Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Ahad, 23 September 2012

CENDAWAN BUSUT


Selepas pejabat, Jumaat (21/9/12),  saya dan keluarga balik ke kampung di Negeri Sembilan untuk melihat ahli baru keluarga kecil kami. Ahli baru itu, bayi perempuan yang beratnya 3.6 kg ketika dilahirkan di Hospital Columbia, Seremban itu ialah anak ketiga kepada anak saudara (perempuan) saya @ cucu ke-3 adik perempuan saya dan suaminya @ cucu saudara ke-3 saya. Alhamdulillah. Syukur.

Di awal pagi Sabtu, 22/9/12 saya sendirian ke Pasar Tani Rembau yang letaknya kira-kira 7 kilometer dari kampung saya. Mungkin tertipu dengan gelagat saya yang bersemangat mengambil gambar di sekitar pasar tani itu, seorang yang berpakaian kemas menegur saya dalam bahasa ‘Orang Kuala Lumpur’, yaani bahasa Melayu standard. Tegurnya, “Ambil berita kah?” Saya tidak menjawab tetapi menghadiahkan senyuman kepadanya.

Harga barang-barang  di Pasar Tani Rembau lebih kurang sama dengan harga di Kuala Lumpur/Ampang. Telur itik sebiji 70 sen. Harga ikan keli salai se kilogram ialah RM18.00. Harga petai juga standing dengan di Kuala Lumpur/Ampang. Harga tulang (banyak juga dagingnya dan bukan tulang semata-mata) RM18.00/kilogram. Harga ikan lebih mahal dari sesetengah tempat di Kuala Lumpur/Ampang. Harga getah telah jatuh menjunam, mungkin sebahagian besar pengunjung yang memborong barang-barang jualan di pasar tani ini ialah anak-anak kampung yang ‘kerja besar ‘ di bandar dan balik ke kampung pada hari cuti/hujung minggu.    

Dalam perjalanan balik ke rumah saya singgah di kebun yang jaraknya kira-kira 300 meter dari rumah untuk meninjau lembu dan kambing yang diusahakan oleh suami adik saya. Dia ialah bekas kakitangan awam yang bersara awal.  Inilah yang selalu saya ulang-ulangkan, bahawa tiada sesiapa yang dianiaya jika berkahwin dengan perempuan Negeri Sembilan. Adik ipar saya ini ialah anak jati negeri Hang Tuah, Melaka. ‘Menang – Menang (Win Win)’.  “Perempuan yang punya pesaka, Orang semenda (lelaki yang berkahwin dengan perempuan Negeri Sembilan) yang membela (menjaga dan mengusahakan tanah pusaka)”.  
 
Ketika berjalan-jalan di dalam kebun yang juga terdapat beberapa pokok durian, rambutan, cempedak dan dua batang pokok petai (yang sedang berbuah) kaki saya terlanggar ‘Cendawan Busut’.  Mulai-mulanya saya terkejut tetapi akhirnya menjadi teruja – boleh dipaparkan dalam blog ‘ujang kutik’! Sungguhpun cendawan-cendawan busut tersebut telah terlebih matang tetapi masih boleh dibuat masakan. Saya seronok mendapat rezeki yang tidak dijangka. Saya juga teruju hendak menunjukkan kepada keluarga terutamanya anak-anak saya yang sangat ‘jahil’ dengan tumbuhan-sayuran yang pelik kepada mereka itu.
 
Bagi pembaca yang mungkin asing dengan ‘Cendawan Busut’ dijelaskan; Secara ringkasnya cendawan busut ialah sejenis cendawan yang boleh dimakan. Struktur cendawan ini ada dua bahagian; Bahagaian Pertama ialah kepala cendawan yang muncul di permukaan tanah. Bahagian kedua seakan-akan akar tetapi bukan akar yang terbenam di dalam tanah. Kedua-dua bahagian itu boleh dimakan. Cendawan busut lebih sedap dibuat masakan ketika struktur ‘kepalanya’ belum kembang mekar lagi. Biasanya cendawan busut tumbuh di sesuatu kawasan selepas hujan.

Sungguh pun demikian, cendawan busut tersebut tidak dapat dimasak untuk masakan tengah hari pada hari Sabtu, 22/9/12. Saya dan keluarga terpaksa balik ke Ampang untuk menghadiri majlis walimatul urus anak kepada sepupu lelaki arwah ibu saya di perkampungan etnik Minangkabau Sungai Cincin, Gombak.  Sepupu lelaki arwah ibu saya, Orang Negeri Sembilan berkahwin dengan perempuan etnik Minangkabau Gombak.
 

5 ulasan:

  1. ujang kutik,

    ..kini urusan walimatul urus juga telah kembali tumbuh bagaikan cendawan..haha

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr tiheolrascal,

      Walimatul urus banyak....gaji lambat lagi. He..he..

      Padam
  2. Salam..boleh saya tau di mana kampung awak..saya sdg mencari cendawan busut..mengidam. smpai skang xjumpa..tqvm

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Tanpa Nama,

      Cendawan Busut tumbuh 'one off'. T.Kasih.

      Padam
  3. Saudara yang berbahagia, Ujang. Mega terima kasih kerana sudi mempamarkan gambar2 rumah yang menarik dari daerah Chengkau. Saya pernah kekampong waris chembong, mungkiin kampong ini merdekatan dengan tempat saudara atau sebaliknya hanya saudara yang dapat menentukan. Saya melawat kampong waris chembong ini lebeh kurang 50 tahun yang lalu. Ketika itu ada teman persekolan yang tinggal di situ. saya akan melewati Chengkau diperjalanan saya ke selatan dari kuala lumpur. Sya ni dibesarkan di kampong semerbok, astana raja. akan melewati chengkau pada 4 atau 5 dec 2014, rindunya.Salam

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."