Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Jumaat, 7 Oktober 2011

upek (babak 1)

Ulang alik ulang alik
Hari sudah siang
Upek cantik Upek cantik
Campamlah sayang.

Yusuf duduk terpaku mengelamun di meja pejabatnya. Telah hampir 20 minit dia berkeadaan sedemikian. Senandung pantun empat kerat itu bermain-main di mindanya. Berulang-ulang. Tidak dapat dihentikan. Dia resah. Dia gelisah.

Minda bawah sedarnya menerawang dan larut bersama awang-awangan kenangan masa lalu. Lamunannya amat berkait dengan peristiwa yang dialaminya ketika membekalkan baja bantuan kerajaan di perkampungan Orang Asal, Kampung Pulau Aur, awal pagi tadi. Peristiwa itu amat mengganggu.   

Yusuf baru sahaja bertukar dari Ibu Pejabat ke Pejabat Cawangan yang terletak kira-kira 7 kilometer sahaja dari kampung asalnya, Kampung Lubuk Paku. Sebenarnya dia sendiri yang membuat permohonan bertukar ke ‘home townnya’. Dia hendak menghabiskan sisa-sisa alam pekerjaan di tempat asal sebelum bersara.

Satu demi satu episod ketika membekalkan baja pula mendatanginya dengan jelas selepas senandung pantun empat kerat itu menghilang. Masih dirasanya  kedinginan air di anak sungai ketika dia membasuh muka di wakaf berhampiran dengan balai raya di perkampung Orang Asal itu.

Sebagai orang baru bertugas di daerahnya sendiri, Yusuf merasa kagum dengan arus pembangunan yang melanda perkampungan Orang Asal itu.  Suasana di kampong itu seolah-olah di sebuah perkampungan Melayu. Kebanyakkan penduduknya memiliki motorsikal. Malah, ada juga yang ada kereta.

Seramai tiga orang penduduk kampung yang disenaraikan menerima bekalan baja pada pagi tadi telah dimaklumkan supaya menunggu  di balai raya. Namun demikian, cuma dua orang sahaja yang hadir. Seorang lagi, Atan anak Hitam tidak hadir.

Yusuf dimaklumkan oleh salah seorang daripada penerima bekalan baja, Hasan anak Deli, bahawa Atan anak Hitam telah meninggal dunia dua minggu yang lepas. Hasan anak Deli menunjukkan arah rumah Atan anak Hitam. Rumah mendiang tidak beberapa jauh dari balai raya.

Yusuf memberitahu pemandu lori jabatannya supaya menunggu di balai raya di kampung yang mempunyai dua puluh buah rumah penduduk itu. Yusuf berseorangan sahaja ke rumah Atan anak Hitam. Dia perlu menguruskan urusan dokumentasi terlebih dahulu sebelum baja boleh dibekalkan kepada waris mendiang. Tidak banyak, cuma lima kampit sahaja.

Suasana di perkampungan itu agak tenang. Namun, kedengaran juga lagu tahun 60-an berkumandang melalui corong radio dari rumah penduduk . Yusuf juga menyukai lagu itu. 

Akhirnya dia sampai ke rumah yang dituju. Dia memerhati persekitaran sekeliling  kawasan rumah kayu beratap zinc yang tidak berpagar itu. Suasana kawasan rumah itu kelihatan cantik dengan hiasan pokok bunga kertas beranika warna yang sedang lebat berbunga . Sekali lagi Yusuf yang tidak biasa dengan keadaan kampong Orang Asal merasa ‘gayat’. Dia seperti tidak percaya dengan keadaan  yang dilihatnya.

Setelah berada di tangga yang pintu rumahnya tertutup rapat tetapi tingkapnya terbuka , dia mengucapkan, “ Assalamualaikom.” Dia terlupa bahawa tuan rumah itu bukan orang Islam. Setelah menyedari kesilapannya, dia memanggil tuan rumah ,“Tuan rumah, tolong buka pintu, saya datang hendak bekalkan baja kerajaan.”

Suara seorang perempuan dari dalam rumah menjawab, “Tunggu sekejap, saya datang.”  Sosok seorang wanita di usia penghujung 40-an yang menutup kepala dan sebahagian mukanya dengan kain batik menjenguk ke bawah setelah pintu rumah dibuka. Yusuf terus menerangkan maksud kedatangannya. Dia meminta wanita itu mengemukakan kad pengenalannya.

