Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 22 Disember 2012

DATO' SHEIKH MUHAMMAD FUAD KAMALUDDIN AL-MALIKI


KOMPLEKS SEKOLAH TINGGI ISLAM AS-SOFA
DI BUKIT SEMBILAN, CHENGKAU,REMBAU,N.SEMBILAN


Pada hari Jumaat tidak beberapa lama dahulu, setelah solat di masjid berhampiran pejabat, saya makan tengah hari sendirian di warung milik Orang Negeri Sembilan yang terletak di belakang pejabat. Ketika sedang makan, saya didatangi oleh tiga orang rakan sepejabat yang menunaikan solat Jumaat di 'masjid orang-orang kaya', Masjid Taman TAR, Ampang Jaya. Kami makan se meja.

Saya sangat mengetahui bahawa mereka di atas platform siasah yang sama, adalah peminat dan pengagum kaedah penyampaian khutbah yang disampaikan oleh Tuan Nazir Masjid Taman TAR, Dato' Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin Al-Maliki (Ustaz Fuad). Telah diketahui bahawa kuliah atau ceramah Ustaz Fuad mempunyai tarikan tersendiri. Sebutan patah-patah perkataan samada bahasa Arab atau Melayu yang beliau lontarkan begitu petah dan lancar. Beliau tidak menggunakan teks. Beliau seorang alim yang mempunyai aura – jumaah menghormatinya dan juga tertarik kepada ceramah/kuliah beliau.

Saya mengusik mereka, " Walaupun telah ada masjid yang dekat, masih konsistan lagi ke Masjid Taman TAR nampaknya kawan-kawan kita ini...... "

Salah seorang menjawab, "Masih, mestilah....."

Saya terus mengusik, " Mestilah.....maklumlah peminat tegar Ustaz Fuad."

Rakan yang termuda, berasal dari Melaka menjawab dalam loghat Negeri Sembilan yang tidak beberapa betul, " Ustaz Fuad dah tak ado lai di Masjid Taman TAR. Dio dah balik nogori."

Sebenarnya, sekali sekala saya pernah juga mendengar khutbah Jumaat atau kuliah Maghrib/Subuh/Dhuha beliau di Masjid Taman TAR. Saya sendiri merasakan bahawa para jumaah ternanti-nantikan giliran kuliah/khutbah Jumaat beliau di Masjid Taman TAR kerana dalam masa yang sama Ustaz Fuad juga terlibat dengan urusan di  Sekolah Tinggi Islam As-Sofa , Negeri Sembilan. Pendek kata jumaah akan merasa hampa jika Ustaz Fuad tidak dapat hadir menyampaikan kuliah/khutbah di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.  

Satu perkara yang dapat saya saksikan ialah kejayaan beliau mengwujudkan perhubungan kerohanian dan adab murid kepada Tuan Guru. Anak-anak murid atau pengikut beliau dari serendah status kedudukkan ekonomi sehingga ke peringkat atasan sangat menghormatinya. Bukanlah sesuatu yang luar biasa apabila anak murid/pengikut beliau termasuk di kalangan VIP mencium tangan Ustaz Fuad selepas selesai kuliah.   

 
Saya difahamkan bahawa Ustaz Fuad telah kembali menetap di Bukit Sembilan, Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan untuk memimpin secara sepenuh masa Sekolah Tinggi Islam As-Sofa. Kompleks Sekolah Tinggi As-Sofa Bukit Sembilan yang serba moden terletak di Bukit Sembilan (Chengkau Ulu), Bt.24, Jalan Besar Seremban-Tampin. Bagaimanapun, saya tidak dapat mengesahkan kesahihan perkara ini ( kembali menetap di Negeri Sembilan).

