Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Ahad, 11 Ogos 2013

MASJID TANAH : ALLAHYARHAM TUAN HJ. YUNUS DAN SURAU KG. SOLOK AIR BATU

BAHAGIAN LUAR 'SURAU TUAN HJ. YUNUS' (Sejadah disediakan di bahagian luar surau)
Kampung-kampung di sekitar Masjid Tanah, Melaka pernah mendapat jolokan ' Pada setiap jarak satu batu, ada sebuah surau'. Itulah gambaran mengenai betapa komitednya penduduk di daerah ini dalam beragama.

Di daerah ini juga lahirnya seorang alim yang sangat terkenal bukan sahaja di kawasan Masjid Tanah tetapi juga di seluruh Negeri Melaka dan di luar Negeri Melaka. Nama beliau ialah Allahyarham Tuan Hj. Wahid (Sg. Udang). Dikatakan beliau dianugerahkan kelebihan karamah.

Sehubungan ini, seingat saya ada empat buah surau di kampung isteri (Kg. Solok Air Batu, Masjid Tanah, Melaka)  dan kampung berhampiran.  

Saya tidak mengetahui sejarah Surau Kg. Solok Air Batu yang terletak di tengah-tengah kampung isteri saya. Saya menamakan surau itu ' Surau Tuan Hj. Yunus ' kerana seingat saya Allahyarham Tuan Hj. Yunus adalah susuk yang mendominasi surau kecil itu - beliau menjadi imam dan juga mengajar.  Seperti kebanyakkan guru agama segenerasinya, beliau sangat mahir menghuraikan Sifat 20. 

Ketika era kegemilangan surau ini, selain beliau, ada beberapa orang ustaz jemputan yang datang mengajar. Di antaranya yang saya masih ingat ialah Ustaz Mokhtar dari Kuala Sungai Baru.

Telaga Tempat Mengambil Wuduk (Tidak Digunakan Lagi)
Allahyarham Tuan Hj. Yunus telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu. Saya tidak mengetahui umur sebenar beliau. Bagaimanapun, berdasarkan usia anak-anak beliau, saya mengagak umur beliau semasa meninggal dunia melebihi 80 tahun. Salah seorang anak perempuan Allahyarham ialah isteri kepada bekas Ketua Pengarah JPJ, Datuk Emran. Saya pernah solat berjumaah di surau ini berimamkan Datuk Emran yang berjanggut panjang itu.

Ketika hayatnya saya mengambil peluang berbual dengan Tuan Hj. Yunus selepas selesai solat berjumaah di surau ketika sekali sekala balik ke kampung isteri. Melaluinya saya mengetahui bahawa beliau pernah mendalami ilmu agama di beberapa madrasah termasuk di Negeri Kedah. Kebetulan beliau juga pernah seperguruan dengan seorang alim yang sangat terkenal di daerah saya (Rembau, Negeri Sembilan) iaitu Tuan Guru Lebai Ibrahim Bongek (Bongek ialah nama sebuah kampung di Daerah Rembau).

Surau Tuan Hj. Yunus masih berjalan seperti biasa buat seketika selepas pemergiannya ke Rahmatullah. Azan masih berkumandang apabila masuk waktu solat lima waktu.Selain itu kuliah agama berjadual juga masih diadakan.

Namun demikian, ada suatu perkara ' yang luar biasa ' berlaku di surau ini ketika saya hendak menunaikan solat fardhu Maghrib pada 2 Syawal 1434H. Saya mendapati tidak ada sesiapa yang datang ke surau ini untuk menunaikan solat fardhu Maghrib secara berjumaah.

Dan, sepanjang tempoh saya berada kampung isteri pada 2 hingga 3 Syawal 1434H, saya tidak mendengar lagi laungan azan dari Surau Tuan Hj. Yunus.   

Seusai menunaikan solat fardhu Maghrib di luar dewan solat (ruang solat dikunci) pada 2 Syawal, saya membaca Surah Al-Fatihah untuk dihadiahkan pahalanya kepada Allahyarham Tuan Hj. Yunus. Walaupun ketika hayatnya saya cuma sekali sekala balik ke kampung isteri, beliau mengenali saya kerana mungkin saya ' orang luar' yang juga dari daerah yang sama dengan sahabat seperguruannya Tuan Guru Lebai Ibrahim (Bongek).

Sepanjang mengenalinya, saya mendapati beliau seorang yang sangat komited dan ikhlas dalam beragama. Tiada sesiapa dapat menafikan bahawa Allahyarham sangat akrab dengan Surau Kg. Solok Air Batu, suraunya juga, 'Surau Tuan Hj.Yunus' .

Semoga Allah meletakkan Allahyarham di kalangan hamba-hambaNya yang beruntung di hari akhirat. Amin.  

5 ulasan:

  1. al-fatihah..untuk Allahyarham

    BalasPadam
    Balasan
    1. Al-Fatihah. Allahyarham begitu baik.

      Padam
  2. Assalamualaikum, encik. Saya zafirah daripada UTEM mewakili Persatuan Jurutera Pembuatan (SME) ingin mengadakan program anak angkat di kampung encik. Bolehkah pihak encik menerima pelajar2 kami?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdri Nur Zaff,

      Waalaikomsalam.

      Terima kasih kerana menjenguk blog saya.

      Seperti yang saya paparkan dalam blog ini bahawa saya menetap di Ampang, Selangor. Kg. Solok Air Batu, Masjid Tanah adalah kampung isteri saya.

      Bagaimanapun, kami jarang balik ke Melaka kerana ibu dan ayah mertua telah meninggal dunia. Selain dari seorang kakak ipar (kini mendapat rawatan dialisis) adek beradek isteri yang lain menetap di luar Melaka.

      Jujurnya, saya adalah orang asing di kampung ini.

      Padam
  3. Tiada laungan Azan?menyedihkan, macam tak percaya

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."