Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Selasa, 6 Ogos 2013

RAMADHAN : MEREKA YANG SOMBONG

TARIKH   : 27 RAMADHAN 1434H
LOKASI   : MASJID UBUDIAH, AMPANG
PERKARA: TAZKIRAH RAMADHAN

Walaupun dalam keadaan lemah dan tidak berdaya kerana agak mengantuk, saya masih mampu menghadam sejumlah buah butir tazkirah selepas usai solat sunat tarawikh/witir yang disampaikan oleh seorang Ustaz muda. 

" Orang-Orang Yang Sombong Selepas Bulan Ramadhan ", itulah tajuk tazkirah buat bekalan jumaah yang masih ramai lagi bilangannya sebelum mereka balik ke kampung masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Ustaz muda yang lantang suaranya bermukaddimah, " Inilah pertama kalinya Ana berpeluang ke masjid Tuan-Tuan dan Puan-Puan. Ana kagum kerana bilangan jumaah di sini masih ramai jika dibandingkan dengan jumaah di kebanyakkan masjid/surau lain yang Ana pernah menyampaikan tazkirah pada hujung Ramadhan ini."

Beliau mendapat rentak, " Semoga bilangan jumaah yang ada sekarang akan istiqamah memakmurkan masjid Tuan-Tuan/Puan-Puan sebaik sahaja Ramadhan berlalu. Janganlah menjadi ' Mereka Yang Sombong ' Selepas Ramadhan."

Beliau yang sangat memahami ' hati budi ' jumaah di negara ini sebaik sahaja bulan Ramadhan beredar mula ' menyindir', " Kesombongan golongan yang sombong selepas bulan Ramadhan menterjemahkan betapa susah payah mereka memakmurkan masjid pada bulan Ramadhan ' kurang menjadi ' atau tidak mendatangkan hasil yang sepatutnya. Selepas Ramadhan mereka 'hilang' begitu sahaja - tidak nampak batang hidung lagi di masjid/surau."

Akhirnya, beliau ' checkmate ' para jumaah melalui tazkirahnya dengan satu gerakan bidak bersepadu, " Mereka menjadi sombong selepas Ramadhan kerana tidak lagi memperdulikan ingatan ( Al-Quran dan Hadis) mengenai ajakan dan kelebihan memakmurkan masjid - solat berjumaah, kuliah ilmu, mengeratkan silatulrahim sesama Islam....mereka 'tidak hairan' dengan ganjaran yang Allah janjikan......" 

Arakian, sebilangan jumaah yang seumpama dalam keadaan kalah kerana 'dicheckmate' dalam permainan catur, menundukkan muka ke arah sejadah. Mereka malu kerana mengetahui bahawa tangga dan dinding-dinding masjid sangat mengenali jumaah yang hatinya terikat di masjid, jumaah yang sekali sekala menjenguk masjid, jumaah yang seminggu sekali mengunjungi masjid, jumaah yang cuma datang ke masjid pada awal bulan Ramadhan dan menghilangkan diri selepas itu dan juga jumaah yang cuma ' mewajibkan ' dirinya datang solat berjumaah di masjid dua kali setahun (Hari Raya Idilfitri dan Idiladha).

Sejarah semalam tidak boleh dipadamkan tinta catatannya. Namun, menempa sejarah baharu pada hari ini boleh melupakan sejarah semalam yang kelam. Tempalah sejarah baharu dengan mengambil iktibar dan berkat Ramadhan tahun ini. Sama-samalah menaksir diri agar kehidupan kita dekat dengan masjid samada pada bulan Ramadhan atau bulan-bulan yang lainnya.

Sombong bukan sifat hakiki yang bernama hamba. Sombong wujud kerana diasuh. Sesungguhnya, tiada sesiapa yang bernama hamba nalurinya sombong secara semula jadi. Sedemikian, janganlah sombong dari sisi mana sekali pun.     
   

  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."