“ Maka inilah satu bidal Melayu.
Barang siapa rugi, atau tidak sampai hajatnya, padahalnya bukan dengan sebab
perbuatan orang lain, hanyalah semata-mata kelengahannya sendiri, maka orang
lain dapat, maka dikata oleh Orang Melayu : Lebai Malang.”
(Bunga Rampai Melayu
Kuno oleh Dr.M.G.Emeis)
Saya percaya generasi hari ini di
usia lingkungan 50 tahun ke atas masih ingat cerita rakyat, Lebai Malang.
Bagaimanapun, kalaulah anak-anak saya boleh dijadikan sampel, saya juga percaya
bahawa anak-anak kepada generasi 50-an tidak ramai yang mengetahui isi cerita
Lebai Malang itu.
Kononnya, ada seorang lebai yang
mendiami satu penempatan di tepi sungai yang lokasinya antara dua buah kampung.
Ceritanya bertitik tolak dari kedua-dua buah kampung itu hendak mengadakan
kenduri besar pada hari dan masa yang sama. Wakil kedua-dua buah kampung turut
menjemput lebai itu.
Dalam keadaan biasa, lebai itu
sepatutnya memilih majlis kenduri salah sebuah kampong sahaja untuk dihadiri
kerana pengangkutan sampan yang digunakan ketika itu tidak memungkinkan dia
dapat hadir pada kedua-dua majlis. Bagaimanapun,
lebai itu alah kepada lintasan sifat tamak. Dia hendak hadir di kedua-dua
majlis kenduri yang agak jauh letaknya antara satu sama lain itu.
“ Aku ini dipanggil orang. Maka
yang di pihak hulu itu dekat sedikit, tetapi menyembelih seekor kerbau. Maka di
pihak yang hilir ada menyembelih dua ekor kerbau. Kalau aku minta di sebelah
hilir, dapat dua tanduk, jika minta di hulu, aku dapat satu tanduk, tetapi
masaknya sedap. Yang sebelah hilir masaknya kurang sedap, kerana biasa makan
pada kedua tempat itu.”
Lebai itu mengambil keputusan
pergi ke majlis kenduri kampung di hilir terlebih dahulu. Setelah beberapa lama
bersampan ke kampong hilir, fikirannya diagah oleh masakan sedap di kampong
hulu. Dia berkayuh ke kampong hulu pula. Maka berkayuh dua tanjung, teringat
pula bahawa kalau ke kampong di hilir dapat dua tanduk kerbau.
Setelah berulang-alik dua tiga
kali dia akhirnya bersampan ke kampong di hulu. Sesampai di kampong hulu dia
mendapati majlis kenduri telah selesai.
Dia bersampan pula ke kampong di
hilir dengan gopoh-gapah. Majlis kenduri di kampong hilir juga baru selesai.
“ Baik aku balik mengambil tali
kail, supaya dapat ikan. Lebih-lebih dijual boleh dibuat lauk. Serta aku bawa
anjing perburuan, kalau tak dapat ikan, aku berburu pelanduk.”
Dia balik ke rumahnya mengambil
kail, membawa anjing perburuan dan membawa bekalan nasi sejuk dengan sambal belacan.
Sementara menunggu umpan
pancingnya dimakan ikan, lebai itu membuka makanan dibawa yang dibungkus dengan upeh
pinang kerana perutnya lapar. Ketika hendak mengambil sambal
belacan di dalam tabung, sambal belacan
itu terjatuh ke dalam air sungai. Dia cuba mendapatkan semula sambal belacan yang terjatuh dengan membongkokkan badan sambil menceduk air sungai dengan tangan. Ketika lebai itu leka berbuat demikian, anjing perburuan memakan nasi sejuk
yang dibawa.
Semua hajat dan perancangan
‘Lebai’ itu tidak tercapai. Kononya, dari cerita inilah terhasilnya bidalan
'Lebai Malang' yang hingga kini masih kekal digunakan oleh masyarakat Melayu.
Sumber : Buku Bunga Rampai Melayu
Kuno oleh Dr.M.G.Emeis terbitan DBP.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Catatan :
- Mungkin ada di kalangan generasi hari ini menjenamakan semula persepsi ‘Lebai Malang’ yang asalnya condong kepada sifat negatif kepada sifat positif dan proaktif. Tidak dinafikan ada sedikit kesilapan perancangan ‘Lebai Malang’ dan mengabaikan sifat ‘alert’ (berjaga-jaga) kepada keberangkalian orang/pihak yang dipercayai . Bagaimanapun, cerita selebihnya menunjukkan ‘Lebai Malang’ ialah seorang yang dinamik dan proaktif. Kalau diperamati, ‘Lebai Malang’ bukan sahaja memiliki Plan A (Majlis Kenduri) tetapi juga Plan B (Mengail Ikan) dan Plan C (Berburu Pelanduk).
- Personaliti ‘Lebai’ dalam masyarakat Melayu ialah individu yang dihormati. Seorang yang dilabel ‘Lebai’ fundamental dikenali sebagai seorang yang komited dalam menghayati hidup beragama.
- Cerita ‘Lebai Malang’ tidak menceritakan Plan Cnya (‘Lebai Malang’), yaani memburu pelanduk. Mana tahu setelah kecundang dalam dua kali percubaan, ‘Lebai Malang’ bukan sahaja mendapat pelanduk tetapi juga rusa!
Salam.
BalasPadamKali pertama saya mendengar Lebai Malang ada Plan B dan Plan C.
Saya tanya anak2 saya tentang Lebai Malang. Mereka tahu kisahnya tapi mereka pun tak pernah dengar atau membaca yg ada rancangan seterusnya tu.... huhuhu
Waalaikomsalam,
PadamTuan, seorang businessman, tentu lebih mahir mengatasi segala masalah di luar jangka....