Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 7 September 2013

ORANG ASLI SINGAPURA, DI MANAKAH MEREKA SEKARANG?


Benar atau tidak Hang Tuah pernah wujud di atas muka bumi ini tidak perlulah diperdebatkan. Dilema tersebut bertambah serabut apabila hasil kajian ilmiah seorang professor sejarah tersohor tanah air  menafikan kewujudan susuk yang bernama Hang Tua itu.

Penghikayatan Hang Tuah yang diangkat menjadi adiwira bertambah serabut apabil ada di kalangan generasi hari ini tanpa segan silu mempersoalkan sikap kesetiaan Hang Tuah yang membabi buta. 

Saya tidak menyentuh watak adiwira Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya dalam catatan ini. Apa yang ingin saya sampaikan ialah kewujudan Orang Asli (Sakai) di Singapura semasa zaman Hang Tuah dan sahabatnya masih kecil lagi.

Diceritakan dalam Hikayat Hang Tuah bahawa Hang Tuah dan 4 orang sahabatnya telah melarikan diri dengan menaiki perahu (lading) dari ditangkap oleh orang jahat yang menaiki perahu yang lebih besar:

" Maka dengan takdir Allah maka sekonyong-konyong keluarlah Batin Singapura, perahunya tujuh dandang hendak pergi ke Bintan. Maka dilihat oleh Hang Tuah perahu tujuh dandang itu keluar dari Selat Singapura. Maka ditujunya oleh Hang Tuah. Maka dilihat oleh orang yang dalam dandang itu, sebuah lading, orangnya lima orang, diusir oleh perahu musuh tiga buah itu, hampir akan dapat.

Maka kata Batin Singapura, " Hai segala sakai, segeralah kita dapatkan perahu lading itu, kerana ia diusir musuh, kalau ia orang kita."  

Ulasan :

1. Orang Asli (Sakai) pernah menolong Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya.

2. Andainya Hang Tuah adalah mitos sekalipun, kewujudan Orang Asal Singapura (Sakai) tidak dapat disangkal kerana mereka adalah penduduk asal/jati Singapura. Persoalannya, di manakah keturunan mereka sekarang?

6 ulasan:

  1. Pulau Pinang pun sepatutnya ada orang aslinya tapi IM tak pernah jumpa pulak selama tinggal di sini dah 30 tahun...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr IM,

      Menurut sumber JHEO 2003, penduduk Orang Asli ' P.Pinang 'lenyap' bermula tahun 1998.

      Padam
  2. Saudara Ujang Kutik,

    Saya berasal dari Singapura. Sehingga kini saya masih mempunyai abang, kakak dan ramai saudara mara di sana. Sepanjang pengetahuan saya tiada istilah 'orang asli' di Singapura. Yang ada ialah istilah 'orang laut' dan 'orang darat'. Istilah ini biasa saya dengar dan saya pernah berada di perkampungan 'orang laut' yakni di pulau-pulau di bawah jajahan Singapura sewaktu saya masih bersekolah rendah lagi.

    Pada dasarnya 'orang laut' dan 'orang darat' adalah sama. Masing-masing datang dari pelbagai daerah dan dari suku kaum yang berbeza dari satu rumpun yang dipanggil 'Rumpun Melayu'. Ada yang datang dari Filipina. Ada juga yang datang dari Pulau Jawa, Pulau Borneo, Pulau Sumatera dan mungkin dari sehingga ke Sri Lanka yang dahulu dikenali sebagai Ceylon serta juga pulau-pulau dan kedaerahan yang berdekatan.

    Oleh itu untuk mencari 'Orang Asli Singapura' pasti tidak akan bertemu.

    Allahu 'alam....

    BalasPadam
  3. Hang Tuah itu sendiri ialah orang Jakun. Malah ia pemimpin orang Jakun. Maka sebab itulah ia mudah mendapat bantuan daripada suku-suku orang Asli. Ini dinyatakan oleh RO Winstedt, Andaya serta Skeat dan Blagden

    BalasPadam
  4. Saya tidak bersetuju Singapura tiada orang Asli. Singapura mempunyai Orang Seletar, Orang Selat, Orang Kallang, Orang Johor dsb. Orang Asli Singapura pernah diserang wabak penyakit sehingga ramai yang mati pada abad ke19 yang lalu. Adakah ini fenomena yang sama seperti yang melanda kaum Red Indian melalui program penghapusan etnik masih menjadi persoalan. Orang Asli Singapura dipindahkan oleh Temenggong Johor, British dan Singapura atas alasan pembangunan. Ramai berpindah ke Malaysia dan Indonesia. Asimilasi juga berlaku dengan orang Melayu. Ada yang berkahwin dengan orang Cina. Terdapat perjanjian di antara Singapura dengan Malaysia untuk memindahkan semua orang Asli Singapura ke Malaysia.

    BalasPadam
  5. Sdr Pak Mail, Sdr Tanpa Nama 8/9/13 (8.14PG) & dan Sdr Tanpa Nama 8/9/13(12.37PTG),

    1. Pendapat saudara-saudara sangat-sangat dihargai.

    2. Di kalangan anda yang meyakini bahawa Orang Asli pernah menjadi sebahagian dari penduduk bumi Temasik yang telah kita 'bebaskan' itu, tentu anda rasa sangat terkesan dengan ' kehilangan' rakan senusantara kita di tanah Singapura sekarang.

    3. Ada di antara ulasan-ulasan anda yang agak mengejutkan saya seorang yang tidak menghadami sejarah secara mendalam, akademik dan ilmiah. Segala maklumat anda sangat berguna dan akan saya dalami.

    Terima kasih.

    BalasPadam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."