Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Jumaat, 14 Disember 2012

KELANTAN : SISI YANG SAYA BOLEH BERCERITA (BAB SATU)



ACAPKALI bertugas di Kelantan, khususnya Kota Bharu sejak remaja sehingga kini, saya berpeluang melihat evolusi di negeri yang penduduknya dikatakan ‘sangat tinggi semangat kenegerian’ ini. Saya juga mengamati tanggapan yang berkubu di kalangan orang bukan Kelantan (orang luar) terhadap jisim yang dikaitkan dengan Kelantan – tingkah laku, beragama, pendidikkan, ekonomi dan politik.   
Tidak ada khilaf; majoriti orang luar ‘menanggap’ pembawaan tingkah laku, beragama, pendidikkan, ekonomi dan politik Orang Kelantan secara umumnya adalah lain dari orang di negeri-negeri  selain Kelantan. Ada di antara tanggapan tersebut bersifat negatif yang tersangat susah hendak dinyahkan dari minda orang luar terhadap batang tubuh Kelantan. Sehubungan ini, tidak mustahil seorang yang bersahabat dengan Orang Kelantan dan memuji tingkah-laku sahabatnya itu mempunyai tanggapan yang berlainan apabila diminta pendapatnya mengenai personaliti Orang Kelantan secara umum. Situasinya hampir sama dengan Orang Negeri Sembilan yang masih terkial-kial hendak mengeluarkan ungkapan yang mengaibkan mereka, ‘Tinggal Sehelai Sepinggang’, yang masyhur itu dari bank ingatan orang bukan Negeri Sembilan.       
   

Pada sisi lain, Orang Kelantan memiliki ‘kelebihan’ dan berada di kelas tersendiri dari orang Melayu lain, khususnya dalam bidang pendidikkan (sama ada pendidikkan agama atau pendidikkan akademik) dan perniagaan. Orang Kelantan sangat menonjol dalam membangunkan sekolah-sekolah pondok dan institusi pendidikkan swasta. Sebagai contoh, institusi pendidikkan swasta Maktab Adabi yang berpengkalan di Kelantan suatu ketika dahulu telah berjaya menyediakan peluang kedua dan seterusnya ‘mencetak’ ribuan calun graduan yang asalnya ialah pelajar ‘hopeless’. Ramai di antara pelajar-pelajar tersebut telah menjawat jawatan tinggi termasuk Ketua-Ketua Jabatan di jabatan kerajaan dan swasta.  
Kelantan juga dikaitkan dengan gadis-gadisnya yang bukan sahaja cantik paras rupa tetapi juga baik tutur kata dan bersopan santun. Pada saya, unsur tutur kata dan sopan santun mungkin ada kebenarannya. Bagaimanapun, unsur kecantikan, adalah sesuatu yang subjektif.


Pertama kali saya ke negeri  ini ialah pada tahun 1979. Saya tidak pasti samada ketika itu laluan Kuala Lipis-Gua Musang telah ada atau sebaliknya. Seingat saya, perjalanan ke Kota Bharu ketika itu melalui Pahang, Kuala Terengganu dan baru sampai ke Kota Bharu.
Selain Kota Bharu, saya telah sampai hampir ke merata rantau dan pelusuk di negeri ini – Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Pasir Emas, Jeli, Tanah Merah,  Pasir Putih, Bachok , Rantau Panjang dan Tumpat. Di antara pengalaman menarik ialah menaiki bot kecil menyusur sungai dari Kuala Krai ke kampung-kampung pedalaman dan bermalam di Dabong pada penghujung tahun 80-an. Ketika itu DUN Dabong diwakili oleh Datuk Rozali Isohak. Ketika itu Kelantan masih dikuasai oleh Kerajaan BN. Negeri Kelantan jatuh ke tangan PAS pada tahun 1990 hinggalah ke hari ini.


Seawal pagi saya melihat anak-anak sekolah telah berada di perhentian keretapi untuk ke sekolah di Kuala Krai. Saya difahamkan bahawa walaupun sekarang telah ada jalan raya yang baik Dabong-K.Krai, anak-anak sekolah masih menggunakan pengangkutan keretapi.

Ketika di Dabong saya berpeluang menjelajah ke kampung-kampung sekitar yang jaraknya berbelas batu dengan menaiki motorsikal. Jalan laterite yang berlubang dan tidak rata sangat mencabar untuk dilalui. Bagaimanapun, pengalaman menaiki sampan kecil merentas sungai dengan memuatkan sekali motorsikal yang digunakan sangat-sangat menakutkan. Bibir air hampir separas dengan bahagian atas sampan.
Penduduk di kampung-kampung pedalaman mungkin miskin harta tetapi mereka kaya budi bahasa. Kesemua tuan rumah yang saya kunjungi telah mempelawa saya minum di rumah mereka. Bahkan, sebuah keluarga telah mempelawa saya solat di rumahnya dan seterusnya makan tengahari bersama. Saya masih ingat rumah keluarga itu di tepi laluan keretapi.  
   

Lelaki naïf Kelantan yang saya fahami semasa zaman anak-anak terhasil dari gambar di kotak mancis ketika itu  ; memakai semutar di kepala (imaginasi saya - dengan kapak kecil tersembunyi di dalamnya) , berkain batik hingga ke lutut, tidak berbaju dan berdiri di sisi sampan nelayan yang disandarkan pada sebatang pokok kelapa di tepi laut sangat berbeza dengan realiti sebilangan lelaki Kelantan yang saya lihat dengan mata-kepala sendiri pada hari ini – tekun beragama, berpakaian kemas, memandu 4-wheel drive, memakai baju T ‘ The Red Warrior’, bercerita mengenai anak-anak yang belajar di UIA,UKM, UITM atau Ireland, Mesir, Jordan,.…… Ketika itu saya juga tidak pernah membayangkan bahawa golongan wanitanya yang dikatakan boleh membuat lelaki luar mudah tergoda sangat suka  berniaga.  


Sebenarnya, ada di antara momen-momen yang membenam ke dasar hati dan tidak terlupakan itu telah saya ceritakan melalui catatan sebelum ini.  Selain itu, saya masih ada sisi lain untuk diakses dan diceritakan. Mungkin akan saya persembahkan pada catatan yang akan datang.......

2 ulasan:

  1. Membaca sejarah negeri sendiri...terasa berada di zaman tersebut.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kak Mah,

      Terima kasih. Saya mengikuti laluan musafir puan di luar seronok.Sayangnya, saya tidak berpeluang berbuat demikian.Jauh berjalan banyak dipandang.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."