Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Selasa, 31 Disember 2013

MINTA SEDEKAH SALAH, BERSEDEKAH PUN SALAH

" SAYA PUN HENDAK MASUK SYURGA "
Malam minggu lepas setelah usai solat Maghrib saya membeli satay di pasar malam berhampiran kawasan perumahan saya. Ada beberapa orang peminta sedekah yang pada takwilan saya bukan di kalangan warga Malaysia 'menunggu pelanggan' di beberapa lokasi strategik di sekitar pasar malam itu. Mereka; lelaki, perempuan dan tua-muda, mungkin orang Rohingya (Myanmar Islam).

Al-kisah, berhampiran tempat penjual satay berniaga ada seorang peminta sedekah remaja bertongkat. Dia seperti rakan-rakan yang sama profession dengannya tentulah mengharapkan belas kasihan dari pengunjung pasar malam.   

Saya dengan jujurnya mengaku bahawa tidak terlintas langsung hendak menghulurkan sedekah RM1 atau RM2 kepada peminta sedekah itu. Saya mungkin di antara sebilangan ahli masyarakt yang sangat taksub dengan tanggapan-tanggapan negatif seperti mereka (peminta sedekah) bukan peminta sedekah ' genuine', mereka adalah ahli sindiket, mereka pemalas, mereka penipu dan berbagai-bagai prasangka lagi.

Tiba-tiba kawasan sekitar didatangi oleh dua orang yang mengaku dari pertubuhan NGO membawa tabung untuk kutipan bantuan kepada saudara seagama kita di Palestin. Sekonyong-konyong peminta sedekah itu mengambil semua wang di dalam mangkuk cari makannya yang isinya tidak lebih dari RM3 dan memasukkan kesemuanya ke dalam tabung bantuan Palestin. Saya tidak sempat mengambil gambar momen luar biasa itu. Saya cuma merakamkan gambar peminta sedekah itu selepas beberapa ketika. 

Ini berita. Seorang peminta sedekah, bersedekah semua wang yang dia ada kepada saudara seagamanya di Palestin! Sanggupkah kita bersedekah semua yang kita ada? 

Saya memberi peminta sedekah itu RM3. Saya mengganti jumlah wang yang disedekahkannya. Dia sempat berkata dengan ceria, " Pak Cik ambil gambar saya ya."

Pengkisahan ini saya kisahkan kepada sebilangan kawan-kawan ketika sarapan pagi di warung belakang pejabat. Tiada seorang pun yang terkasima dengan gelagat peminta sedekah remaja yang 'baik hati' itu. Sebaliknya, mereka memandang serong dengan berbagai tuduhan. Malah ada seorang yang berpendapat bahawa tujuan peminta sedekah itu bersedekah adalah kerana hendak 'memancing' orang lain agar bersedekah kepadanya. Congak jahatnya, " Dia bersedekah cuma RM3, kalau ada 10 orang yang melihatnya memberi dia RM1 setiap seorang dia akan dapat RM10, untung RM7." 

Mungkin saya berkisah di tempat dan makhluk yang salah. Minta sedekah salah, bersedekah pun salah! 

4 ulasan:

  1. Saya tidak memberi wang tapi memberikan makanan...saya juga sangat tidak mempercayai NGO yg buat kutipan di tempat awam.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr Tanpa Nama,

      Sebagai seorang Islam, kita perlu membantu golongan yang memerlukan.

      Tidak dinafikan bahawa bersedekah pada hari ini memerlukan bakat dan seni bersedekah yang mampu menyaring antara peminta sedekah/derma penipu dengan peminta sedekah/derma sebenar/jujur .

      Padam
  2. Pakcik Ujang,

    Ikhlas saya katakan dulu saya pun berprasangka begitu.Namun kadang2 sukar untuk kita meneka yang mana betul dan yang mana palsu. Setiap kali saya memberi saya niatkan kerana Allah dan selebihnya biarlah Dia yang menentukan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sdr izu ismail,

      Pada pandangan Pak Cik peminta sedekah dari kalangan pelarian politik Rohingya (Islam) sememangnya benar-benar susah. Mereka merempat di negara saudara sesama seagama dengan kekangan peraturan yang ketat.

      Namun demikian, yang membimbangkan NGO-NGO yang mengambil tahu hal mereka ialah mereka memilih jalan mudah untuk kelangsungan hidup melalui cara meminta sedekah.

      Masyarakat pada umumnya keliru antara peminta sedekah menipu @ sindikit dengan yang benar-benar memerlukan bantuan.

      Sehubungan ini, ramai di kalangan kita mengambil jalan mudah iaitu 'mengkeluhumkan (memuktamadkan) bahawa semua peminta sedekah adalah tidak jujur @ penipu.

      Sebenarnya masyarakat dilanda dilema antara bersedekah atau mengabaikan peminta sedekah/derma yang tidak diketahui asal usul mereka.

      Padam

" "Kalau hendak tahu dalamnya lubuk, TANYALAH pada memerang"."