Lima kad merah dilontarkan kepada tiga pemain Kelantan dan dua pemain Terengganu dalam perlawanan Suku Akhir Pertama Piala Malaysia 2011 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Keputusan perlawanan tersebut memihak kepada Terengganu dengan kedudukkan 3-1.
Kalaulah bilangan kad merah tersebut dijadikan kayu ukur, sesiapun akan dengan mudahnya membuat rumusan bahawa corak permainan kedua pasukan tersebut ialah 'seganas-ganas' permainan. Mereka 'berkelahi'. Mereka tidak bermain bola sepak.
Sebaliknya, kedua belah pihak yang 'berkelahi' di tengah padang sepakat pula menuduh keadaan tersebut berlaku disebabkan oleh 'faktor pengadil' - pengadil dikatakan tidak berwibawa, beremosi dan terlalu tegas.
Bagaimanapun, kecuali penonton yang menyaksikan perlawanan tersebut di stadium, lain-lain peminat bola sepak tidak dapat gambaran sebenar mengenai perlawanan tersebut. Sehubungan itu, seeloknya peminat bola sepak tanah air berkecuali - tidak menuding jari kepada mana-mana pihak.
Kendati pun demikian, peminat atau pengikut perkembangan bola sepak tanah air tidak boleh dikekang dari mempunyai persepsi negatif kepada kedua-dua pasukan tersebut. Bak kata ungkapan yang amat popular sekarang ini, "Sejarah tidak boleh diubah."
Saya tidak berhajat menyenaraikan insiden hodoh yang melibatkan kedua pasukan dari pantai timur tersebut kerana peminat bola sepak tanah air telah sedia maklum. Hakikatnya, telah ramai pengadil elit yang berwibawa, tidak emosi atau tidak terlalu tegas kecundang tersungkur ketika mengadili perlawanan di antara kedua-dua pasukan tersebut.
Seperti yang telah saya jelaskan melalui catatan terdahulu, kebangkitan Kelantan dalam persada bola sepak tanah air telah mula menanggalkan elemen-elemen negatif satu demi satu yang selama ini membebani gergasi baru dari Pantai Timur itu . Secara evolusi, pasukan itu mula memiliki elemen pasukan sang juara.
Namun demikian, kita juga tidak boleh terlalu yakin dengan momentum yang akan datang. Seeloknya kita berkecuali dan menunggu hasil siasatan (jika ada) FAM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."