Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 21 April 2012

sepinggan nasi dagang, seulas 'lado' api

Di kalangan bukan orang Negeri Terengganu, saya mungkin di antara penggemar tegar Nasi Dagang Terengganu . Saya tidak akan melepaskan peluang menikmati keenakan makanan tradisi ini sepanjang berada di Terengganu.

Mengikut kata kawan-kawan di kalangan anak Terengganu, bukan semua anak Negeri Terengganu mampu menyediakan nasi dagang mengikut piawaian yang sepatutnya - 'Nasi Dagang Asli Terengganu'. 

Secara asasnya, berdasarkan apa yang diberitahu dan rendah diri sebagai seorang lelaki yang tidak berapa suka ke dapur, rencah menyediakan Nasi Dagang Terengganu ialah; Beras khusus nasi dagang, adunan rempah ratus khusus, ikan tongkol, herba khusus dan santan kelapa. Kaedahnya; beras nasi dagang yang disebatikan dengan santan perlu dikukus beberapa kali. Ikan tongkol pula dimasak seperti biasa.  

Walaupun tidak seenak Nasi Dagang Asli Terengganu, isteri saya yang berasal dari Melaka tahu menyediakan nasi dagang. Di antara elemen yang membezakan nasi dagang beliau dengan Nasi Dagang Asli Terengganu ialah 'Tiadanya Nuansa Rasa Manis' kepada kuah ikan tongkolnya. 

Pada saya, 'Nuansa Rasa Manis' yang ada pada Nasi Dagang Asli Terengganu tidak boleh dikompromikan. Walaupun saya Orang Negeri Sembilan, kalau namanya nasi dagang, mesti ada 'Nuansa Rasa Manis'. Sehubungan ini, kita dapati pada setiap hidangan Nasi Dagang Asli Terengganu disediakan seulas cili api yang tidak dibuang tangkainya. Sesiapa yang kuat berpedas akan menjadikan cili api itu sebagai ulam semasa menikmati Nasi Dagang Asli Terengganu. 

Kepada bukan anak Terengganu, inilah rahsia kehadiran cili api dalam hidangan Nasi Dagang Asli Terengganu. Kehadiran cili api bukan sekadar aksesori untuk satu persembahan masakan seperti yang dilakukan oleh cef selebriti. Ianya lebih dari itu. 

2 ulasan:

  1. Ujang Kutik,

    ..lalu teringat saya satu ketika dulu ada penjual mengenakan harga nasi dagang sepinggan sampai rm40.. kecoh satu negara..hehe..

    BalasPadam
  2. Sdr theolrascal,

    Warung itu terletak di antara K.Terengganu ke Marang.Saya ditunjukkan warung itu (masih meriah dengan pengunjung)tetapi tidak singgah kerana tiada masa. Bagaimanapun,susah juga kita hendak memahami kedudukkan sebenar insiden itu. Secara purata harga nasi dagang di K.Terengganu ialah RM2.50 - RM3.50. Di Shah Alam ada yg sampai RM5.00.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."