Dua musim yang lalu, 2009 dan 2010, kekuatan pasukan bolasepak Negeri Sembilan dan Kelantan hampir setara. Kedua-dua pasukan bersaing dengan sengit di dalam Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Pencapaian kedua-dua pasukan tersebut agak klasik: Negeri Sembilan telah menjadi juara Piala Malaysia 2009 setelah menewaskan Kelantan di perlawanan akhir, sebaliknya, pada 2010, giliran pasukan Kelantan pula mengatasi Negeri Sembilan untuk muncul sebagai juara baru Piala Malaysia 2010.
Bagaimanapun pada saingan 2011, tanpa mengambilkira slot Piala Malaysia yang masih belum berjalan, senario untung nasib kedua-dua pasukan tersebut amat jauh berbeza. Gambaran sebenar mengenai pasukan Negeri Sembilan dan Kelantan perlu ditulis semula sepenuhnya. Kaedah ‘copy’ dan ‘paste’ tidak boleh digunakan lagi.
Setakat ini, Kelantan telah menjuarai Piala Sumbangsih 2011, hampir-hampir menjuarai Piala FA 2011 kalaulah tidak berlaku ‘Bencana Daudsu’ dan hanya memerlukan keputusan seri pada perlawanan terakhir untuk dijulang sebagai Juara Liga Super Malaysia 2011.
Sebaliknya, Negeri Sembilan hampir kehilangan segala kemegahan masa lalu. Juara Piala FA 2010 ini telah tersingkir di pusingan awal saingan Piala FA 2011. Pasukan Negeri Sembilan juga hanya mendudukki tangga ke-9 daripada 14 pasukan di dalam Liga Super 2011. Yang tersisa bagi Negeri Sembilan untuk menyandarkan sedikit harapan ialah Piala Malaysia 2011.
Justeru itu, pasukan Negeri Sembilan ‘bukan lawan’ setara Kelantan kerana Kelantan di kedudukkan klas yang tersendiri. Kebangkitan pasukan Kelantan dalam tempoh tiga musim terakhir adalah satu fenomena bolasepak tanah air.
Sehubungan ini, saya, anak Negeri beradat, Negeri Sembilan merasa malu dengan tindakan segelintir penyokong Negeri Sembilan yang telah membakar bendera Negeri Kelantan.
Saya mempunyai ramai kawan di kalangan Orang Kelantan dan kerap ke negeri tersebut. Sejujurnya, saya lebih mahir dengan jalan dan lorong di Kota Bharu berbanding di Seremban.
Seorang kawan, jiran dan juga Nazir masjid di Ampang dari Kelantan yang masih pekat loghat Kelantannya pernah mengeluarkan kata-kata secara bergurau kepada saya. Katanya, ” ‘Sejahat-jahat’ penyokong Kelantan, ‘jahat’ lagi penyokong Negeri Sembilan – bendera lawan pun dibakar.”
Bagaimanapun, saya yakin, ‘jahat’ penyokong fanatik Negeri Sembilan tersebut, masih belum mampu menghapuskan ‘satu kepercayaan’ , persepsi, metos atau apa sahaja perkataan yang seerti, yang tertanam di hati sanubari kebanyakkan peminat bolasepak tanah air, bahawa ‘sejahat-jahat’ penyokong bolasepak di Malaysia ialah penyokong Kelantan. Persepsi tersebut seperti telah terendam dan larut di dalam hati sanubari peminat bolasepak negara.
Tidak dinafikan bahawa orang Kelantan agak ‘lebih’ sedikit dalam menonjolkan semangat kenegerian mereka. Kadang-kadang sikap mereka agak keterlaluan dan merimaskan kita. Namun, disebalik sikap tersebut Kelantan adalah ‘kilang’ mengeluar dan mengeksport manusia baik-baik, para agamawan yang hebat.
Sehubungan itu, realitinya, kebanyakkan peminat bolasepak Malaysia di luar Kelantan, tidak akan menyokong pasukan Kelantan apabila berlangsung perlawanan yang melibatkan Kelantan dengan negeri-negeri lain.
YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Aziz adalah idola kepada sebilangan rakyat Malaysia, samada anak Kelantan atau bukan Kelantan. Bagaimanapun, apabila melibatkan sokongan kepada pasukan Kelantan, mereka yang bukan anak Kelantan akan ‘tawakuf’ seketika untuk tidak bersama dengan beliau.
Kalaulah gema tepukan dari kawasan-kawasan perumahan atau restoran-restoran Mamak samada di Kuala Terengganu, Kangar, Kuala Ketil, Kuala Kangsar, Batang Berjuntai, Juaseh, Air Keroh atau Kota Tinggi semasa pasukan Terengganu menyamakan kedudukkan 1-1 melalui ‘tandukan maut’ Daudsu dan jaringan kemenangan 2-1 oleh pemain gantian Terengganu, Ahmad Nordin, pada lewat malam perlawanan akhir Piala FA 2011 diterjemahkan dengan pola sokongan peminat bolasepak, orang Kelantan memerlukan sedikit masa lagi untuk membetulkan persepsi negatif terhadap mereka.
Namun, kebangkitan pasukan bolasepak Kelantan sepanjang tempoh tiga tahun terakhir, 2009 – 2011, secara evolusi telah menampakkan wujudnya ‘pesona sang juara’ di kalangan pemain dan penyokong bolasepak Kelantan.
Mutakhir ini, pemain dan penyokong Kelantan tidak lagi ‘gedebe’. Malah, penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, ialah idola kepada peminat bolasepak tanah air. Penonton tentu masih terkesan melihat nuansa sentuhan beliau menenangkan Daudsu yang tersungkur di dalam gawang gol selepas menanduk bola ke gawang sendiri di perlawanan akhir Piala FA 2011. Juga, tidak ada seorang pun pemain Kelantan yang menunjukkan emosi marah secara fizikal kepada Daudsu Jamaludin.
Kita juga dapat menyaksikan beberapa orang penyokong tegar Kelantan secara ‘gentleman’ bergambar dengan penyerang Terengganu yang mencetuskan ‘tandukan maut Daudsu’, Abdul Manaf, setelah selesai perlawanan Piala FA 2011.
Kini, penyokong Kelantan telah boleh menerima kekalahan. Suasana ’huru - hara’, vandalisma dan amukan penyokong Kelantan tidak berlaku selepas Kelantan dikecewakan secara tragis dalam perlawanan akhir Piala FA 2011.
Andainya, tiada balingan bola api yang mungkin dilakukan oleh penyokong Kelantan, samada dari Ulu Bertam atau Dabong atau Kandek atau Gual Dalam (Rantau Panjang) atau Kg.Kubang Gendang (Tok Uban), yang disasarkan kepada penjaga gol Terengganu di perlawanan akhir Piala FA 2011 baru-baru ini, lengkaplah pakej suatu kesempurnaan bagi sebuah pasukan berstatus juara, Kelantan, The Red Warrior.
Kelantan, oh Kelantan, ……..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."