Pengikut

Assalamualaikom

.... Terima kasih Allah, Engkaulah Tuhan, akulah hamba ......

Sabtu, 27 September 2014

CATATAN PAGI CUTI SABTU : SAHABAT

Seawal jam 5.17 pagi seorang kawan di Kg. Melayu, Ampang telah WhatsApp saya. Dia menghantar foto sebuah surau yang menjadi ' favourite' nya di sekitar Ampang. Tiada catatan di bawah foto surau yang kelihatan masih samar-samar itu kerana mungkin lampu surau masih belum dibuka lagi.

Saya dapat membaca mesejnya. Dia ingin menyatakan bahawa seawal dingin pagi dia telah sampai di surau tersebut. Dia juga ingin menyampaikan mesej, " Kamu juga perlu segera bertolak ke masjid/surau berhampiran rumah kamu untuk solat subuh berjumaah."

Itulah cara kami ' bergurau '.

Kami adalah sahabat sekerja. Kami mengenali secara mendalam diri masing-masing. Dia jujur dan ikhlas.

Apabila hendak menyatakan ' hebatnya ' amalan-amalan yang dilakukannya, dia menggunakan ungkapan " Ini hendak tunjuk bukannya hendak menunjuk-nunjuk ". Dia merekodkan jumlah zikir harian ( menjangkau 1 ribu) di dalam telefon bimbit pintarnya.

Sesungguhnya, dia adalah sahabat saya. 

Jumaat, 26 September 2014

JABAT

Sebuah masjid kaum Pakistan di Taiping, Perak

Hari ini, 26/9/14, hari Jumaat. Kita, kaum lelaki yang akhil baligh dan tiada keuzuran syarie akan memanjat tangga masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Solat Jumaat tidak boleh dilakukan secara sendirian di rumah. Semua orang tahu perkara ini.

Sesampai di masjid kita, kaum lelaki kebiasaannya menunaikan solat sunat tahiyatul masjid sementara menunggu azan dikumandangkan. Selesai melakukan solat sunat kita, kaum lelaki akan berdoa dan seterusnya niat beriktikaf. Selepas itu kita, kaum lelaki dengan air muka yang manis dan ceria akan bersalaman dengan jumaah yang duduk di sebelah kanan dan kiri. Ini adalah perbuatan 'basic' kita, kaum lelaki orang Melayu ketika berada di masjid.

Tiba-tiba seorang jumaah mengisi ruang kosong di antara kita dengan jumaah yang kita telah bersalaman sebentar tadi. Lelaki yang berpakaian kemas itu dengan agak kasar meletakkan telefon bimbit di hadapannya tanpa memperdulikan kita. Dia terus solat sunat tahiyatul masjid.
  
Dia mungkin  ' some body ' @ orang berpangkat @ berkedudukkan. Air mukanya ketika solat kelihatan tidak menyenangkan -   masam, sombong, berlagak....  Kita mungkin telah menanam persepsi mengenai ' jiran ' baharu yang sombong dan berlagak itu. Kita mula membencinya.

Usai solat dia berdoa. Usai berdoa dia dengan sebuah senyuman menyuakan tangan untuk bersalaman dengan kita yang duduk di sebelah kanannya dan seterusnya jumaah yang duduk di sebelah kirinya.

Huluran tangannya menghapuskan segala prasangka tidak baik kita kepadanya secara spontan. Hati kita menjadi cair. Itulah hebatnya ' penangan ' berjabat tangan!

Hulurkanlah tangan anda untuk bersalaman kepada sesiapa sahaja dengan perasaan rendah diri. Dengannya tercipta sebuah episod persahabatan yang mengesankan.. 

Rabu, 24 September 2014

SOLAT MAGHRIB BERJUMAAH DI MASJID LEBIH SUKAR?

Gambar hiasan sebuah masjid di Klang, Selangor

Seorang penceramah pernah mengeluarkan ' fatwa ' sendiri ketika kuliah maghrib, " Jumaah yang kelihatan rajin menghadiri kuliah maghrib tetapi cuma datang ke masjid setelah menunaikan solat fardhu maghrib di rumah, ada ' Satu Titik Hitam' dalam dirinya yang perlu dinyahkan dengan segera."
 
