Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Ahad, 8 Januari 2012

ini real kehidupan

Hari ini, Ahad, 08 Januari 2012 @ 14 Safar 1433H. Saya agak sibuk berbanding dengan  hari-hari cuti hujung minggu sebelumnya. Seawal pagi selepas sarapan , saya membersihkan longkang di belakang rumah. Setelah usai , saya ke kedai membeli dua naskah surat khabar. 

Selepas membeli surat khabar, GPS mengarahkan saya terus balik ke rumah. Saya ingkar.  GPS menjerit-jerit 're-calculation'. Saya tidak endahkan. Saya menuju ke premis selang satu pintu dari kedai menjual surat khabar.  Saya singgah di situ , sebuah restoran mamak . Misi saya cuma untuk membaca dua naskah surat khabar sambil bertemankan satu gelas teh tarik dan satu set roti bakar.

Saya mengulangi melakukan salah satu di antara banyak kelemahan diri. Saya sudah terbiasa dan selesa  membaca surat khabar di restoran mamak. Namun demikian, saya masih bernasib baik kerana tidak merokok. Kalau merokok mungkin kelihatan lagi 'hodoh'.

Sedang asyik membaca surat khabar pertama, tiba-tiba saya teringat kepada jadual ke-2 yang perlu dibereskan iaitu mengemaskan bahagian belakang rumah. Di antara tugas yang telah dirancang ialah melupuskan (membuang) mesin basuh yang telah lama rosak yang diletakkan di belakang rumah dan  membuang barang-barang yang tidak diperlukan. 

Saya ke kaunter bayaran di mana juru wangnya sentiasa berada di situ. Inilah  di antara perbezaan pengurusan restoran mamak dengan restoran Melayu. Kalau di restoran Melayu, juruwangnya akan membuat pelbagai kerja. Ini menyebabkan pelanggan terpaksa menunggu atau menjerit memanggil cashier ketika hendak membuat bayaran.

Juru wang @ staf kanan restoran itu sempat bergurau dengan bertanya kenapa saya cepat sangat beredar. Saya jawab, " Ada kerja." Bagaimanapun, dialah juga yang memecahkan tembelang saya yang kerap datang ke restorannya ketika saya dan keluarga makan roti nan tidak beberapa lama dahulu. Ketika mengambil pesanan dari isteri dan anak-anak dia bertanya jenis minuman yang hendak dipesan. Sebaliknya, ketika sampai giliran saya di berkata, "Abang, macam 'biasa' ya." 

 Saya balik ke rumah. Sesampai di rumah saya terus memakai sarung tangan yang baru dibeli di kedai hardware yang letaknya tidak jauh dari kedai surat khabar dan restoran mamak yang saya sebutkan tadi. Isteri taukeh (sila baca pasangan itu berbangsa Cina)  itu berusia awal 40-an berasal dari Tanjung Karang, Selangor . Isterinya mendakwa fasih bercakap dialek Jawa. Isterinya juga menyatakan bahawa hampir semua orang Cina di kampungnya fasih bercakap dialek Jawa.

Selepas itu saya memulakan operasi. Saya mengasingkan barang-barang yang ada nilai komersial dengan bahan-bahan sampah sarap. Bahan-bahan kategori sampah sarap saya bungkus dalam beberapa bungkusan plastik hitam dan diletakkan di dalam tong sampah di hadapan rumah.

Barang-barang seperti mesin basuh rosak, besi buruk dan bahan-bahan plastik saya susun dengan hati-hati di dalam 'bonet' dan tempat duduk bahagian belakang kereta . Saya bercadang hendak menjual bahan-bahan tersebut di kedai besi buruk kepunyaan orang India. Kedai itu terletak kira-kira dua kilometer dari rumah saya. Bukan sahaja di kedai itu, malahan kaum India menguasai perniagaan besi buruk di mana-mana sahaja.


Kali ini adalah urusniaga besi buruk saya yang ke-3. Saya ada masalah ketika kali pertama - malu. Berkali-kali saya pusing di sekitar kawasan kedai besi buruk itu sebelum memberanikan diri menjual barangan yang dibawa. Ketika urusan menimbang barulah beberapa orang pelanggan amatur di kalangan orang tempatan datang dengan kereta membawa  barangan masing-masing . 

Mengikut pengalaman dan pemerhatian saya, lebih 90% yang mencari rezeki dengan cara mencari dan menjual besi buruk secara sepenuh masa ialah di kalangan pendatang asing terutamanya etnik Rohingya dan Bangladesh serta sebilangan kecil orang  Indonesia.

Selepas solat zuhur, iaitu lebih kurang pukul 2.30 petang,  saya membawa barang-barang  yang dikumpulkan ke destinasi - kedai besi buruk.  Di sepanjang jalan saya melewati beberapa buah basikal roda tiga dan juga motorsikal roda tiga  dengan muatan besi buruk, barangan plastik dan kertas menuju ke destinasi yang sama.  Ada yang mengayuh dan ramai juga yang menolak basikal roda tiga masing-masing.

