Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Jumaat, 17 Ogos 2012

1 SYAWAL 1433H : OH KAMPUNG KU

Di kampung saya, Kg.Chengkau Ulu, Negeri Sembilan, ada satu amalan tradisi turun temurun yang masih diamalkan pada setiap kedatangan hari raya aidilfitri hingga ke hari ini. Amalan itu ialah majlis makan hari raya di masjid setelah selesai menunaikan solat sunat aidilfitri dan tahlil arwah.

Penduduk kampung yang datang menunaikan solat sunat aidilfitri membawa makanan masing-masing ke masjid. Makanan-makanan tersebut dihidangkan kepada para jumaah yang duduk bersila dalam kumpulan 4-5 orang pada setiap kumpulan.

Sedemikian, jenis makanan dan lauk pauk adalah berbagai. Sesungguhnya, di sinilah tempatnya anak-anak kampung yang merantau dapat menikmati lauk pauk dan makanan tradisional yang asli dan ‘kow’. Bagaimanapun, peluang untuk mendapatkan makanan yang dihajati terpulanglah kepada nasib. Kalau nasib kita baik, dapatlah makanan dan lauk pauk yang kita harap-harapkan.         

Selain dari makanan dan lauk pauk biasa (moden), makanan dan lauk pauk tradisional Negeri Sembilan yang dibawa oleh penduduk kampung ialah telur itik masakan Negeri Sembilan, Rendang Ayam Pucuk Mali-Mali, Rendang Daging Negeri Sembilan (rendang berwarna hitam), lauk ikan sawah, nasi ulam, lemang, lauk daging pekasam, lauk daging salai, lauk ikan sembilang salai, rebung pekasam dan lauk burung puyuh masakan Negeri Sembilan.

Sehubungan ini, saya yang agak ‘patriotik’ sedikit dengan telapak kampung halaman, saban tahun tidak pernah melepaskan peluang dalam majlis makan hari raya di masjid ini. Insya Allah, pada 01 Syawal 1433H saya akan bersama-sama penduduk kampung yang lain menunaikan solat sunat aidilfitri dan melangsungkan amalan tradisi turun temurun di masjid kampung saya. Oh…….kampung ku!

4 ulasan:

  1. Saudara Ujang kutik,

    Sempena menyambut kedatangan Syawal, saya ucapkan 'Minal aidin wal faidzin'.

    Semuga saudara seisi keluarga diberkati dan dilindungi Allah swt hendaknya.

    BalasPadam
  2. Sdr theolrascal,

    Selamat Hari Raya.Malam tadi Ustaz tazkirah mengingatkan jumaah (termasuk saya)," Malam ini mungkin malam terakhir kita bertarawikh.Selepas ini jangan lupa ramai-ramai datang ke masjid lagi." Dalam maksudnya.

    BalasPadam
  3. Sdr Pak Mail,

    Usailah Ramadhan tahun ini. Semoga amalan kita diterima.

    Selamat Hari Raya.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."