Beliau menggambarkan bahawa masa ketika hampir masuk waktu fardhu maghrib adalah satu tempoh yang sangat mencabar dalam suasana iklim masyarakat hari ini. Justeru itu, ramai orang disibukkan sehingga tidak dapat menunaikan solat fardhu maghrib berjumaah di masjid pada waktu tersebut.
 
Penceramah itu dengan yakin berkata, " Jumaah yang hadir pada kuliah maghrib hari ini mungkin di kalangan yang istiqamah menunaikan solat subuh berjumaah di masjid, tetapi belum tentu juga adalah di kalangan yang pada setiap hari (jika tiada keuzuran) menunaikan solat maghrib berjumaah di masjid." 
 
Beliau berpendapat tahap halangan atau cabaran untuk menunaikan solat fardhu maghrib berjumaah di masjid sangat hebat sehingga melebihi cabaran/halangan menunaikan solat fardhu subuh.!
 
Adakah pendapat penceramah itu ' terlampau ' atau ada kebenarannya?

Ahad, 21 September 2014

PENJUAL APAM BALIK


Sementara menunggu apam balik yang dipesan siap saya mengambil peluang berbual dengan peniaga apam balik yang pada jangkaan saya di usia hujung 50-an atau awal 60-an.  

Dia pernah bekerja sebagai pemandu lori di salah sebuah syarikat yang membangunkan Projek Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Selepas projek tersebut siap, dia kehilangan pekerjaan.

Selepas itu dia mencari rezeki umpama burung yang keluar pada awal pagi dan petangnya kembali semula ke sarang. Dia tiada pekerjaan tetap.

Dia pernah menjadi kuli kontrak. Dia berhenti kerja kerana mendakwa majikan lamanya itu tidak memberi dia peluang menambahkan kemahiran. Dia cuma ditugaskan mengangkut batu-bata atau semen sahaja. Dia tidak didedahkan kepada kerja-kerja yang memerlukan kemahiran seperti menyimen atau kerja-kerja memasang  kemasan lantai.    

Dia telah membuat beberapa jenis pekerjaan dan pernah menganggur beberapa ketika dalam tempoh tersebut.

Pekerjaan terakhirnya menjadi kuli orang dan makan gaji ialah sebagai pembantu kepada seorang penjual apam balik di sekitar Chow Kit Road, Kuala Lumpur.  Di situlah dia belajar membuat apam balik secara informal.

Yang dimaksudkan informal ialah majikannya penjaja apam balik itu tidak mahu menurunkan ilmu membuat apam balik kepadanya walaupun dia pernah merayu.

Dia belajar membuat apam balik secara ' indirect' melalui pemerhatian sepanjang tempoh membantu penjaja itu berniaga apam balik. Dia baharu sahaja berniaga apam balik dengan menggunakan motorsikal roda tiga sejak 6 bulan yang lalu.

Mungkin kerana ilmu membuat apam balik yang diperolehinya adalah secara informal dan ' learn by mistake ', apam balik yang dihasilkannya masih perlu sedikit tambah baik supaya boleh bersaing dengan yakin.

Ungkapan yang berbunyi, ' Orang berniaga kedekut ilmu ' mungkin ada benarnya.

Bekas majikannya, penjual apam balik di Jalan Chow Kitt, Kuala Lumpur di tempat dia pernah bekerja itu tidak rugi apa-apa jika bermurah hati mengajar pekerjanya ilmu membuat apam balik. Sekurang-kurangnya dia (majikan lama) dapatlah juga membantu bekas ' kulinya' sendiri membina kehidupan yang lebih baik.

Saya masih terngiang-ngiang kata-kata kecewa penjual apam balik yang baru saya kenali itu betapa kedekut dan ' busuknya' hati majikan lamanya yang tidak mahu menurunkan ilmu membuat apam balik kepadanya. Keluhnya, " Mana kedapatnya, orang berniaga kedekut ilmu."

Orang berniaga kecil-kecilan kedekut ilmu atau orang berniaga kecil-kecilan dengki orang lain lebih senang atau lebih kaya?
 



