Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Isnin, 13 Jun 2011

yunus romeo

Raut wajah Yunus Romeo, 57 , pembantu tadbir gred N17 otai, sedikit gusar. Telah hampir 10 minit dia berdiri di kaki lima premis rumah kedai di tepi jalan besar yang sibuk itu. Dua biji mata tuanya memerhati persekitaran luar-dalam premis.

Akhirnya, Yunus Romeo pasti bahawa premis tersebut selamat untuk dimasuki, ‘Line Clear’. Dia mula melangkah ke destinasi. Kendatipun mukanya ditundukkan, dua biji matanya aktif bergerak ke kiri dan kanan ruang premis 15’ x 15’ itu, umpama pergerakkan viper kereta Proton BLM yang baru dibelinya kerana dia yakin dengan bidalan ‘ malang tidak berbau ’.

Dia sampai ke destinasi, sebuah kaunter panjang setinggi dada yang diuruskan oleh gadis manis berketurunan Tionghua setelah membuat tujuh langkahan dari pintu besar premis.

Yunus Romeo tersenyum kepada gadis tersebut. “Uncle OK?,” tanya gadis yang telah lama dikenalinya. “OK,” dia membalas sambil menyerahkan sehelai kertas yang mengandungi lima catatan kombinasi angka empat digit.

Kombinasi angka empat digit tersebut diperolehinya melalui kaedah ‘capia’ rajah tiga segi tepat yang dipelajarinya. Ramuan yang ‘dicapia’ ialah segala maklumat yang ada kaitan dengan kematian perempuan kenamaan,86,yang tersiar di dalam akhbar baru-baru ini.

Hasilnya: setiap nombor empat digit yang akan dibeli hendaklah berakhir dengan angka ‘86’ (xx86); dan dua angka awal hendaklah dari gabungan tarikh, bulan dan tahun kematian hamba Allah tersebut. Dia yakin kali ini nasib akan menyebelahinya.

Sambil menunggu gadis di kaunter menyelesaikan hajatnya, sempat juga dia mencuri pandang kepada gelagat manusia sealiran di kaunter sebelah kanannya. “ Dia lagi tua daripada aku,” bisik hatinya.

Urusannya dengan gadis tersebut usai setelah menerima lima keping kertas kecil. Dia mengamati catatan kombinasi angka empat digit di dalam kertas tersebut satu per satu. Setelah berpuas hati, dia melipat, mencium dan terus menyimpan kertas-kertas tersebut ke dalam dompet duitnya. Hatinya teramat lega.

Sebenarnya, agak lama juga dia tidak menjejakkan kaki ke premis tersebut kerana selama itu hajatnya diuruskan oleh kawan sepejabat yang beragama Hindu, Si Arumugam. Dengan cuma bermodalkan RM2 sebagai upah, yang sebenarnya tidak diminta pun oleh Arumugam kerana dia juga mempunyai urusan yang sama di premis itu, hajatnya dilunaskan.

Bagaimanapun, untuk ‘draw’ kali ini dia terpaksa membeli sendiri kerana Si Arumugam bercuti. Kata Arumugam, “Urusan sembahyang di Sungai Petani.”

Sebenarnya dia tidaklah malu sangat memasuki premis yang cuma 200 meter dari pejabatnya itu. Semua rakan sepejabatnya tahu dia mempunyai habit yang hodoh itu. Apa yang ditakutinya sangat ialah jika ditangkap oleh pihak yang berkuasa kerana Orang Islam tidak dibenarkan ‘berurusniaga’ di premis tersebut.

Kalau ditangkap kerana membeli kertas tersebut, dan pada waktu pejabat pula, ‘masak’ dia. Dia tahu risiko tersebut. Lainlah Si Arumugam, kalau kena pun cuma disabitkan kerana menyalahgunakan waktu pejabat sahaja. Itu pun susah juga, mana ada organisasi kerajaan yang memantau kakitangan organisasi sehingga ke pintu masuk premis seperti itu.

Sebelum keluar, Yunus Romeo sekali lagi menggunakan kaedah yang sama seperti sebelum memasuki premis. Laser mata tuanya sekali lagi diaktifkan. Malah, tahap keaktifan dilipatgandakan sehingga menjangkau ke sudut sukar. “Manalah tahu, mungkin pihak yang berkuasa sedang menunggu mangsa di luar premis,” kata hatinya.

Dia mengenakan cermin mata hitam jenama tiruan terkenal yang dibelinya dengan harga RM10 di Wakaf Che Yeh, Kelantan. Seperti sebelumnya, dia menundukkan muka dan memulakan langkahan dengan cepat. Genap 10 langkah, dia telah berada di zon selamat, di luar premis.

