|
PAPAN TANDA DI JALAN BESAR MARAN-SG.JERIK |
Pada akhir bulan June, 2010,
negara digemparkan dengan kematian tragis 8 orang anggota penyelamat dan
sukarelawan yang mencari mangsa lemas di Hutan Lipur Air Terjun Lubuk Yu, Sg,
Jerik, Maran, Pahang. Mangsa dikatakan mati kerana kesan terkena (bersentuh) air kencing tikus dan tanah
yang tercemar.
Selain mangsa, sebanyak 148 orang
lagi telah diberi rawatan; 56 orang adalah anggota pasukan penyelamat, 27 orang
anggota sukarelawan dan selebihnya orang awam. Begitulah dasyatnya tragedi
tersebut .
|
LALUAN KE KAWASAN REKREASI |
Setelah hampir 3 tahun kejadian itu berlaku, baru-baru ini saya berpeluang menjenguk kawasan
itu. Melalui beberapa orang penduduk tempatan yang ditemui, saya
mendapat tahu bahawa kawasan ‘berpuaka’ itu sewajarnya dijauhi. Saya juga difahamkan
bahawa tempat itu tidak dikunjungi dalam tempoh yang lama selepas kejadian.
|
PERINGATAN |
Saya sampai di Hutan Lipur Air Terjun Lubuk Yu pada pukul
5.20 petang bersama dua orang kenalan penduduk tempatan yang baru saya kenali.
Perjalanan yang memasuki simpang dari jalan besar Maran- Sg.Jerik ke lokasi
mengambil masa lebih kurang 10 minit. Perjalanan dengan kereta dalam suasana
mendung dan melalui kawasan-kawasan ladang kelapa sawit dan hutan yang sunyi agak
menyeramkan. Kalau berseorangan atau dengan keluarga saya tidak berani ke situ.
|
INILAH LUBUK YU SEBENAR |
Sesampai di situ saya melihat cuma
ada dua orang pengunjung, yaani anak muda sedang berborak di sebuah wakaf. Saya dan rakan-rakan
bersalaman dengan mereka. Saya bertanya dengan salah seorang dari mereka
mengenai kronologi kejadian yang telah berlaku hampir 3 tahun yang lalu.
Seperti yang saya nyatakan melalui catatan sebelum ini, “ penduduk Maran sangat
‘mesra alam’ dan sangat suka membantu.” Itulah ‘trade mark’ penduduk
Maran.
|
LANDSKAP KAWASAN REKREASI |
Dua orang anak muda itu dengan
senang hati menerangkan kronologi kejadian dengan jelas. Secara ringkas
ceritanya lebih kurang begini: Seorang pengunjung telah dibawa arus sungai.
Beberapa orang anggota penyelamat dan sukarelawan yang terlibat dalam misi mencari
mangsa lemas telah meninggal dunia di lokasi dan di hospital. Mangsa dikatakan
terkena jangkitan kuman air kencing tikus dan tanah yang tercemar.
|
LANDSKAP |
Ada cerita yang tidak diketahui
oleh masyarakat di luar Maran berkaitan tragedi itu. Ada di kalangan penduduk
Maran berpendapat bahawa tragedi itu adalah balasan kerana kelekaan penduduk
yang tidak ambil peduli terhadap gejala maksiat yang berleluasa di kawasan
rekreasi tersebut. Kejadian itu ada adunan sebab-sebab saintifik dan mistik.
|
LANDSKAP |
Saya difahamkan bahawa bilangan
pengunjung ke kawasan rekreasi itu telah kembali seperti sediakala. Phobia yang
menghantui penduduk sekitar dan pengunjung dari luar ‘ telah habis tempoh 7
keturunan’. Sehubungan ini, dua orang anak muda tempatan itu juga meluahkan
kekecewaan mereka kerana pelaku maksiat telah mula menyerbu dan membuat onar semula di
kawasan rekreasi yang cantik dan menenangkan itu.
Dikatakan bahawa 100% pemaksiat yang mencemarkan kawasan Rekreasi Air Terjun Lubuk Yu ialah orang Melayu. Memang Melayu mudah lupa!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."