Sabtu, 20 September 2014

HUJAN

Hari ini ada Pasar Malam berhampiran kawasan perumahan saya di Ampang, Selangor. Hujan sedang turun dengan lebatnya.

Walaupun peniaga Pasar Malam telah terbiasa dengan cabaran ini, mereka pasti terkesan. Perniagaan tidak dapat dijalankan. Barang-barang jualan tentunya sudah ditutup dengan kanvas. 

Mungkin ada di antara peniaga mencari perlindungan dari basah dan kesejukkan dengan berlindung di rumah kedai berhampiran. Beberapa orang peminta sedekah pendatang asing juga sudah tentu 'bertengkot-tengkot' meninggalkan lokasi pasar malam untuk berlindung dari hujan.

Hujan dan cabarannya - Basah kuyup, kesejukkan, tidak dapat berniaga, tidak dapat meminta sedekah......

Sebilangan penduduk di kawasan perumahan berhampiran Pasar Malam yang tidak terkesan langsung dengan hujan selebat mana pun mungkin sedang bersantai bersama keluarga di rumah. Mungkin ada yang sedang mengetatkan selimut supaya tidur lebih nyenyak, nikmat dan selesa. Jimat letrik tanpa perlu menggunakan penghawa dingin!

Inilah kehidupan.

  

Isnin, 15 September 2014

MUDIK BERLARI

Masjid Hang Tuah, Melaka


Sesekali aku hilang arah di kota sendiri
tika laluan dialih tanda arahnya
dikejar dalam sangka mengejar
yang tidak jelas tuju arahnya.

Ketika melatar simpang pedoman 
yang tidak terpandangkan
aku gegas mudik berlari
menghimpun diri
dalam saf istighfar yang panjang.

Sabtu, 13 September 2014

CUCU


Jiran saya tersenyum sampai ke telinga apabila isteri anak tunggalnya akhirnya dianugerahkan seorang bayi perempuan setelah menunggu beberapa tahun . Setiap petang beliau dilihat mendukung cucu kesayangannya di sekitar kawasan perumahan kami. 

Sungguhpun ada yang mengatakan bahawa sayang kepada cucu melebihi sayang kepada anak sendiri, umumnya dan tidak keterlaluan dikatakan bahawa kedudukkan cucu dalam apa keadaan sekalipun adalah dalam kalangan ahli keluarga yang paling disayangi. Kasih dan sayang tersebut lebih terserlah apabila datuk dan nenek duduk serumah dengan keluarga anak sendiri di rumah pusaka di kampung-kampung tradisional. 

 Dalam masyarakat konservatif Melayu terdahulu, ' kekuasaan ' seorang datuk atau nenek kepada cucu-cucu mereka adalah setara dengan kekuasaan ibu dan bapa kepada anak-anak tersebut. Ini membawa maksud bahawa datuk dan nenek bebas melakukan apa sahaja kepada cucu-cucu mereka - memberi kasih sayang, menyuruh dan menghukum dengan cara sekehendak hati.

Mungkin melalui kuasa mandatori dan asuhan seorang datuk dan nenek sedemikian rupa telah menyebabkan tertanamnya perasaan kasih dan sayang yang sangat mendalam di pihak cucu kepada datuk dan nenek mereka. Bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila cucu-cucu kepada datuk dan nenek generasi terdahulu masih mengingati dan mendoakan arwah datuk dan nenek mereka hingga ke hari ini.

Masih adakah lagi ' kekuasaan ' itu kepada golongan datuk dan nenek hari ini? Soalan ini ditimbulkan kerana adanya dakwaan bahawa lesen ' kekuasaan' seorang datuk atau nenek kepada cucu-cucu mereka telah 'dilucutkan'. 

Salah satu di antara sebabnya (terlucutnya ' kekuasaan ') ialah kerana kuasa anak atau menantu yang lebih dominan sehingga mereka takut-takut untuk menumpahkan kasih sayang sekehendak hati atau menegur kesalahan cucu sebebas-bebasnya.