 Dato' Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Maliki ialah ulamak muda yang dilahirkan pada 16 September 1974 di Kampung Chenung, Chengkau, Rembau, N.Sembilan. Beliau berkelulusan Al-Azhar. Beliau ialah Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan sejak tahun 2003, pendakwah bebas, penulis yang telah menulis lebih seratus buah buku (termasuk dalam bahasa Arab), ahli tasawwuf dan susuk penting sehingga tertubuhnya Sekolah Tinggi Islam As-Sofa di Bukit Sembilan, Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan. Beliau juga kerap dijemput membentangkan kertas kerja atau berceramah bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara.

Sungguh pun demikian, penerimaan khalayak terhadap 'batang tubuh' seorang ilmuan muda yang bernama Dato' Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Maliki berbelah-belah. Ada khalayak yang sangat mengagumi beliau. Sebaliknya, ada juga kalangan yang kurang menyenanginya. Golongan kedua ini mendakwa beliau terlalu 'condong' dan 'berlapang dada' kepada 'satu pihak' sahaja.

Saya sendiri, anak jati Mukim Chengkau, yang mengenali ibundanya, Ustazah Zainab yang pernah mengajar saya ketika di Sekolah Kebangsaan Chengkau, sekampung dengan ayahandanya serta mempunyai perhubungan saudara bau-bau bacang di sebelah ibundaya tidak mengenali beliau secara mendalam.

Sehubungan ini, saya berlapang dada di tengah-tengah beberapa individu/sahabat/kawan yang turut mengagumi kealiman beliau tetapi kurang menyenangi tindakan beliau yang didakwa terlalu 'condong' dan 'berlapang dada' kepada 'satu pihak' tetapi ‘kurang mesra’ dengan ‘pihak yang lain’. Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

 

6 ulasan:

  1. IM selalu menanti khutbah oleh Dr danial di masjid sini.

    DD juga punyai tarikan tersendiri yang mampu mengupas Al Quran dari sudut sains dan perubatan.

    BalasPadam
  2. Sdr IM,

    Pada saya saudara juga ada kelebihan.Banyak kerja baik/sukarela dan tanggungjawab dilunaskan pada masa yang terhad.

    BalasPadam
  3. Ya Dato'Syeikh Mohammad Fuad ada tarikan sendiri.Bagi saya beliau bukan condong kepada satu pihak,tapi berdasarkan ilmu yg beliau ada,beliau mengetahui bila beliau perlu condong ke sana dan condong ke sini.Beliau menolak untuk terbabit dlm politik,kerana itulah yg diajarkan oleh guru2nya.Apa yg saya rasa walaupun kadang2 masa ceramah dia tersasar dari tajuk asal,tapi sedikit ilmu yang diajar meresap dalam jiwa dan dpt diingati.contoh yg saya ingat sampai hari ini,Sayyidina Ali RA memotong kuku pada hari khamis kerana persediaan menyambut hari mulia hari Jumaat dan Nabi Muhammad SAW berpuasa hari isnin kerana baginda menghormati hari lahirnya hari isnin.
    Rajin2lah pergi ceramah beliau sbb banyak sunnah2 Nabi yg kita tidak pernah dengar dapat dipelajari dari kuliah beliau.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Tanpa Nama (14/2/13),

      Benar, beliau memiliki aura. Semoga segala sangkaan yang tidak betul mengenai beliau adalah sangkaan yang tidak berasas. Itulah harapan masyarakat.

      Insya Allah saya akan berusaha untuk mengikuti kuliah beliau.

      Terima kasih.

      Padam
  4. " Beliau menolak untuk terbabit dlm politik,kerana itulah yg diajarkan oleh guru2nya ".

    Agak2nya rasulullah berpolitik atau tidak..? Boleh dapatkan pencerahan..?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Tanpa Nama 4 Nov.2013,

      Saya dikelilingi oleh kawan-kawan yang sealiran dengan maksud pertanyaan saudara.

      Saya masih belum mendengar atau melihat beliau mengucapkan ungkapan-ungkapan yang berlawanan dengan keperibadian seorang ulamak.

      Saya juga masih belum melihat beliau digunakan oleh pihak-pihak tertentu terutamanya semasa pilihanraya.

      Sedemikain, saya 'reservekan' penilaian saya mengenai beliau.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."