Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Rabu, 18 Januari 2012

tetamu

                                                        Adik-menumpang kasih

 Keintiman manusia dengan kucing telah lama diperkatakan. Malah Baginda Nabi Muhamad (saw) pernah bersabda yang membawa maksud: Sesungguhnya bukanlah kucing itu najis, kerana sesungguhnya ia adalah di kalangan yang biasanya berada di keliling kamu (al-tawwafeena ‘alaikum).


Ditakdirkan, beberapa tahun kebelakangan ini, saya dan seisi keluarga amat dekat dengan dunia dan kehidupan haiwan ini. Kami (saya, isteri dan anak-anak) seperti tidak dapat dipisahkan secara fizikal dan rohani dengan haiwan itu. Mungkin ada yang menganggap kami agak keterlaluan. Namun, persepsi tidak akan mengubah keadaan. Haiwan-haiwan itu adalah ‘sebahagian dari keluarga besar kami’.


Ada perlu memerlukan. Ada kasih dan sayang. Ada kerinduan. Ada keasyikkan. Ada tagihan hak. Ada tuntutan tanggungjawab.

Dalam sebarang keadaan, manusialah sepatutnya lebih terbeban kerana fitrah yang dianugerahkan kepada mereka. Manusia dianugerahkan akal fikiran,naluri belas kasihan dan berbagai kelebihan lagi yang tidak dianugerahkan kepada haiwan.  


Kekangan kemampuan kewangan dan tenaga membuatkan kami agak selektif ‘mengutip’ kucing-kucing terbiar sejak kebelakangan ini. Namun, ‘rayuan’ si kecil tetamu awal tahun 2012 di pintu pagar rumah kami empat hari yang lepas amat berkesan dan ‘mencairkan’ kami. Manakan tidak. Si kecil yang di dalam keadaan tidak terurus ini terlalu lapar semasa kami mengumpannya dengan secebis ikan rebus. Anak kucing sekecil ini sepatutnya tidak dibuang. Anak kucing ini terlalu kecil untuk berdikari.

Justeru itu, sahlah si Atoi dan si Hitam mendapat kawan baru, Adik. Si Adik masih menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan abang-abang,kakak-kakak dan senior yang lain. Namun, seperti yang lain-lainnya, akhirnya Adik akan dapat juga menyesuaikan diri dengan persekitaran barunya.

Disiplin pertama yang Adik perlu lalui ialah mandi. Walaupun meronta-ronta dan terketar-ketar kesejukkan kerana tidak biasa dimandikan, Adik telah mengalaminya tengah hari semalam. Adik merasa segar dan tidak merasa gatal lagi kerana kutu-kutu badan yang bersarang ditubuh kecilnya telah mati atau dibawa arus air semasa dimandikan. Sesungguhnya, banyak lagi disiplin yang Adik akan alami. Adik tidak perlu bimbang kerana untuk kebaikannya juga.        

Selamat datang Adik…….    
 

2 ulasan:

  1. Saudara Ujangkutik,

    Seorang sahabat Nabi Muhammad saw yang asal namanya Abd al-Shams (Hamba Sang Matahari) diberi gelaran oleh Rasulullah saw sebagai Abu Hurairah (Bapa si Kucing)dan kemudian terkenal dengan nama itu di samping nama lain Abd al Rahman (Hamba Allah Penyayang) .

    Saya juga sukakan kucing. Saya mempunyai seekor kucing dari jenis 'Maine Coon' yang pernah suatu ketika cedera ditimpa pasu bunga dan patah pada salah satu kakinya ketika bermain berlarian.

    Alhamdulillah, setelah dibawa ke klinik haiwan dan diberi rawatan kini telah sembuh. Pihak klinik mengenakan bayaran sebanyak RM250.00.

    Anehnya salah seorang anak saya tulang siku 'dislocated' pun saya hantar ke hospital kerajaan.

    Begitulah sayangnya kita kepada haiwan peliharaan. Kasih dan sayang yang terbit di jiwa tanpa paksaan. Saya kira saudara seisi rumah juga merasai seperti apa yang kami rasai terhadap kucing peliharaan seperti ini.

    BalasPadam
  2. Sdr Pak Mail,

    Di Cheras ada sebuah Hospital Haiwan Kerajaan (Kompleks Hospital Haiwan). Walaupun 'charge'nya agak murah sedikit tetapi kena tunggu lama kerana orang ramai.Selalunya kalau kes-kes yg tidak serius saya hantar kucing-kucing di klinik haiwan swasta Pandan Indah.Kalau rawatan kurap RM20.00 sahaja. Insya Allah sekali rawatan sembuh.

    Memang betul perasaan kasih sayang itu datang secara semula jadi.Tidak dibuat-buat.

    Kami juga pernah mengalami kisah-kisah sedih yang menyayat semasa merawat beberapa ekor kucing yang tidak dapat diselamatkan. Dua tahun lepas seekor kucing yang cedera dan berulat datang ke rumah kami. Di dalam keadaan kepalanya penuh ulat, kucing itu masih memakan makanan yg kami beri. Kucing itu benar-benar lapar. Mula-mula kami hantar ke klinik berhampiran tetapi doktor tidak sanggup merawatnya.Akhirnya kami hantar ke Klinik Veterinar UPM di Serdang. Doktor muda di situ mencadangkan supaya kucing malang itu di 'put to sleep' - memang tidak dapat diselamatkan.Walaupun pertemuan kami tidak sampai 24 jam, tetapi sangat mengesankan.Isteri saya menangis.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."