Tidak dapat dinafikan bahawa berlakunya ' kerenggangan ' perhubungan datuk/nenek - cucu hari ini sehingga datuk/nenek moden hilang ' kekuasaan ' dan perhubungan dengan cucu juga tidak ada ' chemistry ' sepertimana generasi terdahulu sememangnya tidak dapat dielakkan. Persekitaran kehidupan, status dan anjakan sosio masyarakat hari ini sangat jauh berbeza dengan generasi terdahulu. 
  
Namun demikian, sehebat mana pun anjakan cara hidup, struktur hubungan kekeluargaan termasuk mengingati dan mendoakan ahli keluarga yang telah meninggal dunia tidak akan diabaikan oleh keturunan yang masih hidup selagi ahli sesebuah keluarga itu mendapat didikan agama yang baik.

Jumaat, 12 September 2014

TERIMA KASIH UNCLE


Gegas sidang CEO dan anak saudaranya yang tidak perlu ada agenda

Di bilik CEO yang juga tidak perlu cukup korum

Kerana tiada perkara yang perlu diminitkan

Ini dunia nyata, tidak perlu meritokrasi

Di sini juga wilayah solidariti darah daging;senioriti adalah barang lusuh 

yang tidak perlu ada harga 

Walaupun berdua sahaja di dalam bilik berkunci, mereka berbisik-bisik; 

“Kamu dinaikkan pangkat”

“Terima kasih kerana menaikkan pangkat saya walaupun tiada keperluan lagi 

andainya uncle tidak berada di kerusi CEO......he..he....”



Rabu, 10 September 2014

CATATAN KU : Cerita Tiga Buah Masjid DI Negeri Sembilan

Beberapa hari dalam bulan Ogos 2014 saya berada di negeri asal usul, Negeri Sembilan. Sepanjang berada di negeri sendiri saya berpeluang singgah solat di tiga buah masjid tanpa mengambil kira masjid kampung sendiri.

Saya tidak bercadang menilai kehadiran jumaah mengimarahkan masjid-masjid itu kerana hasilnya pasti kurang tepat kerana kehadiran saya adalah di luar waktu puncak, iaitu antara waktu solat Maghrib hingga Isyak yang selalunya diisi dengan kuliah agama.

Saya cuma ingin menggambarkan keadaan tandas/tempat mengambil wuduk di tiga buah masjid tersebut. Di antara dua aspek tersebut, tentulah saya memberi tumpuan kepada keadaan tandas yang sinonim dengan sisi negatif. Dikatakan bahawa keadaan tandas di kebanyakkan masjid di negara ini sangat mengecewakan. Kotor!

Masjid Pertama - Masjid Bagan, Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan

MASJID BAGAN PINANG, P.DICKSON
TEMPAT MENGAMBIL WUDUK
TABUNG SUMBANGAN YANG UNIK
Tempat mengambil wuduk dan tandas masjid ini sangat bersih. Beberapa buah pasu bunga diletakkan di dalam bilik air/tandas untuk menambahkan lagi seri bilik air/tandas. Selain itu, beberapa pasang selipar baharu disediakan oleh pihak masjid untuk digunakan dalam bilik air/tandas 

Masjid Kedua - Masjid Pekan Rembau, Daerah Rembau, Negeri Sembilan

MASJID PEKAN REMBAU
Tempat mengambil wuduk dan tandas masjid ini sangat bersih. Beberapa pasang terompah kayu disediakan oleh pihak masjid untuk digunakan dalam bilik air/tandas.

Namun demikian, ada satu perkara yang menimbulkan sedikit kebimbangan dalam minda saya. Saya dapati komponen tandas iaitu kotak pam air 'dimangga' oleh pihak masjid. Benak fikiran saya menjurus kepada gambaran betapa banyaknya penyangak dan kaki busuk di sekitar masjid yang bersih dan indah itu. Ces!

Masjid Ketiga - Masjid Pekan Kota, Daerah Rembau, Negeri Sembilan

MASJID PEKAN KOTA
Saya ' copy & paste sahaja ayatnya iaitu; Tempat mengambil wuduk dan tandas masjid ini sangat bersih. Beberapa pasang selipar disediakan oleh pihak masjid untuk digunakan dalam bilik air/tandas. Saya cuma meminda perkataan terompah ( di Masjid Pekan Kota) kepada selipar.

