Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 25 Jun 2011

hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati

Di atas pertolongan sepupunya, anak sulung saya mendapat tempat untuk menjalani latihan industri di syarikat kejuruteraan tempat sepupunya bekerja.Suami sepupunya, berjawatan pengurus, juga bekerja di syarikat yang sama.

Secara kebetulan, setelah selesai menjalani latihan industri, syarikat tersebut mengadakan temuduga untuk pengambilan kakitangaan baru.Anak saya, lulusan kejuruteraan turut menghadiri temuduga tersebut.Malangnya, dia tidak berjaya.

Walaupun terselit sedikit perasaan kecewa kerana suami kepada sepupu anak saya yang agak berpengaruh di dalam syarikat tersebut tidak ‘memperdulikan sepupu isterinya’. Alasannya ialah dia khuatir namanya akan tercalar jika pekerja yang ditolongnya akan bermasalah atau tidak komited dengan tugas di masa akan datang.Kami menerima keputusan tersebut secara berlapang dada. Rezeki anak saya tiada di situ.

Saya menghormati prinsip beliau.Namun, kita tidak dapat menentukan perkara yang belum lagi berlaku.Kita juga tidak boleh terlalu ‘ideal’. Lagi pun orang Melayu masih belum terbiasa dengan sifat berterus-terang seperti itu, agak kasar bunyinya.

Saya mengingatkan anak saya supaya bersabar kerana ‘real kehidupannya’ baru bermula.Dia sekurang-kurangnya mendapat empat ilmu kehidupan yang amat bernilai daripada temuduga pertama di dalam hidupnya; pengalaman menghadiri temuduga, jangan bergantung kepada sesama makhluk, elakkan terhutang budi kepada seseorang dan yang paling penting ialah percaya kepada qada’dan qadar.

Alhamdulillah, hubungan persaudaraan kami tidak sedikit pun terjejas selepas itu. Pertolongan sepupu anak saya mendapatkan tempat membuat latihan industri pun perlu diambil kira. Andainya suami kepada sepupu anak saya membaca tulisan ini, saya yakin, latar belakang agama dan asas inteleknya turut bersetuju bahawa perasaan sedikit kecewa di hati kami adalah sesuatu yang bersifat semula jadi, tidak terlayan oleh naluri manusia biasa.

Anak saya telah menghadiri beberapa sesi temuduga selepas itu.Keputusannya; ‘tidak berjaya’, ‘anda mempunyai cukup kelayakkan, jawatan yang ditawarkan terhad’, ‘syarikat kami akan menghubungi anda di masa akan datang’ dan berbagai-bagai terma lagi. Natijahnya, tidak berjaya.

Bagaimanapun, anak-anak di bandar besar masih bernasib baik berbanding dengan rakan-rakan mereka yang berasal dari kampung-kampung pedalaman. Anak-anak di bandar besar menghadiri temuduga secara ‘agak santai’ dengan menggunakan kereta ibubapa ke tempat temuduga yang tidak beberapa jauh dari rumah masing-masing. Bayangkan kesukaran anak-anak di luar bandar untuk menghadiri sesuatu temuduga di bandar-bandar besar yang jauh daripada rumah mereka.

Pengalaman mempunyai anak graduan yang menjadi ‘pengemis pekerjaan’ selama lima bulan selepas ‘graduate’, berbagai keadaannya. Kebanyakkannya melibatkan emosi - kecewa, sedih dan kasihan.Namun, ada kenangan yang melucukan kami sekeluarga.

Anak saya akan bersiap sakan dan ‘posing’ di hadapan cermin besar rumah kami pada setiap kali dia hendak menghadiri temuduga. Perkataan yang pasti keluar dari mulutnya selepas berpuashati dengan penampilannya ialah, “ Ada gaya engineer tak?”Penerimaan saya sebagai ayah bercampur baur; kadang-kadang terhibur dan gelihati,kadang-kadang kasihan.

Satu lagi ‘kelemahannya’ ketika menghadiri temuduga ialah keterujaannya memakai tali leher.Dia akan terus memakai tali lehernya dari rumah ke tempat temuduga. Dia juga tidak menanggalkan tali lehernya semasa balik ke rumah, walaupun menggunakan pengangkutan awam. Bayangkan betapa naifnya dia memakai tali leher dari perhentian bas hingga ke rumah, yang semestinya akan bertembung dengan kawan-kawan dan jiran di sepanjang perjalanan balik. Kalau emosinya baik ketika sampai di rumah, kami selalu menyakatnya, “ Engineer dah balik.”

Akhirnya, selepas lima bulan menjadi gelandangan pekerjaan, anak saya berjaya juga mendapat pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusannya di sebuah firma perunding kejuruteraan.Sesungguhnya, saya yakin seyakin-yakinnya bahawa rezeki seseorang itu mutlak di atas ketentuan dan belas kasihan Allah.

Kata ustaz, kalau tidak silap saya (kalau silap tolong betulkan), berbunyi,“Terima kasih itu ada dua; satu kepada Allah dan satu lagi kepada makhluk/individu yang Allah takdirkan/tentukan menolong seseorang yang lain. Sedemikian, fahaman bahawa seseorang itu berjaya mendapatkan sesuatu kerana ada ‘cable’ adalah fahaman yang salah.” Hakikatnya, Allah sahaja yang boleh menolong hambaNya, tiada yang lain.



ujang kutik
ampang,Selangor

2 ulasan:

  1. dia ada '' guts '' tu tuan..

    saya suka dia bertali leher walau pun menaiki pengangkutan awam..

    dia tidak letakan imej nye pada '' kereta ''

    BalasPadam
  2. theorascal,

    Mungkin, apa dia kisah, masa itu.T.Kasih.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."