semula dengan belaian kasih sayang ke Sungai Penarik dan dilepaskan ke habitat asal – kehidupan sungai.

Saya dan rakan balik ke chalet ketika azan Maghrib berkumandang dari masjid di perkampungan nelayan. Setakat itu tidak ada se ekor pun tuntung naik ke darat.

Di Penarik juga mengajar saya mengenai perbezaan ragam manusia. Masyarakat di Ibu Negara telah terbiasa dengan budaya lepak di Kedai Mamak selepas waktu pejabat. Restoran-Restoran Mamak di Ibu Negera hampir sepanjang masa dipenuhi oleh pengunjung yang leka dan ketagihan teh tarik Mamak.

Di sini tiada Kedai Mamak. Di sini juga tiada budaya lepak yang melampau. Sedemikian, warga kota yang mengalami sindrom ketagihan teh tarik Mamak terpaksa melupakan keenakan dan aroma minuman tersebut buat sementara waktu.

Tidak perlu kita mencari alasan mengapa mereka tidak melepak. Sebab-sebab ekonomi kah? Sebab-sebab persepsi kah? Memadai kita ambil sisi positif sahaja. Kita boleh sahaja gunakan istilah ‘Mereka tidak melepak’ dan bukannya ‘Mereka Tidak Suka Melepak’. Bukankah melepak itu membuang masa dan membazir wang ringgit?

Bagi para nelayan, masa terluang lebih berfaedah digunakan untuk kerja-kerja yang lebih penting seperti membaiki bot dan jaring yang rosak , mengajar anak-anak mengaji atau berada di rumah melayan anak-anak mengulangkaji pelajaran. Perlu diingat bahawa dari rumah-rumah nelayan yang usang dan buruk tersebutlah lahirnya ramai anak-anak Negeri Terengganu yang cemerlang di dalam bidang pendidikan. Untuk rekod, anak-anak Negeri Terengganu telah mengekalkan prestasi terbaik UPSR di peringkat nasional selama tujuh tahun berturut-turut.

Sejauh mana pun tuntung dilarikan, akhirnya akan dikembalikan juga ke habitat asalnya – kehidupan sungai. Sebaliknya, Tuan Hj. Baha dan keluarganya tidak akan kembali semula ke kampung asalnya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Beliau telah menemui destinasi hidupnya.

Namun demikian, walaupun berjaya membina kehidupan jauh dari kampung halaman, ada dua elemen jati diri asal usul milik Tuan Hj. Baha dan keluarganya yang tidak dapat ditundukkan oleh deru dan hempasan ganas ombak Laut China Selatan.

Pertama, kebanggaan sebagai Anak Negeri Sembilan masih kukuh bertapak dan terserlah secara fizikal dan emosi pada diri Tuan Hj. Baha dan keluarganya. Dan, keluarga perantau ini masih ‘pekat’ bercakap loghat Negeri Sembilan ketika berkomunikasi sesama sendiri atau dengan orang se negeri. Mereka bangga mengaku sebagai Orang Negeri Sembilan.

Benarlah kata Orang Negeri Sembilan: “Tompek jatuh lai dikonang, inikan pulak tompek bomain” (Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain).

Pantai Penarik, Setiu,
Terengganu
24 Februari 2011

1 ulasan:

  1. Saudara Ujang Kutik,

    Pada lewat tahun 1978, saya pernah dibawa oleh seorang sahabat sekapal ketika berlaboh tidak jauh dari pantai Batu Burok ke rumahnya di Kuala Terengganu. Sahabat saya juga membawa saya ke Rantau Abang untuk melihat kehidupan masyarakat nelayan. Saya merasa sangat gembira dan tidak dapat melupakan kenangan bersama masyarakat nelayan. Tenang dan aman.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."