Sungguh pun demikian, ada satu ' insiden ' yang sedikit mengecilkan hati saya ketika berada di masjid ini. Senyuman dan ucapan Assalamualaikom kepada salah seorang jumaah tempatan yang datang dengan motorsikal tidak diendahkan. " Mak ooi......sombongnya ekau. Bosa bona ko Pokan Koto ni. " Saya memujuk hati, " Mungkin beliau tidak terdengar teguran ingin berkawan dari saya.

Sesungguhnya, saya sendiri pun sedar bahawa melalui kaedah mana sekalipun, gambaran di tiga buah masjid sahaja tidak mampu menggambarkan keadaan kebersihan masjid-masjid di seluruh Negeri Sembilan. Bagaimanapun, bukan sesuatu yang mustahil berlakunya persampelan yang sedikit diiktiraf sebagai seolah-olah sesuatu yang benar-benar berlaku di lapangan.

Namun, tiada salahnya jika contoh yang diperlihatkan di tiga buah masjid itu mewakili semua masjid atau kebanyakkan masjid di Negeri Sembilan. Semoga.


Sabtu, 6 September 2014

CATATAN KU : Surau Ahmadiah Kg. Baru Chengkau Ulu @ Tanah Lesen, Kota, N.Sembilan

SURAU AHMADIAH KG. BARU CHENGKAU ULU
Sejak kampung saya dibelah dua secara muktamad oleh laluan kembar Keretapi Tanah Melayu (KTM) berelektrik (elektrik belum dipasang lagi) dan berpagar K.Lumpur - Johor Bharu, sebahagian besar penduduk kampung ' dihalang ' ke masjid kalau tidak kuat iman! 

Ini berlaku apabila sebahagian rumah penduduk kampung dipisahkan dengan masjid oleh laluan KTM berelektrik. Sedemikian, penduduk kampung terlibat tidak boleh lagi melintas laluan KTM untuk ke masjid atau ke rumah jiran di seberang laluan keretapi di jajaran kawasan masjid melainkan melalui jambatan bertingkat yang disediakan.

DI ANTARA RUMAH PENDUDUK KAMPUNG
DI ANTARA RUMAH PENDUDUK KAMPUNG (2)
Bagaimanapun, laluan jambatan itu bukan sahaja curam tetapi juga menambahkan lagi jarak perjalanan kerana reka bentuk zig-zagnya. Laluan yang khusus untuk pejalan kaki, penunggang motorsikal dan basikal itu tidak boleh dilalui oleh kereta. Tentunya laluan sebegini tidak mesra golongan berusia.

LALUAN BERTINGKAT ADA PRO & KONTRA
Sesungguhnya, pembinaan projek laluan KTM berelektrik yang merentas Kuala Lumpur - Johor Bharu dari satu sudut menimbulkan cabaran sosial baharu kepada penduduk yang mendiami kawasan di sepanjang laluan itu. Penduduk kampung yang telah berusia tidak gagah lagi mendaki jambatan bertingkat yang curam kerana sangat memenatkan. 

KAMPUNG TERBELAH DUA (BERPAGAR DAN ELEKTRIK)
Pada mulanya ketika balik ke kampung saya memaksa diri merentas laluan KTM dengan cara berjalan kaki ke masjid yang jaraknya tidaklah jauh sangat. Bagaimanapun, baru-baru ini saya mencuba solat berjumaah di Surau Ahmadiah Kg. Baru Chengkau Ulu kerana jalan ke surau itu tidak perlu melintas laluan KTM bertingkat.

Surau yang dinamakan ' Surau Ahmadiah ' itu dibina oleh seorang penduduk kampung secara persendirian. Jarak surau itu lebih kurang 4 minit perjalanan dengan kereta dari rumah keluarga saya di kampung. Surau itu sebenarnya tidak aktif beberapa lama di atas sebab yang tidak saya ketahui. 