Wanita Orang Asal yang berseorangan di rumah itu meminta diri sebentar untuk mengambil kad pengenalannya. Sementara menunggu, Yusuf duduk di pangkin rumah beratapkan pisang sesikat yang kedudukannya bersetentang dengan tangga dan pintu rumah. Dia menunggu wanita Orang Asal itu.

Setelah menunggu hampir 10 minit, wanita itu tidak juga keluar. Dia merasa kurang selesa. Dia mencuri-curi pandang keadaan dalam rumah melalui pintu rumah yang terbuka luas. Dia berkata di dalam hati , “Hebat juga keadaan rumah Orang Asal ini, ada settee, kipas angin dan peti television. Astro pun ada. Di bawah rumah pula ada motorsikal kapcai.”     

Masuk minit ke-15, wanita Orang Asal itu muncul. Dia menuruni tangga dengan membawa dulang yang berisi minuman dan sepiring ubi rebus. Yusuf menyambut dulang tersebut dan meletakkannya di atas pangkin. Yusuf berkata, “Susah-susah aja. Terima kasih.” Wanita Orang Asal itu duduk di atas pangkin di sebelah kanan Yusuf tetapi dipisahkan oleh hidangan yang disediakan.   

Wanita itu menyerahkan kad pengenalannya kepada Yusuf. Yusuf terus mencatatkan maklumat-maklumat yang diperlukan.. Yusuf mencatatkan nama perempuan itu “ ‘Upek anak Gunung” sebagai wakil waris berdasarkan nama yang tertera di dalam kad pengenalan di tangannya. Ketika mencatatkan nombor kad pengenalan, Yusof mengetahui bahawa usia wanita itu sebaya dengannya.

Yusuf asyik melengkapkan borang berwarna hijau. Dia masih belum menjamah hidangan yang disediakan. Dia juga langsung tidak menyedari bahawa sepasang mata cantik dan wajah kasihan milik wanita Orang Asal itu menatap sisi wajah tuanya ,‘Orang Melayu’ itu.  Akhirnya , wanita Orang Asal itu merenung segaris parut kecil di  dahi kanan 'Orang Melayu' itu. Dia tidak merenung ke arah lain lagi, kecuali segaris parut kecil di dahi kanan 'Orang Melayu' itu.

Ada titik-titik jernih mengalir di pipi wanita Orang Asal itu.

4 ulasan:

  1. Tuan Ujang,

    cerpen ke novel ni...
    jeng jeng jeng...

    apa kah kaitan wanita orang asal itu dengan yusuf hingga ada titik jernih mengalir di pipi nye..

    selanjaut nye.....kita tungguuuuuu....

    BalasPadam
  2. Saudara UjangKutik,

    'Dia menuruni tangga dengan membawa dulang yang berisi minuman dan sepiring ubi rebus.'

    Saya terpanggil untuk memberi sedikit komen akan sikap ini.

    Rasulullah saw pernah memberitahu sahabat2nya bahawa antara perkara yang perlu disegerakan adalah menjamu tetamu. Walaupun Upek bukan seorang Islam, tetapi beliau mempunyai suatu sikap yang murni ini.

    Saya pernah bertandang ke rumah seseorang kenalan lama. Kebetulan isterinya tiada di rumah. Dari mula saya masuk ke rumahnya sehingga saya meminta diri untuk pulang lebih kurang satu jam lebih tetapi secawan air kosong pun tidak dijamu.

    Saya memaklumkan kisah ini bukan tujuan untuk menceritakan aib seseorang tetapi sebagai pengajaran. Kerana menjamu tetamu walaupun dengan segelas air kosong adalah menjadi tuntutan agama sebagai menandakan keikhlasan menerima tetamu.

    BalasPadam
  3. Sdr. theolrascal,

    ya, cuba variasikan catatan

    "tungguuuu........

    semoga ending catatan pendek ini di luar jangkaan tuan/pembaca.

    BalasPadam
  4. Sdr Pak Mail,

    Memang betul, menghormati tamu seadanya ialah basic dalam masyarakat kita terutamanya di kampung/pendalaman.

    Saya mempunyai pengalaman dengan masyarakat kita di pendalaman Kuala Krai Kelantan - Dabong. Perjalanan dari satu kampong ke kampong yg lain berbatu-batu menaiki motorsikal di atas jalan granite.

    Tiap-tiap rumah yg kami kunjungi menyediakan sarapan seadanya. Malah ada yang membenarkan kami mandi,solat dan tidur sebentar di rumah mereka. Mungkin kita tidak terbuat begitu terutamanya kepada tetamu musafir yang baru dikenali.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."