Di usia 57 tahun, sosok tubuh dan wajah Yunus Romeo jauh lebih muda dari usianya. Dia kelihatan awet muda dan agak kacak. Rambut lurusnya masih hitam dan tidak sehelai pun beruban. Giginya juga masih tersusun penuh dan belum ada yang tertanggal. Sekilas pandang, wajah Yunus Romeo mirip suami kepada seorang artis pupular tanah air. Kalau ada pun kekurangan, cuma perutnya ‘boroi’.

Secara umum, hubungan Yunus Romeo dengan kawan se pejabat tidak banyak masalah. Malah, kelebihannya ialah mudah memaafkan orang lain, penyabar dan tidak ambil hati atau berdendam. Reaksinya paling maksimum ketika diasak dengan kata-kata yang kurang menyenangkan atau dikutuk oleh kawan sepejabat, antaranya jauh lebih muda darinya ialah, “itu aku punya sukalah, badan aku, bukan badan kau.”

Hakikatnya, Yunus Romeo, 57, ‘pekak’, setelah deria dengarnya kepada hukum hakam(syariat) tidak lagi berfungsi kerana telah dinyahlumpuhkan oleh kehendaknya sendiri.

Kecuali berlaku keajaiban, seajaib kemenangan Terengganu pada final Piala FA 2011, di usia 57 tahun, Yunus Romeo seperti tidak akan dapat diselamatkan kerana leka dan asyik mengatasi segal-galanya. Kegilaan kepada judi empat digit cuma satu juzuk sahaja di antara juzuk-juzuk songsang yang telah menjadi ‘darah dagingnya’ sejak zaman remaja lagi.

Kawan-kawan sepejabatnya, termasuk Bidin Subari, ahli Jumaah Tabligh yang selalu keluar berdakwah ke merata tempat, belum pernah lagi berdakwah kepadanya. Rusli Lebai, yang saban hari mengikuti kuliah zuhur di surau pejabat juga tidak pernah mengajak dia ke surau. Dan ramai lagi kawan-kawan sepejabat yang tidak berfungsi seadanya, termasuk Hj. Shukur yang nampak baik tetapi selalu juga menggunakan waktu pejabat untuk urusan persendirian.

Sehingga di penghujung usia, 57 , Yunus Romeo berseorangan dan masih keliru mengenai tujuan sebenar dia dilahirkan di dunia ini. Saudara mara dan kawan-kawan juga tidak menolongnya.

Akan insafkah Yunus Romeo jika diuji dengan kehilangan sesuatu yang disayangi; anak, isteri, harta atau sebahagian anggota tubuhnya ? Hakikatnya, jikalau ada ujian sedasyat itu, itu adalah baik untuknya kerana dia tidak pernah berusaha untuk memilih cara lain. Namun, ujian tersebut menyakitkan.

7 ulasan:

  1. Jang, lamo tak menulih,,, poie mano... apo kato mlm ni kito minum topi sungai ghombau tu,, ado mcm mcm juadah,, ada halwo tolingo laie hehhehehhehe

    BalasPadam
  2. Maso se sekolah kek 'Rembau' dulu,se minum kek warung Pak Yahya (Cendul) atau Kedai Kompot)ABC),tongah Pokan Ghembau.

    Saya dan keluarga belum sompek singgah lagi di kedai tepi sungai tu.Insya Allah satu hari nanti.

    Apo khobarnya 'little Indo' di Bitangor?Malu oghang kampung ye.

    BalasPadam
  3. Mmm.. macam ada je orang cam ni kat pejabat.. tak lama lagi nak pencen.. hubungan sesama insan Alhamdulillah.. Citer dia dengan hukum hakam.. tak mau citer.. Bukan tak prihatin.. segan!!! Beza umur seperti anak ngan bapak.. sesekali mengajak juga ke majlis ilmu.. tengok mood dia la...

    BalasPadam
  4. Ada yg bernasib baik kerana muda baik dan tua baik;ada yang bernasib baik kerana muda nakal,tua insaf dan ada yg malang kerana muda nakal,tua lagi nakal.

    Bagaimanapun, jangan putus asa.Rayu dan kita carilah belas kasihan Allah.Tk.

    BalasPadam
  5. hahaha sodap membaco komen komen ,,,,, kodai kompot mano ado laie,, dah pindah ko topi padang sanun tu,, kodai pak ya pun samo ikut bopindah,,,,, pak ya masih hidup laie lahh,,,

    BalasPadam
  6. Kito berkongsi lokasi & premis......Warung Pak Yahya,Kodai Kompot.

    Usuf Baok,Ali Bakul,Radika & Suresh Menon (Adek beradek yg main tenis di gelanggang dekat Pej.Tanah),URESS, Sek.'Prebet'Baba Ludik,Cikgu Salleh Loyok (URESS),Mr & Ms Menon (Guru Sains URESS),...... Lan Bungko, etc. Part & parcel dan past memories of Rembau.

    Maaf, Ese emosi.

    BalasPadam
  7. Mudah2an Allah beri hidayah kepada Yunus Romeo.

    Amin...

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."