Kampung Baru Chengkau Ulu juga adalah sebahagian dari kampung saya. Ketika zaman anak-anak saya, penduduk kampung itu dikenali sebagai Penduduk Tanah Lesen kerana tanah di situ bukan tanah adat, Penduduknya terdiri dari kalangan penduduk asal kampung saya dan juga orang luar yang berhijrah ke situ. Seingat saya penduduk asal/awal kampung itu ialah keluarga Pak Cik Yusuf Campam, Keluarga Pak Cik Pilus, Kaeluarga Pak Cik Mat Peheng, Keluarga Pak Cik Dolah TJ, Keluarga Pak Cik Adam, Keluarga Pak Cik Saleh Muar (berasal dari Tangkak, Johor) dan Keluarga Pak Cik Manaf .

Arwah ibu saya mempunyai sekeping tanah kebun di kampung itu. Semasa berbual dengan jumaah surau, ada di antaranya yang mengusik supaya saya membina rumah di kampung mereka.

Di Surau Ahmadiah Kg. Baru Chengkau Ulu juga saya dipertemukan dengan seorang saudara   yang tidak saya kenali sebelum itu. Beliau yang berasal dari kampung lain baru membina rumah di kampung itu selepas membeli sekeping tanah dari penduduk asal memperkenalkan diri kepada saya. Beliau adalah saudara dua pupu dengan arwah datuk saya. (Apabila saya memberitahu kepada adek perempuan dia menyatakan bahawa dia telah lama tahu perkara itu).   

Ketika zaman remaja saya, Kampung Baru Chengkau Ulu adalah sebuah kampung yang agak terkebelakang dalam segala segi berbanding ' Mother Land ' nya iaitu kampung saya. Namun demikian, persepsi itu tidak boleh lagi dipakai pada hari ini. Kampung tersebut telah membangun dan dapat dilihat melalui pembinaan rumah-rumah penduduk yang cantik, bilangan penduduk yang ramai dan juga status pendidikkan /ekonomi mereka.

Surau Ahmadiah Kampung Baru Chengkau Ulu adalah sebuah surau kecil yang diperbuat dari kayu. Saya dimaklumkan bahawa beberapa struktur surau itu termasuk tiang-tiangnya adalah dari struktur rumah lama dari kampung lain yang dibawa oleh salah seorang penduduk kampung ( berasal dari kampung berhampiran) untuk diwakafkan. Saya ditakdirkan dapat berbual dengan penduduk kampung yang berusia 75 tahun dan juga seorang pesara KTM itu. Beliau memaklumkan bahawa tiang-tiang surau tersebut dihasilkan dari sebatang pokok yang diusahakan oleh keluargnya sendiri di kampung asalnya. Bagaimanapun, inisiatif serta kos pembinaan surau itu diusahakan dan ditanggung oleh seorang penduduk kampung yang lain.

Langkah saya ke surau itu mulai solat maghrib pada 31 Ogos 2014 adalah ' langkah kanan '.

Malam itu ada kuliah maghrib yang dipimpin oleh seorang ustaz muda. Di antara pati kuliah yang masih saya ingat ialah perlunya kita meneruskan sinambung rajin beramal ibadat dalam bulan Ramadhan kepada bulan-bulan lain selepas Ramadhan dan sifat tawakal Nabi Musa apabila dikejar oleh Firaun sehingga laut terbelah.

Malam itu juga ada jamuan selepas selesai kuliah maghrib dan solat Isyak yang pada saya sangat mengujakan. Saya katakan mengujakan kerana lauk pauk yang dibawa sendiri oleh penduduk kampung secara ' Pot Luck ' adalah masakan asli ' air tangan ' orang kampung di daerah saya .

Semua lauk-pauknya  adalah masak ' lomak ' cili api dengan kuah santan yang pekat. Saya menjangka semua lauk pauk yang dihidangkan adalah lauk pauk idaman anak-anak Negeri Sembilan terutamanya yang merantau dan cuma sekali-sekala menjenguk kampung halaman. Lauk pauknya adalah; Ikan sembilan (keli) salai, daging salai, gulai tempoyak daun, telur itik, gulai (kuning) ayam kampung, rendang (hitam) dan ikan tenggiri rencah kulit buah rambai.