Ketika melalui kawasan yang tinggi sedikit saya mendapati sebuah basikal roda tiga yang penuh muatan sedang ditolak oleh pemiliknya seorang yang tempang. Jelas kelihatan kecacatannya menyebabkan dia agak susah menolak basikal roda tiga yang penuh dengan muatan itu. Saya biasa melihat hamba Allah keturunan Rohingya itu kerana  dia sering melalui kawasan rumah saya untuk mencari besi buruk, plastik dan sebagainya. 

Walaupun tersentuh dengan keadaan itu dan juga rasa bersalah kerana menjual sendiri barang-barang yang menjadi punca rezeki hamba Allah itu dan yang senasib dengannya, saya meneruskan perjalanan ke kedai besi buruk. Bagaimanapun, saya berniat kalau berjumpa hamba Allah itu di kedai besi buruk,saya akan memberi sedikit sumbangan kepadanya. 

Saya sampai di kedai besi buruk lebih kurang jam 2.45 petang. Mesin basuh rosak dibeli secara harga pukal dengan harga RM20.00. Besi buruk seberat 10 kilogram dibayar dengan  harga RM1.00/kilogram - RM10.00. Sementara itu barang-barang plastik  pula dibayar RM0.75. Jadi, jumlah jualan saya berjumlah Ringgit Malaysia Tiga Puluh dan Sen Tujuh Puluh Lima Sahaja - RM30.75. Semua maklumat lengkap pembelian disertakan dengan resit rasmi. Ada satu lagi perkara yang pembaca perlu tahu iaitu jualan besi buruk yang berkaitan dengan kemudahan awam seperti besi penutup longkang perlu mengemukakan kad pengenalan. Ya, kedai besi buruk ini dilengkapan dengan komputer, alat penimbang yang canggih , bersikap professional dan berintegriti.

Sehingga urusan saya selesai di kedai besi buruk itu, hamba Allah yang tempang itu masih belum sampai lagi ke situ. Beginilah kehidupan sebenar yang terpaksa dihadapi. Setiap orang dengan ketentuan nasib masing-masing. Ada ungkapan pemikir yang berbunyi, "Hidup yang tidak pernah mendapat tentangan, adalah hidup yang tidak berharga." Dapatkah hamba Allah ini membenarkan kata-kata pemikir itu? Sesungguhnya, kesakitan di dalam real kehidupan tidak sama dengan kesakitan dalam susunan kata-kata seorang pujangga atau pemikir.

10 ulasan:

  1. Saudara Ujangkutik,

    Tentangan dan cabaran dalam kehidupan itulah yang membuat manusia matang untuk terus menghadapi kehidupan.

    BalasPadam
  2. Terbaik ,, kat ghombau city ado seorg MELAYU yg boli bosi bughuk,,,, namo er Pian. stor er kat seborang batu hampar ,,,

    BalasPadam
  3. Sdr Pak Mail,

    Betul,setiap orang ada komitmen dan daya tahannya sendiri.

    BalasPadam
  4. Sdr Pak Uncu.

    Terima kasih.

    Den sodih mesyen gotah lamo arwah Omak den yg berat dan dalam kawasan rumah pagar bosi pun dikobeh oghang.

    Mesyen gotah tu ada sentimental value Pak Oncu.

    BalasPadam
  5. Salam saudara Ujang..,

    Memang hidup ini penuh dengan cabaran dan kisah suka duka yang menjadi rencah kehidupan jadi lebih bermakna...

    memang kita ni dari hidup hingga ke mati perlu melalui ujian .... Allahua`lam.

    den pun selalu jugak jua bosi buruk dan brg-brg buruk lain.... loteh tengok bosi penutup lubang jalan dan lokang selalu ghaib....

    BalasPadam
  6. Sdr azmnor,

    Tuan, agama menghendaki kita mengambil tahu dan membantu saudara seagama.Bagaimanapun, kita selalu terlepas pandang tuntutan ini walaupun kita mempunyai kemampuan untuk membantu.

    Bokonaan business bosi buruk ni, Den memang raso sodih mesyen gotah lamo arwah Emak Den dikobeh oghang. Mesyen tu boghek dan kawasan ghumah pula berpagar dan berkunci.Sekurang-kurangnya empek limo oghang punyo kojo.

    BalasPadam
  7. Tuan Ujang,

    '' Sesungguhnya, kesakitan di dalam real kehidupan tidak sama dengan kesakitan dalam susunan kata-kata seorang pujangga atau pemikir.''

    hah..statement ni... real punye falasafah..ekeke

    BalasPadam
  8. Sdr theolrascal,

    Tuan,

    Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul.

    BalasPadam
  9. "Hidup yang tidak pernah mendapat tentangan, adalah hidup yang tidak berharga."sangat setuju.

    BalasPadam
  10. Puan Bakawali,

    Terima kasih kerana sudi menjenguk blog saya yang seadanya ini.

    Kadang-kadang kita pun hairan dengan kekuatan dalaman hamba Allah yang mampu bertahan dengan ujian yang berat dan dahsyat.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."