Mungkin kerana asyik sangat menikmati masakan kampung yang enak, saya tidak teringat merakamkan suasana ' happening ' itu ketika jumaah sedang makan. Saya cuma sempat merakamkan foto Surau Ahmadiah apabila semua jumaah telah beredar pulang ke rumah masing-masing.

Saya masih belum berkesempatan untuk bertanya kenapa surau ini dinamakan ' Surau Ahmadiah'. Adakah ianya ada kaitan dengan amalan Tariqat Ahmadiah yang suatu ketika dahulu diamalkan oleh ramai penduduk Negeri Sembilan atau cuma sekadar nama sahaja? Selain dari zikir tahlil Ahmadiah (Lailahaillallah Muhammadurrasulullah Fikollilamhatin Wanafasin'adadamawasi'ahu'ilmullah) sebanyak tiga kali (yang masih dibaca di masjid/surau di Negeri Sembilan) yang dibaca oleh Tuan Imam ketika memimpin wirid selepas selesai solat fardhu, saya tidak mendapati adanya pengaruh amalan tariqat itu yang lain di surau itu. 

Saya dimaklumkan bahawa sebuah surau baharu dengan kos pembinaan RM250,000.00 akan dibina untuk menggantikan surau bangunan kayu sedia ada dalam tempoh terdekat. Alhamdulillah.

Saya meninggalkan Surau Ahmadiah Kg. Baru Chengkau Ulu dengan tenang dan Insya Allah akan datang lagi. 

  


Rabu, 3 September 2014

MENDENGAR NYANYI RIMBA DI KG. MUNGKAL, N.SEMBILAN




Saya rakam ' nyanyi rimba ' ini di satu pagi di Kampung Mungkal, Kota, Rembau Negeri Sembilan. 

Kampung Mungkal adalah sebuah kampung kecil yang terletak lebih kurang 4 - 5 kilometer dari Pekan Kota. Kira-kira 2-3 kilometer dari kampung saya. 

Saya mengagak terdapat di sekitar paling maksima 15 buah rumah penduduk di kampung ini..  Kebanyakkan rumah penduduknya cantik dan halaman rumah yang bersih. 

Kampung ini adalah di antara beberapa buah kampung yang terletak betul-betul di kaki Gunung Datuk (Gunung Rembau). Sebatang anak sungai yang mengalir dari kaki gunung merentas kampung ini. Airnya jernih, bersih dan dingin. 

Kampung ini berada di dalam DUN Kota dan Parlimen Rembau.

Di hujung jalan kampung kecil ini diusahakan kilang air mineral jenama ' EDEN'. Kilang yang terletak di hujung kampung itu akrab dengan persekitaran alam semula jadi - hutan rimba yang menghijau, dingin, segar dan nyanyian warga rimba. 

Saya sendiri tidak mengetahui jenis warga rimba sebenar yang 'menyanyikan' lagu rimba itu. Saya cuma diberitahu bahawa di antaranya ialah bunyi ungka, iaitu sejenis haiwan dari kumpulan monyet.

Di antara pengunjung hobi lasak meredah rimba di kaki gunung
Catatan ini ingin memberitahu pembaca bahawa suasana bunyi warga rimba di hutan belantara masih boleh didengar dari pinggir beberapa buah kampung di daerah Rembau, Negeri Sembilan. Kampung-kampung tersebut pula tidak terletak di lokasi yang terlalu pedalaman. Kampung-kampung tersebut walaupun kampung tradisional tetapi telah dilengkapkan dengan infrastruktur secukupnya - bekalan letrik, air, jalan bertar dan kebanyakkan penduduknya mempunyai kenderaan sendiri samada kereta atau motorsikal. 

Jika anda penggiat hobi lasak, cuba-cubalah mendaki Gunung Datuk. Gunung Datuk yang dihiasi dengan kisah-kisah sisi misteri adalah tarikan kawasan ini yang berjaya menggamit ramai pengunjung termasuk dari luar. Anda akan dapat menikmati aura rimba sebaik sahaja menjejak kampung-kampung sekitar termasuk Kg. Mungkal yang dikisahkan dalam catatan ini.    .